title
int64 4
3.51k
| body
stringlengths 18
82.3k
|
---|---|
143 | Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Ada orang sebut semua wasilah menjadi perantaraan untuk mencapai sesuatu tujuan. Adakah ini kata Nabi SAW atau kaedah dan apakah maksudnya? Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Ia adalah kaedah feqah yang masyhur iaitu: الوسائل لها أحكام المقاصد Maksudnya: Semua wasilah atau cara, baginya berdasarkan hukum yang hendak dicapai Kaedah ini memberi maksud segala cara atau jalan mempunyai hukum-hukum yang dimaksudkan. Jika sekiranya maksud yang hendak dicapai adalah buruk dan jahat, maka sebarang bentuk cara dan wasilah adalah ditegah. Begitu juga hendaklah difahami sebarang bentuk maksud dan tujuan sekalipun baik tetapi tidak harus digunakan untuk mencapai ke arah itu kecuali dengan cara-cara harus. Apa-apa yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram seumpamanya. Contohnya menjual anggur adalah harus pada asal. Tetapi jika diketahui bahawa pembeli mahu membeli bagi memproses menjadikannya arak, maka jualan kepadanya adalah haram. Sama juga dalam isu menjual senjata, pada asalnya hukumnya harus, tetapi jika dijual senjata kepada seseorang atau kumpulan yang mahu merompak, maka hukumnya adalah haram. Inilah yang dimaksudkan dengan: (الوسائل لها أحكام المقاصد). Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT: وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Maidah: 2) Syeikh al-Sobuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301) Kaedah ini telah disebut oleh ramai ulama' dan fuqaha' antaranya adalah Imam al-Qarafi dalam kitabnya al-Furuq. Kata beliau: Kaedah ini iaitu “الوسائل تتبع المقاصد في أحكامها” (Segala wasilah atau cara mengikut hukum maksud atau tujuan). Dan cara ini hendaklah difahami, jika ianya haram maka hukumnya haram dan jika wasilahnya wajib, maka hukumnya wajib. Begitulah baki pada hukum-hukum yang lain. (Lihat al-Furuq, 3/111-112) Imam al-Tufi pula menyebut bahawa ia termasuk dalam kaedah kulliy iaitu yang umum bukan bersifat cabang. (Lihat Mukhtasar al-Raudhah oleh al-Tufi, 3/89) al-Imam al-Syafi'ie pula menyebut dalam kitabnya: Segala bentuk zara'i' yang membawa kepada yang halal dan haram adalah seumpama yang membawa kepada makna-makna yang halal dan haram" (Lihat al-Umm, 4/57) Adapun kaedah yang seringkali kita dengar iaitu “الغاية تبرر الوسيلة” (matlamat menghalalkan cara) dengan maksud – jika matlamatnya baik, maka tidak ditegah daripada mencapai ke arah itu walaupun dengan pelbagai cara yang diharamkan, – maka kaedah ini adalah menyimpang daripada kebenaran. Kaedah seperti ini bercanggah dengan agama Islam yang mulia. Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam melaksanakan syariat Islam dengan sebaiknya. Amin. |
144 | Mukaddimah Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dan kepujian kita sama-sama panjatkan kepada Allah SWT, di atas kesempatan yang dilimpahkan kepada kita pada hari ini, untuk sama-sama berada dalam satu bulan yang dijanjikan segala kebaikkan dan dilipat-ganda amalan. Selawat serta salam kita tujukan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, yang sentiasa mengajari umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan saling hormat-menghormati dan mengikut segala perintah yang diturunkan oleh Allah SWT. Belum sampai seminggu kita menyambut Ramdhan al-Muabarak dengan berpuasa , maka sudah kedengaran kecederaan anak-anak kita di Malaysia akibat mercun yang kadang-kadang parah sehingga terpaksa berada di akatil hospital dalam tempoh yang lama. Bayan linnas pada kali ini mengemukkan tajuk Mercun: Budaya Bahaya, untuk sama-sama kita insafi dan menyedari betapa perbuatan yang telah sebati sejak bergenerasi itu tidak memberi sebarang manfaat apatah lagi laba dan keuntungan. Pada kesempatan pada kali ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menghitung segala tindakan dan kelakuan kita agar tindakan dan kelakuan kita mengikuti segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah SWT, terutamanya kita berada dalam bulan yang penuh dengan kerahmatan dan dijanjikan segala pengampunan. Definisi Mercun Mercun ialah sejenis perkakas letupan kecil yang direka terutamanya untuk menghasilkan bunyi bising yang amat kuat, terutamanya dalam bentuk dentuman kuat; apa-apa kesan visual turut bersampingan dengan tujuan ini. Mercun mempunyai sumbu dan dibalut dengan longsongan kertas yang sangat tebal agar dapat menampung letupan besar. Mercun, serta bunga api kini dipercayai berasal dari China. Budaya Mercun secara umumnya digunakan semasa pesta ataupun cuti perayaan, seperti Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat, Deepavali, Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Mercun juga digunakan oleh masyarakat Vietnam semasa Hari Raya Tet terutamanya pada tengah malam Giao Thua (Malam Tahun Baru). Mercun dipercayai kononnya boleh menghalau semangat jahat serta menarik dewa kekayaan ke pintu rumah. Hiburan Dalam Islam Islam pada prinsipnya membenarkan umatnya untuk berhibur tetapi dalam batasan yang meraikan maslahat dan menjarakkan daripada mafsadah. Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Al-Halal Wa al-Haram Fi al-Islam telah menyebut beberapa bentuk hiburan yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dengan panjang lebar. Hukum Mercun Berdasarkan kepada banyak nas, kami mendapati bahawa hukum mercun adalah haram dan wajib dijauhi oleh umat Islam lebih-lebih lagi yang bersifat membahayakan. Antara asas dan dalil pengharaman tersebut ialah: Pertama: Ia Amat Berbahaya Firman Allah SWT: وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (Surah al-Baqarah: 195) Zahir ayat ini jelas menunjukkan agar kita jangan mencampakkan diri kita dalam perkara yang boleh merosak dan membinasakan. Antara bahaya mercun ialah: Bahaya pada diri sendiri. Bahaya kepada orang lain Bahaya pada jiran tetangga Boleh menyebabkan kebakaran dan kerosakkan harta benda. Kedua: Memberi Mudarat Kepada Orang Lain Sedangkan Rasulullah SAW bersabda: لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ Maksudnya: Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan. Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340) Ketiga: Berlaku Banyak Pembaziran وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ Maksudnya: Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau."Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan (Surah al-Isra’: 27) Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas R.anhuma berkata: Tabzir atau pembaziran adalah menginfaqkan sesuatu bukan pada jalan yang sebenar. Qatadah pula berpendapat yang dinamakan pembaziran adalah mengeluarkan nafkah dalam bentuk maksiat kepada Allah, pada jalan yang salah dan pada jalan untuk berbuat kerosakkan. [Lihat Tafsir Ibn Kathir 8/474-475] Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW daripada al-Mughirah bin Syu’bah, Rasulullah SAW bersabda إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الأُمَّهَاتِ، وَمَنْعًا وَهَاتِ، وَوَأْدَ البَنَاتِ، وَكَرِهَ لَكُمْ: قِيلَ وَقَالَ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ، وَإِضَاعَةَ المَالِ Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka Ibu bapa, membunuh anak perempuan, menegah daripada banyak kerenah, benci bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta. Riwayat Bukhari (5975) dan Muslim (593) Di sini jelas menunjukkan pembaziran harta kerana membeli mercun yang tidak bermanfaat bahkan memudaratkan. Imam Ibn Hazm dalam kitabnya Al-Muhalla (7/503) menyebut pemborosan dan pembaziran adalah haram. Antara maksud pemborosan ialah: Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah sama ada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun. Pembaziran yang tidak ada keperluan dan tidak diperlukan. Membazirkan wang walaupun dalam jumlah yang kecil tanpa tujuan adalah sia-sia. Keempat: Wajib Menghormati Jiran Dan Tetangga Rasulullah SAW pernah bersabda: وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ Maksudnya: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Riwayat Bukhari (6475) dan Muslim (47) Dengan bermain mercuk kadang-kala menggangu jiran tetangga yang sepatutnya kita hormati hak dan privasi mereka. Kelima: Menyusahkan Ramai Orang Dengan sebab bermain mercun yang kadang-kadang membawa kepada kecederaan atau kerosakkan aharta benda seperti terbakar dan lain-lain sudah tentu akan menyusahkan orang ramai dan banyak pihak antaranya: Keluarga sendiri Jiran tetangga Masyarakat sekeliling Orang ramai Rasulullah SAW bersabda: الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ Maksudnya: Orang Islam itu adalah orang Islam yang lain selamat dari lidah dan tanganya. Riwayat Bukhari (10) dan Muslim (41) Ibn Battal Rahimahullah berkata: Maksud dengan hadis ini adalah dorongan agar seorang Islam tidak menyakiti orang Islam yang lain dengan lisan, tangan dan seluruh bentuk yang membawa kepada menyakiti orang lain. [Lihat Syarah Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 1/38] Keenam: Pencemaran Bunyi Ini kerana dentuman mercun terkadag-kadang melahirkan gempa sehingga menyebabkan sebahagian orang terkejut, terperanjat dan tersentak disebabkan oleh bunyi tersebut. Kanak-kanak yang sedang tidur akan merengek dan menangis. Begitu juga imam dan makmum yang sedang asyik solat terawih dan berqiyam boleh jadi tersasul dan terkejut dengan bunyi yang kuat itu. Pengharaman Mercun Secara umumnya, semua mercun diklasifikasikan sebagai bahan letupan berkuasa rendah. Terdapat beberapa negara yang mengharamkan pembakaran mercun kerana pencemaran bunyi, risiko kecederaan serta risiko kebakaran. Di Malaysia, pembakaran mercun kini diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991 akibat peningkatan kadar kecederaan dalam kalangan kanak-kanak terutamanya Melayu-Muslim semasa musim perayaan Hari Raya. Kes kecederaan walaubagaimanapun semakin meningkat apabila mereka beralih kepada mercun buatan sendiri seperti meriam buluh. Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Sudah sampai masanya semua pihak berganding bahu dan mengukuhkan kerjasama yang erat untuk membasmi budaya mercun yang begitu sinonim dikaitan dengan kedatangan Idul Fitri. Menakjubkan hal ini berlaku di Malaysia sahaja dan saban tahun cerita dan kisah pengulangan duka, hiba dan kesedihan sentiasa berlaku. Alangkah malangnya sifat acuh tak acuh dan sambil lewa dari semua pihak menyebabkan gejala seperti ini seolah-olah tidak mampu dipadamkan dalam kamus masyarakat Malaysia. Sepatutnya malam-malam Ramadhan yang dianggap penuh dengan keberkatan kita isi dengan pelbagai acara ibadat dan ketaatan kepada Ilahi. Tetapi dengan kemalangan dan kecederaan yang berlaku dik kerana mercun menyebabkan kelaurga terpaksa perkampung di hospital dan mungkin beraya di sana. Di saat masyarakat Islam lain bergembira pakaian baju baru dan takbir raya, tetapi keluarga tersebut menghimpunkan sejumlah rasa duka cita dengan apa yang terjadi. Episod seperti ini dapat dikekang dan dinyahkan apabila berlaku keprihatinan dari semua pihak. Lebih malang lagi, dengan mercun kadang-kadang mengakibatkan pelbagai kerugian harta, nyawa, anggota badan, masa dan tenaga yang sepatutnya dapat dielakkan jika tidak terbabit dengan budaya mercun ini. Antara langkah yang dicadangkan ialah: Penguatkuasaan undang-undang dengan lebih tegas lagi. Ibu bapa amat perlu bahkan mesti memantau aktiviti anak-anak perkaitan pembelian dan permainan mercun. Para guru sentiasa memberi peringatan dan nasihat kepada pelajar agar menjarakkan diri daripada budaya mercun ini. Nasihat dan pesanan hendaklah disalurkan juga melalui khutbah dan mimbar Jumaat. Media massa terutamanya tv hendaklah memaparkan kerosakkan dan kemalangan yang diakibatkan oleh bahana mercun ini. Semoga negara kita Malaysia bebas daripada budaya permainan mercun yang boleh mengakibatkan pelbagai bentuk kemalangan, jiwa dan anggota badan serta kebakaran harta benda yang sudah barang tentu membawa kerugian yang amat besar. Penutup Islam mengajar supaya kita nasihat menasihati agar kehidupan sentiasa menjadi harmoni. Ingatlah bahawa kerosakkan yang berlaku akibat mercun amat banyak, begitu juga dengan kemalangan jiwa. Seingatan kita, budaya mercun ini sudah bertapak begitu lama di kalangan masyarakat Islam Malaysia, dan peliknya saban tahun sentiasa kita mendengar pelbagai tragedi yang menimpa anak-anak remaja sedangkan mereka merupakan harapan bangsa dan penyambung legasi yang sedia ada. Justeru marilah sama–sama kita insafi untuk membendung budaya yang tidak sihat ini agar kita semua selamat dari sebarang kecederaan dan kerosakkan harta benda. Saya berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita semua dari budaya yang tidak baik ini dan natijah kemalangan disebabkan oleh mercun itu. Amin. Akhukum Fillah, S.S Datuk Dr Zulkifli bin Muhamad al-Bakri, Mufti Wilayah Perseketuan 7 Ramadhan, 1436, bersamaan dengan 24 Jun 2015 |
149 | 2023 Tarikh Tajuk Pautan Lain 7 Julai 2023 "Hanya berada di Mina pada waktu ditetapkan syarak - Mufti WP" 22 Mac 2023 "Anak bulan Ramadan berjaya dicerap 7.46 malam di PICC" 14 Januari 2023 "Tiada lagi permit percuma tauliah mengajar agama di Wilayah Persekutuan" 2022 Tarikh Tajuk Pautan Lain 20 Jun 2022 "Aidiladha: Tunggu pengumuman rasmi 29 Jun" [1] 02 Mei 2022 "Labuan punca Malaysia sambut Aidilfiri hari ini" 01 April 2022 "Timbalan Mufti WP ketuai cerapan anak bulan di Putrajaya" 04 Mac 2022 "Tidak jatuh talak jika hanyai berniat - Mufti" 14 Januari 2022 "Umat islam dilarang terbabit kerja-kerja bersihkan rumah ibadat agama lain" 2021 Tarikh Tajuk Pautan Lain 28 September 2021 "Tular peringatan semula fatwa hindari gaya rambut qaza'" 29 Ogos 2021 "Melamar wanita di khalayak ramai bercanggah hukum syarak" 13 April 2021 "Imarah masjid sepanjang Ramadan - Mufti" [1] 20 Mac 2021 "Mufti WP kunjung hormat Sheikh Al-Azhar" [1] 13 Mac 2021 "Isu kalimah Allah: Bimbang cetus tegang antara agama" [1] 03 Mac 2021 "Pejabat Mufti pandang serius kenyataan Sajat" [1] 25 Februari 2021 "Forum Perdana Ehwal Islam paling ramai panel, kali ini bincang isu vaksin" [1] 16 Februari 2021 "Terlibat aplikasi tidak bermoral boleh menjurus perbuatan zina - Mufti" [1] 14 Februari 2021 "Hormati fatwa vaksin Covid-19" [1] 2020 Tarikh Tajuk Pautan Lain 26 Oktober 2020 "Langgan artis: Pantau aktiviti golongan berpengaruh" 2019 Tarikh Tajuk Pautan Lain 15 Jun 2019 "Azmin terharu" [1] 14 Jun 2019 "Kalau berterusan, kita tidak lagi dihormati - Mufti Wilayah" [1] 14 Jun 2019 "Pengajaran dan petunjuk menghadapi fitnah semasa" [1][2][3] 13 Jun 2019 "Mufti Wilayah Persekutuan tampil empat 'buah fikiran'" [1] 25 Mei 2019 "Laman web pejabat mufti perjelas isu berbuka di Kuil Gurdwara" [1] 23 Mei 2019 "Semoga Yang di-Pertuan Agong, kerabat Diraja Pahang diberi ketabahan - Mufti Wilayah" [1] 18 Mei 2019 "Ramadan peluang santuni bangsa lain - Mufti Wilayah" 18 Mei 2019 "Bantuan diberi tanpa mengira agama, bangsa - CEO Bank Muamalat" 11 Mei 2019 "Mufti Wilayah Persekutuan sokong Liverpool menang UCL" 6 Mei 2019 "Ahlan Wa sahlan ya Ramadan" [1][2] 9 April 2019 "Pencarian Mohammad Asyraf perlu menepati syariat - Mufti Wilayah" [1] 3 April 2019 "Status halal negara luar diragui?" [1] 26 Mac 2019 "Bank Muamalat sasar 80,000 pendeposit baharu" [1] 22 Mac 2019 "Tragedi Christchurch : Hikmah di sebalik musibah" [1][2] 21 Mac 2019 "Himpunan Solidariti Kedamaian Sabtu ini" [1] 18 Mac 2019 "Surat terbuka Mufti kepada Anning" [1][2] 15 Mac 2019 "Mangsa tembakan pengganas di New Zealand mati dalam husnul khatimah - Mufti Wilayah" [1] 24 Februari 2019 "Berhenti debat kepentingan vaksin-Mujahid" [1] 15 Februari 2019 "Syabas Mufti Wilayah" [1][2] 15 Februari 2019 "Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disambut oleh Mufti Wilayah Persekutuan,Datuk" 10 Februari 2019 "Pengorbanan Abdul Bari bukti anak muda Malaysia berjiwa besar" [1] 1 Februari 2019 "Sultan Abdullah solat Jumaat di Kampung Baru" [1][2] 10 Januari 2019 "Mufti kagum gambar kerbau jadi juara peringkat Asia" [1] 2018 Tarikh Tajuk Pautan Lain 17 Disember 2018 "Hari duka rakyat Malaysia - Mufti Wilayah" 6 Disember 2018 "Mufti Wilayah Persekutuan puji Harimau Malaya" [1] 30 November 2018 "Mufti Wilayah, bekas Menteri Besar Pahang turut ziarah Muhammad Adib" 25 November 2018 "Harap kerajaan tidak buat pusingan-U" [1] 24 November 2018 "Tidak semestinya ikut negara Islam lain ratifikasi ICERD - Mufti WP" [1] 20 November 2018 "Polis Evo 2: Tiada mesej hina Islam" [1] 19 November 2018 "Mufti tonton Polis Evo 2, ulasan malam ini" [1] 12 November 2018 "Mufti Wilayah suntik semangat Harimau Malaya" [1] 10 November 2018 "Hukum sewa isteri haram, mufti tegur drama Astro" [1] 12 Oktober 2018 "Mufti wilayah sanggup berkuyup bantu orang tolak kereta dalam hujan" [1] 8 Oktober 2018 "Wan Azizah lakukan kunjungan istisyari, minta pandangan mufti wilayah" 4 Oktober 2018 "6 anggota bomba lemas mati syahid - Mufti" [1] 25 September 2018 "Pena Mufti : Tidak Semua ikhtilaf dibenarkan" [1] 24 September 2018 "Jangan buat spekulasi isu liwat di pusat tahfiz" [1] 19 September 2018 "Tukar nama takut undang celaka" [1] 22 Ogos 2018 "Mufti Alaf Baharu" [1][2] 21 Ogos 2018 "Puncak pengabdian kepada Pencipta" [1][2][3] 5 Ogos 2018 "Islam terus utuh di era Dr. Mahathir" [1][2] 31 Julai 2018 "Yakini amalan haji betul sebelum pulang ke tanah air" [1][2] 31 Julai 2018 "Yang di-Pertuan Agong berkenan ucap selamat jalan kepada jemaah haji" [1] 28 Julai 2018 "Dingin pagi tidak halang orang ramai lihat gerhana bulan penuh" [1] 21 Julai 2018 "Ateis Melayu makin ramai" [1] 12 Julai 2018 "Jangan ada sesal lepas balik haji" [1][2] 11 Jun 2018 "Dr. Zulkifli, Mufti ‘instafamous’" [1][2] 30 Mei 2018 "Dr. Zulkifli jemput Muhammad Faiz ke pejabat mufti" [1] 19 Mei 2018 "Mufti Wilayah tegur warga netizen yang suka mengaibkan orang lain" [1] 5 April 2018 "(VIDEO) Kes selesai lebih cepat" [1] 1 April 2018 "Pemimpin politik Islam jangan bertelagah-Mufti" [1] 25 Mac 2018 "[VIDEO] Siti Aafiyah penyeri hidup Siti Nurhaliza, Khalid Mohamad Jiwa" [1] 28 Februari 2018 "Terima kasih Datuk Mufti" [1] 19 Februari 2018 "Utama nyawa bayi" [1][2] 16 Februari 2018 "Bercakap ketika azan" [1] 14 Februari 2018 "Azmil Mustapha mahu buka pusat tahfiz" [1] 12 Februari 2018 "Tidak boleh guna doula tanpa doktor - Mufti" [1] 18 Januari 2018 "Bekas Imam Al-Aqsa hargai sokongan Malaysia" [1] 8 Januari 2018 "Malaysia sertai Persidangan Al-Azhar Sedunia" [1] 2017 Tarikh Tajuk Pautan Lain 27 Disember 2017 "Surat terbuka mufti kepada Iqram Dinzly" [1] 22 Disember 2017 "Khutbah Jumaat seru umat Islam terus bersatu" [1] 6 Jun 2017 "Rasuah: Fikir Berdepan Tuhan" 5 Jun 2017 "Umat Islam mula berpuasa hari ini" [1] 11 Mei 2017 "Taubat bukan hanya di mulut" 26 April 2017 "Raja Bomoh akui tipu" 21 April 2017 "Santai dan interaktif" 19 April 2017 "Valet Doa tanpa sedar" 18 April 2017 "PM lancar kitab Irsyad al-Fatwa" 8 April 2017 "Bisik-bisik Awang Selamat - 8 April 2017" [1] 22 Mac 2017 "Mufti tegur Malaysiakini dan FMT" [1] [2] [3] 28 Februari 2017 "Mufti perlu bersatu, tingkat syiar Islam - Raja Salman" [1] 15 Februari 2017 "Perdagangkan doa, tidak wajar, perlu dielakkan - Mufti" [1] 15 Februari 2017 "Klinik Hukum rungkai kekeliruan agama" 2016 Tarikh Tajuk Pautan Lain 21 Mac 2016 "Perkasa Pendidikan Tahfiz - PM" 2015 Tarikh Tajuk Pautan Lain 16 Ogos 2015 "Ribuan rakyat jayakan Doa Untuk Malaysia" 7 Ogos 2015 "Jakim, Jabatan Mufti bincang aplikasi hukum" 28 Februari 2015 "Sistem pendidikan Islam perlu diubah" 14 Februari 2015 "Kematian ulama satu musibah" 18 Januari 2015 "Kenapa kait ekstremis dengan khutbah Jumaat" 2014 Tarikh Tajuk Pautan Lain 2 Oktober 2014 "Puasa Arafah Hari Sabtu - Mufti Wilayah Persekutuan" 20 Jun 2014 "Dr Zulkifli Mufti Baharu WP" 2021 Tarikh Tajuk Pautan Lain 13 Mac 2021 "Mufti minta umat Islam kekal teguh pelihara kedaulatan agama" [1] 3 Mac 2021 "Kenyataan niat tukar agama boleh kelirukan masyarakat: Mufti" [1] 14 Februari 2021 "Mufti WP setuju hukum pengambilan vaksin Covid-19 harus" [1] 13 Februari 2021 "Golongan OKU perlu diambil berat oleh masyarakat Islam" [1] [2] [3] 2020 Tarikh Tajuk Pautan Lain 3 Mac 2020 "Gantung visa umrah tindakan tepat, selari hadis Rasulullah: Mufti" [1] 23 Februari 2020 "Doa Mufti Wilayah Persekutuan buat Malaysia" [1] 15 Januari 2020 "Sumpah laknat tiada dalam perundangan Islam: Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 6 Januari 2020 "Hati mufti tersentuh bertemu Nur Khairunnisa" [1] 4 Januari 2020 "Orang kaya Islam diburu bayar zakat" [1] 2019 Tarikh Tajuk Pautan Lain 20 Disember 2019 "Khutbah sentuh aspek perpaduan ummah" [1] 9 Disember 2019 "Rezeki Nadzrul Zarfan bertemu Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 5 Disember 2019 "Kalau jumpa pak cik di mana-mana nanti, kenalkan diri ya" [1] [2] [3] 4 Disember 2019 "Bercerai melalui WhatsApp sah jika diserta dengan niat: Mufti WP" [1] 1 Disember 2019 "Fahami konsep istito'ah sebelum tunai haji" [1] [2] [3] 30 November 2019 "Ceramah Mufti Wilayah Persekutuan di Spotify" [1] [2] 29 November 2019 "Lapan minit ta'khir solat subuh" [1] 21 November 2019 "Jersi Harimau Malaya, JDT buat Mufti Wilayah daripada Tunku Azizah" 20 November 2019 "Hati keras membawa petaka kepada ummah: Mufti" 7 Ogos 2019 "Agong adakan lawatan mengejut ke Jakim" [1] 2 Ogos 2019 "Agong solat Jumaat di Masjid Putera" [1] 17 Jun 2019 "Perlukah hilangkan kotoran pada kuku dan daki sebelum mandi wajib?" [1] [2] 16 Jun 2019 "Hukum beri sedekah untuk majlis tahlil" [1] [2] 15 Jun 2019 "Mohamed Azmin terharu dapat perhatian Mufti Wilayah" [1] 14 Jun 2019 "Tanpa saksi, tuduhan liwat adalah qazaf: Mufti" [1] 13 Jun 2019 "Nasihat mufti berhubung penularan video seks" [1] 3 Jun 2019 "Wajib patuhi peraturan jalan raya: Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 2 Jun 2019 "Pengajaran sebalik kemenangan Liverpool" [1] 22 Mei 2019 "Dakwah kepada orang bukan Islam" [1] [2] 25 April 2019 "Mufti Wilayah puji usaha Menteri Wilayah, DBKL" [1] 22 Mac 2019 "Haziq tergolong syahid akhirat" [1] [2] 18 Februari 2019 "Umat Islam wajib pertahan, muliakan Rasululllah SAW" [1] 17 Februari 2019 "Kontroversi bumi: Mufti wilayah akan beri penerangan di Facebooknya" [1] [2] 15 Februari 2019 "Surau Istana Negara diisytihar untuk solat Jumaat" [1] 7 Februari 2019 "Berdosa jual air Milo tukar serbuk coklat:Mufti" [1] 5 Februari 2019 "Apabila mufti memakai changshan" [1] 5 Februari 2019 "Kek buat jiran Cina:Netizen puji Mufti Wilayah" [1] 7 Januari 2019 "Agamawan sokong larangan merokok di premis" [1] [2] 7 Januari 2019 "Safiey Ilias sudi mengeteh tapi..." [1] 5 Januari 2019 "Mufti Wilayah ajak Safiey mengeteh" [1] 2 Januari 2019 "Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 2018 Tarikh Tajuk Pautan Lain 18 Disember 2018 "Mufti WP gesa kematian Muhammad Adib diselesai secara adil" [1] 9 Disember 2018 "Ulat tiket bola tak bermoral : Mufti" [1] 4 Disember 2018 "Mufti sahkan tak salah ucap "Merry Christmas"" [1] 30 November 2018 "Doa Mufti Wilayah buat Adib" [1] 17 November 2018 "Penggunaan bitcoin dilarang dalam Islam" [1] 16 November 2018 "Surat terbuka mufti tegur drama Isteri Untuk Disewa" [1] [2] [3] 25 September 2018 "Jangan kaitkan dengan institusi" 29 Julai 2018 "Sultan Johor, Mufti Wilayah Persekutuan lawat Anwar di Turki" [1] 12 Julai 2018 "Mufti Wilayah Persekutuan bincang hal Islam dengan Tun M" [1] 2 April 2018 "Nasihat Mufti Wilayah untuk hadapi PRU14" [1] 22 Mac 2018 "Fatimah Az Zahra bakal ditahnik Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 27 Februari 2018 "Mufti Wilayah Persekutuan beri 3 nasihat kepada Neelofa" [1] 23 Januari 2018 "Mufti KL beri Iqram arnab, jubah" [1] 2017 Tarikh Tajuk Pautan Lain 28 Disember 2017 "Iqram tolak pelawaan Mufti Wilayah tapi..." [1] 27 Disember 2017 "Surat terbuka Mufti kepada Iqram Dinzly" [1] [2] 22 Disember 2017 "Mufti Wilayah terima kunjungan McDonald's Malaysia" [1] [2] 16 Oktober 2017 "Mufti Wilayah nafi terlibat perhimpunan" [1] 26 April 2017 "Guna modul khas pulihkan Ibrahim" 27 Februari 2017 "Warkah anak istimewa buat mufti terharu" [1] [2] [3] 24 Februari 2017 "Harapan di sebalik Himpunan 355" 19 Februari 2017 "RUU355 bukan untuk menghukum" [1] 15 Februari 2017 "H355 medan penyatuan Islam" 12 Februari 2017 "Tiada larangan terima organ, darah daripada bukan Islam" [1] [2] 2015 Tarikh Tajuk Pautan Lain 4 September 2015 "Manfaat hidup berpandukan al-Quran" 4 September 2015 "Nouman seorang yang luar biasa" 9 Januari 2015 "Lupus al-Quran secara pembakaran, tanam" 2014 Tarikh Tajuk Pautan Lain 25 Oktober 2014 "Individu terlibat program dinasihat jumpa ulama" 21 Oktober 2014 "Kena faham maksud Jihad sebelum diajar di sekolah" 27 Ogos 2014 "Bekas Mufti Wilayah Persekutuan meninggal dunia" 2023 Tarikh Tajuk Pautan Lain 13 April 2023 "Hampir mustahil Raya Jumaat" 2021 Tarikh Tajuk Pautan Lain 13 April 2021 "Patuhi norma baharu aktiviti ibadah sepanjang Ramadan" 9 April 2021 "Henti polemik isu khalimah Allah" [1] 3 Mac 2021 "Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pandang serius kenyataan 2 selebriti" [1] 16 Februari 2021 "Umat Islam dilarang sertai aplikasi Sugarbook" [1] 14 Februari 2021 "Hukum vaksin Covid-19 harus - Mufti Wilayah" [1] 2020 Tarikh Tajuk Pautan Lain 12 Jun 2020 "Adaptasi elemen dalam sistem pendidikan" [1] [2] [3] 4 Februari 2020 "Tunai umrah tidak ikut jantina asal haram, berdosa - Mufti" [1] 29 Januari 2020 "Coronavirus: Selidik maklumat sebelum sebar - Mufti" 25 Januari 2020 "Coronavirus: Mufti ajak umat Islam solat hajat lindungi Malaysia" 2019 Tarikh Tajuk Pautan Lain 23 Disember 2019 "JAWI diminta wujud, kuat kuasa peraturan larangan bersumpah di Masjid - Mufti KL" [1] 20 Disember 2019 "Kekang kerapuhan perpaduan sesama Islam - Mufti WP" [1] 12 Disember 2019 "Perbuatan fasad rosakkan alam sekitar" [1] [2] 29 November 2019 "Masuk waktu subuh di KL, Labuan, Putrajaya lewat 8 minit bermula esok" 24 Ogos 2019 "Telefilem kontroversi dapat pujian Mufti Wilayah Persekutuan" 12 Ogos 2019 "Air mata bukan untuk raih simpati - Yana Samsudin" [1] 12 Ogos 2019 "Tayang atau tidak, dua minggu lagi" [1] 26 Julai 2019 "Banyakkan bahan berilmu, tangkis tohmahan terhadap Rasulullah" [1] 15 Julai 2019 "Kerajaan perlu tegas tangani arak didakwa tanpa alkohol - Mufti" [1] 15 Jun 2019 "Azmin terharu nasihat Mufti Wilayah Persekutuan" 14 Jun 2019 "Sabar dalam menerima sesuatu berita tidak benar - Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 13 Jun 2019 "Isu penyebaran video lucah: Mufti Wilayah Persekutuan beri empat 'panduan'" [1] 2 Jun 2019 "Sambut Syawal penuh kesederhanaan- Mufti Wilayah Persekutuan" 31 Mei 2019 "Alif sebak bertemu banduan akhir" 9 April 2019 "Jangan terlalu kaitkan perkara mistik dengan Acap" [1] 25 Mac 2019 "Bank Muamalat sasar tambah 80,000 pendeposit" [1] 23 Mac 2019 "Wakil agama senada mahu keamanan, tolak kebencian" [1] 15 Februari 2019 "Agong tunai solat, saksi surau Istana Negara diisytihar untuk solat Jumaat" [1] 10 Februari 2019 "Abdul Bari syahid- Mufti WP" [1] 1 Februari 2019 "Agong solat Jumaat di Masjid Kampung Baru" 10 Januari 2019 "Plasenta: haram bagi rawatan kosmetik, harus untuk perubatan - Mufti" [1] 2018 Tarikh Tajuk Pautan Lain 9 Disember 2018 "Akad jual beli dengan ulat tiket haram" [1] [2] 6 Disember 2018 "Gol jaringan Syahmi dapat pujian Mufti WP" [1] 21 November 2018 "Elak Filem Cetus Salah Faham Penonton- Mufti syor lantik perunding syariah" 20 November 2018 "Lantik perunding syariah pantau pembikinan filem - Mufti WP" [1] 16 November 2018 "Islam larang guna bitcoin bagi pelihara kemaslahatan umum" [1] [2] 15 Oktober 2018 "Masyarakat perlu bantu LGBT kembali ke pangkal jalan" [1] [2][3] 11 Oktober 2018 "LGBT bukan isu terpencil, perlu ditangani bersama - Mufti Wilayah" [1] [2] 8 Oktober 2018 "TPM lakukan kunjungan istisyari, minta pandangan Mufti Wilayah" [1] 4 Oktober 2018 "6 anggota bomba yang terkorban diiktibarkan sebagai syahid - Mufti" [1] 24 September 2018 "Usah kaitkan kesalahan individu dengan institusi tahfiz - Mufti Wilayah" [1] 22 September 2018 "Wajib patuhi undang-undang had umur minimum perkahwinan" [1] [2] 16 September 2018 "Insafi penubuhan Malaysia" [1] 10 September 2018 "Siddiq Fadzil diumum Tokoh Maal Hijrah" [1] 18 Ogos 2018 "Bimbing insan LGBT ke pangkal jalan" [1] [2] 31 Julai 2018 "Agong ucap selamat jalan kepada jemaah haji" [1] 31 Julai 2018 "TAIB teman akrab jemaah haji Malaysia" [1] 28 Julai 2018 "100 jemaah hadir solat gerhana" [1] 28 Julai 2018 "Peluang lihat planet Marikh dekat dengan bumi malam ini" [1] [2] 18 Julai 2018 "Mufti Wilayah serah kajian Bayan Linnas pada TPM" [1] 12 Julai 2018 "Kes bapa calar pengislaman dua anak diputuskan 16 Oktober" [1] [2][3] 10 Julai 2018 "Elok elak FB Live ketika tawaf - Mufti" [1] 1 Julai 2018 "Kembara dakwah, kebajikan peringati tragedi Srebrenica" [1] [2] 26 Jun 2018 "Tujuh saranan mufti tangani penyakit halusinasi" [1] 7 Jun 2018 "Tak bincang pembubaran JAKIM - Mufti" [1] 28 Mei 2018 "Guna pengaruh selebriti tingkat agenda dakwah" [1] [2][3] 19 Mei 2018 "Pelihara puasa, elak buka aib dan komen negatif" [1] 19 Mei 2018 "Beri peluang Kabinet baharu jalankan tugas - Mufti" [1] 23 April 2018 "Mufti harap Fadi mendapat syahid" [1] 22 April 2018 "Kami perlu tabah.." [1] 4 April 2018 "Mahkamah Khas Hadhanah bantu masalah kahwin, cerai" [1] 1 April 2018 "PRU14: Surat terbuka Mufti kepada pemimpin politik, masyarakat" [1] 28 Februari 2018 "Mufti khuatir tindakan Neelofa" [1] 12 Februari 2018 "Bidan Jadian-ancam nyawa" [1] [2] 31 Januari 2018 "Jangan khurafatkan 'Super Blue Blood Moon' - Mufti" [1] 29 Januari 2018 "Sekat berita palsu" [1] 29 Januari 2018 "Hujan bukan penghalang himpunan buat Palestin" [1] [2] 28 Januari 2018 "Putuskan hubungan dengan Israel" [1] [2] 2017 Tarikh Tajuk Pautan Lain 27 Disember 2017 "Surat terbuka kepada Iqram Dinzly" [1] 22 Disember 2017 "Solidariti ummah bebaskan Baitulmaqdis : Mufti" [1] 26 April 2017 "'Raja Bomoh' jalani sesi pemulihan dalam masa terdekat" 26 April 2017 "'Raja Bomoh' insaf, mengakui kesilapan" 18 Februari 2017 "Ketinggian ilmu perlu untuk jelaskan pindaan RUU 355" [1] [2] [3] [4] [5] 18 Februari 2017 "Lintas langsung Himpunan RUU 355" [1] 2016 Tarikh Tajuk Pautan Lain 21 Mac 2016 "Pengajian Maahad Tahfiz Dipertingkat" 21 Mac 2016 "Kerajaan Rangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara" 18 Mac 2016 "Perlu Bincang Lagi Isu Fatwa Dari Semasa ke Semasa" 2015 Tarikh Tajuk Pautan Lain 25 September 2015 "Solat Gerhana Bulan perkukuh keimanan" 13 Mei 2015 "Teladani Ulama dalam mempelajari ilmu" 2014 Tarikh Tajuk Pautan Lain 19 September 2014 "Jihad di Syria membelakangkan Syariat" 2022 Tarikh Tajuk Pautan Lain 16 Januari 2022 "Kalimah Allah perlu dimuliakan" 15 Januari 2022 "Trend 'unboxing isteri' usah jadikan ikutan - Mufti Wilayah Persekutuan" 2021 Tarikh Tajuk Pautan Lain 29 Mac 2021 "Maklum isteri pertama jika mahu poligami" 23 Mac 2021 "Perlu tolak tawaran kerja" [1] [2] 13 Mac 2021 "Umat Islam perlu kekal teguh pelihara kedaulatan agama" [1] 3 Mac 2021 "PMWP pandang serius kenyataan 2 selebriti" [1] 16 Februari 2021 "Umat Islam dilarang sertai aplikasi Sugarbook" [1] 14 Februari 2021 "Covid-19: Mufti WP setuju hukum pengambilan vaksin harus" [1] 12 Februari 2021 "Kunci rezeki & keberkatan" [1] [2] [3] 2020 Tarikh Tajuk Pautan Lain 30 November 2020 "Amanah dan Itqan perlu seiring" 7 November 2020 "Mufti sambut baik kenaikan elaun guru takmir" 30 Oktober 2020 "Semoga kita bebas wabak ini" [1] [2] 26 Oktober 2020 "Perlu terima syarat baharu umrah Arab Saudi" [1] 25 Oktober 2020 "Pengajian kitab secara maya" [1] 2 Ogos 2020 "Jangan sewenangnya meletakkan bidaah kepada orang lain" [1] [2] [3] 18 Jun 2020 "Lathi Challenge bertentangan akidah Islam - Mufti WP" [1] 24 Mei 2020 "Kekal istiqamah dibulan syawal" [1] 28 Februari 2020 "Gantung visa umrah selari hadis" 23 Februari 2020 "Mufti doakan negara kekal aman" 12 Januari 2020 "Kesihatan Mohd Anuar semakin baik" 6 Januari 2020 "Hati Mufti tersentuh" [1] 2019 Tarikh Tajuk Pautan Lain 31 Disember 2019 "Elak sambutan mengandungi perkara ditegah - Mufti WP" [1] 30 Disember 2019 "Disyariatkan solat sunat tahiyatul masjid" [1] 24 Disember 2019 "Kepada mak cik pemandu bas, semoga tabah - Mufti" [1] 23 Disember 2019 "Rahmat menangis ketika membaca Al-Quran" [1] 23 Disember 2019 "Lindungi Masjid daripada dimanipulasi" [1] 10 Disember 2019 "Mufti Wilayah puji amalan Haikal" [1] 9 Disember 2019 "Beri kecelikan pada agamawan, ustaz- Mufti" [1] 5 Disember 2019 "Mufti ada hadiah untuk adik Nadzrul" [1] 4 Disember 2019 "Lafaz talak melalui whatsapp sah jika..." [1] 3 Disember 2019 "Mesyuarat bawah pokok?" [1] 2 Disember 2019 "Utamakan nafkah untuk isteri sebelum ibu bapa" [1] 30 November 2019 "Dimensi baru dakwah Mufti WP" [1] 29 November 2019 "Waktu subuh Wilayah Persekutuan dilewatkan" 25 November 2019 "Kebaikan berwuduk sebelum tidur" [1] 18 November 2019 "Ayuh semua ekor Harimau Malaya - Mufti Wilayah Persekutuan" 18 November 2019 "Faktor Istito'ah" [1] [2] [3] 15 November 2019 "Mufti Wilayah Persekutuan ziarah Fauziah Nawi" [1] 8 November 2019 "Penghinaan terhadap mayat, waris si mati - Mufti" [1] 5 November 2019 "Dr Zulkifli kongsi tips hadapi peperiksaan" 4 November 2019 "Dibolehkan qasar solat ketika melancong" [1] 29 Oktober 2019 "Perginya ulama sejati" [1] 28 Oktober 2019 "Semoga dapat syahid akhirat - Mufti WP" [1] 27 Oktober 2019 "Di sebalik bisa liverpool" [1] 24 Oktober 2019 "Dato 'team' mana? - Tunku Azizah" [1] 24 Oktober 2019 "Your never walk alone tuan Mufti" [1] 14 Oktober 2019 "Wajib menjawab salam dengan segera" 10 Oktober 2019 "Jaga solat untuk kesejahteraan keluarga" 7 Oktober 2019 "Hukum ambil wuduk pakai cicin" 2 Oktober 2019 "Lelaki bawa lelaki, perempuan bawa perempuan" 30 September 2019 "Lakukan ibadat dalam sembunyi elak riyak" 29 September 2019 "Mufti puji bapa Adib" [1] 22 September 2019 "Wang kertas masih suci" [1] 21 September 2019 "Dakwaan kena ada bukti kukuh" [1] 7 September 2019 "Jaga akhlak layan penyokong pelawat - Mufti WP" [1] 5 September 2019 "Haram undi tukar agama" [1] 18 Ogos 2019 "Semoga mendapat berkat" [1] 26 Julai 2019 "Waspada artikel musuh islam - Mufti WP" [1] 17 Julai 2019 "Kiblat tersasar: Tak perlu qada solat" [1] 25 Jun 2019 "Dedah aurat untuk Brazilian wax haram" [1] 24 Jun 2019 "Keutamaan lunas hutang ibu bapa" [1] 19 Jun 2019 "Sebulan beraya itu bidaah?" 19 Jun 2019 "Hadiah tak disangka-sangka" 17 Jun 2019 "PMWP catat 11 juta pengunjung [METROTV]" [1] [2] 15 Jun 2019 "Pesan Mufti kepada Azmin" 13 Jun 2019 "Hindari sebarang bentuk fitnah- Mufti WP" 13 Jun 2019 "Tahlil di restoran undang sebak" 1 Jun 2019 "Pertama kali tak digari" [1] [2] 31 Mei 2019 "Mufti jemput Alif ziarah penjara" [1] 31 Mei 2019 "Banduan sebak disantuni Mufti Wilayah" [1] 24 Mei 2019 "Raja Salman sumbang kurma" 11 Mei 2019 "Mufti Wilayah sokong Liverpool" 9 April 2019 "Tepati syariat dalam pencarian Acap - Mufti" [1] 4 April 2019 "Urus hutang untuk barakah harta" [1] 23 Mac 2019 "Islam itu kedamaian" [1] [2] 27 Februari 2019 "Ibu bapa lalai, memudaratkan anak dianggap berdosa" [1] 8 Februari 2019 "Anda amat membanggakan - Mufti" 6 Februari 2019 "Mufti WP jawab isu suami tak bekerja" [1] 5 Februari 2019 "Raikan kepelbagaian agama" 9 Januari 2019 "Enggan keruh keadaan" [1] 8 Januari 2019 "Soal jawap agama Mufti WP ada terjemahan Inggeris" [1] 2018 Tarikh Tajuk Pautan Lain 24 September 2018 "Jangan 'marahkan nyamuk, kelambu dibakar' - Mufti WP" [1] 22 September 2018 "Mufti berbeza pandangan" [1] 17 Ogos 2018 "Ibadat korban guna harta baitulmal" [1] 17 Julai 2018 "Pengulangan adat jahiliah, muflis akhlak - Mufti WP" [1] 26 Jun 2018 "Tujuh nasihat tangani halusinasi - Mufti WP" [1] 21 Mei 2018 "Siti puji program Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 20 Mei 2018 "Halal dan thayyib" [1] 12 April 2018 "Harus pilih calon bukan Islam selagi tak musuhi agama" [1] 1 April 2018 "10 nasihat buat pemimpin politik, masyarakat" [1] 28 Mac 2018 "Semoga Allah kurniakan kesihatan: Mufti WP" [1] 25 Mac 2018 "Assalamualaikum, Siti Aafiah.....(METROTV)" 28 Februari 2018 "Surat terbuka Mufti WP buat Neelofa" [1] [2] 2017 Tarikh Tajuk Pautan Lain 27 Disember 2017 "'Terima kasih tuan Mufti'" [1] 26 Disember 2017 "Usah terikut budaya luar dalam berkabung" [1] 28 Ogos 2017 "Didik jiwa luhur" [1] 1 Ogos 2017 "Maslahah umum lebih utama" [1] 26 April 2017 "Sesi pemulihan akidah Raja Bomoh bermula" [1] 10 April 2017 "Hanya Allah tahu kematian manusia" [1] 16 Februari 2017 "Mustajab milik Allah" [1] [2] 2015 Tarikh Tajuk Pautan Lain 16 Ogos 2015 "Dosa perguna nama Allah" 28 Februari 2015 "Musibah jahil" 6 Februari 2015 "Hari Kekasih salahi Syarak" 2014 Tarikh Tajuk Pautan Lain 16 Oktober 2014 "Bukan sewenang-wenangnya" 3 Julai 2014 "Fahami maksud Jihad sebenar" 2023 Tarikh Tajuk Pautan Lain 4 Februari 2023 "Umat islam perlu elak terbabit ritual agama lain" 14 Januari 2023 "Tiada lagi tauliah percuma mengajar agama di Wilayah Persekutuan" 12 Januari 2023 "PMWP tetapkan bayaran bagi permohonan tauiah mengajar" 9 Januari 2023 "Berdosa makan wang zakat jika bukan asnaf" 2022 Tarikh Tajuk Pautan Lain 31 Oktober 2022 "Empat pejabat mufti negeri buat kajian waktu Maghrib di tanah tinggi" 7 Februari 2022 "Melamar depan khalayak ramai bertentangan dengan ajaran agama" 24 Januari 2022 "Hukum pakai pendakap, sarung gigi adalah harus" 14 Januari 2022 "Umat islam tidak boleh terlibat bersihkan rumah ibadat agama lain" 2021 Tarikh Tajuk Pautan Lain 17 April 2021 "Individu terlibat iklan judi segera bertaubat" 13 April 2021 "Hidupkan amalan Ramadan mohon pulih daripada Covid-19" 16 Februari 2021 "Isu Sugarbook: Mufti WP seru segera bertaubat" 14 Februari 2021 "Pejabat Mufti Wilayah sokong vaksin Covid-19" 2020 Tarikh Tajuk Pautan Lain 19 Ogos 2020 "Daripada gelanggang akademik ke Pejabat Mufti" [1] [2] [3] [4] [5] 2019 Tarikh Tajuk Pautan Lain 14 Jun 2019 "Video lucah: Tanpa saksi, tuduhan liwat adalah qazaf" 14 Jun 2019 "Video lucah: Mufti Wilayah Persekutuan suarakan pendapat" 2 Jun 2019 "Sambut Syawal penuh kesederhanaan- Mufti" 21 Mei 2019 "Bubur lambuk air tangan Raja Permaisuri Agong" 23 Mac 2019 "Wakil agama sampai mesej senda, tolak kebencian, semai kedamaian" 15 Februari 2019 "Agong tunai solat Jumaat di surau Istana Negara" 1 Februari 2019 "Agong solat Jumaat di Masjid Kampung Baru" 11 Januari 2019 "Syukur Khamis bangga gambar kerbau dapat perhatian mufti" [1] 2018 Tarikh Tajuk Pautan Lain 28 Disember 2018 "Perbuatan troll haram" [1] 22 Oktober 2018 "Daun ketum bawa kerosakan" [1][2] 8 Oktober 2018 "TPM kunjung Mufti Wilayah minta pandangan" 7 Ogos 2018 "Kahwin individu sakit harus" 31 Julai 2018 "Agong berkenan ucap selamat jalan kepada 483 jemaah haji" [1] 15 Jun 2018 "PM Mahathir bersama ribuan jemaah sertai solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara" 9 Jun 2018 "Aidilfitri serentak di seluruh dunia" [1][2] 7 Jun 2018 "Mesyuarat CEP tidak sentuh hal bubar Jakim" [1] 26 Mei 2018 "Perlu taati pemerintah" [1][2] 7 April 2018 "Dosa pahala rosakkan undi pada pilihan raya" [1] 26 Mac 2018 "Siti Aafiyah nama anak Siti" [1] 21 Januari 2018 "Iqram Dinzly akhirnya bertemu Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 2017 Tarikh Tajuk Pautan Lain 27 Disember 2017 "Mufti Wilayah Persekutuan mahu jumpa pelakon Iqram Dinzly" [1] 22 Disember 2017 "Umat Islam bersatu dalam Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis" [1] 24 April 2017 "Ibrahim mengaku tipu rakyat" 10 April 2017 "Ilmuwan agama hentikan perbalahan" [1] [2] [3] [4] 12 Februari 2017 "Tiada larangan terima organ, darah daripada bukan Islam - Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 2015 Tarikh Tajuk Pautan Lain 18 Ogos 2015 "Lagi Mufti setuju hisap vapor haram" 5 Ogos 2015 "Hukum hisap vapor haram" 2021 Tarikh Tajuk Pautan Lain 14 Februari 2021 "FT Mufti: Covid-19 vaccine permissible for muslims" [1] 2020 Tarikh Tajuk Pautan Lain 22 Mei 2020 "A regilious bureaucrat with contemporary underpinnings" [1] 9 Mac 2020 "Zulkifli first mufti to be appointed as Cabinet minister" 2019 Tarikh Tajuk Pautan Lain 20 Disember 2019 "Disunity among ummah will lead to fall of Muslims, says FT Mufti " [1] 16 Disember 2019 "FT Mufti to staff: Be as great as Liverpool players" 22 November 2019 "Queen gifts FT Mufti with Harimau Malaya, JDT Jerseys" [1] 21 September 2019 "FT Mufti: Show proof Malaysia's banknotes contain pig tallow" [1] 2018 Tarikh Tajuk Pautan Lain 24 September 2018 "Sodomy case: Refrain from making speculations on tahfiz institution - FT Mufti" [1] 7 September 2018 "Agong attends prayers at KL mosque ahead of birthday celebration" [1] 7 Jun 2018 "FT Mufti: CEP did not discuss Jakim with me" 1 April 2018 "Speak honourably, even to your rivals: Mufti" [1] 25 Mac 2018 "#Showbiz: The wait is over, Siti Nurhaliza`s baby girl named Siti Aafiyah (NSTTV)" 28 Februari 2018 "Federal Territory Mufti WP wrote an open letter to Neelofa" 28 Januari 2018 "Federal Territory mufti presence in MyAqsa Round Table Conference" [1] [2] 17 Januari 2018 "Federal Territory mufti receives special invitation to Al Azhar World Conference" [1] 2017 Tarikh Tajuk Pautan Lain 28 Disember 2017 "Federal Territory mufti invites Iqram Dinzly for a meeting" [1] 22 Disember 2017 "Solidarity with Palestinians" [1] 13 Februari 2017 "No restrictions on organ, blood donation between Muslims and non-Muslims - FT Mufti" [1] 2015 Tarikh Tajuk Pautan Lain 15 Ogos 2015 "Najib joins thousands for ‘Pray For Malaysia’" 2022 Tarikh Tajuk Pautan Lain 2 Mei 2022 "May 2 Raya announcement because new moon sighted, says FT Mufti" 2021 Tarikh Tajuk Pautan Lain 15 Februari 2021 "FT Mufti: Vaccination is halal and obligatory" 2020 Tarikh Tajuk Pautan Lain 1 Julai 2020 "FT Mufti: Muslims banned from using FaceApp" [1] 17 Mei 2020 "UM lecturer appointed as new FT mufti" 12 Mac 2020 "FT Mufti: Alcohol-based sanitiser can be used when performing prayers" [1] 24 Januari 2020 "FT Mufti continues tradition of giving cakes to Chinese neighbours" [1] [2] 2019 Tarikh Tajuk Pautan Lain 7 November 2019 "Effort to increase number of organ donors hailed" [1] [2] 2018 Tarikh Tajuk Pautan Lain 30 September 2018 "Let's engage with each other via interfaith dialogues for peace" [1] [2] 9 September 2018 "Call to the nation to unite as one" [1] [2] [3] 26 Ogos 2018 "The meaning of Haj" [1] [2] [3] 2015 Tarikh Tajuk Pautan Lain 13 Ogos 2015 "Subra: Stop Vaping until risks are announced" 2023 Tarikh Tajuk Pautan Lain 13 April 2023 "29 Ramadan penentu 1 Syawal - Mufti Wilayah" 22 Mac 2023 "Hayati falsafah Ramadan dengan sebaik-baiknya - Mufti Wilayah Persekutuan" 2022 Tarikh Tajuk Pautan Lain 1 Mei 2022 "Kenapa 1 Syawal pada 2 Mei? Ini penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan" 2021 Tarikh Tajuk Pautan Lain 27 Ogos 2021 "Mufti Wilayah Persekutuan memimpin bacaan doa" 7 Julai 2021 "Dahulu beliau mandikan jenazah pesakit covid-19, kini jenazah beliau pula dimandikan - Zulkifli" 20 Jun 2021 "Mufti Wilayah akui tekanan punca pihak tidak setuju kenyataan haram rentas negeri" 1 Mei 2021 "Covid-19: Haram langgar larangan rentas negeri - Mufti Wilayah" 4 Mac 2021 "Mufti pandang serius isu Sajat, artis bangga mengaku jadi pondan" [1] 14 Februari 2021 "Mufti WP setuju hukum pengambilan vaksin COVID-19 harus" [1][2] 2020 Tarikh Tajuk Pautan Lain 16 Mei 2020 "Dr Luqman dilantik Mufti Wilayah Persekutuan" 12 Mac 2020 "Cecair pembasmi kuman beralkohol boleh dibawa solat - Pejabat Mufti WP" 4 Februari 2020 "Ingatan Mufti Wilayah untuk Sajat, umat Islam" [1][2][3][4][5][6] 25 Januari 2020 "Mohonlah pada Allah selamatkan Malaysia - Mufti Wilayah saran tunai solat hajat bendung koronavirus" [1] 2019 Tarikh Tajuk Pautan Lain 20 Disember 2019 "#KLSummit2019: Ini tiga peringatan Mufti Wilayah buat umat Islam" [1] 6 Disember 2019 "Mufti Wilayah perjelas kedudukan kanak-kanak dalam solat jemaah" [1] [2] 1 Disember 2019 "Fahami konsep istito'ah sebelum menegerjakan haji- Mufti" [1] 29 November 2019 "Waktu subuh di Wilayah dilewatkan lapan minit - Mufti Wilayah" 22 November 2019 "Jersi Harimau Malaya dan JDT buat Mufti Wilayah daripada Permaisuri" [1] [2] 8 November 2019 "Bergambar di tanah perkuburan kristian: ini penjelasan Mufti Wilayah" [1] [2] 7 November 2019 "Maulidur Rasul: Mahu sambut, terus ikut, tak perlu serabut" [1] 28 Oktober 2019 "Kesabaran, ketabahan Fauziah contoh buat kami- Mufti Wilayah kongsi kedukaan Fauziah Nawi" [1] [2] 29 September 2019 "Kisah Mufti Wilayah dan jiran berbangsa cina" [1] [2] 6 September 2019 "Sambut tetamu dengan akhlak baik- Nasihat Mufti Wilayah kepada penyokong bola sepak" [1] 14 Jun 2019 "Tanpa saksi, tuduhan liwat adalah qazaf- Mufti Wilayah" 14 Jun 2019 "Mufti Wilayah Persekutuan kini punya setengah juta pengikut di Instagram" [1] 7 Jun 2019 "Peminjam PTPTN wajib langsai hutang" 2 Jun 2019 "Pengajaran sebalik kemenangan Liverpool- Mufti" [1] 2 Jun 2019 "Sambut Syawal penuh kesederhanaan- Mufti" 31 Mei 2019 "Mufti WP saran lebih ramai pihak adakan interaksi melalui program bersama banduan di penjara" 20 Mei 2019 "Mufti Wilayah Persekutuan teruja dapat ilmu bubur lambuk daripada Raja Permaisuri Agong" 14 Mei 2019 "Pilih masa sesuai anjur tazkirah di bulan Ramadan- Mufti Wilayah" [1] 9 Mei 2019 "20 rakaat dalam 7 minit, solat sunat Tarawih kilat sah di Indonesia?" [1] 5 Mei 2019 "Michael Ang baca bacaan solat dalam bahasa Inggeris: Sah atau tidak? Ini penjelasan Mufti WP" 9 April 2019 "Usaha mencari Acap perlu tepati syariah, tidak pohon dengan makhluk lain- Mufti Wilayah" 23 Mac 2019 "Perhimpunan Solidariti Kedamaian: Mufti Wilayah Persekutuan mahu keamanan, tolak kebencian" 11 Februari 2019 "Masih ada ramai anak muda berjiwa besar- Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 2 Februari 2019 "Warkah anak autisme buat Mufti Wilayah Persekutuan 'tersentuh'" [1] 21 Januari 2019 "Pendidikan seks: Boleh dilaksanakan tapi ikut syariat Islam- Mufti WP" 21 Januari 2019 "Pendidikan Seks: Jangan disensasi, rujuk dulu Al-Quran, Hadis - Mufti Wilayah Persekutuan" 5 Februari 2019 "Cara Mufti Wilayah rai jiran berbangsa Tionghua" [1][2] 1 Januari 2019 "Sempena tahun baru 2019, Mufti WP kongsi tip membina cita-cita" [1] 2018 Tarikh Tajuk Pautan Lain 20 Disember 2018 "Hannah Yeoh, Mufti Wilayah bincang isu kaum, agama" 29 November 2018 "Hakikatnya boleh selesai penuh muhibah - Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 17 November 2018 "Penggunaan bitcoin dilarang dalam Islam" [1] 18 Jun 2018 "Main Mercun sempena Aidilfitri memang seronok, tapi apa hukumnya?" 13 Jun 2018 "Elak tudung corak 'dreamcatcher'- Mufti Wilayah" [1] 7 Jun 2018 "Pemerkasan Jakim itu penting, kata Mufti Wilayah" 4 Jun 2018 " Mufti Wilayah kata mahar boleh dibayar secara hutang" 28 Mei 2018 "Peribadi pemimpin yang baik, belum tentu kepimpinannya hebat- Mufti Wilayah" [1] 26 Mei 2018 "Bagaimana berpuasa 19 jam?" [1] 30 April 2018 "Jaga solat salah satu kunci kejayaan Salah-Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 25 April 2018 "Buat reka cipta premis hidang arak, ini jawapan Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 17 April 2018 "Bukan sahaja artis, mufti juga jadi mangsa" [1] 12 April 2018 " Hukum undi dan lantik pemimpin bukan Muslim dalam pilihan raya adalah harus-Mufti Wilayah" 2 April 2018 " 10 nasihat Mufti Wilayah untuk hadapi PRU14" 26 Mac 2018 "Apa makna nama anak SIti Nurhaliza? Mufti Wilayah Persekutuan ada penjelasannya" [1] 26 Mac 2018 "Siti Aafiyah Khalid, nama anak Siti Nurhaliza" [1] 14 Februari 2018 "Kempen undi rosak haram-Mufti Wilayah Persekutuan" [1] 23 Januari 2018 "Mufti Wilayah Persekutuan hadiahkan Iqram Dinzly arnab" 4 Januari 2018 "'Cosplay' haram jika menyerupai dewa kepercayaan lain - Mufti" [1] 2017 Tarikh Tajuk Pautan Lain 27 Disember 2017 "Surat terbuka Mufti Wilayah Persekutuan buat Iqram Dinzly" 13 Oktober 2017 "Zakat memberkati harta dan menenangkan hati - Mufti WP" 13 Mei 2017 "Mufti Wilayah Persekutuan dilantik Ahli Lembaga Penasihat Darussyifa" 22 Mac 2017 "Tajuk berita kurang tepat, Mufti WP tegur" 2015 Tarikh Tajuk Pautan Lain 2 Julai 2015 "Jangan sampai mengemis dijadikan kerjaya - Mufti Wilayah Persekutuan" 1 Julai 2015 "Video Solat Tarawih Pantas tidak sah - Mufti Wilayah Persekutuan" 21 April 2015 "Muhyiddin seru umat Islam bersihkan persepsi negatif mengenai Jihad" 1 Februari 2015 "Peguam Negara dahului senarai Penerima Darjah Kebesaran Hari Wilayah 2015" 2018 Tarikh Tajuk Pautan Lain 19 Julai 2018 "Mufti WP: "Tariq Makkah" meringkaskan waktu dan usaha" [1] |
150 | Soalan Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu soalan berkenaan harta pusaka. Bagaimanakah caranya untuk kita menentukan seseorang itu berhak dan layak mewarisi harta pusaka? Mohon pencerahan. Terima kasih. Jawapan Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala kurniaan dan rahmat buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W. Dalam surah al-Nisa’ bermula ayat ketujuh, ayat kesebelas dan juga ayat kedua-belas, dan juga ayat-ayat yang lain, Allah S.W.T banyak menceritakan dan menyatakan berkenaan bahagian-bahagian perwarisan bagi setiap orang yang berhak dan layak. Maka, dari ayat-ayat ini juga, dapat kita perhatikan akan sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu mewarisi harta pusaka. Imam al-Rahabi menyatakan dalam matannya: أسباب ميراث الورى ثلاثه ... كل يفيد ربه الوراثه وهي نكاح وولاء ونسب ... مابعدهن للمواريث سبب Maksudnya: Sebab mewarisi pusaka manusia ada tiga, Semua yang ada sebab ini akan mewarisi pusaka, Iaitu pernikahan, wala’ dan keturunan, Tiada yang lain selain tiga sebab ini. [Lihat: Matan al-Rahabiah; hlm.3] Dr Muhammad al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya bahawa sebab perwarisan ada empat perkara, yakni beliau menambah sebab yang keempat iaitu Islam dan juga baitulmal. Maka, ini menyimpulkan bahawa terdapat empat sebab perwarisan iaitu: Pertama: Hubungan Keturunan Hubungan keturunan yang dimaksudkan di sini adalah hubungan atau pertalian yang sebenar melalui darah dan juga kandungan rahim atau pertalian yang menghubungkan antara waris dan juga pewaris. Maka mereka ini adalah merangkumi usul dan furu’ bagi si mati, furu’ bagi kedua ibu bapanya, serta furu’ bagi datuk neneknya. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/350]. Usul bermaksud mereka yang berada di kedudukan atas si mati (asal kepada si mati) manakala furu’ ialah mereka yang berada di kedudukan bawah si mati (cabang bagi si mati). Usul bagi si mati adalah seperti ibu, ayah, datuk dan nenek sehinggalah ke atas. Manakala furu’ baginya pula adalah anak dan cucu sehingga ke bawah sama ada lelaki atau perempuan, besar ataupun kecil. Tidak dilupakan juga furu’ bagi ibu bapa si mati iaitu adik beradik si mati sama ada kandung (seibu sebapa), seibu, atau sebapa. Serta furu’ bagi datuk nenek si mati yakni pakcik dan makcik bagi si mati. Furu’ bagi ibu bapa si mati dan furu’ bagi datuk nenek si mati juga dipanggil sebagai hawasyi iaitu waris sisi bagi si mati. Hubungan keturunan berbeza dengan hubungan pernikahan dari sudut ia susah untuk dipisahkan berbanding pernikahan yang boleh terpisah dan juga terputus Kedua: Pernikahan Merupakan akad pernikahan yang sah di sisi syarak antara lelaki dan juga wanita, merangkumi juga makna suami dan seorang isteri atau lebih, sekalipun mereka tidak sempat bersetubuh atau berkhalwat. Ini berdasarkan kepada ayat kedua belas, surah al-Nisa’. Kedua-dua pasangan suami isteri berhak mewarisi pusaka pasangannya. Mereka juga berhak mewarisi pusaka ketika iddah talaq raj’ie. Lihat juga artikel kami yang bertajuk AL-KAFI: HUKUM PUSAKA BAGI WANITA YANG DICERAIKAN di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Walau bagaimanapun, suami atau isteri tidak boleh mewarisi pusaka pasangannya jika pernikahan mereka tidak sah. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 5/76]. Pengarang kitab al-Mu`tamad (4/350) berkata: “Disyaratkan wujud hubungan pernikahan yang hakiki yakni perempuan itu berada dalam perkahwinan apabila suami itu mati, atau secara hukum seperti perempuan itu ditalak raj’ie kemudian mati suaminya itu semasa dia masih dalam tempoh iddah.” Ketiga: Wala’ (Pembebasan Hamba) Menurut istilah bahasa Arab, wala’ bermaksud hubungan kekeluargaan. Maksud wala’ di sini ialah pembebasan hamba. Ia adalah keistimewaan yang diperoleh oleh bekas pemilik hamba daripada hamba yang dibebaskan. Bekas pemilik hamba akan mewarisi pusaka sama ada bekas hambanya lelaki mahupun perempuan. Bekas pemilik hamba ini dianggap sebagai asabah kerana diri sendiri (al-Asabah bi al-Nafs). Rasulullah SAW bersabda: الوَلاَءَ لَحْمَةُ كَلُحْمَةِ النَّسَبِ Maksudnya: “Wala’ adalah darah daging seumpama darah daging seketurunan.” Riwayat Ahmad (1/191,194) Walau bagaimanapun, bekas hamba tidak berhak mewarisi harta bekas tuannya.[1] [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 5/76]. Keempat: Islam dan Baitulmal Apabila seorang di kalangan Muslim mati dan tidak mempunyai sesiapa yang mewarisinya berdasarkan sebab-sebab pewarisan di atas, harta peninggalan hendaklah diserahkan kepada Baitul Mal. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW: مَنْ تَرَكَ كَلاًّ فَإِلَيَّ، وَمَنْ تَرَكَ مَالاً فَلِوَرَثَتِهِ وَأَنَا وَارِثُ مَنْ لاَ وَارِثَ لَهُ أَعْقِلُ عَنْهُ وَأَرِثُهُ Maksudnya: “Sesiapa yang mati meninggalkan keluarga, akulah yang akan mewakilinya. Sesiapa yang mati meninggalkan harta, ia adalah hak pewarisnya. Aku adalah pewaris bagi sesiapa yang tiada pewaris. Akulah yang akan membayarkan diyatnya dan aku mewarisi hartanya.” Riwayat Abu Daud (2956) Kesimpulannya, sekiranya seseorang itu mempunyai hubungan keturunan atau pernikahan dengan si mati atau seseorang itu merupakan bekas tuan hamba kepada si mati (hamba), maka dia layak dan berhak untuk mendapat harta pusaka si mati sama ada secara furudh, ta’sib (baki) dan juga dzawi al-arham berdasarkan kepada apa yang telah ditetapkan melalui al-Quran dan juga al-Sunnah. Ashāb al-furūd- Ahli waris yang paling utama didahulukan dalam pembahagian dan penerimaan harta. Golongan ini merupakan ahli waris yang telah ditetapkan bahagian atau saham mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Contohnya, suami, isteri dan anak perempuan. al-‘Asabah - Ahli waris yang menerima keseluruhan harta pusaka jika tiada ashāb al-furūd atau menerima baki pusaka sekiranya mempunyai lebihan selepas diagihkan kepada ashāb al-furūd. Contohnya, anak lelaki. Dhawi al-arḥam – Ahli waris selain ashāb al-furūd dan al-‘asabah yang tidak ditentukan hak pewarisan harta pusaka dalam al-Quran, sunnah atau ijmak. Contohnya, cucu lelaki dari jalur anak perempuan si mati. [Lihat: al-Mawarith fi al-Shariah al-Islamiyyah, hlm. 37] Adapun bagi mereka yang tiada waris, maka harta peninggalannya itu akan diserahkan kepada baitulmal untuk digunakan buat maslahah umum. Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya. Moga Allah S.W.T memberikan keringanan dan keikhlasan dalam diri kita untuk beribadah kepadaNya, menetapkan hati dan juga keimanan kita serta memberkati segala amal perbuatan kita. Wallahua’lam. [1] Berkemungkinan hikmah menjadikan wala’ ini termasuk sebab pewarisan kerana waris mengganti si mati seperti yang telah diputuskan oleh syara’. Penggantian ini diiktibar pada masa hayatnya berlangsungan kerana hidupnya dan wujudnya kasih sayang dengan sebab kekerabatan. Begitulah juga golongan yang memberi kemerdekaan kepada hambanya seolah-olah hampir sama dengan waris. [Lihat Ahkam al-Tarikat wa al-Mawarith oleh Abu Zahrah hal. 103]. |
151 | Soalan: Saya pernah terbaca bahawa apabila kita memasuki umur 40 tahun, kita dianjurkan untuk membaca suatu doa yang diajar oleh al-Quran melalui Surah al-Ahqaf ayat 15 yang berbunyi: رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ Maksudnya: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". Adakah hal ini benar? Adakah doa ini disunatkan untuk dibaca setelah umur kita genap 40 tahun dan adakah ia diamalkan oleh salafussoleh? Ringkasan Jawapan: Berdasarkan amalan salaf serta penjelasan para ulama tafsir, apabila kita mencapai umur 40 tahun, kita dianjurkan untuk membaca doa yang warid dalam ayat 15 surah al-Ahqaf tersebut, sebagai tanda syukur, insaf dan pengharapan. Namun tidak semestinya seseorang perlu menunggu umur mencecah 40 tahun, bahkan doa tersebut wajar untuk sentiasa dilazimi dalam setiap keadaan. Huraian Jawapan: Doa yang dimaksudkan itu merupakan potongan daripada firman Allah SWT: وَوَصَّيْنَا الإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَاناً حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهاً وَوَضَعَتْهُ كُرْهاً وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلاثُونَ شَهْراً حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, dia berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku termasuk golongan yang menyerah diri kepada-Mu)". Surah al-Ahqaf (15) Menurut Imam Ibn Kathir, pada asalnya ayat ini menyeru kepada mereka yang telah mencapai umur 40 tahun untuk memperbaharui taubat kepada Allah SWT.[1] Sebahagian ulama lain pula menyebut bahawa ayat ini dianjurkan untuk dibaca sebagai doa tatkala umur mencapai 40 tahun, dan amalan ini ada diriwayatkan daripada golongan salaf. Imam al-Razi menyebut: وَيُرْوَى أَنَّ عُمَرَ بْنَ عَبْدِ الْعَزِيزِ لَمَّا بَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً كَانَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ إِلَى تَمَامِ الدُّعَاءِ Maksudnya: Diriwayatkan bahawa tatkala Umar bin ‘Abd al-‘Aziz mencapai umur 40 tahun, beliau berdoa: “اللَّهُمَّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ” hingga ke akhir ayat.[2] Imam al-Syaukani pula berkata: وَفِي هَذِهِ الْآيَةِ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّهُ يَنْبَغِي لِمَنْ بَلَغَ عُمْرُهُ أَرْبَعِينَ سَنَةً أَنْ يَسْتَكْثِرَ مِنْ هَذِهِ الدَّعَوَاتِ Maksudnya: Ayat ini menjadi dalil bahawa seseorang yang mencapai umur 40 tahun mestilah memperbanyakkan membaca doa-doa (yang disebut dalam ayat 15 Surah al-Ahqaf) ini.[3] Syeikh Wahbah al-Zuhaily pula menambah: على الإنسان أن يشكر نعمة الله عليه إذا بلغ أربعين سنة، وهي مرحلة كمال العقل والبنية، وأن يطلب من الله تعالى توفيقه للعمل الصالح الذي يرضيه، وأن يجعل الصلاح ساريا في ذريته، راسخا متمكنا فيهم Maksudnya: Apabila seseorang itu mencapai umur 40 tahun yang merupakan marhalah kesempurnaan akal dan fizikal, dia mestilah mensyukuri nikmat Allah ke atasnya, dan memohon taufik daripada-Nya untuk melakukan amal soleh yang diredai-Nya, serta mengurniakan pula kebaikan yang terpasak kukuh pada anak dan zuriatnya.[4] Kesimpulannya, berdasarkan amalan salaf serta penjelasan para ulama tafsir, apabila kita mencapai umur 40 tahun, kita dianjurkan untuk membaca doa yang warid dalam ayat 15 surah al-Ahqaf tersebut. Namun tidak semestinya kita perlu menunggu umur mencecah 40 tahun, bahkan doa tersebut wajar untuk sentiasa dilazimi dalam setiap keadaan. Wallahu a‘lam. Rujukan: [1] Tafsir al-Quran al-Azim oleh Ibn Kathir هذا فيه إرشاد لمن بلغ الأربعين أن يجدد التوبة والإنابة إلى الله عز وجل ويعزم عليها. [2] Mafatih al-Ghaib oleh Fakhruddin alRazi (1420H) Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Cetakan Ketiga, 28/18 [3] Fath al-Qadir oleh Muhammad bin Ali al-Syaukani (1414H) Beirut: Dar Ibn Kathir dan Damsyik: Dar al-Kalim al-Tayyib, Cetakan Pertama, 5/22 [4] Al-Tafsir al-Munir oleh Wahbah al-Zuhaily (1991) Beirut: Dar al-Fikr al-Mu‘asir dan Damsyik: Dar al-Fikr, Cetakan Pertama, 26/38 |
152 | Mukadimah Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat. Islam adalah agama yang merangkumi semua aspek kehidupan. Bermula daripada bangun tidur hingga kepada tidur semula telah dijelaskan oleh syariat Islam. Begitu juga daripada perseorangan dan individu hingga kepada mentadbir urusan negara dibincangkan oleh agama Islam. Isu bekerja adalah antara ikhtiar manusia meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna berbanding dengan makhluk-makhlukNya. Konsep serta nilai murni pekerjaan juga amat dititiberatkan oleh oleh Islam sehingga terdapat satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW telah bersabda: إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.” Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929, 4930 dan 4931) tetapi dengan sanad yang berbeza. Dalam siri Bayan Linnas kali ini, suka kami kemukakan isu berkenaan kelebihan bekerja dan hak yang sepatutnya diperoleh oleh pekerja dalam perkhidmatannya. Justeru kami tajukkan Bayan Linnas ini dengan tajuk: “Hak Pekerja dalam Islam.” Di Malaysia, telah ditetapkan bahawa 1 Mei sebagai Hari Pekerja bagi meraikan pekerja. Kami kerap kali memberi ucapan dan membincangkan isu pekerja terutamanya menjelang Hari Pekerja. Semoga penjelasan yang bakal diberikan ini memberikan kepada kita semua satu fahaman dan pencerahan dalam setiap tindak-tanduk kita selaku pekerja. Galakan Untuk Bekerja Islam menyeru umatnya untuk bekerja dalam meneruskan kehidupan seharian. Namun demikian penekanan terhadap punca rezeki atau mata pencarian yang halal adalah menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam. Hal ini kerana, setiap apa yang menjadi rezeki atau yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Hal ini berdasarkan hadis daripada Ibn Mas’ud R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: لاَ تَزُولُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ Maksudnya: “Kaki anak Adam akan tetap tegak berdiri di sisi Tuhannya pada hari Kiamat, hingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu): tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan dan apa sahaja yang telah dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya.” Riwayat al-Tirmizi (2416) Galakan untuk berusaha untuk mencari sumber rezeki yang halal juga dapat dilihat berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ Maksudnya: “Siapa yang mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri dari berminta-minta, dan usaha untuk keluarganya dan untuk baik dengan tetangganya, akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan mukanya bagaikan bulan purnama, dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga dan sombong, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.” Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465). Antara iktibar yang dapat diambil daripada hadis di atas ialah: Hadis ini menunjukkan bahawa bekerja merupakan perkara yang dituntut. Ini menunjukkan kita perlu berusaha dalam meneruskan kesinambungan hidup. Dengan modal insan, pekerja dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kreatif, inovatif dan bermutu. Ini kerana dengan tahap disiplin yang tinggi sudah tentu dapat menghasilkan natijah dan perkhidmatan yang cemerlang. Islam menentang keras budaya malas, ponteng kerja dan juga sikap acuh tak acuh atau sambil lewa dalam melaksanakan sebarang tugas yang diamanahkan. Ini kerana, dengan sikap seperti itu kegagalan dan juga kemunduran sudah pasti bertapak dalam kehidupan mereka, bahkan memberi kesan kepada negara untuk mencapai wawasan yang gemilang. Justeru, beberapa langkah seperti memotivasikan pekerja, melihat contoh dan teladan pekerja yang berjaya di samping semangat dan ruh ‘pekerjaan sebagai satu ibadat’ hendaklah dijadikan motto atau misi oleh pekerja. Kami nukilkan di sini dua kenyataan pujangga yang menyebut: “Carilah rezeki yang halal, dan jauhi rezeki yang haram. Hindarkan dirimu untuk mengemis kepada yang lain. Berdagang itu lebih baik daripada menjadi pegawai. Gunakan duitmu untuk berdagang, dan hiduplah dengan sederhana.” “Jika anda menikmati kerja-kerja yang produktif, maka saraf anda akan mengendur, jiwa anda akan tenang dan lautan ketenangan akan menenggelamkan anda.” Hak Pekerja Selepas kita mengetahui berkenaan dengan kelebihan dan galakan bekerja sama ada bercucuk tanam, berniaga, sebagai nelayan, guru, tentera, polis dan bekerja di jabatan dan lain-lain lagi. Yang penting dan utamanya ialah, apabila kita bekerja, pastikan kerja tersebut adalah halal dan menepati syariat Islam. Berkenaan dengan hak pekerja yang mesti diberikan oleh majikan, antara lain ialah: Gaji yang telah dijanjikan. Ia hendaklah dibayar mengikut terma perjanjian. Bahasa yang digunakan dalam hadis adalah sebelum peluh kering seperti dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda: أَعْطُوا الأَجِيرَ أَجْرَهُ ، قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ Maksudnya: “Berikanlah upah pegawai (buruh), sebelum kering peluhnya.” Riwayat Ibn Majah (2443), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11988) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (34) Imam al-Munawi berkata: “Haram hukumnya menunda gaji pekerja sedangkan tidak ada kekangan untuk segera menyerahkannya. Perintah untuk menyerahkan gaji sebelum mengering peluh para pekerja adalah satu kiasan atas wajibnya menyegerakan setelah pekerjaan mereka selesai, ketika para pekerja memintanya meskipun belum sampai berpeluh, atau berpeluh dan telah kering.” (Lihat Faidh al-Qadir, 1/718) Walaupun begitu penggajian boleh juga berdasarkan kesepakatan antara pekerja dan majikan sama ada dibayar mengikut harian, mingguan atau bulanan. Ada juga dibayar dalam bentuk sekali gus dan ada juga yang mengikut jam. Oleh itu, jika hal seperti ini sudah disepakati, maka ia hendaklah ditunaikan mengikut kesepakatan tersebut. Sesungguhnya Islam sangat menitik beratkan kebajikan seorang pekerja serta memberi peringatan keras terhadap majikan yang menzalimi pekerjanya. Dalam satu hadith qudsi, Nabi SAW meriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman: ثَلاَثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ… وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ وَلَمْ يُعْطِ أَجْرَهُ Maksudnya: “Terdapat tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada hari Kiamat… (salah satunya ialah) orang yang mempekerjakan orang lain, namun setelah orang tersebut memenuhi tugasnya, upahnya tidak dibayarkan. Riwayat al-Bukhari (2227) dan Ibn Majah (2442) Imam al-Subki dalam satu fatwanya menyebut: ﻭﺍﻟﺮَّﺟُﻞُ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺍﺳْﺘَﺄْﺟَﺮَ ﺃَﺟِﻴﺮًﺍ ﻣُﺴْﺘَﻮْﻑٍ ﻋَﻤَﻠَﻪُ ﻭَﻟَﻢْ ﻳُﻌْﻄِﻪِ ﺃَﺟْﺮَﻩُ ﺑِﻤَﻨْﺰِﻟَﺔِ ﻣَﻦْ ﺍﺳْﺘَﻌْﺒَﺪَ ﺍﻟْﺤُﺮَّ ﻭَﻋَﻄَّﻠَﻪُ ﻋَﻦْ ﻛَﺜِﻴﺮٍ ﻣِﻦْ ﻧَﻮَﺍﻓِﻞِ ﺍﻟْﻌِﺒَﺎﺩَﺓِ ﻓَﻴُﺸَﺎﺑِﻪُ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺑَﺎﻉَ ﺣُﺮًّﺍ ﻓَﺄَﻛَﻞَ ﺛَﻤَﻨَﻪُ ﻓَﻠِﺬَﻟِﻚَ ﻋَﻈُﻢَ ﺫَﻧْﺒُﻪُ Maksudnya: “Seseorang yang mengupah orang lain bekerja, kemudian orang tersebut telah menunaikan tugasnya dengan baik, namun dia tidak memberikan upahnya, adalah sama seperti orang yang menghambakan manusia merdeka. Dia menghalang orang lain untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah sunnah. Maka ini sama sahaja dengan orang yang menjual manusia merdeka kemudian memakan hasilnya. Ini adalah dosa yang sangat besar.” (Lihat Fatawa al-Subki, 2/377) Kemudahan kesihatan juga perlu diambil kira melalui Takaful dan sebagainya. Hak untuk berpersatuan bagi membela dan memperjuangkan hak mereka hendaklah dibenarkan selama mana tidak membawa kepada unsur negatif. Tidak membebankan pekerja di luar kemampuannya sehingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu melakukan tugas dengan sebaiknya. Jika terpaksa dilakukan, maka bantulah mereka. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Zar R.A, Nabi SAW bersabda: وَلاَ تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ Maksudnya: “Janganlah kamu membebankan mereka (hamba), dan jika kamu memberikan tugas kepada mereka, bantulah mereka.” Riwayat al-Bukhari (30) Imam Nawawi berkata: Ganti nama pada perkataan mereka adalah saudara-saudara kamu dengan maksud hamba yang kamu miliki dan diperintahkan memberi makan kepada mereka seperti apa yang dimakan oleh tuan mereka. Begitu juga memberi pakai mengikut pakaian tuan mereka dengan maksud sunat seperti itu, bukan satu kewajiban. Ini adalah dengan ijma'. Adapun yang dilakukan oleh Abu Zar dengan pakaian yang sama seperti hambanya, dengan maksud hukumnya sunat. Tetapi yang wajibnya kepada penghulu atau tuan memberi nafkah kepada hamba yang dimilikinya dan pakaiannya mengikut uruf sesebuah negeri dan seseorang itu. Secara umumnya, ijma' ulama tidak harus mentaklifkan seseorang daripada amalan atau pekerjaan yang di luar kemampuannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 11/113) Pangkat dan kenaikan gaji hendaklah dilakukan seadilnya bukan melalui pilih kasih tetapi mengikut kelayakannya. Dicadangkan sebuah badan khusus yang menilai kemampuan dan kebolehan serta kelayakan pekerja untuk dinaikkan pangkat berdasarkan kriteria tertentu. Hak untuk berehat atau cuti mengikut persepakatan dan terma perjanjian antara mereka. Oleh itu, jika hal seperti ini sudah disepakati, maka ia hendaklah ditunaikan mengikut kesepakatan serta tidak memungkirinya. Nabi SAW bersabda: الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ Maksudnya: “Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati.” Riwayat Abu Daud (3594), al-Tirmizi (1352), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11761), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (30) dan al-Daraqutni (96). Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadis ini, berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah balik.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 10/26) Memberi peluang kepada pekerja untuk menambahkan lagi skil dan kemahiran agar benar-benar menepati dan mencapai ke tahap profesional atau pekerja mahir. Ini kerana sudah pasti memberi pulangan yang baik kepada syarikat, majikan, dan juga negara. Melayani pekerja dengan baik serta tidak bersikap kasar dan zalim sehingga melakukan kekasaran fizikal kepada pekerja. Nabi SAW tidak pernah melakukan kekasaran kepada bawahannya. Saidatina Aisyah R.Anha menceritakan: مَا ضَرَبَ رَسُولُ اللهِ شَيْئًا قَطُّ بِيَدِهِ وَلاَ امْرَأَةً وَلاَ خَادِمًا Maksudnya: “Rasulullah tidak pernah memukul dengan tangannya sedikit pun, tidak kepada wanita dan tidak kepada hamba (pekerja).” Riwayat Muslim (2328) dan Abu Daud (4786) Imam al-Nawawi berkata: “Dalam hadis terdapat anjuran untuk memaafkan dan bersikap lemah lembut.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 8/37) Kisah Teladan Abu Laith al-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Nasir bin Yahya berkata: Bahawa Nabi Daud AS terbiasa keluar dengan menyamar, lalu bertanya kepada seseorang tentang kelakuannya, maka pada suatu hari malaikat Jibril merupakan diri sebagai anak Adam sehingga ditegur oleh Nabi Daud: “Hai pemuda, apakah pendapatmu tentang Daud?” Jawabnya: “Dia adalah sebaik-baik dan hanya ada satu sifat yang kurang baik.” Ditanya: “Apakah itu?” Jawabnya: “Dia makan dari Baitulmal, padahal tiada seorang hamba yang disayangi oleh Allah lebih daripada orang yang makan hasil tangannya sendiri.” Maka kembalilah Nabi Daud AS ke mihrabnya sambil menangis memohon kepada Allah: “Ya Tuhan, ajarkan kepadaku usaha yang dapat aku kerjakan sehingga aku tidak lagi mengambil belanja dari Baitulmal.” Maka Allah mengajarkan kepadanya membuat pakaian perang, dan membentuk besi di tangannya sehingga bagaikan adunan, maka apabila dia telah selesai dari melayani hajat rakyatnya ia kembali di rumah membuat baju besi dan dijual untuk belanja keluarganya. Demikianlah firman Allah yang bemaksud: “Dan Kami lembutkan besi untuk Daud, dan Kami ajarkan kepadanya membuat pakaian perang dari besi untuk memeliharamu (perisai) dari senjata di waktu perang.” (Lihat Bahr al-‘Ulum oleh Abu al-Laith al-Samarqandi, 2/435) Sikap Majikan yang Cemerlang Kami sengaja memasukkan isu ini dalam Bayan Linnas pada kali ini agar berlaku hubungan dua hala antara pekerja dan majikan. Melihat kepada pelbagai tulisan dan pendapat sifat majikan yang cemerlang, maka kami garapkan seperti berikut, antaranya: Memahami keadaan Pekerja Majikan tidak semestinya memahami keseluruhan peribadi pekerja, akan tetapi cukuplah memahami keadaan emosi pekerja. Apabila pekerja dilihat berada dalam tekanan dan masalah, majikan boleh memberi nasihat atau mengadakan hari tertentu seperti family day untuk mengurangkan tekanan. Kalaulah terlalu banyak dibelenggu dengan masalah keluarga, maka penyelesaian isu kekeluargaan hendaklah diutamakan. Memberi Sokongan atau Galakan Membina Majikan hendaklah memberi dan membina kepercayaan terhadap pekerjanya. Hal ini dapat membangkitkan semangat dan motivasi mereka dalam memberikan sumbangan yang terbaik terhadap menyelesaikan sesuatu tugasan yang diamanahkan. Cara memotivasikan ini jelas amat berkesan untuk meningkatkan lagi prestasi pekerjaan oleh pekerja. Lihatlah sejarah Rasulullah SAW memuji para sahabatnya sehingga mereka menjadi begitu unggul dan terbaik. Tidak Memilih-milih atau Berat Sebelah Sebagai majikan, hendaklah bersikap adil dengan memberi perhatian dan kerjasama kepada semua pekerja yang bertungkus lumus menaikkan nama syarikat atau organisasi. Ini amat penting kerana terlalu banyak perasaan kurang selesa berlaku di kalangan pekerja tatkala sifat pilih bulu berlaku. Menjadi ‘A Part of the Team’ Majikan sewajarnya meletakkan diri sebagai a part of the team bersama bawahannya dan tidak merasakan tinggi diri. Elakkanlah sikap merasa bahawa hanya mereka yang memberi sumbangan paling besar kepada organisasi atau syarikat. Majikan yang terbaik ialah yang dapat mengenali dan memahami sikap serta sifat pekerja masing-masing. Ini akan menatijahkan kejayaan yang cemerlang dalam operasi perkhidmatan tatkala berlaku satu-satu amanah dan tanggungjawab. Mengurangkan Beban Dan Tekanan Majikan yang baik akan cuba sedaya upaya untuk bertimbang rasa namun dalam masa yang sama tegas dengan pendirian dan keputusan yang dibuat. Ini amat penting dalam melancarkan operasi perkhidmatan yang cemerlang kerana stress boleh merencatkan keputusan kejayaan sesebuah organisasi bahkan boleh jadi menemui kegagalan. Ukurlah baju di badan sendiri. Memikirkan Penyelesaian, Bukan Hanya Pada Masalah Majikan tidak boleh hanya pandai menunding jari kepada para pekerja apabila timbul sesuatu masalah. Mereka hendaklah bijak mengawal situasi dan emosi seterusnya memimpin bawahannya dalam mencari solusi dan jalan penyelesaian terhadap sebarang permasalahan yang timbul. Mencari jawapan dan menyelesaikannya akan menjadikan keseronokan dalam bekerja kerana ia dianggap selesai dan mencapai sasaran serta matlamat. Berterus- terang dengan Pekerja Majikan perlu berterus terang berkenaan keadaan sebenar yang dihadapi oleh syarikat atau organisasi. Sebagai contoh berkenaan pemberian bonus, majikan berjanji memberi pada pertengahan tahun. Namun hingga akhir tahun, belum masuk lagi. Ini akan menyebabkan pekerja hilang fokus dan kepercayaan terhadap majikan. Oleh itu, majikan hendaklah menerangkan situasi sebenar. Mengadakan Mesyuarat Dengan mengadakan mesyuarat, banyak masalah dan isu dapat diselesaikan dengan pantas. Mesyuarat yang baik adalah bersifat fokus dan mencari penyelesaian serta memilih pendapat yang terbaik dan relevan untuk dilaksanakan mengikut kadar kemampuan yang dimiliki oleh pekerja. Jadikan Semua Orang Bertanggungjawab Setiap orang perlu diberi kefahaman dan terma kerja yang semestinya dilakukan. Dan masing-masing perlu membuat checklist bersifat harian, mingguan dan bulanan. Makanya sudah barang tentu natijah dan produktiviti akan ada dan diperolehi. Kesannya amat memberangsangkan. Merasa kebertanggungjawaban merupakan hal yang terpenting apabila seseorang pekerja menggalas tugas dan amanah yang diberikan kepadanya. Dengan cara ini, daripada serendah-rendah pekerja, hingga kepada bos nombor satu akan merasa masing-masing mempunyai peranan serta tanggungjawab. Benarlah firman Allah SWT: إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). (Surah al-Nisa’: 58) Ibn Kathir berkata: “Allah khabarkan kepada kamu agar kamu laksanakan amanah kepada yang berhaknya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/637) Al-Zamakhsyari berkata: Khitab ayat ini umum untuk semua mukallaf sebagaimana amanah itu umum bagi semua jenis hak berkaitan dengan zimmah sama ada hak-hak Allah atau hamba. (Lihat al-Kasyyaf, 1/405) Daripada Samurah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: أَدِّ الْأَمَانَةَ إِلَى مَنْ ائْتَمَنَكَ، وَلَا تَخُنْ مَنْ خَانَكَ Maksudnya: “Tunaikan amanah kepada siapa yang mengamanahkan kepada kamu dan jangan kamu khianat siapa yang mengkhianati kamu.” Riwayat Ahmad (15424), Al-Tirmizi (1264), dan Abu Daud (3534) Dalam konteks diberi amanah kepada yang lain jika sekiranya dia sebagai penyelia dan juga pengawal disamping bertanggungjawab atas pelaksanaan amanh tersebut. Maka ia dibolehkan. Sebaliknya jika amanah tersebut diterima dan terus diberikan kepada yang lain tanpa sebarang tanggungjawab dan seliaan daripadanya, maka ia telah mengabaikan amanah. Inilah yang kita bimbangi sebagaimana sabda Nabi SAW: إِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ " , قَالَ : كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : " إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ Maksudnya: “Apabila diabaikan amanah maka tunggulah saat kebinasaan. Lantas sabahat bertanya: “Bagaimana bentuk pengabaiannya wahai Rasulullah?” Jawab Baginda: “Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kebinasaan.” Riwayat al-Bukhari (6496) dan Ibn Hibban (104) Ibn Battal berkata: Ucapan Nabi ini umum. Makanya Arab Badwi sebagai yang bertanya kepada Rasulullah SAW mahukan syarahannya serta perincian lantas sabda Nabi SAW: Apabila urusan diserah kepada yang bukan ahli dan berkelayakan. Jawapan Nabi SAW umum termasuk padanya pengabaian amanah dan yang semakna dengannya serta tidak mengikut cara yang sebenarnya seperti menjadikan seseorang itu ulama' sedangkan dia jahil ketika kematian ahli ilmu. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn al-Battal, 10/207) Penutup Alangkah baiknya jaringan hubungan antara pekerja dan majikan diperkukuhkan. Ini akan menatijahkan rasa selesa dan seronok ketika bertugas dan bekerja di samping meningkatkan produktiviti yang baik. Pekerja sewajarnya mengikhlaskan diri kepada Allah di samping mendapat kelebihan dunia dengan gaji dan sedikit nikmat dan lebih besar dari itu memperoleh pahala di sisi Allah SWT. Ini akan menjadikan segala urusan kehidupan diserahkan kepada Allah untuk mendapat dan meraih keredaan Allah SWT. Akhir kalam, suka kami bacakan sepotong doa yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً Maksudnya: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima. Riwayat Ibn Majah (925) |
156 | SOALAN Assalamualaikum ust. Boleh saya dapatkan penjelasan mengenai zihar? Apa bezanya lafaz sorih zihar dan lafaz kinayah? Macam suami saya, dia cakap “Tangan awak macam tangan anak buah saya”, “Peha awak macam peha kakak saya”, dan “Mulut awak macam mulut kakak saya”, itu termasuk lafaz sorih zihar ke ust? RINGKASAN JAWAPAN Lafaz zihar secara sorih (jelas) adalah menyamakan anggota aurat isteri atau anggota badan bahagian zahir isteri yang merupakan bahagian istimta’ (bersedap-sedap) seperti kaki, tangan, kulit, peha, mulut dan seumpamanya dengan anggota badan mahramnya yang memungkinkan keseronokan seksual (talazzuz) mahramnya. Antara contoh lafaznya ialah: “Tangan awak macam tangan anak buah saya”. Serta merta berlaku zihar walaupun suami tidak berniat kerana ia merupakan lafaz sorih. Manakala, lafaz zihar secara kinayah adalah dengan cara menyamakan isteri dengan mahramnya pada anggota badan yang melambangkan kemuliaan seperti wajah, mata dan lain-lainnya. Seperti contoh “Mata awak macam mata anak buah saya”. Lafaz ini tidak dikira zihar sekiranya niat si suami untuk menyatakan kemuliaan serta kekaguman mahupun suami tidak berniat apa-apa. Tambahan pula, Zihar akan berlaku sekiranya menyamakan kepada wanita yang mahram secara mu’abbad iaitu iaitu wanita yang diharamkan berkahwin dengannya. HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Lafaz zihar secara sorih (jelas) adalah menyamakan anggota aurat atau anggota badan bahagian zahir isteri yang merupakan anggota badan mahramnya yang memungkinkan keseronokan seksual (talazzuz) seperti kaki, mulut, peha, tangan, kulit dan seumpamanya dengan badan mahram atau anggota istimta’, maka di sini terjatuh hukum zihar. Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Shihabuddin al-Ramli di dalam kitabnya: (أَنَّ) (قَوْلَهُ) لَهَا أَنْتِ (كَيَدِهَا أَوْ بَطْنِهَا أَوْ صَدْرِهَا) وَنَحْوِهَا مِنْ كُلِّ عُضْوٍ لَا يُذْكَرْ لِلْكَرَامَةِ (ظِهَارٌ) لِأَنَّهُ عُضْوٌ يَحْرُمُ التَّلَذُّذُ بِهِ Maksudnya: “Bahawa perkataan suami kepada isteri “Engkau seperti tangannya, perut, dada” dan seumpamanya, dari setiap anggota yang tidak disebut untuk tujuan kemuliaan, dikira sebagai zihar, hal ini kerana ia merupakan anggota yang diharamkan untuk keseronokan seksual.” (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj ila Syarh Minhaj, 7/82) Manakala, lafaz zihar secara kinayah adalah dengan cara menyamakan isteri dengan mahramnya pada anggota badan yang melambangkan kemuliaan seperti wajah, mata dan seumpamanya. Lafaz zihar pada penyamaan anggota badan tersebut adalah berbentuk kinayah dan memerlukan kepada niat, seperti contoh “Mata kamu seperti mata ibuku”. Lafaz ini tidak dikira zihar sekiranya niat si suami untuk menyatakan kemuliaan untuk isterinya, maka ia tidak menyebabkan jatuh hukum zihar. Namun lafaz ini disertakan dengan niat menziharkan isteri, maka dalam situasi ini hukum zihar dikira jatuh. Selain itu, dikira sebagai kinayah juga jika menyamakan dengan anggota badan yang tidak dikhususkan seperti suami menyamakan isteri dengan mahramnya secara mutlak tanpa menyebut mana-mana anggota. Sebagai contoh “Engkau seperti ibuku”. Hal ini kemungkinan niat si suami melafazkannya dengan niat memuliakan isterinya. Namun, perlu diingatkan, jika lafaz mutlak seperti ini disertakan dengan niat zihar, maka terjatuh hukum zihar ke atas isteri. Perkara ini dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini di dalam karyanya “Mughni al-Muhtaj”: كَقَوْلِهِ: أَنْتِ كَأُمِّي أَوْ رُوحِهَا أَوْ وَجْهِهَا ظِهَارٌ (إنْ قَصَدَ ظِهَارًا) أَيْ نَوَى أَنَّهَا كَظَهْرِ أُمِّهِ فِي التَّحْرِيمِ (وَإِنْ قَصَدَ كَرَامَةً فَلَا) يَكُونُ ظِهَارًا؛ لِأَنَّ هَذِهِ الْأَلْفَاظَ تُسْتَعْمَلُ فِي الْكَرَامَةِ وَالْإِعْزَازِ (وَكَذَا) لَا يَكُونُ ظِهَارًا (إنْ أَطْلَقَ فِي الْأَصَحِّ) Maksudnya: “Seperti katanya (suami):” Engkau seperti ibuku”, atau “seperti ruhnya”, atau “seperti wajahnya”, menjadi zihar jika suami niat sebagai zihar, iaitu dia niat bahawa isterinya seperti belakang ibunya yang diharamkan. Jika dia niat memuliakan, maka tidak berlaku zihar. Hal ini kerana lafaz-lafaz tersebut untuk tujuan kemuliaan dan pengagungan, sama juga tidak berlaku zihar jika si suami menyebut lafaz yang mutlak (maka tidak jatuh zihar) menurut pandangan yang muktamad.” (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 5/31) Sehubungan dengan itu, Syeikh al-Bujairimi menyebut bahawa tidak dihukumkan zihar jika menyamakan anggota dalaman dengan mahramnya seperti hati, limpa, buah pinggang, paru-paru dan seumpamanya. Ini kerana anggota tersebut tidak dikira sebagai anggota badan yang dijadikan sebagai keseronokan seksual menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i. Termasuk juga anggota yang boleh dipisahkan daripada badan seperti susu badan, mani, suara, rambut, gigi, kuku dan sebagainya. (Rujuk: Hasyiah al-Bujairimi ala al-Khatib, 4/13)[1] KESIMPULAN Secara umumnya, lafaz zihar sorih (jelas) adalah menyamakan anggota aurat atau anggota badan bahagian zahir isteri yang merupakan bahagian istimta’ (bersuka-suka) dengan badan mahram atau anggota istimta’ (bersuka-suka) mahramnya. Manakala, lafaz zihar secara kinayah adalah dengan cara menyamakan isteri dengan mahramnya pada anggota badan yang melambangkan kemuliaan. Selain itu, dikira sebagai kinayah juga jika menyamakan dengan anggota badan yang tidak dikhususkan seperti suami menyamakan isteri dengan mahramnya secara mutlak tanpa menyebut mana-mana anggota. Lafaz zihar yang berbentuk kinayah adalah bergantung pada niat suami. Sehubungan dengan itu, menyamakan anggota dalaman dengan mahramnya seperti hati, limpa, buah pinggang, paru-paru dan seumpamanya, tidak dikira zihar. Tambahan pula, termasuk juga anggota yang boleh dipisahkan daripada badan seperti susu badan, mani, suara, rambut, gigi, kuku dan sebagainya. Anggota ini tidak dihukum sebagai zihar dengan penyamaan anggota tidak hakiki dan tidak dijadikan tempat istimta’ (bersedap-sedap). [1] بِخِلَافِ الْبَاطِنَةِ كَالْكَبِدِ وَالْقَلْبِ، فَلَا يَكُونُ ذَلِكَ ظِهَارًا ح ل. وَنُقِلَ عَنْ مَرَّ أَنَّهُ كِنَايَةٌ وَعِبَارَةُ الْبِرْمَاوِيِّ عَلَى الْمَنْهَجِ فَلَا يَكُونُ ذِكْرُهَا ظِهَارًا فِي الْمُشَبَّهِ وَالْمُشَبَّهِ بِهِ لِأَنَّهُ لَا يُمْكِنُ التَّمَتُّعُ بِهَا حَتَّى تُوصَفَ بِالْحُرْمَةِ وَهَذَا هُوَ الْمُعْتَمَدُ فَشَمَلَ كَلَامُهُ تَشْبِيهَ الْبَاطِنِ بِالْبَاطِنِ وَبِالظَّاهِرِ وَتَشْبِيهَ الظَّاهِرِ بِالْبَاطِنِ فَلَا يَكُونُ ظِهَارًا فِي الصُّوَرِ الثَّلَاثِ وَخَرَجَ بِالْأَعْضَاءِ الْفَضَلَاتُ فَلَا ظِهَارَ بِهَا مُطْلَقًا كَاللَّبَنِ وَالْمَنِيِّ. |
158 | SOALAN 21 (23/06/2015 BERSAMAAN 06 RAMADAN 1436H) Apakah hukum keluar mani dengan tidak sengaja? JAWAPAN Air mani yang keluar dengan tidak disengajakan, tidaklah batal puasanya. Begitu juga jika seseorang bermimpi sehingga keluar mani pada siang hari, hukumnya tidak membatalkan puasa menurut ijma’ fuqaha. |
159 | Soalan Assalamualaikum Tuan Mufti, saya ingin bertanya. Apakah hukum menjual insuran konvensional kepada muslim atas niat ingin menolong untuk mendapatkan perlindungan dengan caruman yang lebih murah? Dan apakah hukum terhadap penjual insuran muslim dan pencarum muslim. Penjelasan daripada Tuan Mufti amat dihargai. Jawapan Ringkas Sikap saling menolong sesama muslim merupakan perbuatan yang terpuji. Namun, menolong dengan cara menjual insurans konvensional kepadanya hukumnya haram dan tidak dibenarkan. Alasan utamanya kerana insurans konvensional tidak menepati ciri-ciri urusniaga yang dibenarkan dalam Islam kerana transaksinya mengandungi unsur riba, gharar (ketidaktentuan) dan perjudian yang diharamkan oleh Syarak. Pengharaman ini ditujukan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung; termasuklah pembeli atau pencarum tersebut. Apatah lagi zaman sekarang sudah wujud syarikat-syarikat takaful sebagai alternatif kepada insurans konvensional. Huraian Jawapan Niat yang baik untuk menolong sesama saudara Muslim merupakan satu tindakan yang terpuji. Namun begitu, niat yang baik perlu diiringi dengan tindakan yang bertepatan dengan roh Syariah termasuklah dalam bab memberikan tawaran insurans kepada mereka. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT: وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ Maksudnya: Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam membuat kebajikan dan ketakwaan. Janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Surah al-Maidah (2) Hukum berkenaan insurans konvensional sama ada insurans nyawa mahupun insurans am seperti kereta, rumah, motosikal dan sebagainya adalah haram. Hukum ini seiring dengan keputusan yang sudah diputuskan dalam Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 dan Ke-89. Antara sebab utama pengharaman insurans konvensional ialah melihat kepada bentuk transaksinya yang mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip asas jual beli dalam islam seperti gharar (ketidaktentuan), riba, dan perjudian. Resolusi Majma’ al-Fiqh al-Islami tahun 1979 dan 1985 juga menyebutkan perkara yang sama mengharamkan segala jenis insurans konvensional termasuklah insurans nyawa, kereta, perniagaan dan lain-lain. Sebagai alternatif, dihalalkan untuk mengambil takaful yang menjalankan konsep secara tolong-menolong serta pemberian wang secara sukarela. Seterusnya, dalam Islam jelas menyebut bahawa ‘matlamat tidak menghalalkan cara’ melainkan dalam keadaan terdesak dan darurat yang diiktiraf oleh Syarak berdasarkan syarat-syarat tertentu. Penetapan ini ditetapan oleh Allah SWT berdasarkan firman-Nya: وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ Maksudnya: Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Surah al-An’am (119) Melihat kepada situasi di atas, kami tidak melihat penawaran insurans konvensional sebagai suatu keadaan yang mendesak kerana terdapat pelbagai alternatif lain seperti syarikat takaful yang menawarkan insurans yang menepati roh Syariah. Selain itu, harga polisi bagi insurans takaful tidak dinafikan lebih mahal berbanding konvensional. Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak termasuk dalam kategori darurat sehingga mengharuskan melakukan perkara yang diharamkan. Rujuk juga artikel kami berkaitan darurat di laman web: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1904-irsyad-fatwa-ke-62-syarat-syarat-perlaksanaan-darurat. Tambahan pula, kewujudan industri syarikat takaful di Malaysia secara relatifnya masih baru berbanding syarikat insurans konvensional yang sudah lama bertapak. Jadi, sokongan dan dokongan diperlukan khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri bagi mengukuhkan dan menstabilkan tapak dan kewangan syarikat takaful. Kesannya, syarikat takaful mampu memberikan persaingan terhadap syarikat-syarikat insurans konvensional lain termasuklah penawaran harga polisi yang lebih kompeten setara dengan polisi yang ditawarkan syarikat konvensional. Dalam masa yang sama, mencari sesuatu yang halal merupakan suatu tuntutan kepada setiap Muslim. Pendirian ini sangat penting bagi mengelakkan tergolong dalam kalangan mereka yang disebutkan oleh Rasulullah SAW sebagai Muslim yang memandang enteng urusan halal dan haram. Rasulullah SAW bersabda: يَأْتي على النّاسِ زَمانٌ، لا يُبالِي المَرْءُ ما أخَذَ منه، أمِنَ الحَلالِ أمْ مِنَ الحَرامِ Maksudnya: Akan datang suatu zaman nanti di mana seseorang sudah tidak lagi mengambil endah apa (pendapatan) yang diperolehinya, sama ada daripada sumber halal ataupun haram. Riwayat al-Bukhari (2059) Akhir kata, semoga Allah murahkan rezeki setiap umat Islam dan memudahkan urusan kita semua dalam mencari sesuatu yang halal. Wallahu a’lam. |
164 | SOALAN Assalamualaikum Dato’ Mufti , saya ada persoalan yang ingin diajukan berkenaan puasa hari Arafah. Apakah hukum berpuasa pada hari Arafah sahaja sekiranya dia tidak berpuasa bermula dari satu Zulhijah. Adakah perlu diiring dengan puasa sebelum itu? Sekian, terima kasih Dato’. RINGKASAN JAWAPAN Seseorang yang ingin berpuasa pada hari Arafah tidak wajib berpuasa pada lapan hari sebelum hari Arafah memandangkan hadis yang meriwayatkan tentang kelebihan berpuasa pada hari tersebut tidak mensyaratkan agar berpuasa pada hari yang sebelumnya. Bahkan terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa Nabi SAW pernah meninggalkan beberapa hari sebelum hari Arafah dan berpuasa pada sebahagian hari yang lain. Oleh itu, seseorang itu boleh berpuasa pada hari Arafah dan memilih untuk berpuasa pada keseluruhan hari sebelumnya atau berpuasa pada sebahagian daripada hari-hari tersebut. HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat. Hari Arafah merupakan hari yang kesembilan dalam bulan Zulhijah. Jemaah Haji akan melakukan wukuf di padang Arafah pada ketika itu. Umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada hari tersebut kerana terdapat ganjaran yang besar bagi orang yang menunaikannya. Ganjaran yang dimaksudkan ialah pengampunan dosa oleh Allah SWT bagi setahun sebelum dan selepasnya. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah: صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ Bermaksud: Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun selepasnya. Riwayat Muslim (1162) Imam al-Nawawi menjelaskan makna hadis di atas dosa-dosa orang yang berpuasa pada hari Arafah akan diampunkan untuk dua tahun. Para ulama berkata dosa yang dimaksudkan di sini ialah dosa-dosa kecil. Sekiranya mereka yang berpuasa itu tidak mempunyai dosa-dosa kecil maka akan diberikan keringanan bagi dosa-dosa besar dan sekiranya tiada dosa-dosa besar maka akan diangkat darjatnya.[1] (Rujuk: Syarh al-Nawawi ala Muslim, 8/51) Sementara itu, terdapat hadis lain yang menyebut berkenaan bahawa Nabi SAW tidak berpuasa pada hari-hari sebelum hari Arafah. Hadis ini diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha: مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَائِمًا فِي الْعَشْرِ قَطُّ Bermaksud: Aku tidak melihat Rasulullah SAW berpuasa pada sepuluh hari Zulhijah. Riwayat Muslim (1176) Imam al-Nawawi menjelaskan hadis ini bahawa maksud الْعَشْرِ adalah sembilan hari Zulhijah bermula dari awal bulan.[2] (Rujuk: Syarh al-Nawawi ala Muslim, 8/72) Menurut Imam al-Nawawi sebahagian ulama berpendapat tentang hadis di atas dengan takwilan bahawa Aisyah RA tidak melihat Nabi SAW berpuasa bukan bermakna Baginda SAW meninggalkannya. Ini kerana Baginda SAW adakalanya bersama dengan Aisyah RA selama satu hari dari sembilan hari Zulhijah. Manakala hari-hari yang lain Baginda SAW bersama isteri-isterinya yang lain, ataupun kemungkinan Baginda SAW berpuasa pada sebahagian hari pada awal Zulhijah dan berpuasa sebahagian hari hari yang lain. Adakala Nabi SAW berpuasa pada keseluruhan hari dan ada ketika Baginda SAW tidak berpuasa sehari pun dari hari-hari terawal Zulhijah. Ada juga yang mentakwil bahawa Baginda SAW tidak berpuasa Zulhijah atas sebab-sebab tertentu seperti musafir, sakit atau sebab-sebab yang lain.[3] (Rujuk: Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 6/387) KESIMPULAN Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa dosa-dosa yang diampun oleh Allah SWT bagi orang yang berpuasa pada hari Arafah adalah dosa-dosa kecilnya atau diringankan dosa-dosa besarnya atau diangkat darjatnya ke beberapa darjat. Seseorang yang ingin berpuasa pada hari Arafah tidak wajib berpuasa pada lapan hari sebelum hari Arafah memandangkan hadis yang diriwayatkan berkenaan kelebihan berpuasa pada hari tersebut tidak mensyaratkan agar berpuasa pada hari yang sebelumnya. Bahkan terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa Nabi SAW pernah meninggalkan beberapa hari sebelum hari Arafah dan berpuasa pada sebahagian hari yang lain. Oleh itu, seseorang itu boleh berpuasa pada hari Arafah dan memilih untuk berpuasa pada keseluruhan hari sebelumnya atau berpuasa pada sebahagian daripada hari-hari tersebut. [1] مَعْنَاهُ يُكَفِّرُ ذُنُوبَ صَائِمِهِ فِي السَّنَتَيْنِ قَالُوا وَالْمُرَادُ بِهَا الصَّغَائِرُ وَسَبَقَ بَيَانُ مِثْلِ هَذَا فِي تَكْفِيرِ الْخَطَايَا بِالْوُضُوءِ وَذَكَرْنَا هُنَاكَ أَنَّهُ إِنْ لَمْ تَكُنْ صَغَائِرُ يُرْجَى التَّخْفِيفُ مِنَ الْكَبَائِرِ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ رُفِعْتَ دَرَجَاتٍ. [2] وَالْمُرَادُ بِالْعَشْرِ هُنَا الْأَيَّامُ التِّسْعَةُ مِنْ أَوَّلِ ذِي الْحِجَّةِ. [3] متأول علي انها لم تره ولا يَلْزَمْ مِنْهُ تَرْكُهُ فِي نَفْسِ الْأَمْرِ لِأَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَكُونُ عِنْدَهَا فِي يَوْمٍ مِنْ تِسْعَةِ أَيَّامٍ وَالْبَاقِي عِنْدَ بَاقِي أُمَّهَاتِ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُنَّ أَوْ لَعَلَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَصُومُ بَعْضَهُ فِي بَعْضِ الْأَوْقَاتِ وَكُلَّهُ فِي بَعْضِهَا وَيَتْرُكُهُ فِي بَعْضِهَا لِعَارِضِ سَفَرٍ أَوْ مَرَضٍ أَوْ غَيْرِهِمَا |
165 | SOALAN 54 (21 RAMADAN 1436H BERSAMAAN 08/07/2015) Apakah hukum mengeluarkan zakat? JAWAPAN Zakat adalah antara rukun Islam yang paling penting. Hukum zakat mempunyai dalil-dalil mu’tamad (القطع) dari sudut petunjuk (الدلالة) dan sabitnya. Ia menjadikan hukum zakat itu jelas dan mudah diketahui dari sudut agama. Oleh itu, hukum orang yang menafikan wajib zakat adalah kafir. Ini berdasarkan firman Allah SWT: وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat. (Surah al-Baqarah: 43) Oleh kerana perintah mendirikan solat adalah wajib, begitu juga menunaikan zakat adalah wajib. Ini kerana perintah dan arahan menunaikan zakat dengan sighah fi’il amar atau suruhan. Perintah mengeluarkan zakat disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran pada 23 tempat. Hadith seterusnya, Rasulullah SAW bersabda kepada Mu’az R.A ketika Baginda mengutusnya ke Yaman: فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ فِي فُقَرَائِهِمْ Maksudnya: “Jika mereka mematuhi perkara itu, beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan solat ke atas mereka lima waktu sehari semalam. Jika mereka mematuhi perkara itu zakat ke atas mereka yang diambil daripada orang kaya lalu diagihkan-agihkan kepada orang fakir di kalangan mereka.” Riwayat Muslim (130) Hadith ini menunjukkan zakat diberi kepada golongan fakir negeri yang dipungut zakat pada asalnya. Akan tetapi para fuqaha’ mengharuskan untuk dipindahkan zakat kepada negeri yang lain jika penduduk tersebut memerlukannya sebagaimana pendapat Syeikh al-Syarbasi. Marilah sama-sama kita menunaikan rukun Islam berkaitan zakat ini agar harta kita sentiasa subur, bersih, suci dan berkat disamping kita mendapat keredhaan daripada-Nya. |
166 | SOALAN Adakah wajib ke atas suami untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi pihak isteri yang telah diceraikannnya dan isteri sedang nusyuz terhadapnya? JAWAPAN Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat. Zakat fitrah merupakan satu bentuk zakat yang wajib dikeluarkan oleh setiap individu Muslim yang cukup syarat-syaratnya pada setiap tahun. Ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan daripada ibn Umar R.Anhuma: فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ عَبْدٍ أَوْ حُرٍّ صَغِيرٍ أَوْ كَبِيرٍ Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mewajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah. (Kadarnya ialah) segantang kurma atau segantang gandum. Ianya diwajibkan ke atas setiap hamba atau orang yang merdeka, yang masih kecil mahupun yang sudah dewasa.” Riwayat Al-Bukhari (1503) & Muslim (2326) Zakat fitrah wajib dikeluarkan oleh mereka yang diwajibkan nafkah ke atasnya sama ada disebabkan pernikahan seperti isteri dan anak-anak, atau kaum kerabat seperti ibu, ayah dan saudara mara, atau disebabkan khidmat yang diberikan seperti hamba. Ini adalah berdasarkan kaedah: كُلُّ مَن تَلْزَمُهُ نَفْقَةُ غَيْرِهِ تَلْزَمُهُ فِطْرَتُهُ Maksudnya: “Setiap yang diwajibkan kepadanya untuk diberikan nafkah, diwajibkan kepadanya untuk membayar zakat fitrah bagi mereka” Rujuk Taqrirat al-Sadidah - Qism Ibadah (Hal. 419). Berkenaan dengan hukum mengeluarkan zakat bagi isteri yang telah diceraikan, Imam an-Nawawi Rahimahullah telah menjelaskan perkara ini dengan berkata: “Wajib ke atas suami mengeluarkan zakat fitrah ke atas isteri yang diceraikannya dengan talak raj’ie[1] dan talak ba’in[2] jika isteri tersebut sedang hamil seperti mana wajib ke atas suami tersebut memberi nafkah kepada mereka. Adapun isteri yang diceraikan dengan talak ba’in dan tidak hamil, maka tidak wajib ke atas suami untuk membayar zakat fitrah ke atasnya”. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/117). Berkenaan dengan isteri yang sedang nusyuz sehingga terbenamnya matahari pada malam hari raya Eidulfitri, maka hukumnya adalah tidak wajib ke atas suaminya untuk mengeluarkan zakat fitrah kepada isteri tersebut kerana tidak wajib kepada suaminya untuk memberikan nafkah disaat isterinya sedang nusyuz kepadanya. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/114), al-Hawi al-Kabir (4/386), al-Anwar li A’mal al-Abrar (1/206), al-Mu’tamad fi Fiqh asy-Syafi’e (2/97) Kesimpulan Wajib ke atas suami untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi isterinya seperti mana wajib ke atas suami memberikan nafkah kepada isterinya walaupun isteri tersebut diceraikan dengan talak raj’ie atau talak ba’in dalam keadaan sedang hamil yang mana kedua-duanya masih berada dalam tempoh iddah. Namun begitu, isteri yang diceraikan dengan talak ba’in dan tidak hamil, atau isteri yang sedang nusyuz, maka tidak wajib kepada suami untuk mengeluarkan zakat bagi pihak mereka seperti mana tidak diwajibkan ke atas suami untuk memberikan nafkah kepada mereka. Semoga Allah SWT memberikan kita segala kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin Nota Hujung: [1] Talak raj'ie bermaksud talak yang boleh dirujuk semasa isteri di dalam iddah. Talak yang dilafazkan oleh suami dikira sebagai talak raj'ie jika ia merupakan talak yang pertama atau talak yang kedua. [2] Talak ba’in terbahagi kepada talak ba’in kubra dan talak ba’in sughra. Talak ba’in kubra adalah talak yang telah berlaku kepada mana-mana pasangan sebanyak tiga kali. Pasangan ini tidak boleh rujuk kembali atau bernikah semula buat selama-lamanya, melainkan isteri tersebut menikahi lelaki lain selepas penceraian tersebut dan telah bersama sebagai suami isteri selepas itu. Kemudian, mereka bercerai atau suaminya yang kedua tersebut meninggal dunia, maka barulah suami pertamanya berhak menikahinya kembali. Talak ba’in sughra adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tersebut tidak boleh merujuk kembali melainkan dengan pernikahan yang baru, walaupun isterinya masih di dalam iddah. Antara talak ba’in sughra adalah: Talak yang diputuskan oleh hakim, talak melalui khulu' dan talak yang difasakhkan oleh hakim. |
169 | SOALAN Assalamualaikum. Boleh terangkan tentang kaedah fiqh لَا يُنْكَرُ المُخْتَلَفُ فِيهِ إِنَّمَا يُنْكَرُ المُجْمَعُ عَلَيهِ dan aplikasinya? Terima kasih. RINGKASAN JAWAPAN Maksud kaedah fiqh tersebut ialah ‘tidak diingkari perkara khilaf, hanya diingkari perkara yang disepakati’. Ini bermakna sesuatu perkara khilaf tidak perlu untuk ditegur atau dicegah dengan tangan (kuasa), lidah atau hati sepertimana dicegah perbuatan mungkar yang disepakati oleh ulama’ sepertimana disebutkan hadith yang masyhur. Walau bagaimanapun disyaratkan khilaf tersebut merupakan khilaf muktabar yang mempunyai dalil yang kuat dan cara pendalilan yang betul. Namun begitu perkara khilaf ini boleh untuk dibahas dan didebatkan dengan hujah-hujah ilmiah dalam kalangan mereka yang berkeahlian dan berilmu. Barangsiapa yang jelas baginya pandangan yang sahih di antara pandangan-pandangan khilaf tersebut, maka hendaklah dia mengikutinya. Namun jika ada orang lain berpegang dengan pandangan berbeza dengannya dan mengamalkannya, dia tidak boleh mengingkari atau menghalang orang tersebut dari bertaqlid dengan pandangan tersebut. WaAllahu a’lam. HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat. Imam al-Suyuti di dalam kitabnya al-Asybah wa al-Nadzair menyebutkan satu kaedah fiqh iaitu: لَا يُنْكَرُ المُخْتَلَفُ فِيهِ إِنَّمَا يُنْكَرُ المُجْمَعُ عَلَيهِ Maksudnya: Tidak diingkari atau dicegah perkara yang menjadi khilaf, hanya yang diingkari ialah perkara yang telah disepakati oleh ulama’ (ijma’).[1] (Rujuk al-Suyuti, al-Asybah wa al-Nadzair, 1:158) Pertama, maksud ‘tidak diingkari’ di sini ialah tidak dicegah sepertimana dicegah kemungkaran yang jelas keharamannya sepertimana cara-cara pencegahan dengan tangan (kuasa), lidah dan hati di dalam hadith. Hal ini dijelaskan secara ringkas oleh Dar al-Ifta’ al-Mesir: "عدم الإنكار في المختلف فيه"، ومعناه أن يعاتب الشخص آخر، أو ينهاه عن العمل برأيه؛ لأنه مخالف لما يراه، أو ينسب قوله إلى المُنْكَر مستخدمًا طرق الإنكار الثلاث المنصوص عليها في الحديث -اليد أو اللسان أو القلب- سبيلًا للتغيير، أو مجرد الاعتراض على عملٍ موافق لرأي مجتهد معتبر في تلك المسائل الخلافية. Maksudnya: ‘Tidak diingkari perkara khilaf’, bermaksud dicela atau dihalang orang lain daripada beramal dengan pegangannya hanya kerana berbeza pandangan dengan apa yang dipegang oleh seseorang atau menisbahkan kepada kemungkaran dengan menggunakan tiga cara untuk mencegah kemungkaran seperti yang disebutkan di dalam hadith iaitu, tangan (kuasa), lidah dan hati atau sekadar membantah terhadap amalan yang bertepatan dengan pandangan mujtahid yang muktabar terhadap masalah-masalah khilaf tersebut.[2] Hendaklah diketahui bahawa khilaf yang berlaku ialah pada furu’ fiqh dan beberapa permasalahan furu’ akidah. Oleh itu, khilaf pada perkara yang sudah pasti iaitu pada hukum yang berdasarkan nas al-Quran dan Hadith yang qat’ie dilalah (yang jelas makna) dan tsubut-nya dan ijma’ ulama tidak berlaku khilaf. Walau bagaimanapun terdapat beberapa keadaan yang dikecualikan daripada kaedah ini. Ini kerana kebanyak kaedah-kaedah fiqh itu terdapat pengecualian. Pengecualian di dalam kaedah ini disebut oleh Imam al-Suyuti di dalam al-Asybah wa al-Nadzair seperti berikut: القاعدة الخامسة والثلاثون : "لا ينكر المختلف فيه ، وإنما ينكر المجمع عليه" ويستثنى صور، ينكر فيها المختلف فيه : إحداها : أن يكون ذلك المذهب بعيد المأخذ ، بحيث ينقض. ومن ثم وجب الحد على المرتهن بوطئه المرهونة ، ولم ينظر لخلاف عطاء . الثانية : أن يترافع فيه الحاكم ، فيحكم بعقيدته ، ولهذا يحد الحنفي بشرب النبيذ ; إذ لا يجوز للحاكم أن يحكم بخلاف معتقده. الثالثة : أن يكون للمنكر فيه حق ، كالزوج يمنع زوجته من شرب النبيذ ، إذا كانت تعتقد إباحته ، وكذلك الذمية على الصحيح . Maksudnya: Kaedah yang ke-35 : Tidak perlu diingkar atau dicegah perkara yang menjadi khilaf, hanya yang perlu diingkar dan dicegah ialah perkara yang telah menjadi ijma’ ulama’. Dikecualikan daripada kaedah ini beberapa perbahasan dengan perlu diingkar perkara yang menjadi khilaf: Pertama, mazhab yang diikuti tersebut jauh tersasar dari sudut pendalilannya yang menyebabkan ia ditolak. Oleh kerana itu, wajib untuk dijatuh hukum hudud ke atas seorang yang menjaga barang cagaran (al-murtahin) yang bersetubuh dengan hamba perempuan yang dicagarkan (al-marhunah), dan tidak diambil kira khilaf daripada Atha’. Kedua, diangkat permasalahan tersebut kepada hakim, lalu hakim memberikan keputusan berdasarkan pandangan mazhab pegangannya. Oleh itu, dijatuhkan hukum hudud ke atas seseorang yang bermazhab Hanbali yang meminum nabiz (sejenis minuman rendaman kurma yang diperam lama yang boleh menyebabkan mabuk) kerana hakim tidak boleh untuk menjatuhkan hukuman yang berbeza dengan pegangannya. Ketiga, jika sekiranya orang yang menegur atau mencegah tersebut mempunyai hak (ke atas orang yang ditegur tersebut). Ini seperti seorang suami yang menghalang isterinya daripada meminum nabiz jika dia (isteri) berpegang dengan keharusan untuk meminumnya, begitu juga ke atas seorang dzimmi (orang bukan Islam di dalam negara Islam) pada pendapat yang sahih.[3] (Rujuk al-Asybah wa al-Nadzair li al-Suyuti, 1:158) Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa khilaf yang yang menjadi diambil kira di sini bukanlah apa jua khilaf. Bahkan, khilaf yang dimaksudkan ialah khilaf yang muktabar. Terdapat beberapa syarat bagi sesuatu khilaf menjadi khilaf yang muktabar. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut: متى يُعدُّ الخلاف معتبرًا؟ والخلاف المعتبر: هو الخلاف الذي له حظ من النظر، أي: من الدليل، فلا يلتفت إلى قول في مسألة ليس عليه دليل، أو عليه دليل ليس بقوي. ولذلك وضع العلماء لجعل الخلاف مُعتبرًا شروطًا؛ لأن الخلاف إن كان مـما يندرج تحت هذه الشروط، اعتُبر وصح القول بـمراعاته. وهذه الشروط هي: الشرط الأول: أن يكون الخلاف قوي المُدْرَك. الشرط الثاني: ألَّا يؤدي الخلاف إلى مخالفة سنة ثابتة. الشرط الثالث: ألَّا يؤدي الخلاف إلى خرق الإجماع. الشرط الرابع: أن يكون الجمع بين المذاهب ممكنًا. الشرط الخامس: ألَّا يوقع الخلاف في خلاف آخر. Maksudnya: Bilakah sesuatu khilaf tersebut dianggap sebagai khilaf yang muktabar? Khilaf muktabar ialah khilaf yang mempunyai sebahagian daripada dalil. Maka tidak diberikan perhatian kepada permasalahan yang tidak mempunyai dalil atau dalilnya tidak kuat. Oleh itu, para ulama’ telah meletakkan syarat-syarat bagi menjadikan sesuatu khilaf tersebut menjadi khilaf yang muktabar. Ini kerana jika sesuatu khilaf menepati syarat-syarat yang disebutkan, maka barulah ia diambil kira dan sahih pandangannya dengan berpandukan syarat tersebut. Syarat-syarat tersebut ialah: Hendaklah mempunyai dalil yang kuat. Khilaf tersebut tidak membawa kepada menyelisihi sunnah yang telah sabit. Khilaf tersebut tidak membawa kepada melanggar ijma ulama’. Hendaklah ia boleh untuk dihimpun pandangan antara mazhab-mazhab. Khilaf tersebut tidak menyebabkan berlakunya khilaf yang lain.[4] Kesimpulan Kesimpulannya, perkara yang menjadi khilaf dalam kalangan ulama’ tidak perlu untuk diingkari atau dicegah sama ada dengan tangan (kuasa), lidah dan hati sepertimana dicegah perbuatan mungkar yang disepakati oleh para ulama’. Namun begitu disyaratkan khilaf tersebut memenuhi syarat-syarat khilaf muktabar yang telah ditetapkan oleh para ulama’ dengan mempunyai dalil yang kuat dan cara pendalilan yang betul. Walau bagaimanapun, perkara khilaf ini boleh dibahaskan dan didebatkan dengan hujah-hujah ilmiah. Barangsiapa yang jelas baginya pandangan yang sahih di antara pandangan-pandangan khilaf tersebut, maka hendaklah dia mengikutinya. Namun jika ada orang lain yang berpegang dengan pandangan berbeza dengannya, dia tidak boleh mengingkari atau menghalang orang tersebut dari bertaqlid dengan pandangan tersebut. WaAllahu a’lam. Rujukan [1] Al-Suyuti, Jalaluddin (1990), al-Asybah wa al-Nadzair, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 158 [2] Dar al-Ifta al-Misriyyah : https://www.dar-alifta.org/ar/ViewResearch.aspx?sec=fatwa&ID=2377&LangID=1 [3] [3] Al-Suyuti, Jalaluddin (1990), al-Asybah wa al-Nadzair, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 158. [4] Dar al-Ifta’ al-Misriyyah : https://www.dar-alifta.org/AR/ViewResearch.aspx?ID=6#9 |
170 | Soalan Assalamualaikum wrt. wbt. Isu berkenaan ucapan Rest in Peace oleh umat Islam terhadap orang bukan Islam ini kembali diperdebatkan warga internet susulan kematian Ratu British baru-baru ini. Mohon pencerahan Datuk Mufti tentang pandangan sebenar Islam terhadap isu ini supaya ia tidak lagi menjadi polemik tak berkesudahan. Ringkasan Jawapan Seseorang muslim tidak boleh berdoa memohon keampunan bagi orang bukan Islam kerana itu termaktub di dalam nas yang jelas. Ucapan “R.I.P” atau “Rest in Peace” merupakan doa yang dibacakan oleh orang bukan Islam, maka umat Islam dilarang daripada mengucapkannya. Namun Islam sangat menghormati kematian manusia di mana sunnah bagi orang Muslim untuk mengucapkan takziah dan ucapan-ucapan yang baik kepada orang bukan Islam. Wallahua’lam. Huraian Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat kelak. Dalam persoalan yang diberikan di atas, memberi doa keamanan dan ketenangan buat orang bukan Islam yang meninggal dunia adalah dilarang menurut nas. Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT: مَا كَانَ لِلنَّبِىِّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَن يَسْتَغْفِرُوا۟ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوٓا۟ أُو۟لِى قُرْبَىٰ مِنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَٰبُ ٱلْجَحِيمِ Maksudnya: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” Surah al-Taubah (113) Menurut Syeikh Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya, para nabi dan orang-orang beriman tidak boleh turut serta dalam urusan memohon keampunan Allah SWT bagi orang-orang yang syirik. Ini kerana konsep keimanan islam dan kenabian tidak menerima pengampunan orang yang mati dalam keadaan syirik, maka tidak perlu memohon keampunan untuk mereka. Perkara ini termaktub seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 116, yang mengatakan bahawa Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa golongan yang syirik.[1] [Lihat: Tafsir al-Munir, 11/60] Syeikh Ahmad al-Sawi pula mengatakan umat Islam tidak boleh berdoa untuk memohon keampunan bagi orang bukan Islam yang mati dalam keadaan kafir/syirik. Ada pun doa kepada orang bukan Islam yang masih hidup, maka ada perbahasan yang perlu diteliti. Jika tujuan doa tersebut untuk mendoakan agar beliau dikurniakan hidayah Islam atau kebaikan dunia maka ia dibolehkan. Tetapi jika doanya untuk memohon keampunan bagi dosa beliau ketika hidupnya memang dalam keadaan kafir maka tidak diterima doa tersebut.[2] [Lihat: Hasyiyah al-Sawi, 2/159] Para ulama fiqh bersepakat bahawa perbuatan memohon keampunan bagi orang yang mati dalam keadaan bukan islam atau kafir adalah dilarang. Bahkan ada pendapat yang lebih keras mengatakan individu yang memohon keampunan bagi orang kafir juga turut dihukum kafir. Ini kerana ia berlawanan dengan nas yang jelas bahawa Allah SWT tidak akan mengampunkan sesiapa yang berlaku syirik kepada-Nya, ditambah lagi dengan nas bahawa sesiapa yang mati dalam keadaan kafir maka dia akan menjadi ahli neraka.[3] Ada pun bagi orang Islam yang mendoakan orang kafir agar diberi hidayah maka tidak mengapa. Perkara ini dipersetujui oleh ulama mazhab Hanafi dan diizinkan untuk mendoakan hidayah menurut mazhab Hanbali. Sebahagian daripada ulama juga menzahirkan untuk berdoa memohon keampunan kepada bayi dan anak-anak orang kafir, kerana itu termasuk daripada undang-undang di akhirat kelak.[4] [Lihat: Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 4/43] Dibenarkan Ucapan Takziah Kepada Orang Bukan Islam Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka jelas kepada kita bahawa mendoakan orang bukan islam yang mati dalam keadaan syirik adalah tidak wajar dan perlu dielakkan. Namun begitu dalam kehidupan yang penuh dengan suasana manusia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, apakah ucapan terbaik untuk diucapkan ketika adanya kematian? Islam membenarkan penganutnya untuk mengucapkan ucapan takziah kepada ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan yang kematian orang terdekat tanpa mengira agama dan bangsa. Bahkan hukum mengucapkan takziah adalah sunnah. Syeikh al-Mawardi menukilkan kata-kata Imam al-Syafie dalam kitabnya berkenaan ucapan takziah bagi orang Islam yang ibu bapanya meninggal dalam keadaan bukan Islam: أعظم الله أجرك وأخلف عليك Maksudnya: “Semoga Allah menambahkan ganjaran kepada kamu dan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik”.[5] Manakala ucapan untuk orang yang bukan Islam pula seperti berikut: أخلف الله عليك ولا نقص عددك Maksudnya: “Semoga Allah menggantikan yang lebih baik bagi kamu, dan semoga bilangan kamu (semua) tidak berkurang”.[6] Maka apa sahaja ucapan takziah yang sesuai dan baik adalah dibolehkan kepada orang bukan Islam selagi mana dia tidak memusuhi agama Islam. Ini membuktikan bahawa Islam merupakan agama yang harmoni dan fleksibel dalam urusan keduniaan terhadap semua golongan tanpa mengira agama. Kesimpulan Kesimpulannya, seseorang muslim tidak boleh berdoa memohon keampunan bagi orang bukan Islam kerana itu termaktub di dalam nas yang jelas. Ucapan “R.I.P” atau “Rest in Peace” merupakan doa yang dibacakan oleh orang bukan Islam, maka umat Islam dilarang daripada mengucapkannya. Namun Islam sangat menghormati kematian manusia di mana sunnah bagi orang Muslim untuk mengucapkan takziah dan ucapan-ucapan yang baik kepada orang bukan Islam. Wallahua’lam. [1] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, (Beirut: 1991), Cetakan Darul Fikr al-Maa’sir, ما ينبغي للنبي والمؤمنين، وليس من شأنهم أن يستغفروا أو يدعو الله بالمغفرة للمشركين، أو معناه ليس لهم ذلك على معنى النهي (١)؛ لأن النبوة والإيمان مانعان من الاستغفار للمشركين، ولا تستغفروا، والمعنيان متقاربان، وسبب المنع قوله تعالى: {مِنْ بَعْدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحابُ الْجَحِيمِ} [التوبة ١١٣/ ٩] وقوله تعالى: {إِنَّ اللهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ، وَيَغْفِرُ ما دُونَ ذلِكَ لِمَنْ يَشاءُ} [النساء ١١٦/ ٤] [2] Ahmad bin Muhammad al-Sawi, Hasyiyah al-Sawi ala Tafsir al-Jalalayn, (Beirut), Cetakan Dar al-Jiil، (ماكان للنّبيّ والذين امنوا ان يستغفروا للمشركين ولو كانوا اولى قربى) ذوى قرابة (من بعد ما تبين لهم انهم اصحاب الجحيم) النار بأن ماتوا على الكفر . (قوله ماكان للنّبيّ) اى لاينبغى ولا يصح (قوله بأن ماتوا على الكفر) اى فلا يجوز لهم الاستغفار حينئذ. واما الاستغفار للكافر الحيّ ففيه تفصيل ان كان قصده بذلك الاستغفار هدايته للاسلام جاز، وان كان قصده ان تغفر ذنوبه مع بقائه على الكفر فلا يجوز [3] Kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait), Cetakan Darul Salasil اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّ الاِسْتِغْفَارَ لِلْكَافِرِ مَحْظُورٌ، بَل بَالَغَ بَعْضُهُمْ فَقَال: إِنَّ الاِسْتِغْفَارَ لِلْكَافِرِ يَقْتَضِي كُفْرَ مَنْ فَعَلَهُ، لأَِنَّ فِيهِ تَكْذِيبًا لِلنُّصُوصِ الْوَارِدَةِ الَّتِي تَدُل عَلَى أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى لاَ يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ، وَأَنَّ مَنْ مَاتَ عَلَى كُفْرِهِ فَهُوَ مِنْ أَهْل النَّارِ [4] Ibid, وَأَمَّا مَنِ اسْتَغْفَرَ لِلْكَافِرِ الْحَيِّ رَجَاءَ أَنْ يُؤْمِنَ فَيُغْفَرَ لَهُ، فَقَدْ صَرَّحَ الْحَنَفِيَّةُ بِإِجَازَةِ ذَلِكَ، وَجَوَّزَ الْحَنَابِلَةُ الدُّعَاءَ بِالْهِدَايَةِ، وَلاَ يُسْتَبْعَدُ ذَلِكَ مِنْ غَيْرِهِمْ، كَذَلِكَ اسْتَظْهَرَ بَعْضُهُمْ جَوَازَ الدُّعَاءِ لأَِطْفَال الْكُفَّارِ بِالْمَغْفِرَةِ، لأَِنَّ هَذَا مِنْ أَحْكَامِ الآْخِرَةِ [5] Al-Mawardi, Al-Hawi al-Kabir, (Beirut: 1999), Cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah, قال الشافعي رضي الله عنه: " وَأُحِبُّ تَعْزِيَةَ أَهْلِ الْمَيِّتِ رَجَاءَ الْأَجْرِ بِتَعْزِيَتِهِمْ وَأَنْ يُخَصَّ بِهَا خِيَارُهُمْ وَضُعَفَاؤُهُمْ عَنِ احْتِمَالِ مصيبتهم ويعزى المسلم بموت أبيه النصراني فيقول " أعظم الله أجرك وأخلف عليك [6] Ibid, " ويقول في تعزية النصراني لقرابته " أخلف الله عليك ولا نقص عددك |
171 | Soalan Apakah yang dimaksudkan dengan tahallul dan apakah perbezaan di antara tahallul haji dan umrah? Jawapan Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Tahallul dari segi bahasa ialah menjadi boleh atau dihalalkan. Menurut syarak pula perkataan tahallul bermaksud membebaskan diri daripada larangan yang terdapat semasa dalam waktu ihram. Dalam ibadah haji dan umrah, perbuatan tahallul dijadikan salah satu dari rukun dalam kedua-dua ibadah tersebut. Dalam erti kata lain, tidak sempurnalah ibadah haji atau umrah seorang jemah haji jika tidak melaksanakan rukun tahallul ini. Tahallul bagi ibadah umrah ialah dimana para jemaah melakukan cukur atau bergunting selepas selesainya melaksanakan rukun saei’ di dalam masjid al-haram itu sendiri. Justeru selepas selesainya bergunting atau bercukur ini, para jemaah bebas daripada larangan yang terdapat sepanjang tempoh berihram. Talallul bagi ibadah haji pula dibahagikan kepada dua iaitu talallul awwal dan tahallul thani. Pertama, tahallul awwal boleh dilaksanakan oleh jemaah haji apabila telah melaksanakan dua daripada tiga perkara serti dibawah. Melontar jamrah al-kubra Tawaf rukun dan saie’ (jika saie’ masih belum dilaksanakan) Bercukur atau bergunting Dalam melaksanakan talallul awwal, jemaah haji diberi pilihan untuk melakukan mana-mana perbuatan di atas secara mengikut turutan ataupun sebaliknya. Kedua, tahallul thani ialah bila mana jemaah haji berjaya melaksanakan ketiga-tiga perkara yang disebutkan seperti di atas. Allah SWT berfirman: لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ Maksudnya: “Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram - insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) - Dalam keadaan aman (menyempurnakan Ibadat Umrah kamu) Dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).” (Surah al-Fath : 27) Kesimpulan Tahallul ialah pembebasan ataupun pelepasan ke atas setiap jemaah haji yang melakukan ihram. Dengan bertahallul, setiap larangan yang terdapat selepas pelaksanaan ihram dapat dibuat ataupun luputlah larangan tersebut seperti sediakala (sebelum ihram). Dalam ibadah haji dan umrah, terdapat garisan-garisan yang menjadi perbezaan di antara tahallul haji dan umrah. Tahallul haji yang sempurna (tahallul thani) boleh dicapai apabila selesai melaksanakan ketiga-tiga perkara yang telah dinyatakan di atas. Manakala tahallul bagi umrah terjadi apabila melaksanakan bergunting ataupun bercukur rambut bagi mereka yang melaksanakan umrah. Justeru, setiap jemaah haji dan umrah harus tahu dan mengambil cakna berkenaan hal-hal tahallul ini kerana dibimbangi jika tidak diketahui dengan betul maka kita akan tergolong dari golongan yang akan dikenakan denda (dam) kerana melanggar batasan-batasan yang telah ditetapkan. Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin. |
172 | Soalan: Apakah benar terdapat hadith yang menyatakan tuntutan bagi orang yang melakukan dosa untuk menunaikan solat dua rakaat? Ringkasan Jawapan: Hadith yang menceritakan berkaitan tuntutan bagi orang yang melakukan dosa untuk menunaikan solat dua rakaat merupakan hadith yang sanadnya dinilai hasan (baik) oleh para ulama. Di samping itu, hadith itu menunjukkan galakan untuk menyertakan atau menyegerakan amal soleh apabila melakukan dosa (dosa kecil). Huraian Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Setiap insan tidak akan terlepas daripada melakukan dosa melainkan yang terselamat daripada melakukan dosa ini adalah para nabi dan juga para rasul. Apabila begitu, maka menjadi kewajipan ke atas kita sebagai manusia biasa untuk sentiasa memohon keampunan kepada-Nya di atas setiap dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan. Ini kerana, Nabi SAW yang kita ketahui bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang tetap tidak pernah meninggalkan untuk memohon ampun kepada Allah dengan melazimi istighfar. Di dalam sebuah hadith ada diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307)] Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat hadith sebagaimana yang dinyatakan: Daripada Abu Bakar al-Siddiq RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW pernah bersabda: مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا، فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ، ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ، إِلَّا غَفَرَ اللَّهُ لَهُ، ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الْآيَةَ: {وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ} [آل عمران: 135] إِلَى آخِرِ الْآيَةِ Maksudnya: “Mana-mana daripada kalangan hamba (hamba Allah) yang melakukan dosa, maka dia memperelokkan wudhuknya. Kemudian dia menunaikan solat sebanyak dua rakaat, lalu dia beristighfar melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Setelah itu, Nabi SAW membaca ayat 135 dari surah Ali Imran: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah.” sehingga ke akhir ayat tersebut.” [Riwayat Abu Daud (1521)] Shaykh Abd al-Muhsin al-‘Abbad ketika mensyarahkan hadith di dalam salah satu daripada pengajiannya, beliau mengatakan bahawa amalan soleh boleh menghapuskan dosa-dosa kecil. Adapun dosa besar, yang boleh menghapuskannya adalah amalan soleh berserta taubat. Shaykh Mahmud al-Subki menyatakan hadith ini juga menunjukkan dalil galakan untuk memperelokkan wudhuk dan solat dua rakaat serta istighfar apabila melakukan sesuatu dosa. Sekiranya seseorang itu melakukan sedemikian, maka akan diampunkan dosa tersebut baginya. [Lihat: al-Manhal al-‘Azb al-Mawrud, 8/183] Antara dalil yang menunjukkan bahawa dosa kecil boleh terhapus dengan amalan soleh adalah berdasarkan nas daripada al-Quran dan juga hadith Nabi SAW: Firman Allah SWT: إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ al-Nisa’: 31 Maksudnya: “Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu.” Daripada Abu Zar al-Ghiffari dan Mu’az bin Jabal R.anhuma berkata, bahawa Nabi SAW bersabda: وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا Maksudnya: “Sertakanlah setiap dosa (dosa kecil) yang kamu lakukan dengan kebaikan (amal soleh) yang mana kebaikan itu akan menghapuskan dosa tersebut.” [Riwayat al-Tirmizi (1987)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih] Untuk itu, jelaslah kepada kita bahawa dosa-dosa kecil boleh terhapus dengan amalan soleh yang kita lakukan. Oleh sebab itu, kita dituntut untuk sentiasa memperbanyakkan amalan soleh agar amalan-amalan tersebut boleh menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak sedar. Tambahan pula, dosa besar perlu kepada taubat dan tidak cukup hanya melakukan amalan soleh sahaja. Kami juga pernah menerbitkan artikel berkaitan maksud dosa besar dalam al-Afkar siri ke-66 yang boleh diakses di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Penutup Kesimpulannya, hadith yang menceritakan berkaitan tuntutan bagi orang yang melakukan dosa untuk menunaikan solat dua rakaat merupakan hadith yang sanadnya dinilai hasan (baik) oleh para ulama. Di samping itu, hadith itu menunjukkan galakan untuk menyertakan atau menyegerakan amal soleh apabila melakukan dosa (dosa kecil). Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dan kekuatan dalam mengamalkan agama Islam. Amin. Wallahua’lam |
174 | Ringkasan Jawapan: Terdapat beberapa pandangan yang menyatakan bahawa khilaf al-aula adalah sebahagian daripada hukum taklifi. Namun merujuk kepada pandangan yang rajih iaitu pandangan Imam al-Subki, khlilaf al-aula adalah salah satu cabang daripada hukum makruh dan tidak dikategorikan sebagai hukum taklifi yang lima. Huraian Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jajak langkah baginda hingga hari kiamat. Terdapat lima hukum taklifi yang dikenali dalam syariat Islam yang mana hukum-hukum ini terdiri daripada wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Namun terdapat beberapa persoalan yang timbul sama ada khilaf al-aula dengan makruh ini merupakan perkara yang sama atau tidak. Oleh itu, dalam hal ini perlu dilihat dalam beberapa aspek. Konsep Makruh dan Khilaf al-Aula di sisi Usul Fiqh Istilah makruh ialah sesuatu perkara yang dituntut oleh syarak untuk meninggalkannya tanpa tuntutan yang jazam.[1] Selain itu, makruh juga ialah perbuatan yang dipuji bagi orang yang meninggalkannya dan tidak dikeji bagi orang yang mengerjakannya berdasarkan takrifan Imam al-Asnawi.[2] Manakala istilah khilaf al-aula membawa maksud menyalahi keutamaan (afdaliyyah). Istilah ini juga dikenali sebagai tark al-aula yang membawa maksud meninggalkan perkara yang lebih utama. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Ibn al-Najar berkenaan konsep tark al-aula dalam karyanya: [3] تَرْكُ مَا فِعْلُهُ رَاجِحٌ" عَلَى تَرْكِهِ "أَوْ عَكْسُهُ" وَهُوَ فِعْلُ مَا تَرْكُهُ رَاجِحٌ عَلَى فِعْلِهِ "وَلَوْ لَمْ يُنْهَ عَنْهُ Maksudnya: “Meninggalkan sesuatu perbuatan yang jelas dilarang atau sebaliknya iaitu suruhan untuk meninggalkannya adalah lebih baik meskipun tiada sebarang larangan daripada perbuatan tersebut.” (Rujuk Syarh al-Kaukab al-Munir: 1/420) Dengan kata lain, khilaf al-aula ini bermaksud meninggalkan perkara-perkara yang dituntut serta sunat di sisi syarak. Sebagai contoh ibadat berpuasa pada hari arafah bagi jemaah haji sebagaimana dalam riwayat Abu Hurairah RA: أن رسولَ الله -صلَّى الله عليه وسلم- نهى عن صومِ يومِ عرفَةَ بَعَرَفَة Maksudnya: “Rasulullah SAW menegah daripada berpuasa pada hari Arafah bagi jemaah haji yang berada di Arafah.” Riwayat Abi Daud: 2440 Mafhum daripada riwayat di atas, larangan tersebut merujuk kepada tuntutan bagi jemaah haji supaya tidak berpuasa pada hari mereka mengerjakan wukuf di Arafah. Namun tidak dihukumkan makruh sekiranya jemaah haji berpuasa pada hari berkenaan sebaliknya ia dihukumkan sebagai khilaf al-aula di sisi Imam al-Subki.[4] Hubung kait antara Makruh dengan Khilaf al-Aula Para ulama berbeza pendapat dalam meletakkan kedudukan khliaf al-aula ini dalam hukum syarak. Sesetengah pendapat menyatakan bahawa ia adalah sebahagian daripada cabang hukum makruh dan sebahagian lain berpendapat bahawa ia adalah terkeluar daripada makruh. Menurut Imam al-Zarkasyi, khilaf al-aula merupakan perantaraan antara sunat dan makruh: هَذَا النَّوْعُ أَهْمَلَهُ الْأُصُولِيُّونَ، وَإِنَّمَا ذَكَرَهُ الْفُقَهَاءُ وَهُوَ وَاسِطَةٌ بَيْنَ الْكَرَاهَةِ وَالْإِبَاحَةِ Maksudnya: “Ulama usul fiqh tidak membincangkan bab ini(khilaf al-aula) di dalam kitab. Para fuqaha telah menyebut (khilaf al-aula) ialah di antara hukum makruh dengan sunat.” (Rujuk al-Bahr al-Muhit: 1/400) Dari sudut yang lain pula, khilaf al-aula ini adalah sama hukumnya dengan makruh yang mana kedua-duanya dipuji di sisi syarak jika ditinggalkan tetapi tidak dicemuh jika ia dilakukan. Selain itu, kedua-dua perkara ini juga dituntut untuk ditinggalkan pada asalnya dengan tuntutan yang tidak mencapai hukum haram.[5] Perbezaan antara Makruh dengan Khilaf al-Aula Sebahagian ulama menyatakan bahawa khilaf al-aula dengan makruh merupakan perkara yang sama dari beberapa sudut namun terdapat beberapa pandangan yang membezakannya. Menurut Imam al-Subki dalam kitabnya al-Asybah wa al-Nazoir, hukum makruh merupakan hukum yang terdapat dalam nas sepertimana galakan menunaikan solat sunat dua rakaat ketika masuk ke dalam masjid yang berbunyi:[6] إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ Maksudnya: “Apabila salah seorang dalam kalangan kamu memasuki masjid, janganlah dia duduk sehingga dia mengerjakan solat dua rakaat.” (Riwayat Ahmad: 22652) Adapun khilaf al-aula ialah perkara yang tidak terdapat larangan secara khusus dalam nas berkenaan dengan hukumnya. Begitu juga apa yang dinyatakan oleh Syeikh Zakaria al-Ansari, sesuatu hukum yang dibuktikan dengan tuntutan syarak dinamakan sebagai makruh manakala khilaf al-aula pula hukum yang dibuktikan dengan sesuatu hukum yang tidak dikhususkan yang dinamakan sebagai khilaf al-aula.[7] Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa kedua-dua istilah ini terdapat persamaan dan perbezaan melalui beberapa sudut. Namun para ulama tidak meletakkanya dalam hukum taklifi sebaliknya ia hanyalah salah satu daripada cabang bagi hukum makruh. Kesimpulan Terdapat beberapa pandangan yang menyatakan bahawa khilaf al-aula adalah sebahagian daripada hukum taklifi. Namun merujuk kepada pandangan yang rajih iaitu pandangan Imam al-Subki, khlilaf al-aula adalah salah satu cabang daripada hukum makruh dan tidak dikategorikan sebagai hukum taklifi yang lima. Wallahu A’lam.. Rujukan: [1] Al-Zuhaili, Wahbah. (1986). Usul al-Fiqh al-Islami. Ed 1, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu‘asir. Jld 1, hlm:89. المكروه: هو ما طلب الشارع تركه لا على وجه الحتم والإلزام. وتعريفه بالخواص أو بالحكم. [2] Ibid, [3] Ibn al-Najar, Muhammad bin Ahmad bin Abdel Aziz. (1997). Syarh al-Kaukab al-Munir. Tahkik: Muhammad al-Zuhaili & Nazih Hamad. Ed 2, Maktabah al-‘Abikan. [4] Al-Asybah wa al-Nazoir. Jld 2, hlm 79. صوم يوم عرفة للحجاج خلاف الأولى [5] Al-Qalyubi, Abu ‘Abdul Rahman al-Mustafa. (2014). Al-Makruh Yasqut Fadhilat al-Jamaah. Editor: ‘Abdul Fattah Idris. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah. نحى جماهير علماء الأصول الخاصة المتقدمين منهم منهم إلى عد خلاف الأولى معنى مرادفا للمكروه أو نوعا من أنواعه بجامع اشتراكهما: 1-كونهما مما يمدح تاركه ولا يذم فاعله. 2- كون الحث على تركهما أصالة أو ضمنا حثا غير جازما [6] Al-Subki, Taj al-Din ‘Abdul Wahab bin Taqiyuddin. (1991). Al-Asybah wa Al-Nazoir. Ed 1, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah. Jld 2 hlm 78. وافترق خلاف الأولى مع المكروه اختلاف الخاصين، فالمكروه ما ورد فيه نهي مخصوص مثل: "إذا دخل أحدكم المسجد فلا يجلس حتى يصلي ركعتين" [7] Al-‘Itar, Hasan bin Muhammad. (T.T). Hasyiat al-‘Ita ‘ala Syarh al-Jalal al-Muhali ‘ala Jam‘u al-Jawami‘. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah. Jld 1, hlm 113-114. (فَكَرَاهَةٌ) أَيْ فَالْخِطَابُ الْمَدْلُولُ عَلَيْهِ بِالْمَخْصُوصِ يُسَمَّى كَرَاهَةً وَلَا يَخْرُجُ عَنْ الْمَخْصُوصِ دَلِيلُ الْمَكْرُوهِ إجْمَاعًا أَوْ قِيَاسًا (فَخِلَافُ الْأَوْلَى) أَيْ فَالْخِطَابُ الْمَدْلُولُ عَلَيْهِ بِغَيْرِ الْمَخْصُوصِ يُسَمَّى خِلَافَ الْأَوْلَى |
175 | Artikel ini telah dikemaskini dan boleh diakses di kolum Tahqiq al-Masa'il di sini. Terima kasih. |
178 | Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan larangan mencela ayam? Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Di dalam al-Quran juga, Allah SWT memperakui bahawa Rasulullah SAW merupakan contoh teladan atau ikutan yang terbaik buat hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam kitab suci-Nya: لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ al-Ahzab:21 Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” Di samping itu juga, Rasulullah SAW menggalakkan kita semua untuk berkelakuan baik dengan setiap makhluk Allah SWT termasuklah tumbuhan-tumbuhan dan juga binatang sebagaimana yang terdapat di dalam hadith: Daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW: إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menulis kebaikan di atas setiap perkara.” [Riwayat Muslim (1955)] Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat hadith yang melarang untuk mencela ayam ini sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Abu Daud di dalam sunannya: Daripada Zaid bin Khalid RA, bahawa Nabi SAW bersabda: لا تسبُّوا الدَّيكَ، فإنَّهُ يوقِظُ للصَّلاةِ Maksudnya: “Janganlah kamu mencela ayam kerana ia membangunkan seseorang untuk solat.” [Riwayat Abu Daud (5101)] Syeikh Syu’aib al-Arna’outh berkata ketika mengtakhrijkan hadith ini bahawa perawi-perawi di dalam hadith ini kesemuanya adalah thiqah (dipercayai riwayatnya) dan perawi-perawi tersebut merupakan perawi al-Syaikhayn (al-Bukhari dan Muslim). Akan tetapi, para ulama berselisih pandangan dalam menentukan hukum hadith ini di antara mursal (terputus sanadnya akibat keguguran sahabat di dalam sanad) atau marfu’ (sanad bersambung sampai kepada Rasulullah SAW). [Lihat: Sunan Abu Daud, 7/429] Imam al-Nawawi menilai sanad hadith ini adalah sahih di dalam dua kitabnya al-Azkar and Riyadh al-Solihin. [Lihat: al-Azkar, 364 dan Riyadh al-Solihin, 481] Tambahan pula, Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai sahih. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 2/391] Imam al-Nasa’ie ada mendatangkan satu riwayat yang mursal berkaitan seorang Ansar telah mencela seekor ayam, lalu Nabi SAW menegur perbuatannya itu: أَنَّ الدِّيكَ صَوَّتَ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَبَّهُ رَجُلٌ مِنَ الْأَنْصَارِ، فَقَالَ: لَا تَسُبُّوا الدِّيكَ فَإِنَّهُ يَدْعُو إِلَى الصَّلَاةِ Maksudnya: Terdapat seekor ayam telah berkokok di sisi Rasulullah SAW, lalu salah seorang lelaki daripada Ansar telah mencelanya. Maka Nabi SAW bersabda: “Janganlah kamu mencela ayam kerana ia membangunkan seseorang untuk solat.” [Lihat: al-Sunan al-Kubra (10716), 9/346] Hadith ini menunjukkan seseorang itu bangun untuk melaksanakan qiyamullail dengan bunyi ayam tersebut. Justeru, sesiapa yang membantu seseorang di atas ketaatan maka dia berhak untuk mendapatkan pujian dan bukannya celaan. Imam al-Munawi menyatakan bahawa mengikut adat kebiasaan bahawa ayam akan berkokok secara berturut-turut ketika hampir fajar dan ketika tergelincir matahari yang mana ini merupakan fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ke atas ayam. [Lihat: Aun al-Ma’bud, 5/14] Penutup Kesimpulannya, hadith di atas adalah sahih dan larangan tersebut bukanlah sampai ke tahap haram, bahkan ia hanya menunjukkan kemakruhan bagi orang yang melakukannya sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi ketika meletakkan bab pada hadith ini. [Lihat: Riyadh al-Solihin, 481] Tambahan pula, mencela sesuatu bukanlah satu sifat yang terpuji dan disukai oleh Allah SWT. Untuk itu, setiap orang yang beriman itu dituntut untuk mencontohi sifat-sifat yang terpuji. Ini kerana, agama Islam amat menitikberatkan keindahan akhlak. Disebabkan itu, antara sebab Nabi SAW diutuskan kepada umat manusia adalah untuk menyempurnakan keindahan akhlak. Hal ini disebut berdasarkan sebuah hadith yang sahih daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat] Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang baik akhlaknya. Amin. Wallahua’lam |
179 | Soalan Saya mempunyai kedai dan saya ingin menjalankan consignment iaitu orang akan letak produk mereka di kedai saya dan saya akan mendapat komisen atas barang tersebut. Soalan saya, adakah bentuk consignment ini dikira sebagai untung atas angin? Ringkasan Jawapan Kami berpendapat bahawa jual beli secara consignment adalah harus kerana jual beli tersebut menepati akad-akad yang diharuskan syarak seperti akad mudharabah atau qiradh, wakalah, ujrah atau ijarah dan ju’alah. Akad-akad ini juga dilihat tidak menggambarkan konsep untung atas angin kerana wujudnya unsur usaha dan pekerjaan antara kedua belah pihak. Akhir sekali, oleh kerana akad tersebut melibatkan dua pihak peniaga, maka syarat dan kepentingan kedua pihak yang berkontrak tersebut mestilah dijaga bagi mengelakkan mana-mana pihak tertindas. Huraian Jawapan Untung atas angin adalah satu istilah yang digunakan bagi menerangkan perbuatan mengambil untung terhadap sesuatu tanpa ada usaha atau kerja. Istilah ini juga biasa digunakan bagi menerangkan perbuatan mengambil kesempatan atas sesuatu seperti melakukan penipuan atau ekploitasi dan dia akan memperoleh keuntungan daripadanya. Manakala consignment atau konsainan adalah bermaksud titipan atau kiriman. Manakala jual beli consignment pula merujuk kepada satu bentuk perniagaan business to business (Perniagaan Kepada Perniagaan) yang mana satu pihak yang memiliki barang untuk dijual kemudian dia meminta pihak lain yang juga peniaga untuk menjualkan produknya. Kebiasaannya bentuk perniagaan begini berlaku wujudnya kepentingan bersama kerana mungkin pemilik barang kurang mahir melakukan jualan, oleh itu pemilik barang tersebut menumpang pihak lain untuk mendapatkan jualan. Praktis Jual Beli Secara Consignment Situasi 1 Aminah merupakan seorang pemilik perniagaan pakaian manakala En Ali mempunyai premis kedai yang menjual pelbagai jenis barangan dan ramai pelanggan yang datang ke kedainya. Dalam masa yang sama, En Ali menawarkan kepada peniaga-peniaga lain yang ingin menjual barangan mereka dengan cara meletakkan barang mereka di kedainya dan En Ali dikenali dengan panggilan vendor. Justeru sekiranya terdapat pemilik barang yang berminat, mereka dikenakan bayaran sewa tapak dalam kedai yang disediakan En Ali bagi menampung kos upah pekerja yang menjaga kedai dan kos utiliti kedai. Situasi 2 En Ali dan En Hashim merupakan pemilik kedai buku, En Ali di Kuala Terengganu manakala En Hashim di Kuala Lumpur. Suatu pesta buku akan diadakan di Kuala Lumpur, lalu En Hashim menawarkan kepada En Ali untuk tolong menjual buku-buku yang dimilikinya sewaktu pesta buku berlangsung dengan cara consignment. Mereka telah membuat perjanjian bahawa En Hashim akan mendapat diskaun 25% daripada harga buku yang dijual En Ali. Setelah tamat pesta tersebut, buku yang tidak terjual akan dipulangkan semula kepada En Ali. Situasi 3 Puan Siti merupakan seorang peniaga nasi lemak dan mempunyai gerai sendiri manakala Puan Saleha pula mahir membuat kuih muih tetapi tidak mahir dalam berniaga. Oleh kerana itu, setiap hari Puan Saleha akan menghantar kuih-muihnya ke gerai Puan Siti untuk dijual. Puan Siti dan Puan Saleha telah bersetuju bahawa setiap kuih yang terjual, Puan Siti akan mendapat upah atau berkongsi keuntungan tertentu. Akad-Akad Berkaitan Jual Beli Consignment Perbincangan mengenai fiqh muamalat sentiasa berkembang dan meraikan keperluan semasa. Kami berpendapat bahawa jual beli consignment ini adalah satu bentuk jual beli moden yang tidak bercanggah dengan syarak kerana sebagaimana situasi yang dijelaskan di atas, kami melihat situasi-situasi tersebut mempunyai persamaan dengan akad-akad dalam Islam seperti akad Mudharabah (perkongsian untung), wakalah (wakil), Ijarah (upah) dan lain-lain. 1. Akad Mudharabah atau Qiradh Akad Mudharabah menurut mazhab Hanafi dan Hanbali atau akad Qiradh menurut mazhab Maliki dan Syafie adalah sebuah akad yang diharuskan syarak yang mana berlakunya kerjasama di antara pemilik harta (rabb/sahib al-mal) dengan pihak yang melaksanakan kerja (mudharib) dan mereka telah sepakati bahawa pihak yang melakukan kerja tersebut akan mendapat sebahagian keuntungan yang diperoleh. Dr Muhammad Zuhayli pula mentakrifkan akan Mudharabah atau Qiradh ini adalah sebuah akad yang mana seorang pemilik harta melantik seseorang untuk meniagakan hartanya, dan keuntungan dibahagikan sesama mereka. (Rujuk al-Mu’tamad fi Mazhab Syafie 279/3) Jumhur Ulama’ berpendapat bahawa rukun mudharabah mesti terdiri daripada perkara berikut: Dua Pihak yang berkontrak, modal harta, keuntungan serta sighah akad iaitu ijab dan qabul. (Rujuk Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 40/38) Oleh itu, dalam konteks jual beli secara consignment ini, kami melihat akad mudharabah atau qiradh ini terpakai dalam konteks Situasi 2 dimana En Ali selaku seorang pemilik harta telah melantik En Hashim untuk menjualkan buku-bukunya dan keuntungan dari hasil jualan buku tersebut dibahagikan sesama mereka mengikut kadar yang telah disepakati antara mereka. Oleh kerana akad ini diharuskan syarak, maka tidak wujud unsur untung atas angin. 2. Akad Wakalah Bil Ujrah (Wakil Yang Diberi Upah) Akad Wakalah atau akad agensi juga merupakan satu akad yang diharuskan oleh syarak. Dalam akad wakalah ini, pemilik harta dipanggil sebagai al-muwakkil manakala pihak yang dilantik untuk menjadi wakil atau agen tersebut dipanggil sebagai al-wakil. Dr Muhammad Zuhayli mentakrifkan akad wakalah ini sebagai “Sesuatu lantikan (oleh al-muwakkil) kepada seseorang (al-wakil) mengenai pekerjaan yang boleh digantikan orang lain yang mana kerja tersebut boleh dilakukannya sendiri (al-muwakkil).” (Rujuk Mu’tamad fi Mazhab Syafie 325/3) Seterusnya, antara akad yang terlibat bersama akad wakalah adalah akad ujrah atau ijarah iaitu akad untuk memberikan upah. Kebiasaannya akad ijarah berlaku dalam keadaan upah-mengupah bagi sesuatu pelaksanaan suatu kerja dan sewa-menyewa. Para fuqaha’ telah mensyaratkan bahawa kadar upah yang ingin diberikan dalam konteks ini mestilah ditentukan kadarnya. Khatib Syarbini dalam al-Mughni al-Muhtaj menyatakan bahawa upah yang ingin diberikan mestilah ditentukan kadarnya serta bentuknya. وَيُشْتَرَطُ كَوْنُ الْأُجْرَةِ) الَّتِي فِي الذِّمَّةِ (مَعْلُومَةً) جِنْسًا وَقَدْرًا وَصِفَةً كَالثَّمَنِ فِي الْبَيْعِ) Maksud: (Dan disyaratkan bagi keadaan upah itu) yang dinyatakan dalam perjanjian itu (diketahui) jenisnya dan kadarnya dan sifatnya sebagaimana (mengetahui) harga dalam jual beli. (Rujuk al-Mughni Muhtaj 444/3) Ibn Habib al-Maliki pula berkata: لا ينبغي أن يستعمل الصانع إلا بأجر معلوم مسمى Maksud: Tidak boleh seseorang menggunakan khidmat seorang pekerja yang mahir kecuali ditentukan upah yang sesuai (bagi kerja/khidmat tersebut). (Rujuk Al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’ 299/7) Manakala Ibn Qudamah juga menyatakan perkara yang sama seperti fuqaha’ yang lain iaitu kadar upah dalam kontrak tersebut mesti ditentukan jumlah. يُشْتَرَطُ فِي عِوَضِ الْإِجَارَةِ كَوْنُهُ مَعْلُومًا. لَا نَعْلَمُ فِي ذَلِكَ خِلَافًا؛ Maksud: Disyaratkan untuk imbuhan bagi kontrak ijarah (upah) ditentukan jumlahnya. Tidak kami ketahuinya tentang khilaf mengenainya. (Rujuk al-Mughni Ibn Qudamah 327/5) Oleh itu, dalam konteks jual beli consignment, ianya melibatkan gabungan kontrak wakalah dan juga ujrah/ijarah. Ini berlaku apabila pemilik barangan tersebut mewakilkan seseorang untuk menjualkan barangannya dan kedua pihak tersebut bersetuju bahawa upah dengan kadar tertentu perlu diberikan kepada pihak yang diwakilkan tersebut. Aplikasi gabungan dua akad ini dapat dilihat melalui Situasi 3 yang dinyatakan sekiranya Puan Siti diberikan upah tertentu. Manakala aplikasi akad ijarah sahaja berlaku pada Situasi 1 kerana transaksi antara dua pihak tersebut hanya melibatkan sewa-menyewa tapak atau ruangan serta kos sewa tersebut akan digunakan bagi menampung kos pekerja dan utiliti kedai. 3. Akad Ju’alah Ju’alah bermaksud janji untuk memberi hadiah atau upah. Ju’alah ditakrifkan sebagai suatu tanggungjawab dalam bentuk janji untuk memberikan upah tertentu terhadap orang yang berjaya melaksanakan tugasan tertentu atau kerja yang tidak diketahui tentang kesukaran melaksanakannya daripada seseorang yang diketahui atau tidak diketahui, contohnya dia berkat: “siapa yang jahitkan baju untukku maka baginya sekian (upah).” (Rujuk al-Mu’tamad fi Mazhab Syafie 267/3) Akad jua’alah juga merupakan akad yang disepakati keharusannya oleh para ulama’ kerana terdapatnya keperluan menggunakan akad ini dalam urusan muamalat seharian. Walaupun akad ju’alah dan ijarah mempunyai persamaan iaitu pada aspek upah mengupah, namun kedua-keduanya mempunyai perbezaan yang tersendiri. Akad ijarah adalah kontrak yang bersifat lazim (mengikat) manakala ju’alah pula adalah kontrak yang bersifat ghayr lazim (tidak mengikat). Akad yang lazim bermaksud akad yang mengikat kedua pihak yang melakukan akad dan tidak boleh dibubarkan tanpa kebenaran pihak yang lain manakala akad ghayr lazim bermaksud akad yang tidak mengikat kedua belah pihak berkontrak dan kedua-dua pihak boleh membubarkan kontrak tanpa memerlukan kepada kebenaran pihak yang lain. تَفْتَرِقُ الإِجَارَةُ عَنِ الْجِعَالَةِ فِي أَنَّ الْجِعَالَةَ إِجَارَةٌ عَلَى مَنْفَعَةٍ مَظْنُونٍ حُصُولُهَا وَلَا يَنْتَفِعُ الْجَاعِل بِجُزْءٍ مِنْ عَمَل الْعَامِل وَإِنَّمَا بِتَمَامِ الْعَمَل، وَأَنَّ الْجِعَالَةَ غَيْرُ لَازِمَةٍ فِي الْجُمْلَةِ Maksud: Apa yang membezakan akad ijarah daripada jua’alah adakah pada aspek bahawa ju’alah adalah upah ke atas manfaat yang tidak diketahui keberhasilannya dan (pekerja/penerima upah) tidak mendapat manfaat dengan sebab melakukan sebahagian pekerjaan majikan tetapi kerana kerana penyempurnaan kerja, dan akad ju’alah adalah tidak mengikat. (Rujuk Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 253/1) Oleh itu, dalam konteks jual beli consignment yang dibincangkan akad ju’alah digunakan dalam Situasi 3 sekiranya Puan Saleha menyatakan kepada Puan Siti, “Saya kirimkan kuih yang berharga RM1 ini untuk dijual, sekiranya kamu berjaya menjualnya maka margin untung bagi kamu adalah 20 sen.” Dalam keadaan ini, Puan Siti akan memperoleh keuntungan 20 sen bagi setiap kuih berharga RM1 yang terjual. Penutup Kami berpendapat bahawa jual beli secara consignment adalah harus kerana jual beli tersebut menepati akad-akad yang diharuskan syarak seperti akad mudharabah atau qiradh, wakalah, ujrah atau ijarah dan ju’alah. Akad-akad ini juga dilihat tidak menggambarkan konsep untung atas angin kerana wujudnya unsur usaha dan pekerjaan antara kedua belah pihak. Akhir sekali, oleh kerana akad tersebut melibatkan dua pihak peniaga, maka syarat dan kepentingan kedua pihak yang berkontrak tersebut mestilah dijaga bagi mengelakkan mana-mana pihak tertindas. Wallahualam. Bibliografi Abu al-Walid Sulayman bin Khalaf. 1332h. Al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’. Terbitan Matba’ah al-Sa’adah Al-Khatib al-Syarbini. 1994. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Alfaz al-Minhaj. Terbitan Darul Kutub al-‘Ilmiyyah Ibn Qudamah. 1968. Al-Mughni li Ibn Qudamah. Terbitan Maktabah al-Qaherah Muhammad Musthafa Zuhayli. 2011. al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie. Terbitan Darul Qalam: Damsyik Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah. Maktabah Syamelah |
180 | Soalan : Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanya, bolehkah saya menggunakan pin baju pada kain ihram sewaktu mengerjakan umrah? Saya hanya mahu gunakan ketika menunaikan solat sahaja kerana ia mudah jatuh ketika rukuk dan sujud disebabkan oleh banyak pergerakkan. Jawapan : Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. Seseorang yang berada di dalam keadaan berihram perlulah menjaga larangan-larangan yang telah ditetapkan oleh syara’ dan sekiranya melanggar larangan-larangan tersebut, maka individu tersebut akan dikenakan dam mengikut jenis larangan yang telah dilakukan olehnya. Terdapat sedikit perbezaan antara perkara-perkara yang dilarang terhadap lelaki yang berihram dan perempuan yang berihram. Antara larangan bagi lelaki yang berihram Ibnu Munzir telah menyebut bahawa ulama telah ijma’ terhadap larangan memakai baju, serban, seluar, khuf (stoking kulit) dan baranis (jubah yang ada penutup kepala) bagi orang lelaki yang berihram. [Lihat : al-Ijma’, hal. 63] Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma yang mana seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah SAW dan bertanyakan tentang pakaian apa yang perlu dipakai oleh orang yang sedang berihram dan jawab Baginda SAW : لاَ يَلْبَسُ الْقُمُصَ وَلاَ الْعَمَائِمَ وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ وَلاَ الْبَرَانِسَ وَلاَ الْخِفَافَ، إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ Maksudnya : “Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).” [HR al-Bukhari (1542)] Para ulama turut menyatakan bahawa termasuk dalam kategori larangan tersebut apa yang menyerupainya (pada maknanya) seperti jubah, baju besi, baju (jenis lain) dan yang seumpamanya. Tidak boleh bagi seorang yang berihram menutupi badannya dengan pakaian yang biasa dipakai (mengikut bentuk badan) dan menutupi anggotanya dengan apa yang biasa dipakai (mengikut bentuk anggota tersebut) seperti baju untuk badan, seluar untuk sebahagian badan, sarung tangan untuk tangan, khuf untuk kaki dan yang seumpamanya. [Lihat : al-Mughni (3/281)] Imam al-Nawawi memberikan penjelasan bahawa diharamkan memakai atau menggunakan pakaian yang mengikut bentuk badan atau anggota disebabkan oleh ia meliputi (menutupi) mengikut badan atau anggota tersebut, sama ada pakaian tersebut (dicantumkan) secara jahitan atau tidak seperti baju, seluar, jubah dan lain-lain. [Lihat : al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hal. 148-149] Di dalam kitab yang lain beliau menyebut bahawa tidak ada beza sama ada ia dijahit dengan jarum atau dilekatkan (dicantumkan) antara satu sama lain kerana ia termasuk dalam makna al-Makhid (pakaian yang berjahit). [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (7/249)] Adapun, sekiranya tidak ada pada pakaian tersebut makna meliputi (menutupi) sebagaimana yang disebutkan, maka tidak mengapa menggunakannya sekalipun ia berjahit seperti menggunakan baju atau jubah sebagai selimut ketika tidur. [Lihat : al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hal. 150] Perkara-perkara yang diharamkan semasa ihram menjadi haram sekiranya ia memenuhi syarat-syarat berikut : Haram bagi seseorang yang telah ihram melakukan perkara-perkara yang diharamkan, jika dengan sengaja, diketahui haramnya, dengan ikhtiyarnya (pilihan) sendiri serta telah Tidak haram jika tidak memenuhi syarat di atas. [Lihat : Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), (1/307)] Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaff menyatakan bahawa tidak wajib membayar fidyah (dam) bagi sesiapa yang memakai pakaian yang berjahit ketika dalam ihram bagi orang yang lupa (tidak sengaja) atau jahil (tidak tahu keharamannya). [Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 502] Memakai pin pada kain ihram Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, Syeikh Daud al-Fatani secara jelas telah menyatakan di dalam kitabnya mengenai perkara-perkara yang diharamkan ke atas lelaki semasa berihram iaitu tidak memakai pakaian yang dapat menutupi seluruh tubuh atau bahagian-bahagian anggotanya seperti memakai sarung janggut sama ada yang dijahit, ditenun atau disemat dengan seumpama jarum atau sebagainya. Namun begitu, tidak menjadi kesalahan dengan disangkutkan sesuatu pada badannya seperti tali pedang atau tali mashaf atau tali ikat pinggang dengan diselitkan, atau dengan satu ikatan tanpa disimpulkan. [Lihat : Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), (1/309)] Ibnu Qudamah telah meletakan satu fasal yang khusus mengenai larangan mengikat kain rida’ (kain ihram bahagian atas). Oleh itu, tidak boleh orang lelaki yang berihram mengenakan butang pada kain ihramnya (pada Rida’) atau menyilanginya dengan duri atau jarum atau jahitan kerana perkara tersebut mengambil hukum al-Makhid. Namun, dibenarkan untuk mengikat pada Izar (kain ihram bahagian bawah) kerana dia berhajat padanya bagi menutup aurat (supaya tidak jatuh) sepertimana dibenarkan memakai pakaian pada wanita yang berihram. [Lihat : al-Mughni (3/283-284)] Imam al-Nawawi juga telah menyatakan perkara yang sama iaitu dibenarkan mengikat pada kain Izar tetapi tidak boleh pada kain Rida’. Demikianlah juga, tidak boleh menyilangi kain Rida’ dengan butang, atau duri atau jahitan. Akan tetapi boleh untuk dia menyelitkan dua hujung kain Rida’ ke dalam kain Izar. [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (7/249)] Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Di dalam Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-29, pada 20-23 Rabiul Awal 1434H bersamaan 01-04 Februari 2012, telah memutuskan mengenai pakaian ihram lelaki bahawa dalam mazhab Syafie, jemaah haji lelaki semasa dalam ihram dilarang memakai kain ihram bahagian atas (Rida’) yang dijahit zap on (Velcro) atau pin atau dibutangkan atau dizipkan. Begitu juga, kain ihram bahagian bawah (Izar) dilarang menggunakan jahitan getah pada bahagian pinggang. Kesimpulannya Tuntasnya, setelah kami meneliti pandangan para ulama serta dalil-dalil mereka, kami cenderung kepada pendapat yang melarang menggunakan pin pada kain ihram bahagian atas (Rida’) sebagaimana pendapat Syeikh Daud al-Fatani dan keputusan yang telah dikeluarkan di dalam Resolusi Muzakarah Haji. Ini juga adalah lebih ahwat (berhati-hati) dan keluar daripada khilaf. Kami mengesyorkan supaya kain rida’ tersebut boleh diselitkan di dalam kain Izar bagi mengelakkan ianya jatuh, lebih-lebih ketika melakukan ibadah yang memerlukan pergerakan seperti solat atau melakukan manasik Umrah dan Haji. Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agamaNya serta mengamalkan syariahNya dengan sebaik mungkin. |
181 | Soalan: Bolehkah sekiranya seekor lembu korban itu diniatkan 5 bahagian untuk korban manakala 2 bahagian lagi untuk aqiqah? Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Sebelum menjawab persoalan di atas, suka untuk kami menjelaskan bahawa bagi seekor lembu ataupun unta, ianya boleh dikongsikan kep/ada 7 bahagian. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Jabir bin Abdullah RA yang mana menyebutkan: نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ Maksudnya: Kami telah melakukan korban bersama-sama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah dengan unta yang dikongsi dengan 7 bahagian dan lembu yang dikongsi dengan 7 bahagian. Riwayat Muslim (1318), Abu Daud (2809) & Al-Tirmizi (1502) Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim mengatakan bahawa hadith di atas menjadi dalil kebolehan untuk isytirak (berkongsi) seekor unta atau lembu untuk tujuh bahagian (yang setiap satunya mewakili seekor kambing).[1] Meskipun terdapat nas yang menunjukkan bahawa bolehnya melakukan perkongsian pada haiwan korban (unta dan lembu) pada satu ibadat korban yang sama, namun terdapat khilaf dikalangan ulama’ dalam isu isytirak ini iaitu, adakah dibolehkan untuk berkongsi niat untuk korban dan juga aqiqah bagi setiap bahagian pada haiwan korban yang sama? Pendapat al-Syafi’eyyah membenarkannya. Ini sepertimana pendapat Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah yang mana menyebutkan bahawa: أَمَّا لَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَسْبَابٍ مِنْهَا ضَحِيَّةٌ وَعَقِيقَةٌ وَالْبَاقِي كَفَّارَاتٌ فِي نَحْوِ الْحَلْقِ فِي النُّسُكِ فَيُجْزِي ذَلِكَ Maksudnya: “Sekiranya disembelih unta atau lembu untuk 7 bahagian bagi sebab-sebab darinya untuk korban dan aqiqah manakala bakinya untuk kaffarat bagi bercukur ketika ibadah haji makan sah hukumnya..” [Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. Al-Maktabah al-Islamiyyah, 4/256] Pendapat al-Hanafiah juga membenarkannya. Ini sepertimana di sebutkan oleh Ibn ‘Abidin al-Hanafi Rahimahullah di dalam Hasyiahnya iaitu dibenarkan untuk berlakunya perkongsian bagi korban dan aqiqah. Ini kerana korban dan juga aqiqah adalah amalan yang keduanya mendekatkan diri kepada Allah SWT (al-qurbah). [Lihat Rad al-Muhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar. Dar al-Fikr, 6/326] Adapun yang masyhur dikalangan al-Malikiyyah dan juga al-Hanabilah adalah tidak dibenarkan iaitu menurut mereka ianya tidak sah. Ini kerana pada pendapat mereka, untuk korban dan juga aqiqah itu adalah dua sembelihan yang berbeza tujuannya maka ianya tidak boleh disatukan seperti mana dam al-Tamattu’ dan juga dam al-Fidyah. [Lihat Fatawa Yas’alunak oleh Prof. Dr. Husamuddin ‘Afanah. Maktabah Dandis, 4/350] Kesimpulan Mengetahui bahawa isu ini terdapat khilaf padanya, maka padanya terdapat keluasan dalam beramal dengannya. Kami berpendapat bahawa boleh untuk disekalikan niat korban dan aqiqah pada bahagian lembu dan juga unta seperti mana yang dinaskan oleh pendapat dari kalangan al-Syafi’ieyyah dan juga al-Hanafiah. Kami juga melihat kepada kemampuan seseorang itu untuk melakukan korban dan juga aqiqah. Sekiranya seseorang itu mampu, maka yang terbaiknya adalah dengan mengasingkan setiap satu daripada ibadah tersebut tanpa berlakunya perkongsian (korban dan aqiqah disekalikan) dan itu bagi kami adalah yang terbaik untuk keluar daripada khilaf. Wallahu a’lam. Akhukum fillah, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 10 Ogos 2016 bersamaan 7 Zulkaedah 1437 H. [1] Al-Imam al-Nawawi. Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar iIhya’ al-Turath al-‘Arabi, 9/67. |
183 | Soalan: Assalamualaikum. Baru-baru ini hangat dibincangkan isu pemeriksaan haid pelajar wanita di sekolah-sekolah. Adakah tindakan pemeriksaan haid ini selari dengan didikan Islam? Jawapan Ringkas: Penerangan mengenai haid adalah perkara yang perlu dilakukan oleh penjaga dan pendidik bagi memastikan anak perempuan benar-benar memahami kriteria darah, perkara-perkara yang diharamkan, disunatkan dan digalakkan ketika haid serta cara penjagaan kebersihan diri dalam tempoh tersebut. Namun, Islam menggariskan batasan-batasan Islam dalam hal ini seperti larangan meyentuh bahagian terlarang seperti punggung dan larangan mengintip. Semestinya para pendidik berhasrat untuk mengambil cakna soal ibadah para pelajar wanita di bawah didikannya. Namun, sikap mempercayai, menjaga hak privasi juga diambil kira. Semoga sikap berhati-hati kita mampu menarik rasa hormat serta kasih anak-anak muda kepada golongan lebih dewasa apabila kita mengiktiraf hak-hak mereka, seterusnya menjadikan mereka lebih cakna dengan hukum-hakam haid. Huraian: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat. Haid merupakan satu kejadian fitrah atau semulajadi yang telah ditetapkan oleh Allah terhadap kaum wanita. Ia berlaku dalam tempoh tertentu yang mana berkait rapat dengan beberapa hukum hakam di dalam Islam, antaranya sepertimana yang diriwayatkan dalam sepotong hadis: جَاءَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ أَبِي حُبَيْشٍ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ "لاَ إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِالْحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَدَعِي الصَّلاَةَ وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّي " Maksudnya: Fatimah binti Abu Hubaisy telah datang menemui Rasulullah SAW, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku seorang wanita yang sering keluar darah, maka aku tidak dalam keadaan suci. Adakah aku perlu tinggalkan solat? Rasulullah SAW menjawab: “Tidak, itu adalah darah penyakit dan bukan darah haid. Apabila haid (yang sebenar) keluar, tinggalkanlah solat. Sekiranya ia berhenti, basuhlah kesan darah (istihadah) dan mandilah (junub) serta dirikanlah solat.”. Riwayat al-Bukhari (306), Muslim (322), al-Nasai’e (214) dan Ibn Majah (115) Haid adalah salah satu petanda akil baligh bagi anak perempuan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW: عَنْ عَائِشَةَ، رضى الله عنها أَنَّ أَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ، دَخَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقَالَ "يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلاَّ هَذَا وَهَذَا " . وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ Maksudnya: Sayyidatina Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Asma’ binti Abu Bakar telah masuk menemui Rasulullah SAW dalam keadaan berpakaian nipis. Maka, Baginda SAW memalingkan pandangan daripadanya seraya berkata: “Wahai Asma’, seorang wanita yang telah mengalami haid tidak boleh dilihat bahagian tubuh badannya kecuali ini dan ini” dan mengisyaratkan kepada wajah serta kedua-dua tapak tangannya. Riwayat Abu Daud (4104) Hal ini jelas disebutkan di kesemua kitab-kitab Fiqh bahawa apabila seorang anak perempuan mengalami haid, dia telah mencapai akil baligh. Maka, hukum taklif dipertanggungjawabkan ke atas anak perempuan yang mana menjadikan segala segala tuntutan fardu menjadi wajib ke atasnya, dan segala transaksi dan perbuatannya diambil kira dalam persoalan hukum-hakam. Namun, persoalan yang timbul adalah, bagaimanakah didikan Islam terhadap anak perempuan yang mencapai tempoh ini? Dr. Abdullah Nasih Ulwan menyatakan dalam kitab Tarbiatul Awlad bahawa ibu bapa perlu memberi penerangan dan penekanan kepada anak perempuan mengenai darah haid sekurang-kurangnya bermula umur 9 tahun kerana ia merupakan sekurang-kurang umur keluar haid bagi anak perempuan. [1] Ini menunjukkan peri pentingnya didikan ilmu dan kefahaman kepada anak-anak, khususnya anak perempuan dalam memahami darah haid sebagai petanda akil baligh serta hukum hakam syarak, iaitu halal, haram, wajib dan sebagainya. Seorang anak perempuan perlu dididik tentang cara mengenalpasti serta membezakan kriteria darah, kiraan kitaran haid, cara penjagaan kebersihan diri dalam menguruskan darah yang keluar, hukum-hakam berkaitan ibadah dan sebagainya. Perkara ini amat perlu ditekankan sama ada oleh penjaga seperti ibu bapa dan pendidik seperti guru-guru di sekolah. Tidak dinafikan bahawa penerangan, peringatan, didikan, pantauan dan sebagainya perlu dilakukan oleh orang dewasa bagi memastikan seorang anak perempuan benar-benar memahami keadaan dirinya sendiri. Namun, berkenaan isu pemeriksaan darah haid dengan cara menyentuh bahagian punggung bagi memastikan pelajar wanita benar-benar memakai tuala wanita, meminta mereka menunjukkan tuala wanita yang terkena darah, meminta mereka mencalit sedikit darah di tuala wanita bagi menunjukkan bukti darah dan sebagainya adalah bertentangan dengan saranan Islam dalam menjaga privasi seseorang. Sentuhan di bahagian punggung juga adalah diharamkan dalam Islam kecuali dalam situasi darurat seperti melibatkan risiko kesihatan dan nyawa. Keadaan ini sama sekali tidak termasuk dalam kategori darurat. Oleh itu, perbuatan tersebut sendiri adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Ia juga adalah suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan. Merujuk kepada Seksyen 377D, Kanun Keseksaan (Akta 574), perbuatan ini boleh dimasukkan bawah kesalahan Melanggar Kesopanan. Seksyen ini menyatakan: 377D. Melanggar Kesopanan “Mana-mana orang yang melakukan, atau bersubahat melakukan, atau mendapat atau mencuba mendapat supaya dilakukan oleh mana-mana orang, apa-apa perbuatan kelucahan melampau dengan orang lain di tempat awam atau di tempat persendirian, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun.” [2] Maka jelas di sini bahawa perbuatan ini perlu ditinggalkan kerana ia berlawanan dengan ajaran Islam dan undang-undang di Malaysia. Selain itu, alasan pemeriksaan tersebut dibuat bagi benar-benar memastikan bahawa pelajar tersebut dalam keadaan haid pula termasuk dalam keadaan mengintip dan mencari kesalahan serta keaiban orang lain. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; Surah al-Hujurat (12) Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam Tafsir al-Munir [3] menyebut berkenaan tajassus (mengintip) apabila mensyarahkan ayat ini: فالتجسس: البحث عما هو مكتوم عنك من عيوب المسلمين وعوراتهم Maksudnya: “Mengintip: Mencari tentang suatu yang tersembunyi daripada kamu mengenai aib orang Islam dan aurat mereka” (Rujuk: Tafsir al-Munir, 26/255) Namun, adakah ini bermaksud pemeriksaan dan pantauan kitaran haid tidak perlu dilakukan terhadap pelajar wanita pada usia remaja? Tidak sama sekali. Pantauan, penerangan dan didikan perlu terus dijalankan, namun tanpa melebihi had yang dibenarkan. Oleh itu pihak sekolah perlu lebih bijak dalam mencari jalan yang terbaik untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah pelajar-pelajar wanita yang menipu tanpa melibatkan pelanggaran privasi. Selain itu penekanan terhadap fiqh wanita, terutama hukum hakam berkenaan kitaran darah haid perlu dilestarikan dalam pendidikan para pelajar wanita. Di samping itu, peringatan terus menurus tentang bahana menipu dan hukumnya di sisi agama agar para pelajar sentiasa beringat tentang keburukannya. Sesi konsultusi persendirian mengenai haid juga merupakan salah satu jalan untuk mengatasi masalah ini di samping menyediakan buku rekod haid pelajar supaya pemeriksaan secara terbit dan sopan dapat dijalankan Kesimpulan Penerangan mengenai haid adalah perkara yang perlu dilakukan oleh penjaga dan pendidik bagi memastikan anak perempuan benar-benar memahami kriteria darah, perkara-perkara yang diharamkan, disunatkan dan digalakkan ketika haid serta cara penjagaan kebersihan diri dalam tempoh tersebut. Namun, Islam menggariskan batasan-batasan Islam dalam hal ini seperti larangan meyentuh bahagian terlarang seperti punggung dan larangan mengintip. Marilah bersama-sama menanamkan jiwa pendidik yang lebih mengutamakan kefahaman anak-anak muda sambil menekankan perkara-perkara yang penting untuk diketahui. Segala usaha yang telah dijalankan semestinya mendapat ganjaran pahala di sisi Allah. Semoga sikap berhati-hati kita mampu menarik rasa hormat serta kasih anak-anak muda kepada golongan lebih dewasa apabila kita mengiktiraf hak-hak mereka selaku wanita yang perlu dihargai, seterusnya menjadikan mereka lebih cakna dengan hukum-hakam berkaitan darah wanita. Moga Allah mengrniakan kita kefahaman yang benar dalam agama. Wallahu a’lam. Nota Hujung: [1] Abdullah Nasih Ulwan, Tarbiah al-Awlad fi al-Islam, (2011), cetakan ke-36, Kaherah: Dar al-Salam. [2] Kanun Keseksaan (Akta 574) [3] Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj, cetakan kedua, 1418h, Damsyik: Dar al-Fikr al-Muasir. |
186 | Soalan Assalammualaikum, saya ingin bertanya berkaitan penggunaan "nasal spray" ketika puasa. Fungsi nasal spray adalah untuk melegakan hidung yang tersumbat atau berhingus yang berlebihan. Kebiasaan pengunaan ubat ni adalah di kalangan pesakit "allergic rhinitis". Maximun pengunaan "nasal spray" adalah 2 kali sehari. Adakah pengunaan "nasal spray" membatalkn puasa? Mohon pencerahan S.S Mufti. Terima kasih. Ringkasan Jawapan: Kaedah yang betul bagi semburan ubat ( nasal spray ) ke rongga hidung adalah apabila cecair kekal di dalam rongga hidung tanpa menghidu. Selepas menyembur, endus perlahan-lahan dan elakkan menghidu terlalu kuat supaya semburan tidak ditelan agar ubat masuk tidak masuk dalam tekak. Oleh yang demikian, penggunaannya berdasarkan keadaan dan situasi seperti berikut : Penggunaan "nasal spray" boleh membatalkan puasa sekiranya melepasi batas akhir hidung (bahagian atas diantara hidung dan otak). Sebaliknya, sekiranya semburan ubat "nasal spray" tidak sampai melepasi had pangkal akhir hidung, maka tidak membatalkan puasa. Huraian Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat. Semburan hidung “Nasal Spray” digunakan untuk menyampaikan ubat ke rongga hidung disebabkan kesesakan hidung. Semburan tersebut merawat masalah di kawasan hidung dan sinus. Fungsi “nasal spray” merawat gejala alergi atau selesema, seperti gatal-gatal, bersin, atau hidung tersumbat [1] Kaedah Penyampaian Ubat “Nasal Spray” Kaedah yang betul dengan menyembur pada sudut ke dalam rongga hidung dengan muncung menghala ke telinga. Yang penting tidak menghidu agar semburan cecair kekal di dalam rongga hidung dan tidak ditelan, produk itu tidak akan berfungsi jika semburan memasuki kerongkong.[2] Tidak perlu dongakkan kepala ke belakang untuk mengelakkan ubat masuk ke dalam tekak.[3] Kaedah semburan hidung yang betul boleh memberi manfaat jika ia digunakan dengan cara betul di mana ubatnya berada di dalam rongga hidung dan bukannya mengalir di belakang tekak. Selepas menyembur, endus perlahan-lahan dan elakkan menghidu terlalu kuat, kerana ini boleh menyebabkan ubat mengalir ke kerongkong.[4] Bahagian Had Rongga Hidung Rongga hidung mempunyai had tertentu yang boleh menyebabkan batal puasa, Fuqaha menentukan piawaian had zahir bermula hidung hingga batas akhir pangkal hidung /khaisyum (منتهى الخيشوم) (tulang tipis bahagian atas diantara hidung dan otak).[5] Ulama Syafieyyah berpandangan batal puasa apabila memasukkan sesuatu sampai melepasi had pangkal akhir hidung. (قوله: ولا يفطر بوصول إلى باطن قصبة أنف) أي لأنها من الظاهر، وذلك لأن القصبة من الخيشوم، والخيشوم جميعه من الظاهر. (قوله: حتى يجاوز منتهى الخيشوم) أي فإن جاوزه أفطر، ومتى لم يجاوز لا يفطر. Maksudnya: “Puasa tidak batal apabila sampai sesuatu ke bahagian dalam batang hidung kerana had zahir pada kawasan pangkal hidung (khaisyum). Sementara sesuatu “ain” yang melepasi had pangkal hidung, maka membatalkan puasa, sebaliknya tidak batal puasa apabila tidak melepasi pangkal hidung” [6] Oleh yang demikian, sesuatu “ain” yang masuk ke dalam rongga hidung akan membatal puasa apabila memasukkan sesuatu sampai melepasi had pangkal akhir hidung. Sementara itu, tidak batal puasa apabila sampai sesuatu ke pangkal akhir hidung. Penutup Setelah meneliti perbahasan yang dikemukakan, semburan ubat “nasal spray” itu membatalkan puasa sekiranya melepasi had batas akhir hidung ( منتهى الخيشوم) iaitu tulang tipis yang berada di pangkal hidung ( bahagian atas diantara hidung dan otak). Sebaliknya, semburan “nasal spray” tidak membatalkan puasa sekiranya tidak sampai pada rongga yang melepasi had pangkal akhir hidung. Wallahu A'lam Rujukan: [1] https://www.verywellhealth.com/what-you-need-to-know-about-using-a-nasal-spray-1124087 [2] http://myentdoctor.com/2019/02/15/the-correct-way-to-use-a-nasal-spray/ [3] http://www.myhealth.gov.my/teknik-penggunaan-alat-semburan-hidung/ [4] https://www.johorentdoctor.com/how-to-use-nasal-spray [5] Ibn Hajar al-Haitami, Al-Manhaj al-Qayyim Syarh al-Muqaddimah al-Hadramiyah, (Dar al-Kutub Ilmiyah. 2000.) P: 246 والأنف إلى منتهى الخيشوم له حكم الظاهر [6] Al-Bakri Dimyati, I’anah al-Talibin ‘Ala Hal Alfaz Fath al-Mu’in, (Dar al-Fikr. 1996) J:2 P: 261 |
187 | Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah nama-nama Allah hanya 99 nama? Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Pada asasnya, nama-nama Allah SWT hanya diketahui melalui apa yang dikhabarkan oleh-Nya sendiri di dalam al-Quran atau melalui lisan Rasul-Nya. Nama-nama tersebut adalah bersifat tauqifiyyah. Imam al-Nawawi menyebut: “Sesungguhnya nama-nama Allah itu bersifat tauqifiyyah, iaitu tidak boleh ditetapkan kecuali berdasarkan dalil-dalil sahih.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 7/188) Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, di mana Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلا وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang menghitungnya, dia masuk syurga.” Riwayat al-Bukhari (2736) dan Muslim (2677) Namun begitu, hadis ini tidaklah memaksudkan bahawa nama Allah SWT terhad kepada 99 nama sahaja. Imam al-Nawawi menjelaskan: Ulama bersepakat bahawa hadis ini tidak menunjukkan batasan jumlah nama-nama Allah. Tidaklah hadis ini bermaksud: Bahawa tiada nama lain selain daripada 99 nama ini. Sesungguhnya maksud hadis ini ialah jika seseorang melakukan ihsa’ (beriman, meyakini dan beramal) dengan 99 nama ini, maka dia akan masuk syurga. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 9/39) Berkenaan makna ‘أَحْصَاهَا’, kami telah menghurainya dengan panjang lebar dalam Irsyad al-Hadith Siri ke-25 : Hadis “Barangsiapa menghafal 99 Nama Allah, Masuk Syurga.” Secara ringkasnya, kami berpendapat ia dengan maksud beriman dan meyakini serta beramal. Sesungguhnya nama-nama Allah SWT tidaklah terbatas bilangannya. Terdapat nama-nama yang Dia rahsiakan dalam ilmu ghaib-Nya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah apa-apa masalah atau kesedihan menimpa seseorang, lalu orang itu membaca: اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي ، Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan-Mu, aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, (aku memohon kepada-Mu) untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati ku, cahaya di dada ku, penghilang kesedihan ku, penghapus kesusahan ku,” (Apabila seseorang membaca seperti ini) pasti Allah akan menghapuskan kesusahan dan kesedihannya, dan menjadikan untuknya jalan keluar. Abdullah bin Mas’ud R.A bertanya: “Ya Rasulullah, perlukah aku mempelajari doa ini?” Baginda SAW menjawab: “Sudah pasti, sesiapa yang mendengarnya perlu mempelajarinya.” Riwayat Ahmad (3583) Imam al-Khattabi dan selainnya berkata, "Ini menunjukkan bahawa Dia memiliki nama-nama yang Dia rahsiakan. Hal tersebut menunjukkan bahawa sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, siapa yang membacanya masuk syurga," bahawa Allah SWT memiliki 99 nama yang apabila ada seseorang yang mengamalkannya, maka dia akan masuk syurga. Sebagaimana seseorang berkata, "Saya memiliki wang seribu dirham yang saya sediakan untuk sedekah”, sedangkan wangnya lebih banyak daripada itu. Dan Allah SWT dalam Al-Quran berfirman, “وَلِلَّهِ الأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا” (Dan Allah memiliki nama-nama yang agung, maka berdoalah dengannya). Dia memerintahkan agar berdoa dengan nama-namanya yang mulia secara mutlak. Dia tidak mengatakan bahawa namanya cuma 99 nama." (Dinukilkan dari kitab Majmu’ al-Fatawa, 22/282) Ibn Qayyim pula menjelaskan: Nama-nama Allah yang indah tidaklah terbatas bilangannya. Sesungguhnya Allah memiliki nama dan sifat yang Dia rahsiakan dalam ilmu ghaib-Nya. Malaikat yang rapat dengan-Nya pun tidak mengetahui, tidak juga para nabi yang diutuskan, sebagaimana dalam hadis (riwayat Ahmad di atas). Dia telah menjadikan namanya kepada tiga bahagian: Nama yang Dia berikan kepada diri-Nya dan Dia menzahirkan hal itu kepada sesiapa yang Dia kehendaki daripada malaikat-Nya, dan selain mereka tetapi Dia tidak menyatakannya di dalam kitab-Nya. Nama yang Dia turunkan dalam kitab-Nya untuk mengenalkan-Nya kepada hamba-hamba-Nya, dan; Nama-nama yang Dia rahsiakan pada ilmu ghaib-Nya dan tidak diketahui oleh satu makhluk pun. (Lihat Badai’ al-Fawa’id, hlm. 176) Oleh itu, daripada nas dan kenyataan di atas, jelas bahawa nama Allah SWT tidaklah terbatas kepada 99 nama tersebut sahaja. Sesungguhnya nama-nama Allah SWT amat tidak terbatas bilangannya. Terdapat nama-nama yang Allah SWT zahirkan sehingga boleh diketahui, dan terdapat pula nama-nama lain yang Dia tidak nyatakan dan dirahsiakan pada ilmu ghaib-Nya sehingga mahkluk-makhluk tidak mengetahuinya. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman dalam mengamalkan segala titah perintah-Nya. Amin. |
188 | SOALAN Apakah hukum ibadah haji yang dilakukan oleh kanak-kanak dan adakah ibubapa yang melakukan ibadah haji bagi pihak kanak-kanak tersebut mendapat pahala? JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Dalam agama Islam, sebarang pensyariatan berkaitan dengan ibadah tidaklah ditaklifkan kepada golongan kanak-kanak. Meskipun begitu, jika kanak-kanak tersebut melakukan sesuatu ibadah, perkara tersebut tetap diterima di sisi Allah SWT. Justeru, pengajaran berkaitan kefahaman dalam sesuatu ibadah hendaklah diterapkan sejak dari kecil agar kanak-kanak tersebut terbiasa dengan amalan-amalan kebaikan yang dilakukannya dan menjadi sebati dalam diri dan jiwanya. Merujuk kepada persoalan di atas, hukum ibadah haji yang dilaksanakan oleh kanak-kanak yang belum mencapai tahap mumayyiz adalah sah dan diberi ganjaran pahala ke atas dirinya. Namun begitu, ibadah haji yang dilakukan ketika itu dikira sebagai haji sunat dan wajib ke atasnya untuk mengulangi ibadah haji tersebut setelah dia mencapai umur baligh. Ini adalah berdasarkan hadith berikut: Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda: إِذَا حَجَّ الصَّبِيُّ فَهِيَ لَهُ حَجَّةٌ حَتَّى يَعْقِلَ، وَإِذَا عَقَلَ فَعَلَيْهِ حَجَّةٌ أُخْرَى Maksudnya: “Apabila seorang kanak-kanak menunaikan haji maka baginya haji sampai dia berakal (baligh), maka apabila dia sudah berakal maka baginya haji yang lain (mengulangi haji)". Riwayat al-Hakim (1769) Sehubungan dengan itu, bagi pihak wali atau ibu bapa yang melakukan ibadah haji bagi mewakili seseorang kanak-kanak, maka perbuatan tersebut diberi ganjaran pahala sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi SAW dalam hadis berikut: Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: رَفَعَتْ امْرَأَةٌ صَبِيًّا لَهَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَلِهَذَا حَجٌّ، قَالَ: نَعَمْ، وَلَكِ أَجْرٌ Maksudnya: “Seseorang perempuan telah menunjuk anak lelakinya kepada Rasulullah SAW serta berkata: Wahai rasulullah, adakah bagi anak ini haji?” Jawab Rasulullah SAW “Ya, dan bagi kamu (ibu) pahala”. Riwayat Tirmizi (924) KESIMPULAN Kami berpandangan dibolehkan bagi seorang kanak-kanak untuk turut melaksanakan ibadah haji dan umrah. Walaupun mereka (kanak-kanak) masih belum ditaklifkan untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah. Namun begitu, jika mereka melaksanakan ibadah tersebut masih diterima dan dikira sah di sisi Allah SWT. Namun begitu, kanak-kanak tersebut perlu mengulanginya semula (ibadah haji tersebut) kerana ibadah haji yang dilakukan ketika usia kanak-kanak tidak menggugurkan kefarduan haji ke atas dirinya semasa dia telah dewasa. Begitu juga kepada ibu bapa yang membawa anak-anak mereka untuk melaksanakan ibadah haji bersama-sama, mereka juga akan mendapat pahala sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Justeru, kesungguhan dan ketekunan dalam beribadah kepada Allah SWT perlulah ditingkatkan agar haji yang dilaksanakan dikira sebagai haji yang mabrur (diterima). Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin. Wallahua’lam |
190 | SOALAN Apakah maksud Talbiah dan bilakah waktu yang disunatkan untuk memulakannya dan bilakah waktu untuk menghabiskannya ? JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW. Talbiah merupakan satu ucapan yang menandakan kehadiran para Jemaah Haji yang dilafazkan oleh setiap jemaah haji. Ucapan ini dilaungkan setelah berihram ketika berada di tanah suci. Maksud yang dikehendaki dari laungan talbiah ini ialah menyahut seruan Allah SWT, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan Allah SWT. Lafaz talbiah adalah seperti berikut: لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ. لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ. اِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.” Hal ini bersandarkan hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.” Riwayat Muslim (1184) Sunat membaca laungan talbiah ini dimulai daripada berniat ihram hingga permulaan tawaf bagi yang mengerjakan umrah dan hingga mulai melontar jamrah al-Kubra atau mulai tawaf atau bercukur mengikut amalan mana yang didahulukan bagi yang mengerjakan haji. Dalam hadis As-Sa’ib bin Khallad, Rasulullah SAW bersabda: أَتَانِي جِبْرِيلُ فَأَمَرَنِي أَنْ آمُرَ أَصْحَابِي أَنْ يَرْفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ بِالإِهْلاَلِ وَالتَّلْبِيَةِ Maksudnya: “Telah datang kepadaku Jibril A.S, maka dia memerintahkan aku untuk memerintahkan sahabat-sahabatku agar mengangkat suara-suara mereka ketika berihlal atau bertalbiah” Riwayat al-Tirmizi (829) Bacaan talbiah disunatkan bagi lelaki untuk menyaringkan dan meninggikan suara dan tidak pula disunatkan bagi wanita. Justeru, bacaan talbiah akan berterusan, berulang-ulang dan bergema di seluruh tanah haram Mekah dimana berkumpulnya semua jemaah haji. Firman Allah SWT: وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Hajj: 27) KESIMPULAN Talbiah sememangnya digalakkan oleh Nabi SAW bagi setiap jemaah haji. Bahkan, perkara ini dianggap sunat (mustahab). Walaubagaimanapun, jika seseorang jemaah haji itu meninggalkan perbuatan talbiah, haji yang dilakukannya tetap sah namun mereka tidak mendapat pahala fadilat talbiah tersebut. Ini jelas berdasarkan hadith di bawah: Daripada Saidina Abu Bakar al-Siddiq R.A, bahawa Nabi SAW telah ditanya: أَىُّ الْحَجِّ أَفْضَلُ قَالَ " الْعَجُّ وَالثَّجُّ " Maksudnya: “Apakah haji yang paling afdhal? Baginda menjawab: “Menyaringkan ucapan talbiah dan menyembelih binatang korban” Riwayat al-Tirmizi (827) Kami ingin mengambil peluang di sini untuk mengingatkan para jemaah haji bahawa ibadah haji yang dilakukan adalah satu peluang yang harus digunakan dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, gunakanlah kesempatan itu untuk memperbanyakkan lagi amalan-amalan yang mampu mendekatkan kita kepada haji yang mabrur. Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin. |
193 | Soalan: Assalamualaikum ustaz. Maaf ganggu. Saya ada persoalan. Baru-baru ini ada influencer terkenal yang bangkitkan kerisauan terhadap trend sebahagian emak emak yang dandan dan make up anak lelaki sehingga menjadi seperti anak perempuan. Ada yang dipakaikan tudung dan pakaian wanita, semuanya dilakukan kerana suka-suka. Ada yang lakukan kerana katanya tiada anak perempuan yang hendak didandan. Apa pandangan ustaz? Mohon ustaz berikan sedikit nasihat. Ringkasan jawapan: Perbuatan ibu yang mendandan anak lelaki sehingga menjadi seperti perempuan adalah perbuatan yang jelas haram dan tidak dibenarkan walaupun dengan alasan bergurau. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang melarang lelaki menyerupai wanita, begitu juga sebaliknya. Perbuatan tersebut boleh mendorong anak-anak lelaki untuk menjadi wanita. Seorang ibu seharusnya mendidik anak untuk menjadi manusia yang patuh pada ketetapan dan hukum Allah bukannya mendorong mereka melakukan perkara yang diharamkan. Semoga Allah memberikan kita kefahaman. Wallahu’alam. Huraian jawapan: Islam mengharuskan umatnya untuk berhias dan menonjolkan penampilan yang elok. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”[1] Sheikh Ahmad bin Muṣṭafā al-Marāghī menjelaskan bahawa Allah mengurniakan nikmat pakaian kepada manusia bermula pakaian yang digunakan untuk menutup aurat sehingga jenis-jenis perhiasan yang cantik.[2] Namun begitu, perhiasan dan penampilan tersebut mesti tidak melebihi batas yang telah ditetapkan oleh syarak, antaranya tiada unsur penyerupaan lelaki dengan wanita atau wanita dengan lelaki. Rasulullah SAW melarang seorang lelaki menyerupai wanita, begitu juga sebaliknya. Larangan ini dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, beliau berkata: لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”[3] Sheikh Badr al-Dīn al-‘Ainī (m. 855 H) menjelaskan bahawa hadis di atas jelas menunjukkan pengharaman lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya. Pengharaman ini termasuk penyerupaan dari segi pakaian, perhiasan dan perbuatan yang dikhususkan untuk lelaki atau wanita.[4] Oleh itu, perbuatan mendandan dan make up anak lelaki sehingga menjadi seperti perempuan adalah termasuk dalam larangan tersebut. Perkara ini juga dijelaskan oleh Sheikh Zakariyā al-Anṣārī (m.926 H) di dalam perbahasan berkenaan perhiasan yang harus digunakan dan yang tidak boleh digunakan oleh lelaki dan perempuan. Perkataan laknat yang terdapat dalam hadis bukan membawa maksud makruh akan tetapi memberi maksud haram.[5] Menyerupai jantina lain dengan apa niat sekalipun adalah tidak dibenarkan. Hal ini berdasarkan peristiwa yang pernah berlaku kepada Sayyidah Ummu Salamah. Dalam riwayat Abu Daud menyebut : أن النبيَّ صلَّى الله عليه وسلم دخلَ عليها وهي تختَمِرُ فقال: ليَّةً لا ليَّتَيْنِ Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW masuk bertemunya (Ummu Salamah) dalam keadaan Ummu Salamah memakai tudung. Kemudian Baginda bersabda: Satu lilitan sahaja, bukan dua lilitan.“[6] Abu Daud sejurus menukilkan hadis ini, beliau menjelaskan makna sabda Nabi ‘satu lilitan sahaja, bukan dua lilitan‘. Beliau menjelaskan bahawa Nabi SAW menegah Ummu Salamah daripada memakai tudung seperti lilitan serban lelaki.[7] Isteri Nabi yang mulia ini memakai tudungnya dengan dua kali lilitan bukan berniat untuk menyerupai lelaki, malah kita yakin wanita seperti Sayyidah Ummu Salamah tidak mungkin terlintas dihatinya niat yang sebegitu rupa. Namun amat jelas teguran Baginda SAW adalah tegahan agar seseorang sama sekali tidak berketerampilan seperti jantina berlawanan, meskipun tiada niat sebegitu di hati. Kesimpulannya, perbuatan ibu yang mendandan anak lelaki sehingga menjadi seperti perempuan adalah perbuatan yang jelas haram dan tidak dibenarkan walaupun dengan alasan bergurau. Perbuatan tersebut boleh mendorong anak-anak lelaki untuk menjadi wanita. Seorang ibu seharusnya mendidik anak untuk menjadi manusia yang patuh pada ketetapan dan hukum Allah bukannya mendorong mereka melakukan perkara yang diharamkan. NOTA HUJUNG : [1] Surah al-‘Arāf: 26 [2] Al-Marāghī, Ahmad bin Mustafa (1946), Tafsīr al-Marāghī, Mesir: Syarikat Maktabah wa Maṭba’ah Musṭafā al-Bābī al-Ḥalabī, j.8 h.124. Beliau menyebut : نادى الله بنى آدم وامتن عليهم بما أنعم عليهم من اللباس على اختلاف درجاته وAL-تعدد أنواعه، من الأدنى الذي يستر العورة عن أعين الناس إلى الأعلى من أنواع الحلل التي تشبه ريش الطير فى وقاية البدن من الحر والبرد، إلى ما فيها من الزينة والجمال [3] Riwayat al-Bukhari no. 5885, Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail (2001), Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Beirut: Dar Tūq al-Najāh, j.7 h.159. [4] Badr al-Dīn al-‘Ainī, Mahmud bin Ahmad, ‚Umdah al-Qārī Syarh Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Beirut: Dar al-Fikr, j.22 h.41. Beliau menjelaskan: هَذَا بَاب فِي بَيَان ذمّ الرِّجَال المتشبهين بِالنسَاء وَبَيَان ذمّ النِّسَاء المتشبهات بِالرِّجَالِ، وَيدل على ذَلِك ذكر اللَّعْن فِي حَدِيث الْبَاب وتشبه الرِّجَال بِالنسَاء فِي اللبَاس والزينة الَّتِي تخْتَص بِالنسَاء مثل لبس المقانع والقلائد والمخانق والأسورة والخلاخل والقرط وَنَحْو ذَلِك مِمَّا لَيْسَ للرِّجَال لبسه، وتشبه النِّسَاء بِالرِّجَالِ مثل لبس النِّعَال الرقَاق وَالْمَشْي بهَا فِي محافل الرِّجَال وَلبس الأردية والطيالسة والعمائم وَنَحْو ذَلِك مِمَّا لَيْسَ لَهُنَّ اسْتِعْمَاله، وَكَذَلِكَ لَا يحل للرِّجَال التَّشَبُّه بِهن فِي الْأَفْعَال الَّتِي هِيَ مَخْصُوصَة بِهن كالانخناث فِي الْأَجْسَام والتأنيث فِي الْكَلَام وَالْمَشْي [5] Abu Yahyā, Zakariyā bin Muhammad, Asnā al-Maṭālib fī Syarh Rauḍ al-Ṭālib, Beirut: Dar al-Kitab al-Islamī,j.1 h.379. (وَيَحْرُمُ عَلَى النِّسَاءُ تَحْلِيَةُ آلَةِ الْحَرْبِ) بِذَهَبٍ وَفِضَّةٍ وَإِنْ جَازَ لَهُنَّ الْمُحَارَبَةُ بِآلَتِهَا (وَلُبْسُ زِيِّ الرِّجَالِ) لِمَا فِي ذَلِكَ مِنْ التَّشَبُّهِ بِهِمْ وَهُوَ حَرَامٌ كَعَكْسِهِ لِلْخَبَرِ الصَّحِيحِ «لَعَنْ اللَّهُ الْمُتَشَبِّهِينَ بِالنِّسَاءِ مِنْ الرِّجَالِ وَالْمُتَشَبِّهَات مِنْ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ» وَاللَّعْنُ لَا يَكُونُ عَلَى مَكْرُوهٍ [6] Riwayat Abu Daud, no. 4115, Abu Daud, Sulaimān bin al-‘Ash’ath (2009), Sunan Abu Daud, ed. Sheikh Shu’aib al-Arnaut, Muhammad Kamil Qurah Balalī, Beirut: Dar al-Risalah al-‘Ālamiyah, j.6 h.206. [7] Ibid. قال أبو داود: معنى قولِه: "ليَّةً لا ليَّتَيْنِ" يقولُ: لا تَعْتمَّ مِثْلَ الرَّجُلِ لا تُكرِّره طاقاً أو طاقَين |
194 | Soalan : Assalamualaikum ustaz. Soalan saya adakah Nabi Ibrahim pernah berbohong?. Saya ada terdengar yang Nabi Ibrahim pernah berbohong untuk selamatkan nyawanya?. Adakah benar?. Jawapan : Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Nabi Ibrahim merupakan Rasul yang disifatkan oleh Allah SWT sebagai Rasul yang segera melaksanakan perintah Allah SWT tanpa ada keraguan. Firman Allah SWT : وَإِذِ ٱبْتَلَىٰٓ إِبْرَٰهِـۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَـٰتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّى جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا Maksudnya : ““Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia" (Surah Al-Baqarah : 124) Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, memang terdapat hadis-hadis yang pada zahirnya seakan-akan Nabi Ibrahim menipu. Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda : لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ إِلَّا ثَلَاثًا Maksudnya : “Nabi Ibrahim tidak pernah berbohong (berhelah) kecuali pada tiga perkara.” Riwayat Al-Bukhari (3357) Di dalam riwayat lain, Abu hurairah RA memperincikan tentang tiga perkara tersebut. Beliau berkata : لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَام إِلَّا ثَلَاثَ كَذَبَاتٍ ثِنْتَيْنِ مِنْهُنَّ فِي ذَاتِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَوْلُهُ {إِنِّي سَقِيمٌ} وَقَوْلُهُ {بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا} وَقَالَ بَيْنَا هُوَ ذَاتَ يَوْمٍ وَسَارَةُ إِذْ أَتَى عَلَى جَبَّارٍ مِنْ الْجَبَابِرَةِ فَقِيلَ لَهُ إِنَّ هَا هُنَا رَجُلًا مَعَهُ امْرَأَةٌ مِنْ أَحْسَنِ النَّاسِ فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ فَسَأَلَهُ عَنْهَا فَقَالَ مَنْ هَذِهِ قَالَ أُخْتِي فَأَتَى سَارَةَ قَالَ يَا سَارَةُ لَيْسَ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مُؤْمِنٌ غَيْرِي وَغَيْرَكِ وَإِنَّ هَذَا سَأَلَنِي فَأَخْبَرْتُهُ أَنَّكِ أُخْتِي فَلَا تُكَذِّبِينِي فَأَرْسَلَ إِلَيْهَا فَلَمَّا دَخَلَتْ عَلَيْهِ ذَهَبَ يَتَنَاوَلُهَا بِيَدِهِ فَأُخِذَ فَقَالَ ادْعِي اللَّهَ لِي وَلَا أَضُرُّكِ فَدَعَتْ اللَّهَ فَأُطْلِقَ ثُمَّ تَنَاوَلَهَا الثَّانِيَةَ فَأُخِذَ مِثْلَهَا أَوْ أَشَدَّ فَقَالَ ادْعِي اللَّهَ لِي وَلَا أَضُرُّكِ فَدَعَتْ فَأُطْلِقَ فَدَعَا بَعْضَ حَجَبَتِهِ فَقَالَ إِنَّكُمْ لَمْ تَأْتُونِي بِإِنْسَانٍ إِنَّمَا أَتَيْتُمُونِي بِشَيْطَانٍ فَأَخْدَمَهَا هَاجَرَ فَأَتَتْهُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فَأَوْمَأَ بِيَدِهِ مَهْيَا قَالَتْ رَدَّ اللَّهُ كَيْدَ الْكَافِرِ أَوْ الْفَاجِرِ فِي نَحْرِهِ وَأَخْدَمَ هَاجَرَ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ تِلْكَ أُمُّكُمْ يَا بَنِي مَاءِ السَّمَاءِ Maksudnya : “Nabi Ibrahim tidak pernah berhelah melainkan pada tiga perkara. Dua daripadanya melibatkan zat Allah. Beliau berkata : ‘Aku Sakit’ dan juga ‘ Bahkan yang lakukan adalah berhala yang besar’. Dan satu lagi Nabi Ibrahim berhelah ketika Baginda dan isterinya,Sarah datang kepada seorang raja yang bengis. Dikatakan kepada raja tersebut : Di sini ada seorang lelaki dan seorang wanita yang elok rupanya. Maka raja tersebut mengutuskan seorang utusan kepada Nabi Ibrahim dan bertanya kepada Baginda : Siapakah wanita ini?. Baginda menjawab : Ini adalah saudara perempuanku. Kemudian Baginda mendatangi Sarah dan berkata : Wahai Sarah, tiada ada di atas muka bumi ini orang yang beriman melainkan aku dan engkau. Orang ini bertanya kepada aku maka katakan bahawa engkau adalah saudara perempuan. Jangan engkau bohongi apa yang aku katakan. Apabila Sarah masuk menemui raja tersebut, dia mula mencuba memegang tangan Sarah. Maka tidak mampu (kerana tangannya menjadi keras). Maka raja tersebut berkata kepada Sarah : Doakanlah untuk aku dan aku tidak akan menyakiti engkau. Lalu Sarah pun berdoa dan tangan raja tersebut disembuhkan. Maka raja tersebut cuba untuk memegang Sarah buat kali kedua. Maka tangan raja tersebut menjadi lebih teruk daripada sebelumnya. Raja tersebut berkata : Berdoalah untuk aku. Aku tidak akan menyakiti engkau. Maka Sarah pun berdoa dan tangan raja tersebut disembuhkan. Lalu raja tersebut memanggil pembantunya : Sesungguhnya kalian tidak bawa kepada aku manusia, akan tetapi yang kalian bawa adalah syaitan. Maka raja tersebut pun memberikan Hajar sebagai pembantu Sarah. Kemudian Sarah datang bertemu Nabi Ibrahim yang mana pada ketika itu Baginda bangun melakukan solat. Lalu Baginda menunjukkan isyarat : Apa yang berlaku?. Allah telah membalas perancangan orang yang kafir dan berdosa dan raja tersebut memberikan Hajar sebagai pembantu. Kata Abu Hurairah : Itulah ibu kalian wahai arab.” Riwayat Al-Bukhari (3358) & Abu Daud (2214) Di dalam riwayat yang lain, menyandarkan (Marfu’) hadis tersebut kepada Nabi SAW. Baginda bersabda : لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ إِلَّا ثَلَاثَ كَذَبَاتٍ بَيْنَمَا إِبْرَاهِيمُ مَرَّ بِجَبَّارٍ وَمَعَهُ سَارَةُ فَذَكَرَ الْحَدِيثَ فَأَعْطَاهَا هَاجَرَ قَالَتْ كَفَّ اللَّهُ يَدَ الْكَافِرِ وَأَخْدَمَنِي آجَرَ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَتِلْكَ أُمُّكُمْ يَا بَنِي مَاءِ السَّمَاءِ Maksudnya : “Nabi Ibrahim tidak pernah berbohong (berhelah) kecuali tiga perkara. Ketika mana Baginda melepasi satu raja yang zalim dan bersama dengan Baginda ada Sarah. Lalu NabI SAW menyebut kisah yang masyhur. Lantas raja tersebut memberikan Hajar kepada Sarah. Lalu Sarah berkata : Allah telah menahan tangan orang yang kafir dan memberikan kepada aku pembantu. Kata Abu Hurairah : Itulah ibu kalian wahai Arab.” Riwayat AL-Bukhari (5084) Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika dilihat secara zahir riwayat-riwayat tersebut seakan-akan memberi gambaran bahawa Nabi Ibrahim telah berbohong sedangkan sifat yang wajib bagi para Nabi dan Rasul adalah sifat benar. Para Nabi dan Rasul terpelihara dari bercakap perkataan yang bohong dan dusta. Hakikatnya, Nabi Ibrahim bukannya menipu. Akan tetapi Baginda menyebutkan satu perkara yang lain akan tetapi difahami dengan maksud yang lain. Perkara ini dijelaskan oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani. Beliau berkata : وأما إطلاقه الكذب على الأمور الثلاثة فلكونه قال قولا يعتقده السامع كذبا لكنه إذا حقق لم يكن كذبا لأنه من باب المعاريض المحتملة للأمرين فليس بكذب محض Maksudnya : “Ada apa yang Nabi SAW sebutkan tentang Nabi Ibrahim seakan menipu pada tiga perkara pada hakikatnya Nabi Ibrahim berkata satu perkataan yang dianggap oleh orang yang mendengar sebagai bohong akan tetapi setelah diteliti ianya bukan bohong kerana ia termasuk di dalam Al-Mu’aridh (iaitu bercakap dengan perkataan yang membawa banyak maksud) yang mana ianya berkemungkinan membawa dua maksud. Oleh kerana itu ianya bukannya satu pembohongan sama sekali.” (Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 6/391) Imam Al-Nawawi menyebut : فمعناه ان الكذبات المذكورة انما هي بالنسبة إلى فهم المخاطب والسامع واما في نفس الامر فليست كذبا مذموما Maksudnya : “ Ianya bermakna bahawa penipuan yang disebutkan di dalam hadis tersebut adalah nisbah kepada kefahaman orang yang mendengar. Adapun ucapan itu sendiri ianya bukan penipuan yang dicela. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/124). Maka dapat kita fahami secara asasnya apa yang disebutkan oleh Nabi Ibrahim difahami sebagai satu perkara yang menipu oleh orang yang mendengar akan tetapi ucapan itu sendiri bukannya satu perkataan bohong. Nabi Ibrahim bermaksud dengan maksud yang lain. Para ulama menjelaskan dengan lebih terperinci apakah maksud disebalik ucapan Nabi Ibrahim yang disalah anggap sebagai berbohong. إني سقيم iaitu aku sakit ketika diajak oleh kaumnya untuk pergi ke majlis sembahan. Maksud Baginda daripada ucapan tersebut ialah sakit atau tidak mampu untuk menghadirkan sebab yang membenarkan Baginda keluar bersama kaumnya dan tidak ingin menyaksikan kemungkaran yang dilakukan oleh mereka. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 6/391; Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/126)). Sheikh Dr Solah Al-Khalidi sakit yang dimaksudkan adalah sakit secara ma’nawi. Iaitu Baginda tidak suka apa yang dilakukan oleh kaumnya yang gemar menyembah berhala. (Rujuk Al-Qasas Al-Qur’ani ‘Ard Waqa’i Wa Tahlil Ahdath, 1/354). بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا iaitu yang menghancurkan berhala-berhala tersebut ialah patung yang besar sedangkan Baginda sendiri yang memecahkannya. Ibnu Hajar Al-Asqalani menukilkan pandangan Al-Qurtubi. Beliau berkata : تمهيدا للاستدلال على أن الأصنام ليست بآلهة وقطعا لقومه في قولهم إنها تضر وتنفع، وهذا الاستدلال يتجوز فيه في الشرط المتصل، ولهذا أردف قوله: {بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ} بقوله: {فَاسْأَلُوهُمْ إِنْ كَانُوا يَنْطِقُونَ} قال ابن قتيبة معناه إن كانوا ينطقون فقد فعله كبيرهم هذا Maksudnya : “ Ini merupakan satu permulaan untuk berhujah bahawa berhala-berhala tersebut bukanlah Tuhan. Ia juga adalah satu ucapan bagi membantah kaumnya yang mengatakan bahawa berhala tersebut memberi mudarat dan manfaat. Cara berhujah seperti ini diharuskan dengan syarat yang bersambung. Oleh kerana itu selepas mengucapkan yang memecahkan berhala-berhala tersebut adalah berhala yang paling besar, Baginda menyebut tanyalah kepada berhala besar itu jika mereka boleh bercakap. Ibnu Qutaibah berkata : Ia dilakukan oleh berhala yang paling besar jika mereka (berhala-berhala) boleh bercakap. Sekiranya mereka tidak boleh bercakap bukanlah berhala yang paling besar yang melakukannya.” (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 6/392) Ini bermakna ianya adalah satu ucapan hujahan untuk membantah apa yang dilakukan oleh kaumnya. Ia merupakan hujah akal yang secara langsung menafikan sembahan-sembahan yang diagungkan oleh kaumnya. هذه أختي iaitu Sarah adalah saudara perempuan aku sedangkan Sarah adalah isteri Baginda. Maksud Nabi Ibrahim adalah Sarah juga adalah saudaranya di dalam agama yang sama. Imam Al-Nawawi menyebut bahawa ia juga adalah satu ucapan untuk mengelakkan dari dizalimi oleh orang yang kafir lagi zalim pada situasi yang genting. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/126). Inilah takwilan dan maksud sebenar yang dianggap sebagai berbohong oleh orang yang mendengar zahir ucapan tersebut. Akan tetapi hakikatnya maksud yang ingin disampaikan adalah berbeza sepertimana yang difahami. Inilah yang disebut sebagai Al-Mu’aridh (المعاريض). Oleh kerana itu, seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Imran Bin Husain: إن في المعاريض لَمَنْدوحةً عن الكذب Maksudnya : “Sesungguhnya pada ucapan Al-Mu’aridh (iaitu ucapan yang bersifat indirect) sangat jauh daripada ucapan menipu.” Riwayat Al-Bukhari (857) di dalam Al-Adab Al-Mufrad Kesimpulannya, apa yang disebutkan oleh Nabi Ibrahim seperti mana yang dinyatakan oleh Nabi SAW bukanlah satu ucapan yang bohong akan tetapi ianya membawa maksud yang pelbagai yang dianggap oleh orang yang mendengar sebagai menipu. Akan tetapi ucapan tersebut disebutkan dengan makna dan maksud yang berbeza. Bahkan di dalam Al-Quran, Allah SWT menyifatkan Nabi Ibrahim sebagai seorang Nabi yang benar pertuturan dan perlakuannya. Firman Allah SWT : وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ إِبْرَٰهِيمَ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا Maksudnya : “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.” (Surah Maryam : 41) Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam |
195 | Soalan Assalamualaikum wrt.wbt. Saya akan pergi menunaikan haji dalam masa terdekat ini. Kawan saya ada menceritakan tentang sejarah sa’i di safa dan marwah. Katanya bukit safa dan marwah berasal dari sumpahan orang yang bernama Isaf dan Nailah. Benarkah kisah ini? Mohon pencerahan terima kasih. Ringkasan Jawapan Isaf dan Nailah merupakan berhala yang disembah dan diagungkan oleh masyarakat jahiliah ketika melakukan sa’i. Berhala Isaf diletakkan di bukit Safa manakala Nailah di Marwah. Menurut kepercayaan ahli kitab, kisah berhala Isaf dan Nailah disumpah menjadi batu kerana mereka berzina di dalam Kaabah, lalu Allah SWT murka kemudian mereka disumpah menjadi batu. Malah kepercayaan ini turut terkesan kepada masyarakat jahiliah dan juga golongan Ansar sebelum memeluk Islam. Apabila masyarakat Ansar telah memeluk Islam, mereka masih menyangka bahawa ibadah Sa’i merupakan amalan masyarakat jahiliah dan mengangap perbuatan sa’i merupakan amalan mensyirikkan Allah SWT. Oleh sebab itu, Allah SWT menurunkan ayat (إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ) yang menjelaskan bahawa ibadah sa’i dari Safa dan Marwah bukanlah amalan masyarakat jahiliah, akan tetapi ia merupakan syiar agama Allah SWT (Islam). Setelah kedatangan Islam dan pembukaan kota Mekah patung Isaf dan Nailah dimusnahkan oleh Baginda Nabi SAW kerana perbuatan sa’i di antara dua patung tersebut merupakan amalan syirik pada zaman jahiliah dan ia bercanggah dalam ajaran Islam. Huraian Jawapan Ibadah Sa’i merupakan rukun dalam ibadah haji dan umrah, ia disyariatkan berjalan dengan berulang-alik bermula dari bukit Safa dan berakhir di bukit Marwah sebanyak tujuh kali. Firman Allah SWT: إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ Maksudnya: Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui. Surah al-Baqarah (158) Ayat di atas diturunkan kerana masyarakat pada ketika itu telah meletak dua berhala bernama Isaf dan Nailah di bukit Safa dan Marwah. Ketika mereka bersa’i dengan berjalan berulang alik dari Safa dan Marwah, mereka akan menyentuh dan mengusap kedua-dua patung itu sebagai tanda mengagungkannya. Imam al-Baghawi menyebut di dalam tafsirnya: وَسَبَبُ نُزُولِ هَذِهِ الْآيَةِ أَنَّهُ كَانَ عَلَى الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ صَنَمَانِ أَسَافُ وَنَائِلَةُ، وَكَانَ أَسَافُ عَلَى الصَّفَا وَنَائِلَةُ عَلَى الْمَرْوَةِ، وَكَانَ أَهْلُ الْجَاهِلِيَّةِ يَطُوفُونَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ تَعْظِيمًا لِلصَّنَمَيْنِ وَيَتَمَسَّحُونَ بِهِمَا Maksudnya: Sebab diturunkan ayat ini kerana terdapat pada Safa dan Marwah dua bentuk patung Isaf dan Nailah. Patung Isaf diletak pada Safa dan Nailah pada Marwah. Oleh itu, masyarakat jahiliah melakukan sa’i di antara Safa dan Marwah sebagai tanda mengagungkan kedua-dua patung tersebut di samping menyentuh mereka ketika bersa’i.[1] Selain itu, terdapat hadis yang menceritakan tentang Isaf dan Nailah iaitu patung yang terletak di pinggir pantai. Patung ini disembah oleh golongan Ansar sebelum mereka pergi mengerjakan sa’i. Hal ini sepertimana yang direkodkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah RAnha: أَنَّ الأَنْصَارَ كَانُوا يُهِلُّونَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لِصَنَمَيْنِ عَلَى شَطِّ الْبَحْرِ يُقَالُ لَهُمَا إِسَافٌ وَنَائِلَةٌ . ثُمَّ يَجِيئُونَ فَيَطُوفُونَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ ثُمَّ يَحْلِقُونَ . فَلَمَّا جَاءَ الإِسْلاَمُ كَرِهُوا أَنْ يَطُوفُوا بَيْنَهُمَا لِلَّذِي كَانُوا يَصْنَعُونَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ قَالَتْ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ { إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ} إِلَى آخِرِهَا - قَالَتْ - فَطَافُوا . Maksudnya: Sesungguhnya golongan Ansar pada zaman jahiliah akan bertalbiah memuja dua bentuk patung yang diletak di persisiran pantai dikenali sebagai Isaf dan Nailah. Kemudian mereka akan pergi bersa’i di antara Safa dan Marwah, setelah itu mereka bercukur. Setelah kedatangan Islam, mereka enggan bersa’i mengelilingi kedua-dua patung tersebut yang mereka sembah pada zaman jahiliah. Saidatina Aishah berkata: Lalu Allah Azza wa Jalla menurutkan ayat (إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ) sehingga akhir ayat. Aishah berkata lagi: Kemudian mereka pon bersa’i (di antara Safa dan Marwah) Riwayat Muslim (1277) Kisah Isaf dan Nailah merupakan kisah seorang lelaki yang bernama Isaf bin Baqa’ juga dikatakan Isaf bin Amr. Manakala Nailah pula seorang wanita yang bernama Nailah binti Zi’bin dikatakan Nailah binti Sahl dan mereka berdua dari kalangan Jurhum. Diceritakan bahawa mereka berdua telah berzina di dalam Kaabah lalu Allah SWT mengutuk mereka lalu disumpah menjadi batu. Setelah itu, patung mereka diletakkan di dalam Kaabah dan menurut kisah yang lain patung mereka diletak di Safa dan Marwah sebagai iktibar dan peringatan kepada manusia. Kemudian patung mereka dipindahkan oleh Qusai bin Kilab di sisi Kaabah dan seterusnya dipindahkan ke telaga Zamzam. Pada hari pembukaan kota Mekah, Nabi SAW menghancurkan keduanya.[2] Imam al-Qurtubi menyebut bahawa, kisah zina Isaf dan Nailah dan ditukar oleh Allah SWT menjadi batu lalu patung mereka diletakkan di Safa dan Marwah sebagai pengajaran dan pedoman. Perkara ini dipegang oleh golongan Ahli Kitab, setelah tempoh masa berlalu masyarakat mula menyembah patung tersebut. [3] Berdasarkan maklumat di atas, Isaf dan Nailah merupakan berhala yang disembah dan diagungkan oleh masyarakat jahiliah ketika melakukan sa’i. Berhala Isaf diletakkan di bukit Safa manakala Nailah di Marwah. Menurut kepercayaan ahli kitab, kisah berhala Isaf dan Nailah disumpah menjadi batu kerana mereka berzina di dalam kaabah, lalu Allah SWT murka kemudian mereka disumpah menjadi batu. Malah kepercayaan ini turut terkesan kepada masyarakat jahiliah dan juga golongan Ansar sebelum memeluk Islam. Apabila masyarakat Ansar telah memeluk Islam, mereka masih menyangka bahawa ibadah Sa’i merupakan amalan masyarakat jahiliah dan menggangap perbuatan sa’i merupakan amalan mensyirikkan Allah SWT. Oleh sebab itu, Allah SWT menurunkan ayat (إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ) yang menjelaskan bahawa ibadah sa’i dari Safa dan Marwah bukanlah amalan masyarakat jahiliah, akan tetapi ia merupakan syiar agama Allah SWT (Islam). Setelah kedatangan Islam dan pembukaan kota Mekah patung Isaf dan Nailah dimusnahkan oleh Baginda Nabi SAW kerana perbuatan sa’i di antara dua patung tersebut merupakan amalan syirik pada zaman jahiliah dan ia bercanggah dalam ajaran Islam.[4] Wallahu’alam [1] Abu Muhammad al-Husain bin Mas’ud bin Muhammad bin Fira’ al-Baghawi al-Syafi’e, Ma’alim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1420H) 1/191 [2] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi 1392H) 9/22-23 وَأَمَّا إِسَافٌ وَنَائِلَةٌ فَلَمْ يَكُونَا قَطُّ فِي نَاحِيَةِ الْبَحْرِ وَإِنَّمَا كَانَا فِيمَا يُقَالُ رَجُلًا وَامْرَأَةً فَالرَّجُلُ اسمه اساف بن بقاء ويقال بن عَمْرٍو وَالْمَرْأَةُ اسْمُهَا نَائِلَةُ بِنْتُ ذِئْبٍ وَيُقَالُ بِنْتُ سَهْلٍ قِيلَ كَانَا مِنْ جُرْهُمَ فَزَنَيَا دَاخِلَ الْكَعْبَةِ فَمَسَخَهُمَا اللَّهُ حَجَرَيْنِ فَنُصِّبَا عِنْدَ الْكَعْبَةِ وَقِيلَ عَلَى الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ لِيَعْتَبِرَ النَّاسُ بِهِمَا وَيَتَّعِظُوا ثُمَّ حَوَّلَهُمَا قُصَيُّ بْنُ كِلَابٍ فَجَعَلَ أَحَدَهُمَا مُلَاصِقَ الْكَعْبَةِ وَالْآخَرَ بِزَمْزَمَ وَقِيلَ جَعَلَهُمَا بِزَمْزَمَ وَنَحَرَ عِنْدَهُمَا وَأَمَرَ بِعِبَادَتِهِمَا فَلَمَّا فَتَحَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَكَّةَ كَسَرَهُمَا [3] Tafsir al-Qurtubi 2/179 وَزَعَمَ أَهْلُ الْكِتَابِ أَنَّهُمَا زَنَيَا في الكعبة فمسخهما الله حجرين فَوَضَعَهُمَا عَلَى الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ لِيُعْتَبَرَ بِهِمَا، فَلَمَّا طَالَتِ الْمُدَّةُ عُبِدَا مِنْ دُونِ اللَّهِ، وَاللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ [4] Badruddin al’Aini, Abu Muhammad Mahmud bin Ahmad bin Musa al-Ghaitabi al-Hanafi, ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy) 9/287 يُقَال لَهما: أساف ونائلة، ثمَّ يجيئون فيطوفون بَين الصَّفَا والمروة، ثمَّ يحلقون، فَلَمَّا جَاءَ الْإِسْلَام كَرهُوا أَن يطوفوا بَينهمَا للَّذي كَانُوا يصنعونه فِي الْجَاهِلِيَّة، فَأنْزل الله تَعَالَى الْآيَة. وَفِي لفظ إِذا أهلوا لمناة لَا يحل لَهُم أَن يطوفوا بَين الصَّفَا والمروة، وَيُقَال: إِن الْأَنْصَار قَالُوا: إِنَّمَا أمرنَا بِالطّوافِ وَلم نؤمر بالسعي بَين الصَّفَا والمروة، فَنزلت الْآيَة وَقَالَ السّديّ: كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّة تعرف الشَّيَاطِين فِي اللَّيْل بَين الصَّفَا والمروة، وَكَانَت بَينهمَا آلِهَة، فَلَمَّا ظهر الْإِسْلَام قَالَ الْمُسلمُونَ: يَا رَسُول الله لَا نطوف بَين الصَّفَا والمروة، فَإِنَّهُ شرك كُنَّا نضعه فِي الْجَاهِلِيَّة، فَنزلت الْآيَة |
196 | Soalan Assalamualaikum S.S Datuk, saya ingin bertanya adakah kita dibolehkan untuk tidak berpuasa jika kita disahkan positif Covid-19 dan mengalami demam? Ringkasan Jawapan Pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan tidak memerlukan ubat-ubatan maka dia tidak boleh untuk berbuka puasa. Adapun bagi mereka yang bergejala teruk atau bergejala ringan namun memerlukan ubatan untuk mengelakkan daripada penyakitnya manjadi semakin parah maka dia dibenarkan untuk tidak berpuasa. Untuk memastikan penyakit tersebut benar-benar boleh mendatangkan kemudaratan perlu disahkan oleh pegawai perubatan yang beragama Islam dan merupakan seorang yang dipecayai. Huraian Jawapan Allah SWT mewajibkan untuk setiap orang beriman berpuasa. Meskipun begitu Allah SWT memberikan pengecualiaan kepada beberapa golongan untuk tidak berpuasa. Firman Allah SWT: فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah dia berbuka puasa) kemudian wajiblah dia menggantikan puasanya sebanyak (hari yang dia tidak berpuasa) pada hari-hari yang lain.” Surah al-Baqarah: 18 Jika seseorang mengalami sakit dia dibenarkan untuk tidak berpuasa berdasarkan nas al-Quran di atas dan ijmak para ulama. Namun para ulama berbeza pandangan mengenai penyakit yang membenarkan seseorang itu untuk berbuka puasa. Imam Fakruddin al-Razi menyebutkan bahawa majoriti fuqaha berpandangan penyakit yang membenarkan seseorang untuk berbuka puasa ialah penyakit yang boleh memberi mudarat kepada diri atau menyebabkan penyakit yang dialami semakin teruk[1]. Ini juga merupakan pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’i. Perkara ini telah dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syirbini: (وَيُبَاحُ تَرْكُهُ) بِنِيَّةِ التَّرَخُّصِ (لِلْمَرِيضِ) بِالنَّصِّ وَالْإِجْمَاعِ (إذَا وَجَدَ بِهِ ضَرَرًا شَدِيدًا) Maksudnya: “Diharuskan untuk tidak berpuasa dengan niat mengambil rukhsah(keringanan) bagi orang yang sakit berdasarkan nas dan ijmak(sepakat para ulama) apabila dia mendapati kemudaratan yang besar[2].” Orang yang mengalami sakit yang ringan seperti pening atau sakit gigi maka dia tidak dibenarkan untuk berbuka puasa. Imam al-Ramli menukilkan bahawa di dalam kitab al-Anwar disebutkan: وَلَا أَثَرَ لِلْمَرَضِ الْيَسِيرِ كَصُدَاعٍ وَوَجَعِ الْأُذُنِ وَالسِّنِّ إلَّا أَنْ يَخَافَ الزِّيَادَةَ بِالصَّوْمِ فَيُفْطِرَ Maksudnya: “Tiada kesan (yang mengharuskan untuk berbuka) bagi penyakit yang ringan seperti pening kepala, sakit telinga atau gigi melainkan jika dia khuatir apabila dia meneruskan berpuasa penyakitnya akan bertambah buruk maka ketika itu dia dibolehkan untuk berbuka puasa.” Namun begitu menurut Imam al-Nawawi tidak disyaratkan penyakit yang dialaminya itu mestilah sampai kepada tahap tidak mampu lansung untuk berpuasa. Memadai jika penyakitnya boleh menyebabkan dia menjadi amat sukar untuk meneruskan puasanya[3]. Syeikh al-Syabramallisi pula mensyaratkan bahawa penyakit tersebut mestilah disahkan oleh pakar perubatan yang beragama Islam dan merupakan seorang yang dipercayai. Jika penyakit tersebut tidak disahkan boleh membawa kepada kemudaratan maka dia tidak boleh untuk berbuka puasa[4]. Ulama mazhab Syafi’i menegaskan bahawa terdapat beberapa keadaan yang dialami oleh orang yang sakit ketika bulan Ramadan: Pertama: dia mengalami sakit yang berpanjangan maka dia tidak perlu untuk melakukan niat pada malam hari. Kedua: dia mengalami sakit hanya pada waktu-waktu tertentu maka jika dia mengalami demam pada waktu pagi dia tidak perlu berniat untuk berpuasa pada malam hari namun jika pada waktu pagi dia tidak mengalami demam maka dia perlu berniat pada waktu malam dan jika penyakitnya datang kembali maka dia boleh untuk berbuka puasa[5]. Mengenai pesakit Covid-19, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam Panduan Hukum Ujian Saringan dan Prosedur Rawatan Pesakit Covid-19 Pada Bulan Ramadan[6] membahagikan pesakit Covid-19 kepada dua bahagian: Pesakit tahap 1: Tidak bergejala – dalam pemantauan dan tiada ubat-ubatan. Pesakit tahap 2 hingaa 5: Bergejala dan memerlukan kepada ubat-uabatan. Pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan tidak memerlukan ubat-ubatan maka dia tidak boleh untuk berbuka puasa. Adapun bagi mereka yang bergejala teruk atau bergejala ringan namun memerlukan ubatan untuk mengelakkan daripada penyakitnya manjadi semakin parah maka dia dibenarkan untuk tidak berpuasa. Untuk memastikan penyakit tersebut benar-benar boleh mendatangkan kemudaratan perlu disahkan oleh pegawai perubatan yang beragama Islam dan merupakan seorang yang dipecayai. [1] Imam Fakhruddin al-Razi, Mafatih al-Ghaib, Beirut: Dar Ihya’ al-Thurast al-Arabi (1420H), jld. 5, hlm. 243. وَثَالِثُهَا: وَهُوَ قَوْلُ أَكْثَرِ الْفُقَهَاءِ: أَنَّ الْمَرَضَ الْمُبِيحَ لِلْفِطْرِ هُوَ الَّذِي يُؤَدِّي إِلَى ضَرَرِ النَّفْسِ أَوْ زِيَادَةٍ فِي الْعِلَّةِ، [2] Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah (1994), jld. 2,Hlm. 169. [3] Imam al-Nawawi, al-Majmu’ Syarrh al-Muhazab, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), jld. 6, Hlm. 258. وَلَا يُشْتَرَطُ أَنْ يَنْتَهِيَ إلَى حَالَةٍ لَا يُمْكِنُهُ فِيهَا الصَّوْمُ بَلْ قَالَ أَصْحَابُنَا: شَرْطُ إبَاحَةِ الْفِطْرِ أَنْ يَلْحَقَهُ بِالصَّوْمِ مَشَقَّةٌ يُشَقُّ احْتِمَالُهَا [4] Imam al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj m’a Hasyiah al-Syabramallisi, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah (2003), jld. 3, hlm. 185. (قَوْلُهُ: وَيُبَاحُ تَرْكُهُ) وَيَنْبَغِي قِيَاسًا عَلَى مَا تَقَدَّمَ فِي التَّيَمُّمِ أَنَّهُ لَا يَجُوزُ لَهُ ذَلِكَ إلَّا بِإِخْبَارِ طَبِيبٍ عَدْلٍ مُسْلِمٍ وَإِلَّا فَلَا يُبَاحُ لَهُ التَّرْكُ، [5] Imam Khatib al-Syirbini, Op.cit. ثُمَّ إنْ كَانَ الْمَرَضُ مُطْبِقًا فَلَهُ تَرْكُ النِّيَّةِ بِاللَّيْلِ أَوْ مُتَقَطِّعًا كَأَنْ كَانَ يُحَمُّ وَقْتًا دُونَ وَقْتٍ نَظَرَ إنْ كَانَ مَحْمُومًا وَقْتَ الشُّرُوعِ جَازَ لَهُ تَرْكُ النِّيَّةِ، وَإِلَّا فَعَلَيْهِ أَنْ يَنْوِيَ، وَإِنْ عَادَ الْمَرَضُ وَاحْتَاجَ إلَى الْإِفْطَارِ أَفْطَرَ، [6] Rujuk: http://mycare.islam.gov.my/images/documents/PANDUAN_HUKUM_UJIAN_SARINGAN_DAN_PROSEDUR_RAWATAN_COVID19.pdf |
197 | Soalan Assalamualaikum, saya baru-baru ini telah diisytiharkan muflis kerana tidak mampu melangsaikan hutang dalam sesuatu tempoh. Persoalan saya adakah saya wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga saya. Mohon pencerahan pihak Mufti. Terima kasih. Ringkasan Jawapan Mereka yang diisytihar sebagai muflis atau bankrap oleh pihak berautoriti wajib mengeluarkan zakat fitrah atas dirinya atau tanggungannya jika dia memiliki harta melebihi keperluan makanan asasi pada malam dan pagi hari raya. Namun, sekiranya seseorang yang muflis itu tidak mempunyai sumber pendapatan yang lain, mahupun harta maka dia tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah, bahkan dia berhak menerima zakat. Huraian Jawapan Zakat fitrah merupakan zakat yang wajib dikeluarkan bagi setiap individu muslim pada hari terakhir bulan Ramadan setelah terbenam matahari atau pada pagi hari raya[1], apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan syarak. Kewajipan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA, Nabi SAW bersabda: فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ Maksudnya: Wajib mengeluarkan zakat Fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam sebanyak satu gantang tamar atau satu gantang tepung barli bagi setiap yang merdeka atau hamba sama ada lelaki atau perempuan muslim. Riwayat Muslim Persoalan tentang kewajipan zakat fitrah bagi mereka yang muflis. Dalam hal ini, muflis adalah mereka yang tidak mampu membayar hutang atau bankrap[2]. Oleh sebab itu, pemerintah telah mengisytiharkan mereka sebagai bankrap atau muflis malah mereka juga dilarang menggunakan hartanya[3]. Dalam konteks kerajaan Malaysia seseorang yang bankrap hanya tidak dibenarkan bekerja dalam profesion tertentu seperti peguam, akauntan dan seumpamanya[4]. Namun mereka yang muflis atau bankrap boleh bekerja atau meneruskan pekerjaan yang dibenarkan oleh pihak autoriti[5]. Berdasarkan penjelasan di atas, muflis menggambarkan bahawa mereka yang berhutang dan hutangnya melebihi harta yang dimilikinya. Mereka juga berkemungkinan memiliki pekerjaan bahkan harta, malahan mungkin juga mereka ini tidak termasuk dalam golongan yang susah. Oleh sebab itu, mereka yang muflis atau bankrap juga wajib mengeluarkan zakat sekiranya memenuhi segala syarat-syaratnya iaitu Islam, berkesempatan hidup setelah terbenamnya matahari pada hari terakhir bulan Ramadan dan memiliki harta melebihi keperluan makanan asasi untuk diri dan tanggungannya pada malam hari Raya dan siangnya[6]. Bagi mereka yang susah dan tidak memiliki makanan asasi yang cukup pada hari yang diwajibkan untuk mengeluarkan zakat iaitu pada malam dan pagi hari Raya, mereka ini tidak diwajibkan untuk mengeluarkan zakat. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya: فَالْمُعْسِرُ لَا فِطْرَةَ عَلَيْهِ، وَكُلُّ مَنْ لَمْ يَفْضُلْ عَنْ قُوتِهِ وَقُوتِ مَنْ فِي نَفَقَتِهِ، لَيْلَةَ الْعِيدِ وَيَوْمَهُ، مَا يُخْرِجُهُ فِي الْفِطْرَةِ، فَهُوَ مُعْسِرٌ، وَمَنْ فَضَلَ عَنْهُ مَا يُخْرِجُهُ فِي الْفِطْرَةِ مِنْ أَيِّ جِنْسٍ كَانَ مِنَ الْمَالِ، فَهُوَ مُوسِرٌ. Maksudnya: Mereka yang dalam kesusahan tidak wajib membayar zakat fitrah. Mereka ialah orang yang tidak memiliki makanan asasi yang cukup bagi dirinya dan dibawah tanggungannya untuk dikeluarkan sebagai zakat fitrah pada malam dan pagi hari raya maka dia dikategorikan sebagai orang susah. Manakala sesiapa yang mempunyai lebihan daripadanya sesuatu yang boleh dikeluarkan untuk zakat fitrah daripada pelbagai jenis harta maka dia termasuk dalam kalangan orang yang mampu.[7] Oleh itu, mereka yang diisytihar sebagai muflis atau bankrap oleh pihak berautoriti wajib mengeluarkan zakat fitrah atas dirinya atau tanggungannya jika dia memiliki harta melebihi keperluan makanan asasi pada malam dan pagi hari raya. Namun, sekiranya seseorang yang muflis itu tidak mempunyai sumber pendapatan yang lain, mahupun harta maka dia tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah, bahkan dia berhak menerima zakat. Wallahu’alam Rujukan: [1] Zakaria bin Muhammad bin Zakaria al-Ansari, Asna al-Matalib fi Syarh Raud al-Talib. (Dar al-Kutub al-Islamiy) Jld. 1, Hlm. 390 (وَيُخْرَجُ) وُجُوبًا فِطْرَةُ هَؤُلَاءِ (فِي الْحَالِ) أَيْ فِي يَوْمِ الْعِيدِ وَلَيْلَتِهِ [2] Rujuk: https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=bankrap [3] Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415) Jld. 3 Hlm. 97 جَعْلُ الْحَاكِمِ الْمَدْيُونَ مُفْلِسًا بِمَنْعِهِ مِنْ التَّصَرُّفِ فِي مَالِهِ [4] Rujuk: https://www.mdi.gov.my/index.php/ms/utama/soalan-lazim/103-bankruptcy-faq/1664-25-apakah-kesan-ke-atas-seorang-bankrap-yang-mempunyai-pekerjaan-dalam-profesion-tertentu [5] Rujuk: https://www.mdi.gov.my/index.php/ms/utama/soalan-lazim/103-bankruptcy-faq/1662-23-memandangkan-saya-memerlukan-kebenaran-kpi-untuk-meneruskan-pekerjaan-sekarang-atau-mendapatkan-pekerjaan-yang-baru-apa-yang-perlu-dilakukan-untuk-mendapatkan-kebenaran-tersebut [6] Fiqh manhaji, Jld. 1 Hlm. 229 الأول - الإسلام: فلا تجب على الكافر الأصلي وجوب مطالبة في الدنيا، للحديث السابق ذكره عن ابن عمر رضي الله عنهما. الثاني- غروب شمس آخر يوم من رمضان: فمن مات بعد غروب ذلك اليوم، وجبت زكاة الفطر عنه، سواء مات بعد أن تمكن من إخراجها، أم مات قبله، بخلاف من ولد بعده. ومن مات قبل غروب شمسه لم تجب في حقه، بخلاف من ولد قبله. الثالث- أن يوجد لديه فضل من المال، يزيد عن قوته وقوت عياله ف يوم العيد وليلته [7] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin. (Beirut: al-Maktabah al-Islamiy, 1412) Jl. 2 Hlm. 299 |
199 | Soalan : Assalamualaikum ustaz. Maaf menganggu ustaz. Saya ada soalan tapi soalan saya ini agak rumit sedikit ustaz. Suami saya ada 3 orang adik beradik. Adik yang pertama lelaki. Adik yang kedua perempuan. Adik yang bongsu juga lelaki. Adik perempuan saya berkahwin dengan seorang duda. Duda itu mempunyai tiga orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Adik bongsu suami saya pula minat untuk berkahwin dengan salah seorang anak perempuan tiri adik kedua suami saya. Anak-anak tiri adik perempuan suami saya tu pula panggil adik bongsu suami saya Pak Su. Boleh atau tidak adik lelaki bongsu suami saya berkahwin dengan anak tiri sulung adik perempuan suami saya. Mereka macam suka sama suka. Boleh atau tidak dari segi hukum?. Mohon pencerahan ustaz. Kalau ustaz mahu saya lakarkan saya boleh lakarkan permasalahan saya ini. Ringkasan jawapan : Adik lelaki kepada suami puan dibenarkan untuk berkahwin dengan anak tiri kepada adik perempuan suami. Ini kerana, anak tersebut dianggap bukan mahram kepada adik lelaki suami puan. Oleh kerana itu, dari sudut aurat perlu dijaga dan antara implikasi yang lain adalah dibenarkan untuk berkahwin dengannya. Huraian jawapan : Allah ﷻ telah menyatakan secara terperinci perihal sebahagian golongan yang diharamkan untuk berkahwin yang disebut juga sebagai Mahram. Ini terlihat melalui firman Allah ﷻ : حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿٢٣﴾ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۖ كِتَابَ اللَّـهِ عَلَيْكُمْ ۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ Maksudnya : “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”[1] Bahkan Nabi ﷺ sendiri menjelaskan berkenaan perihal mahram ini. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A : «لَا تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ عَلَى عَمَّتِهَا، وَلَا الْعَمَّةُ عَلَى بِنْتِ أَخِيهَا، وَلَا الْمَرْأَةُ عَلَى خَالَتِهَا، وَلَا الْخَالَةُ عَلَى بِنْتِ أُخْتِهَا، وَلَا تُنْكَحُ الْكُبْرَى عَلَى الصُّغْرَى، وَلَا الصُّغْرَى عَلَى الْكُبْرَى Maksudnya : “Seorang wanita tidak boleh dinikahi bersama mak ciknya. Begitu juga tidak boleh menikahi mak cik bersama anak saudaranya. Jangan dinikahi wanita bersama mak cik sebelah ibunya begitu juga seorang mak cik dengan anak saudaranya. Dan jangan dinikahi yang besar bersama yang kecil dan yang kecil bersama yang besar.”[2] Justeru itu, ayat berkenaan mahram ini adalah ayat muhkam. Iaitu yang mempunyai dilalat yang jelas dan kuat yang tidak menerima sebarang takwil mahupun apa-apa penasakhan. Imam Al-Qurtubi ketika membicarakan perihal isu mahram ini, beliau menukilkan ucapan dan pandangan Imam Al-Tahawi. Imam Al-Tahawi menyebut : وَكُلُّ هَذَا مِنَ الْمُحْكَمِ الْمُتَّفَقِ عَلَيْهِ، وَغَيْرُ جَائِزٍ نِكَاحُ وَاحِدَةٍ مِنْهُنَّ بِإِجْمَاعٍ إِلَّا أُمَّهَاتِ النِّسَاءِ اللَّوَاتِي لَمْ يَدْخُلْ بِهِنَّ أَزْوَاجُهُنَّ، “Kesemua itu merupakan ayat yang Muhkam yang disepakati. Tidak boleh untuk berkahwin dengan mana-mana wanita yang disebutkan berdasarkan ijmak yang telah diputuskan melainkan ibu-ibu para wanita yang mana yang tidak disetubuhi oleh para suami mereka.”[3] Secara ringkasnya, mahram atau golongan yang diharamkan untuk berkahwin ada tiga keadaan. Antaranya mahram disebabkan perkahwinan. Imam Al-Nawawi menyatakan : السَّبَبُ الثَّالِثُ: الْمُصَاهَرَةُ، فَيَحْرُمُ بِهَا عَلَى التَّأْبِيدِ أَرْبَعٌ. إِحْدَاهُنَّ: أُمُّ زَوْجَتِك وَأُمُّ زَوْجَتِكَ مِنْهَا كَأُمِّكَ مِنْكَ، وَسَوَاءٌ أُمَّهَاتُ النَّسَبِ وَالرَّضَاعِ. الثَّانِيَةُ: زَوْجَةُ ابْنِكَ وَابْنِ ابْنِكَ وَإِنْ سَفَلَ بِالنَّسَبِ وَالرَّضَاعِ، وَقَوْلُ اللَّهِ تَعَالَى: (وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ) [النِّسَاءِ: ٢٣] الْمُرَادُ بِهِ أَنَّهُ لَا تَحْرُمُ زَوْجَةُ مَنْ تَبَنَّاهُ. الثَّالِثَةُ: زَوْجَةُ الْأَبِ وَالْأَجْدَادِ وَإِنْ عَلَوْا مِنْ قِبَلِ الْأَبِ وَالْأُمِّ جَمِيعًا، وَتَحْرُمُ زَوْجَةُ الْأَبِ مِنَ الرَّضَاعِ. الرَّابِعَةُ: بِنْتُ الزَّوْجَةِ، وَبِنْتُ زَوْجَتِكَ مِنْهَا كَبِنْتِكَ مِنْكَ، سَوَاءٌ بِنْتُ النَّسَبِ وَالرَّضَاعِ، وَتَحْرُمُ الثَّلَاثُ الْأُولَيَاتُ بِمُجَرَّدِ الْعَقْدِ، بِشَرْطِ أَنْ يَكُونَ صَحِيحًا. فَأَمَّا النِّكَاحُ الْفَاسِدُ، فَلَا يَتَعَلَّقُ بِهِ حُرْمَةُ الْمُصَاهَرَةِ، لِأَنَّهُ لَا يُفِيدُ حِلَّ الْمَنْكُوحَةِ، وَحُرْمَةُ غَيْرِهَا فَرْعٌ لِحِلِّهَا. وَأَمَّا الرَّابِعَةُ، وَهِيَ بِنْتُ الزَّوْجَةِ، فَلَا تَحْرُمُ إِلَّا بِالدُّخُولِ بِالزَّوْجَةِ “ Sebab yang ketiga adalah perkahwinan. Yang diharamkan untuk berkahwin dengannya selama-lamanya ada empat golongan. Yang pertama adalah ibu kepada isteri kamu. Ibu isteri kamu adalah seperti ibu kamu sendiri. Sama ada ibu kandung dan susuan. Yang kedua, isteri kepada anak kamu atau isteri kepada cucu kamu dan ke bawah yang sabit dengan nasab dan susuan. Ini berdasarkan firman Allah : Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu[4]. Yang dimaksudkan adalah tidak diharamkan isteri kepada anak angkat. Yang ketiga, isteri kepada ayah atau datuk dan keatas (moyang dan lain-lain) dari sebelah ayah dan ibu. Begitu juga, diharamkan untuk berkahwin dengan isteri kepada ayah susuan. Yang keempat, anak perempuan kepada isteri. Anak perempuan kepada isteri kamu adalah seperti anak kamu sendiri. Sama ada anak tersebut anak kandung (isteri) atau susuan. Tiga golongan yang pertama diharamkan berkahwin dengan sejurus selepas akad dengan syarat akad (nikah) itu adalah sah. Adapun akad yang fasid, iaitu tidak termasuk dalam mahram disebabkan perkahwinan. Ini kerana, akad yang fasid itu tidak menghalalkan wanita yang dinikahi. Pengharamkan untuk berkahwin dengan yang lain adalah cabang dari sahnya akad. Manakala yang keempat, iaitu anak perempuan kepada isteri. Tidak menjadi mahram melainkan setelah ibunya disetubuhi.”[5] Di samping itu, ada juga wanita yang menjadi mahram disebabkan nasab kekeluargaan. Imam Al-Nawawi menjelaskan : السَّبَبُ الْأَوَّلُ: الْقَرَابَةُ وَيَحْرُمُ مِنْهَا سَبْعٌ الْأُمَّهَاتُ وَالْبَنَاتُ وَالْأَخَوَاتُ وَالْعَمَّاتُ وَالْخَالَاتُ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْت “Sebab yang pertama adalah nasab kekeluargaan. Ada tujuh golongan yang diharamkan berkahwin dengannya. Iaitu ibu, nenek, anak perempuan, saudara perempuan, mak cik sebelah ayah (saudara perempuan ayah),mak cik sebelah ibu (saudara perempuan ibu), anak perempuan kepada saudara lelaki dan perempuan.”[6] Kesemua golongan ini diharamkan untuk berkahwin dengan mereka selama-lamanya. Bagi mahram disebabkan nasab kekeluargaan, Imam Al-Ramli meletakkan garis panduan dalam menentukan perkara tersebut. Beliau menyatakan : وَفِي ضَبْطِ ذَلِكَ عِبَارَتَانِ: إحْدَاهُمَا يَحْرُمُ عَلَى الرَّجُلِ أُصُولُهُ وَفُصُولُهُ وَفُصُولُ أَوَّلِ أُصُولِهِ وَأَوَّلُ فَصْلٍ مِنْ كُلِّ أَصْلٍ بَعْدَ الْأَصْلِ الْأَوَّلِ “Dalam menentukan perkara tersebut adalah dua ibarah. Salah satunya haram kepada seorang lelaki untuk menikahi usulnya (ibu, nenek dan ke atas), anaknya (fusul), anak kepada usulnya (saudara perempuan dan anak perempuan kepada saudara lelaki atau perempuan) dan anak kepada setiap usul selepas usul yang pertama (iaitu mak cik sebelah ayah dan ibu).”[7] Ada mahram disebabkan penyusuan. Kategori ini sama seperti mahram disebabkan nasab kekeluargaan. Ini bermakna seorang lelaki diharamkan untuk berkahwin dengan anak kandung kepada adik beradik termasuk cucu mereka. Justeru, dibenarkan untuk berkahwin dengan golongan selain daripada yang disebutkan. Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, adik lelaki kepada suami puan dibenarkan untuk berkahwin dengan anak tiri kepada adik perempuan suami. Ini kerana, anak tersebut bukan mahram kepada adik lelaki suami puan. Oleh kerana itu, dari sudut aurat perlu dijaga dan antara implikasi yang lain adalah dibenarkan untuk berkahwin dengannya. Nota Hujung : [1] Surah Al-Nisa’ : 23-24 [2] Riwayat Al-Tirmizi no 1045, Abu Daud no 2065 dan Al-Nasaie no 3294. [3] Al-Qurtubi, Muhammad Bin Ahmad, Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran,Dar Al-Kutub Al-Misriyah, Kaherah, j.5 h.106 [4] Surah Al-Nisa : 23 [5] Abu Zakariya Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Raudhah Al-Talibin wa Umdah Al-Muftin(1991), Al-Maktab Al-Islamiy, Beirut, j.7 h.111 [6] Ibid, j.7 h.107 [7] Syamsuddin Al-Ramli, Muhammad Bin Ahmad, Nihayah Al-Muhtaj ila Syarh Al-Minhaj(1983),Dar Al-Fikr, Beirut, j.6 h.271 |
202 | SOALAN: Assalamualaikum. Ana ada satu soalan nak dapatkan kepastian dari pihak mufti, berkenaan perniagaan yang ana nak buat. Ana nak berniaga di shopee/lazada (platform berniaga). Tapi barang belum ada. Ana iklankan barang di shopee/lazada dan tulis pre-order. Bila dapat order, shopee/lazada hold dulu duit tu. Dengan duit sendiri, ana pergi beli barang tersebut dan hantar kepada pembeli. Lepas pembeli terima barang tersebut, barulah shopee/lazada release duit tersebut kepada ana. Kalau ana tak boleh deliver, shopee/lazada pulangkan semula duit tu kepada pembeli. Kalau barang tak ikut spesifikasi juga, pembeli boleh minta refund semula. Harus/halalkah cara berniaga yang ana nak buat ni? Takut termasuk dalam larangan لا تبع ما ليس عندك JAWAPAN RINGKAS: Boleh untuk menjalankan perniagaan konsep pre-order di platform online seperti Lazada dan Shopee kerana ianya termasuk dalam bentuk jual beli salam (bayar dahulu barang dapat kemudian) dan juga kontrak ijarah (upah) yang disepakati fuqaha’ tentang keharusannya. Tambahan lagi, polisi pemulangan semula (return/refund) pada pelanggan dapat menghilangkan risiko barang tidak dapat diserahkan atau tidak sama spesifikasi yang selari dengan prinsip khiyar dalam Islam. HURAIAN JAWAPAN: Konsep pre-order (pra-tempah) e-dagang adalah satu konsep perniagaan masa kini yang banyak digunakan oleh peniaga-peniaga di platform e-dagang. Kelebihan konsep ini adalah penjual tidak perlu mengeluarkan sebarang modal dan juga menyimpan barang jualan. Kebiasaanya, peniaga akan mencari pengilang atau pemborong di dalam atau luar negara yang menawarkan sesuatu barang dengan harga yang murah dan seterusnya menggunakan bahan-bahan seperti gambar dan maklumat produk yang dibekalkan oleh pengilang atau pemborong tersebut untuk mempromosikan di platform e-dagang tersebut dengan harga yang lebih mahal. Selepas mendapat pesanan daripada pelanggan, penjual akan memesan barang tersebut dari pengilang atau pemborong untuk dihantar kepada pelanggan. Duit yang dibayar oleh pelanggan akan kekal berada dalam e-wallet platform tersebut sehinggalah dia menerima barang yang dipesan. Setelah pelanggan menerima barang tersebut dan menyatakan dia telah menerima dan berpuas hati dengan barang tersebut, duit yang disimpan dalam platform e-dagang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun penjual. Oleh kerana itu, konsep perniagaan ini begitu mendapat sambutan daripada kalangan peniaga terutama peniaga yang baru bermula serta pembeli. Hukum Menjual Barang Yang Tidak Dimiliki Hukum berkaitan muamalat adalah harus selagi mana tiada dalil yang menjadikannya haram. Allah s.w.t berfirman: وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ Maksudnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Surah al-Baqarah (275) Imam al-Thabari mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT membenarkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli. وأحلّ الله الأرباح في التجارة والشراء والبيع Maksudnya: Dan Allah s.w.t menghalalkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli. (Rujuk Tafsir al-Tabari 13/6) Manakala Ibn Munzir pula menerangkan bahawa ayat tersebut menjadi dalil kepada wujudnya jual beli yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dalam Islam seperti gharar. دل عَلَى أن من البيوع مَا يجوز وما لا يجوز، فمما ثبت أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «نهى عن بيع الغرر Maksudnya: Ayat ini menjadi dalil kepada jual beli yang dibolehkan dan tidak dibolehkan, contohnya seperti hadis yang diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w melarang jual beli gharar. (Rujuk Al-Iqna’ Ibn al-Munzir 243/1) Imam Mawardi dalam al-Hawi al-Kabir menukilkan bahawa setiap jual beli adalah harus kecuali apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t melalui hadis-hadis nabi atau perkara yang mempunyai unsur yang sama. (قال الشافعي): قال الله وجل عز: {لا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ} [النساء: ٢٩] فَلَمَّا نَهَى رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ - عَنْ بُيُوعٍ تَرَاضَى بِهَا الْمُتَبَايِعَانِ اسْتَدْلَلْنَا أَنَّ الله وجل عز أَحَلَّ الْبُيُوعَ إِلَّا مَا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ -، أَوْ مَا كَانَ فِي مَعْنَاهُ. Maksudnya: Telah berkata Imam Syafie: Allah s.w.t berfirman: “Janganlah kamu makan harta di kalangan kamu dengan cara yang batil kecuali berlakunya jual beli yang kamu redhai antara kamu” (Surah an-Nisa’:29) maka ketika Rasulullah s.a.w melarang sesuatu jual beli yang diredhai antara penjual dan pembeli maka dapatlah dijadikan dalil bagi kita bahawa Allah s.w.t menghalalkan segala jual beli kecuali apa yang diharamkan Allah melalui perkataan nabiNya atau apa yang seerti dengannya. (Rujuk al-Hawi al-Kabir 3/5) Tambahan lagi, terdapat kaedah feqah yang menyatakan bahawa hukum asal bagi perkara berkaitan muamalat adalah harus kecuali terdapat dalil yang mengeluarkannya dari keharusan tersebut. الأصل في المعاملات الحل والإباحة Maksudnya: Hukum asal bagi mu’amalat adalah halal dan harus. (Rujuk Yasalunaka ‘An al-Mu’amalat al-Mu’asarah h.89) Allah s.w.t berfirman: يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيما Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. Surah an-Nisa’ (29) Kaedah mengenai keharusan sesuatu perkara berkaitan mu’amalat adalah berdasarkan perkataan (إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡ) yang bermaksud kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu manakala dalil yang mengeluarkannya dari keharusan tersebut adalah daripada perkataan (لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ) yang bermaksud janganlah kamu makan harta-harta sesame kamu dengan jalan yang salah. (Rujuk Yasalunaka ‘An al-Mu’amalat al-Mu’asarah h.89) Oleh itu, setiap jual beli adalah harus sekiranya menepati syarat dan rukun jual beli. Dr Wahbah Zuhayli menyatakan dalam bukunya al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh bahawa jumhur ulama’ telah sepakat mengenai rukun jual beli sebagaimana berikut. 1. Pembeli 2. Penjual 3. Sighah Akad 4. Barang yang dijual beli (Rujuk al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh 3309/5) Manakala syarat bagi barang yang dijual beli tersebut mestilah memenuhi ciri-ciri berikut: 1. Wujud 2. Bukan perkara yang haram seperti najis 3. Boleh diserahkan kepada pembeli 4. Barang tersebut milik penjual 5. Diketahui oleh pihak yang berakad (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 23-28/3) Selain bab rukun jual beli, para ulama’ juga telah membincangkan secara khusus perkara berkaitan khiyar seperti khiyar majlis, khiyar ‘aib dan khiyar al-shart di mana pembeli mempunyai hak untuk melihat barangan yang dijual dan sekiranya terdapat kerosakan atau kecacatan pada barangan tersebut maka pembeli boleh memulangkannya semula dan mendapatkan semula wang yang telah dibayar. Berkaitan menjual barangan yang tiada, kami nukilkan sabda Rasulullah s.a.w sebagaimana berikut: لاَ تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ Maksudnya: Janganlah kamu jual barang yang tiada padamu. Riwayat Abi Daud (3503) Al-Khattabi menerangkan bahawa larangan yang terdapat dalam hadis ini adalah kerana wujudnya unsur gharar. وإنما نهى عن بيع ما ليس عند البائع من قبل الغرر Maksudnya: Dan larangan terhadap menjual apa yang tidak ada di sisi penjual adalah kerana unsur gharar. (Rujuk Ma’alim al-Sunan 140/3) Unsur gharar yang dimaksudkan merujuk kepada risiko sama ada barang tersebut boleh diserahkan kepada pembeli dan juga risiko barang yang diserahkan tersebut tidak sama mengikut spesifikasi yang dinyatakan. Kami melihat jual beli dengan konsep pre-order ini paling hampir dengan konsep bai’ salam dan juga ijarah (upah) yang disepakati fuqaha’ akan keharusannya. 1. Dalam konsep jual beli Salam, pembeli akan memberikan wang terlebih dahulu kepada penjual kemudian penjual akan memesan daripada pembekal atau pengilang dan seterusnya diserahkan kepada pembeli pada waktu yang telah ditetapkan. Konsep ini menurut Imam Nawawi berbeza dengan larangan Rasulullah s.a.w untuk menjual barang yang tiada. والسلم بيع من البيوع الجائزة مستثنى من نهيه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ ما ليس عندك، فإن صاحب رأس المال محتاج إلى أن يشترى الثمرة وصاحب الثمرة محتاج إلى ثمنها قبل إبانها لينفقه عليها، فظهر أن بيع السلم من المصالح الحاجية Maksudnya: Dan Salam adalah satu bentuk jual beli yang diharuskan berbeza dengan larangan Rasulullah s.a.w berkenaan menjual barang yang tidak dimiliki, kerana pemilik harta berhajat untuk membeli buah dan pemilik buah berhajat kepada wang sebelum waktunya untuk menyerahkan buah kepadanya, maka timbullah jual beli salam untuk memenuhi keperluan masyarakat. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 97/13) 2. Manakala bagi ijarah atau upah pula, pihak pembeli dikira memberi upah kepada penjual tersebut untuk membelikannya barang tersebut. Dalam hal ini, upah yang diterima penjual adalah atas usahanya untuk mencari dan memesan barang yang dikehendaki. Sekalipun konsep-konsep tersebut telah disepakati keharusannya, syarat-syarat berikut perlu dipenuhi dalam jual beli pre-order bagi mengelakkan unsur jahalah (tidak diketahui) pada barang yang dijual beli tersebut. Barang yang dijual beli boleh dijamin kewujudannya oleh penjual Waktu penyerahan barang kepada pelanggan jelas. Kesimpulan Boleh untuk menjalankan perniagaan konsep pre-order di platform online seperti Lazada dan Shopee kerana ianya termasuk dalam bentuk jual beli salam (bayar dahulu barang dapat kemudian) dan juga kontrak ijarah (upah) yang disepakati fuqaha’ tentang keharusannya. Tambahan lagi, polisi pemulangan semula (return/refund) pada pelanggan dapat menghilangkan risiko barang tidak dapat diserahkan atau tidak sama spesifikasi yang selari dengan prinsip khiyar dalam Islam. Kami juga ingin menyarankan bagi peniaga yang ingin menjalankan perniagaan dengan konsep demikian untuk meminta kebenaran terlebih dahulu dari pihak pembekal untuk menjadi wakil penjual untuk memastikan kemampuan barangan tersebut untuk diserahkan kepada pembeli dan juga waktu serah terima tersebut. |
203 | SOALAN Adakah dibolehkan bagi seseorang jemaah untuk mencukur atau menggunting rambut orang lain sebelum dia bercukur atau bergunting rambutnya sendiri? JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Bercukur atau bergunting dalam ibadah haji dan umrah bermaksud menanggalkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut setelah sempurna melakukan tawaf dan sa’ie. Antara dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan bercukur atau bergunting ini adalah seperti berikut: Allah SWT berfirman: لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ Maksudnya: “Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram - insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) - Dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadah umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan dengan menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak perlu merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).” (Surah al-Fath : 27) Merujuk kepada persoalan di atas, dibolehkan untuk seseorang itu bercukur bagi diri jemaah yang lain sebelum bercukur atau bergunting bagi pihak dirinya sendiri. Namun begitu, adalah terlebih aula (utama) dan afdhal untuk bercukur atau bergunting bagi pihak dirinya terlebih dahulu sebelum melakukannya terhadap orang lain. Firman Allah SWT: فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ Maksudnya: “Oleh itu berlumba-lumbalah kamu dalam melakukan kebaikan (beriman dan beramal soleh).” (Surah al-Maidah: 48) Al-Maraghi berkata bahawa berlumba-lumba dalam (mengejar) kebaikan dan melakukan amalan soleh ialah dengan cara mengisi kesempatan dengan melakukan hal yang baik dan melipatgandakan amalan kebaikan. Ini kerana, orang yang cemerlang dalam perlumbaan itulah yang paling dekat dengan Allah SWT. Maka, dalam apa jua kebajikan sekalipun, segerakanlah diri dalam menyempurnakan amalan tersebut melebihi orang lain. (Rujuk al-Maraghi, 3/1595) Antara amalan yang sunat untuk dilakukan ketika pelaksanaan begunting atau bercukur: Bagi lelaki, afdhal bercukur seluruh kepala. Bagi wanita, disunatkan menggunting rambut sepanjang seruas jari dari mana-mana sudut kepala. Bagi yang tidak mempunyai sebarang rambut (botak licin) sama ada semulajadi atau baru dicukur adalah sunat melalukan mata pisau cukur di atas kepala. Mulakan bercukur atau bergunting di bahagian kanan, kemudian di bahagian kiri dengan menghadap ke arah kiblat, diiringi dengan bacaan doa semasa bercukur atau bergunting sambil memegang rambut di kepala. KESIMPULAN Dalam isu ini, seseorang jemaah haji itu adalah dibolehkan untuk mencukur atau menggunting rambut orang lain sebelum dirinya. Walaubagaimanapun, adalah terlebih afdhal dirinya terlebih dahulu sebelum melakukannya kepada orang yang lain. Di sini kami ingin mengingatkan dan menggalakkan para jemaah agar berlumba-lumbalah kita di dalam merebut dan meraih ganjaran pahala daripada-Nya. Hal ini kerana Allah menyukai orang yang sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya. Rasulullah SAW bersabda, di dalam sebuah hadith qudsi Allah SWT berfirman: وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا ، وَإِنْ أَتَانِى يَمْشِى أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً Maksudnya: “Jika dia (hamba-Ku) dekat kepada-Ku sejengkal, Aku akan dekat kepadanya sehasta. Jika dia (hamba-Ku) dekat kepada-Ku sehasta, Aku dekat kepadanya sedepa. Jika dia (hamba-Ku) datang kepada-Ku dengan berjalan (biasa), maka Aku mendatanginya dengan berjalan cepat.” Riwayat al-bukhari (6970) Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin. Wallahua’lam |
204 | Soalan : Assalamualaikum w.b.t Saya telah mengerjakan umrah buat pertama kalinya. Semasa saie, saya telah berhenti seketika untuk minum air zamzam dan selepas itu, meneruskan perjalanan sa’ie tanpa berundur beberapa langkah ke belakang. Soalan saya, adakah sah sa’ie dan umrah saya tanpa berundur beberapa langkah ke belakang selepas berhenti minum air zamzam ketika melakukan sa’ie? Saya amat berharap akan penjelasan daripada Tuan Mufti. Jawapan : Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. Kami mulakan dengan firman Allah SWT : وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ Maksudnya : “Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah: 196) Begitu juga, berdasarkan sebuah hadis daripada Aisyah R.Anha, katanya : “Wahai Rasulullah, adakah jihad bagi kaum wanita?” Baginda bersabda : نَعَمْ: جِهَادٌ لاَ قِتَالَ فِيهِ : الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ Maksudnya : “Ya, jihad tanpa peperangan, iaitu haji dan umrah.” [HR Ibn Majah (3013)] Para ulama’ telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardhu, tanpa seorang pun di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma’. Begitu juga, berdasarkan pendapat yang lebih jelas daripada Imam al-Syafie, umrah juga adalah fardhu, sebagaimana haji. Dan ayat dia atas adalah merupakan dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah fardhu. Selain itu, mereka juga telah bersepakat mengatakan bahawa haji dan umrah wajib dilakukan oleh mereka yang mampu, hanya sekali seumur hidup. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (2/115-116) dan al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hal. 378-379] Rukun-rukun umrah Sepertimana yang kita ketahui, rukun ialah bahagian-bahagian yang asas bagi sesuatu ibadah. Maka, amalan (rukun) umrah adalah seperti berikut : Ihram umrah adalah sebagaimana ihram haji. Melakukan tawaf umrah. Sa’ie di antara Bukit Safa dan Marwah Bercukur atau bergunting rambut. Syeikh Abd al-Fattah Husein menyatakan difahami daripada perkataan penulis iaitu Imam al-Nawawi bahawa rukun yang kelima bagi ibadah umrah ialah Tertib. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (2/144) dan al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hal. 386] Berhenti seketika minum air zamzam ketika sedang sa’ie Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, secara asasnya kita mengetahu bahawa sa’ie di antara Bukit Safa dan Marwah adalah merupakan antara rukun-rukun umrah. Seseorang yang mengerjakan ibadah umrah dan haji hendaklah melakukan pusingan sebanyak 7 kali, iaitu berjalan daripada Bukit Safa dan Marwah dikira satu pusingan, kemudian daripada Marwah ke Safa dikira lagi satu pusingan dan begitulah seterusnya, sehinggalah cukup 7 kali pusingan dengan berakhir di Marwah. [Lihat : al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hal. 257] Selain daripada itu, sekiranya seseorang yang sedang sa’ie itu berhenti untuk berehat atau pulang ke hotel. Perkara tersebut tidak membatalkan atau merosakkan ibadah sa’ienya, dan dia hanya perlu menyambung dan menyempurnakan baki bilangan sa’ienya sahaja kerana muwalah antara bilangan sa’ie hukumnya adalah sunat. [Lihat : al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hal. 259] Begitulah juga, sekiranya seseorang itu minum air zamzam di tempat yang disediakan sepanjang laluan sa’ie. Selesai minum dia hanya perlu meneruskan sahaja perjalanan sa’ie tersebut tanpa perlu berpatah balik beberapa langkah. Hal ini kerana setiap langkah yang dilaluinya itu adalah dikira, dengan syarat dia masih di dalam kawasan mas’a (tempat sa’ie) serta di laluan yang betul. Akan tetapi berbeza sekiranya dia telah keluar daripada kawasan mas’a, kemudian masuk semula bagi menyambung dan menyempurnakannya. Kami berikan dua contoh agar lebih mudah untuk faham berdasarkan kepada dua situasi : Situasi pertama : Seseorang itu telah melakukan sa’ie di tingkat bawah dan selesai satu pusingan sa’ienya (daripada Bukit Safa ke Marwah). Kemudian, dia ingin meneruskan baki pusingan di tingkat atas, maka dalam hal ini dia hanya perlu memulakan sa’ienya di Marwah. Situasi kedua : Seseorang itu telah melakukan sa’ie di tingkat bawah dan selesai satu pusingan sa’ienya (daripada Bukit Safa ke Marwah). Kemudian, meneruskan pula perjalanan bagi pusingan kedua. Ketika di pertengahan jalan dan belum sampai pun lagi di Safa, dia mahu melakukannya di tingkat atas. Maka dalam hal ini, dia perlu memulakannya di tempat yang dia berhenti (mengikut jarak pada sangkaannya yang kuat) dan kami syorkan sekiranya dapat berundur beberapa langkah ke belakang, adalah lebih baik sebagai langkah berhati-hati (ihtiyatan). Kesimpulannya Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelas diteliti pandangan para ulama mengenainya, kami berpendapat bahawa seseorang yang minum air zamzam di tempat yang disediakan sepanjang laluan mas’a, tidak perlu berundur dua tiga langkah ketika mahu menyambung dan meneruskan ibadah sa’ienya. Hal ini kerana setiap langkah yang dilaluinya itu (di kawasan mas’a) adalah dikira sa’ie, sekalipun berhenti berehat sebentar, atau pergi ke arah tempat air zamzam untuk minum (yang di dalam mas’a) yang sehala dengan laluan sa’ienya. Hukum sa’ie yang dikerjakan olehnya itu sah dan tidak perlu mengulanginya. Bagi mendapatkan perbahasan lanjut berkenaan sa’ie bolehlah membaca artikel kami di dalam al-Kafi li al-Fatawi : Hukum Perlebaran Tempat Sa’ie. Akhir sekali, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT menerima amal ibadah kita. |
206 | MUKADIMAH Alhamdulillah, pada hari Khamis bersamaan 11 Februari 2016, bertempat di Dewan Putra PICC Putrajaya, satu mesyuarat induk Majlis Perundingan Islam (MPI) telah diadakan dan dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Menariknya, Majlis Perundingan Islam ini dianggotai oleh ramai tokoh yang berbeza latar aliran dari kalangan ilmuan, agamawan, tokoh-tokoh korporat, pertubuhan bukan kerajaan, serta tokoh politik dari kalangan umat Islam. Ia bertujuan untuk mencapai keputusan yang tuntas dan baik untuk umat Islam serta berusaha untuk menatijahkan suatu keputusan yang boleh diterima pakai oleh semua pihak. Alhamdulillah usaha yang murni ini telah mendapat sokongan dari semua pihak yang terlibat. Idea yang bernas dan tuntas juga telah dikemukakan oleh peserta-peserta yang hadir. Persoalan yang boleh kita timbulkan, adakah perbezaan itu sewajarnya menatijahkan permusuhan ? Dalam menjalani kehidupan di dunia ini, kita berhadapan dengan manusia yang pelbagai. Berlainan agama, bangsa, keturunan, warna kulit, sosio budaya dan seumpamanya sudah tentu akan membawa kepada perbezaan ideologi dan pendapat. Bahkan setiap kita tidak dapat tidak pasti akan berbeza antara satu sama lain. Cumanya, cara kita menyantuni dan berinteraksi dengan perbezaan inilah yang akan menentukan sama ada perbezaan pendapat sesama kita ini akan menatijahkan suatu kebaikan atau keburukan. Justeru, Bayan Linnas pada siri ini akan mengupas dengan lebih lanjut berkenaan isu ini dalam usaha memberi keterangan umum buat umat Islam. DEFINISI KHILAF Ketika kita membincangkan soal khilaf ataupun perselisihan pendapat, tidaklah menjadi satu kehairanan apabila kita mendapati bahawa para ulama sendiri berkhilaf dalam mendefinisikan khilaf. Sebahagian mereka menyatakan bahawa khilaf dan ikhtilaf adalah sama. Manakala sebahagian ulama lain pula mengatakan pada keduanya terdapat perbezaan. Di sini suka kami kongsikan definisi khilaf menurut al-Imam Raghib al-Asfahani. Kata beliau Rahimahullah: Khilaf adalah seseorang itu mengambil suatu jalan yang berbeza dengan jalan orang yang lain di dalam perbuatan dan juga ucapannya. Rujuk Mufradat al-Quran, al-Raghib al-Asfahani (Hlm. 294) Justeru, jelaslah bagi kita bahawa khilaf itu adalah perbuatan yang berlawanan dengan kesepakatan. PERSELISIHAN ITU FITRAH MANUSIA Dalam menceritakan hal ini, Allah S.W.T berfirman: وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخۡتَلِفِين إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَۚ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمۡ Maksudnya: Dan sekiranya Tuhan kamu mahu nescaya Dia akan menjadikan manusia itu sebagai sebuah umat yang satu. Dan sentiasalah mereka itu saling berselisihan sesama mereka melainkan golongan yang mendapat rahmat dari Tuhan kamu. Oleh sebab itulah Dia menciptakan mereka. Surah Hud (118-119) Kata al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah ketika mengulas berkenaan ayat ini: Sentiasalah manusia itu berselisih pandangan di dalam agama, pegangan, aliran, mazhab, dan pendapat-pendapat mereka. Kecuali golongan yang dirahmati oleh Allah dari kalangan pengikut para Rasul. Yang mana mereka itu berpegang teguh dengan apa yang telah agama perintahkan hasil dari perkhabaran-perkhabaran yang telah para rasul sampaikan kepada mereka. Kata al-Hasan al-Basri Rahimahullah: Disebabkan perselisihan inilah Allah menciptakan mereka. Sebagaimana kata Ibn Abbas R.anhuma: Allah menciptakan mereka kepada dua kelompok. Ada di antara mereka yang derita dan ada dari kalangan mereka golongan yang bahagia. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (7/362) SEBAB-SEBAB KHILAF DAN CARA PENYELESAIANNYA: Seperti yang telah dinyatakan, tabiat peribadi, hala tuju, minat dan kesukaan, akan menyebabkan seseorang berbeza dengan orang lain. Tambahan pula ilmu yang mereka pelajari di pelbagai tempat akan menyebabkan terkesannya seseorang dengan guru-guru dan tempat belajar mereka. Berikut merupakan beberapa faktor utama berlakunya perbezaan pendapat yang dapat kami kongsikan: Pertama: Masalah Ilmu. Ini kerana, kejahilan adalah musuh utama bagi manusia. Justeru, menghilangkan sisi kejahilan dan menambahkan kefahaman akan membawa perasaan hormat dan dapat menerima kepelbagaian pendapat jika ianya berasaskan hujah dan juga dalil yang sahih. Kedua: Tafsiran Terhadap Nas Berdasarkan Kepada Idrak Atau Capaian Kefahaman. Perkara ini juga merupakan sebab berlakunya perbezaan pendapat. Ianya dapat dikesan dengan cara fikir dan cara memahami seseorang itu terhadap nas. Ia dapat diselesaikan juga dengan cara menambah ilmu pengetahuan dan juga mendapatkan pencerahan. Ketiga: Wujudnya Taksub Dan Sifat Ekstrem Dengan Pendapat Sendiri. Sifat taksub baik kepada pandangan sendiri, pandangan guru, ataupun Jemaah sendiri serta menganggap bahawa kebenaran mutlak hanya milik kita dan selain kita kesemuanya salah adalah sifat buruk yang perlu dihindarkan dalam usaha untuk mengelakkan perbalahan semasa berbeza pendapat. Bahkan berlapang dada dan meraikan kepelbagaian pendapat itu adalah suatu yang terpuji. Keempat: Sifat Kesumat Dan Hasad Dengki. Sifat-sifat ini hanya akan menatijahkan perasaan permusuhan sesama kita. Hal ini sangat sukar untuk ditangkis kecuali jika diri kita disiram dengan keimanan dan sifat mahmudah seperti ikhlas, rendah diri, juga sifat rahmah. Ingatlah bahawa saudara yang kita musuhi itu adalah merupakan saudara seislam dan seiman dengan kita juga. ADAB MUZAKARAH Berikut suka untuk kami kongsikan beberapa adab semasa bermuzakarah terutamanya dalam isu-isu yang terdapat padanya perbezaan: 1- Hendaklah perbincangan dilakukan dalam suasana yang penuh akhlak dan adab mulia. 2- Muzakarah dilakukan dengan tujuan untuk mencari kebenaran dan bukannya kemenangan. 3- Kita niatkan muzakarah itu kerana Allah S.W.T. 4- Sentiasa menjaga adab berhiwar dan adab melontarkan pandangan. 5- Menggunakan bahasa yang baik dan lemah lembut serta menzahirkan perasaan kasih sayang antara satu sama lain. 6- Perdebatan atau sebarang muzakarah berpandukan dalil dan wahyu yang sahih bukannya berpandukan emosi, taksub, dan keras kepala. 7- Sentiasa menunjukkan sifat tawadhuk antara satu sama lain. 8- Jauhi sifat hasad dan dendam kesumat serta jauhi sifat marah semasa bermuzakarah. Jika kesemua perkara ini dapat dilakukan maka sudah barang pastilah kebenaran yang dicari akan dapat diperoleh. Insha Allah. TELADAN PARA SALAF AL-SOLEH DALAM MENANGANI KHILAF Dikongsikan di sini, beberapa kisah para ulama yang boleh kita jadikan sebagai teladar dan iktibar dalam usaha kita berinteraksi dengan khilaf atau perbezaan pendapat sesama kita. Pertama: Kisah Saiduna Uthman Dan Saiduna Ibn Mas’ud. Saiduna Abdullah Ibn Mas’ud berbeza pandangan dengan Saiduna Uthman bin Affan dalam isu solat penuh semasa musafir. Beliau berpendapat hendaklah dilakukan solat secara qasar ketika seorang itu dalam permusafiran. Ketika mana Saiduna Uthman menjadi imam, beliau melakukan solat secara penuh sebanyak 4 rakaat semasa di Mina. Ibn Mas’ud tetap mengikutnya sebagai makmum tanpa melakukan qasar. Justeru ditanyakan kepada Ibn Mas’ud : Kenapa engkau solat empat rakaat sedangkan kau dahulunya pernah solat bersama Rasulullah, Abu Bakr, dan Umar secara qasar ? Maka jawab Ibn Mas’ud: Khilaf itu adalah suatu yang buruk. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah ketika mengulas isu ini berkata: Ini kerana, maslahah menimbulkan kesatuan dan kasih sayang dalam agama adalah lebih besar dari melakukan perbuatan tersebut. Sama halnya ketika Nabi S.A.W meninggalkan pengubahan semula baitullah disebabkan dengan mengekalkannya dapat menyatukan dan menimbulkan kasih sayang di dalam hati-hati manusia. Rujuk Majmu’ah al-Fatawa, Ibn Taimiyyah (22/407) Sangatlah tepat ucapan dan perbuatan Ibn Mas’ud tersebut. Tambahan pula isu ini berkaitan masalah fekah yang terdapat ruang padanya untuk berbeza pendapat. Bahkan Saiduna Uthman dalam masalah ini melakukan takwilan semasa melakukan perbuatan tersebut. Dalam masa yang sama beliau juga merupakan salah seorang khulafa ar-rasyidin yang mana perbuatannya menjadi petunjuk dan ikutan. Kedua: Kisah Para Sahabat Rasulullah S.A.W. Saiduna Anas bin Malik R.anhu berkata: Kami para Sahabat Rasulullah S.A.W pada suatu hari keluar bermusafir. Di antara kami ada yang berpuasa dan ada juga sebahagian kami yang berbuka puasa. Ada di antara kami yang solat penuh dan ada juga sebahagian kami yang solat qasar. Orang yang berpuasa tidak menganggap aib kepada yang berbuka dan begitu juga sebaliknya. Orang yang solat qasar juga tidak menganggap aib kepada orang yang solat penuh dan begitulah juga sebaliknya. Riwayat al-Baihaqi (5225) Demikianlah petunjuk dan teladan yang telah diajarkan oleh para Sahabat kepada kita dalam mendepani perbezaan pendapat. Selama mana kedua-dua pihak mempunyai hujah dan dalil yang kukuh dalam menguatkan pendapat mereka maka tidak perlu untuk kita saling berbalahan dengan perbezaan yang terhasil. Ketiga: Kisah Dua Imam: Al-Syafie Dan Yunus Al-Shodafi. Kata al-Imam Yunus al-Sodafi: Tidak pernah aku melihat seorang pun yang lebih berakal dari al-Syafie. Aku berbeza pendapat dengan beliau dalam satu permasalahan. Kemudian kami berdua berpisah. Lalu beliau berjumpa denganku dan memegang tanganku seraya berkata: Wahai Abu Musa, tidak bolehkah kita berterusan dalam bersaudara sekalipun kita tidak bersepakat dalam satu permasalahan ? Rujuk Siyar A’lam al-Nubala, al-Zahabi (10/16) Demikian Subhanallah, ungkapan Imam al-Syafie ini tidak lain tidak bukan terbit dari sifat keinsafan dan jiwa besar seorang ulama yang ada pada diri beliau. Beliau benar-benar memahami bahawa hakikat perbezaan itu tidak semestinya menatijahkan permusuhan ! Ya, tambahan pula permasalahan yang diperselisihkan hanyalah yang berkaitan dengan isu fekah dan cabang-cabangnya. Keempat : Kisah Tokoh Pembesar Mazhab. Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah berpendapat bahawa perlu perbaharui wudhuk bagi seseorang yang keluar darah dari hidungnya ataupun disebabkan berbekam. Ditanyakan kepada beliau: Sekiranya seorang imam keluar darah dari anggota badannya adakah boleh untuk solat di belakangnya ? Jawab Imam Ahmad: Bagaimana aku tidak solat di belakang Imam Malik dan Sa’id Ibn al-Musayyib ? Rujuk Majmu’ah al-Fatawa, Ibn Taimiyyah (20/364). Kisah ini jelas menunjukkan sifat insaf Imam Ahmad dan juga meraikan pendapat tokoh pembesar ulama seperti Imam Malik dan Said Ibn al-Musayyib. Sekalipun beliau berbeza pendapat dengan Imam Malik dari sudut perlunya berwudhuk ketika keluarnya darah, akan tetapi beliau tetap solat di belakang seorang imam yang mengikuti pendapat Imam Malik dari sudut tidak batalnya wudhuk seseorang yang keluar darahnya ketika solat. Imam al-Syafie Rahimahullah juga ketika beliau solat subuh di masjid Abu Hanifah, beliau tidak melakukan qunut dan tidak menjaharkan bacaan basmalah sekalipun ia berbeza dengan pendapat mazhab beliau. Rujuk Thabaqat al-Hanafiyyah (1/433). Ia jelas menggambarkan ketinggian adab beliau dengan pendapat Imam Abu Hanifah dalam kedua permasalahan tersebut. KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN Menekuni sejarah para ulama, kita akan dapati bahawa khilaf telah berlaku sejak dahulu sehinggalah ke hari ini. Oleh itu, pendekatan taqrib kefahaman serta melihat kepada persaudaraan adalah sangat penting. Dengan kata lain, kita meletakkan ukhuwwah islamiah sesama kita itu lebih utama sehingga hati-hati kita tetap bersatu sekalipun buah fikiran kita terdapat padanya khilaf. Kami teringat akan kenyataan yang dinisbahkan kepada tokoh ulama yang terkenal iaitu al-Syeikh Mustafa al-Sibaie: “Kita saling tolong-menolong dalam hal-hal yang kita sepakati. Serta kita saling maaf-memaafi dan memberikan keuzuran dalam hal-hal yang kita perselisihkan.” Semoga dengan sedikit pencerahan dari pihak kami ini akan menjadikan kita akrab dan saling memaafi antara satu sama lain serta dapat berinteraksi dengan perbezaan secara penuh hikmah dan lemah lembut. Akhir kalam, marilah kita sama-sama insafi perintah Allah yang ditujukan kepada kita semua di dalam firman-Nya: وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ Maksudnya: Dan hendaklah kalian berpegang teguh dengan tali Allah dan janganlah kalian berpecah-belah. Surah Aali Imran (103) Akhukum Fillah, S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN 12 FEBRUARI 2016 BERSAMAAN 3 JAMADIL AWAL 1437 H. |
210 | Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya ingin tahu, apakah maksud tauhid dan saya ada terbaca berkenaan martabat-martabat tauhid yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali. Boleh jelaskan? Terima kasih. Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Istilah tauhid menurut bahasa berasal daripada perkataan arab “وحّد” yang bermaksud menyatukan sesuatu, dan perkataan tersebut menunjukkan sesuatu yang tunggal. Ia dengan erti tidak memiliki kesamaan dari sesuatu. Disebabkan itu, bagi menunjukkan keesaan Allah, maka orang Arab menyebut “اللهُ وَاحِدٌ” yang bermaksud Allah adalah Esa dan tidak ada yang menyamai-Nya dalam segala hal. Dengan itu perkataan tauhid (توحيد) mengandungi makna pengetahuan tentang ke-Esaan Allah SWT, tiada tandingan, saingan dan yang sama dengan-Nya. Oleh itu, jika seseorang tidak berkeyakinan sedemikian – meng-Esakan Allah – maka sesungguhnya dia tidak bertauhid. (Lihat Tahzib al-Lughah, 5/192-198 dan Mu’jam Maqayis al-Lughah, hlm. 1084, al-Ta’rifat, hlm. 96) Manakala kalimah tauhid menurut istilah adalah mengesakan Allah terhadap apa sahaja yang khusus bagi-Nya seperti ke-Ilahian, ke-Tuhanan dan nama-nama serta sifat-sifat-Nya. Penggunaan istilah dan maknanya terdapat dalam beberapa firman Allah SWT dalam al-Quran, antaranya firman-Nya: قُلْ هُوَ اللَّـهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ اللَّـهُ الصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya." Surah al-Ikhlas (1-4) Allah SWT turut berfirman: وَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَـٰنُ الرَّحِيمُ Maksudnya: Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: 163) Imam al-Haramain al-Juwaini ketika menjelaskan makna tauhid menyebut, iaitu meyakini keesaan Allah SWT, yang penjelasannya ditujukan untuk membuktikan secara argumentatif keesaan Allah SWT dan bahawa tidak ada Tuhan selain-Nya. (Lihat al-Syamil fi Usul al-Din, hlm. 351) Imam al-Junaid ketika ditanya berkenaan tauhid, lalu beliau menjawab: “Menunggalkan Yang Maha Tunggal dengan mewujudkan Wahdaniyah-Nya melalui kesempurnaan Ahadiyah-Nya, bahawa Dia-lah Yang Esa Yang tiada beranak dan tidak diperanakkan. Tidak ada sekutu, keraguan dan keserupaan bagi-Nya; tidak perlu ada upaya bertanya bagaimana; tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Lihat al-Luma' oleh Abu Nasr al-Siraj al-Tusi – tahqiq Syeikh Abd al-Halim Mahmud dan Taha Abd al-Baqi Surur, hlm. 49) Imam al-Qusyairi pula berkata: “Tauhid ialah kamu mengenali semua alam yang baharu tercipta dengan sebab Allah, yang berdiri dengan-Nya, manakala Dia-lah yang menjalankannya, menumbuhkannya dan mengekalkannya. Tiada satu pun sama ada zarrah atau sekecil-kecilnya dalam mengadakan dan menciptakan, kecuali daripada-Nya.” (Lihat Lataif al-Isyarat, 2/23) Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulum al-Din telah menghuraikan berkenaan hakikat tauhid di mana ia dibahagikan kepada empat martabat seperti berikut: Tauhid orang munafik: Mengucapkan ‘لا أله إلا الله’ dengan lidahnya, tetapi hatinya lalai daripada memahami maknanya. Tauhid orang awam: Mempercayai makna lafaz sepertimana yang dipercayai oleh orang Islam. Tauhid muqarrabin: Orang yang bersaksi dengan mencari kebenaran berdasarkan bukti-bukti yang Allah SWT berikan. Tauhid Siddiqin: Orang yang hanya melihat Allah SWT sebagai kewujudan yang mutlak. Ini yang dinamakan oleh ahli tasawuf dengan fana’ dalam tauhid. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 4/212) Menurut Imam al-Ghazali, martabat yang keempat inilah yang paling tinggi kerana orang tersebut tidak melihat dalam penyaksiannya kecuali satu, dia tidak melihat semua yang wujud itu banyak bahkan ia adalah satu. Inilah martabat yang paling tinggi dalam tauhid. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman yang tepat dalam mengamalkan setiap titah perintah-Nya. Amin. |
212 | Soalan: Adakah perlu orang yang berkorban menyaksikan penyembelihan bagi menyempurnakan korbannya? Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Bagi mereka yang ingin menunaikan ibadah korban, yang terbaik adalah apabila orang yang berkorban itu sendiri menyembelih binatang korbannya. Ini sabit berdasarkan hadith Nabi SAW yang mana Baginda sendiri yang menyembelih binatang korbannya berdasarkan riwayat Anas bin Malik RA: ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا Maksudnya: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibasy putih yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut.” Riwayat Al-Bukhari (5565) & Muslim (1966) Berdasarkan perbuatan Nabi SAW melalui hadith di atas, maka disunatkan bagi mereka yang ingin melakukan korban menyembelih sendiri binatang korbannya mengikut perbuatan Nabi SAW itu. Boleh juga bagi seseorang itu untuk mewakilkan orang lain untuk menyembelih binatang korban buat dirinya namun disunatkan buatnya untuk melihat sembelihan itu meskipun bukannya dirinya yang melakukan sembelihan tersebut. Ini berdasarkan sebuah hadith yang mana Rasulullah SAW telah bersabda: قَوْمِي إِلَى أُضْحِيَّتِكَ فَاشْهَدِيهَا فَإِنَّ لَكِ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ تَقْطُرُ مِنْ دَمِهَا يُغْفَرُ لَكِ مَا سَلَفَ مِنْ ذُنُوبُكَ. قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَنَا أَهْلَ الْبَيْتِ خَاصَّةً أَوْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً؟ قَالَ: بَلْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً Maksudnya: “Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan korban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu. Fatimah bertanya: Wahai Rasulullah! Ini adakah untuk kita ahli Bait sahaja atau untuk kita dan orang Islam keseluruhannya? Jawab Rasulullah SAW: Bahkan untuk kita dan orang Islam keseluruhannya”. Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak (7525) Terdapat beberapa faedah daripada hadith di atas. Antaranya: Arahan Nabi SAW kepada Fatimah R.Anha untuk keluar menyaksikan sembelihan itu menunjukkan bahawa Fatimah R.Anha telah mewakilkan orang lain untuk melakukan sembelihan buatnya. Arahan Nabi SAW kepada Fatimah R.Anha untuk menyaksikan sendiri proses sembelihan itu menunjukkan sunat bagi seseorang yang melakukan korban untuk melihat sembelihannya. Melalui hadith di atas juga menceritakan kelebihan menyaksikan sembelihan sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa yang terdahulu. Hadir menyaksikan proses sembelihan itu sendiri dapat menzahirkan syiar Islam. Kesimpulan Menyaksikan proses sembelihan bagi mereka yang menunaikan ibadah korban adalah disunatkan berdasarkan hadith Fatimah R.Anha yang dinukilkan sebelum ini. Namun, yang terbaik bagi orang yang ingin melakukan ibadah korban adalah menyembelih dengan tangannya sendiri seterusnya menyaksikan sendiri. Wallahu a’lam. Akhukum fillah, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 25 Ogos 2016 bersamaan 22 Zulkaedah 1437H |
213 | Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya, adakah dibolehkan bagi orangg yang dalam keadaan ‘daimul hadas’ (sentiasa berhadas) solat jamak? Contohnya orang yang sentiasa dalam keadaan hadas (angin, darah atau air yang sentiasa keluar dari qubul/ dubur) Adakah dia boleh solat jamak atau tidak? Sebab setahu saya satu wudhuk hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja? Ringkasan Jawapan: Bagi orang yang sentiasa berhadas (seperti perempuan istihadah, orang yang menghidap penyakit kecing tidak lawas, buasir dan lain-lain) wudhuknya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat, begitu juga orang yang bertayammum maka tayammumnya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat kerana kedua-duanya adalah bentuk penyucian yang diharuskan untuk mengharuskan (ibadah) dan bukannya untuk mengangkat (hadas). Harus bagi orang yang bertayammum dan sentiasa berhadas untuk menjamakkan dua solat fardhu (contohnya solat Zuhur dan Asar). Kaifiat solat jamak dan taharah bagi orang yang bertayammum ialah hendaklah bertayammum sebanyak dua sekali iaitu tayammum pertama sebelum solat Zuhur, kemudian tayammum kedua antara selang masa sebelum solat Asar secara berturutan. Manakala kaifiat solat jamak dan taharah bagi orang yang sentiasa berhadas hendaklah dia mengambil wudhuk sebanyak dua kali. Wudhuk yang pertama ialah sebelum solat Zuhur manakala wudhuk yang kedua antara selang masa sebelum solat Asar secara berturutan. Huraian Jawapan: Wa’alaikumussalam WBT. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Di sisi Mazhab Syafie, para ulama’ mengatakan wudhuk bagi orang yang berhadas (seperti perempuan yang istihadah) hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat. Begitu juga dalam masalah orang yang bertayammum, tayammumnya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat. Imam al-Mawardi menyebutkan hal ini seperti berikut: Berdasarkan ayat al-Quran {إِذَا قُمْتُمْ إَلَى الصَّلاَةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ) “sekiranya kamu ingin mengerjakan solat maka basuhlah wajah-wajah kamu (berwudhuk) sehinggalah ayat {فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيداً طَيَّباً) dan sekiranya kamu tidak menemui air maka hendaklah bertayammum dengan debu tanah yang bersih. Maka zahir ayat ini menunjukkan perintah wajib berwudhuk setiap kali waktu solat dan sekiranya tidak menemui air, maka hendaklah bertayammum (sebagai ganti kepada wudhuk). Apabila datangnya ayat berkenaan wudhuk yang mengharuskan untuk dihimpunkan semua solat dengan satu wudhuk, maka ia menafikan hukum tayammum. Hal ini kerana tayammum adalah satu bentuk penyucian disebabkan darurat maka ia tidak boleh diperluaskan untuk mengerjakan dua bentuk ibadah fardhu (dengan satu tayammum) seperti mana tidak boleh perempuan yang beristihadhah melaksanakan dua solat fardhu (dengan satu wudhuk). (Rujuk: al-Mawardi, al-Hawi al-Kabir, 1/258). Justeru, jelaslah bahawa bagi orang yang sentiasa berhadas (seperti perempuan istihadah, orang yang menghidap penyakit kecing tidak lawas, buasir dan lain-lain) wudhuknya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat, begitu juga orang yang bertayammum maka tayammumnya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat kerana kedua-duanya adalah bentuk penyucian yang diharuskan untuk mengharuskan (ibadah) dan bukannya untuk mengangkat (hadas). Namun persoalannya, adakah dibolehkan orang yang berhadas atau bertayammum untuk menjamakkan solat? Hal ini kerana solat jamak dilakukan dengan cara menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat fardhu dalam satu waktu, iaitu menghimpunkan solat Zohor dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak dalam satu waktu yang sama, sama ada dalam waktu yang pertama atau yang kedua. Dan sekiranya boleh, bagaimanakah cara berwudhuk dan pelaksanaan solat tersebut? Para ulama’ Syafi’ieyyah membahaskan masalah ini seperti berikut: Menurut Imam al-Nawawi: Majoriti ashab (Syafi’iyyah) mengatakan harus untuk menjamakkan dua solat bagi orang yang bertayammum, dan tidak memudaratkan senggang masa antara keduanya (solat yang pertama yang kedua) dengan tuntutan (berturutan antara kedua-dua solat), namun diringankan tuntutan tersebut (dalam masalah tayammum). (Rujuk: al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 4/375). Disebutkan di dalam kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah: Dalam mazhab Syafie (di antara syarat jamak taqdim) ialah berturutan di antara dua solat, yang mana tidak memanjangkan senggang masa di antara keduanya sekadar cukup untuk melaksanakan solat dua rakaat dengan cara yang paling mudah, dan janganlah melaksanakan solat rawatib di antara keduanya. Dan diharuskan untuk memisahkan (antaran senggang masa keduanya) dengan azan, iqamah dan bersuci. Sekiranya seseorang mengerjakan solat zohor sedangkan dia bertayammum, dan dia ingin menjamakkannya dengan solat asar, maka tidak memudaratkannya untuk memisahkan antara kedua solat tersebut dengan tayammum yang kedua (untuk solat asar). Hal ini adalah kerana tidak boleh menghimpukan dua solat dengan satu tayammum. (Rujuk: ‘Abd al-Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, 1/373). Menurut Imam al-Nawawi: Dan sekiranya seseorang yang bertayammum menjamakkan dua solat, maka ianya adalah harus mengikut pandangan yang sahih. Maka waktu solat yang pertama tersebut juga menjadi waktu solat yang kedua. (Rujuk: al-Nawawi, Raudhah al-Tolibin, 1/119). Oleh yang demikian, hal ini jelas menunjukkan harus bagi orang yang bertayammum untuk menjamakkan dua solat fardhu, dengan syarat hendaklah bertayammum dua sekali iaitu tayammum pertama sebelum solat Zuhur, kemudian tayammum kedua antara selang masa sebelum solat Asar. Hal ini adalah kerana di sisi mazhab Syafie, tayammum hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja. Justeru, dalam masalah menjamakkan solat bagi ‘daimul hadas’ (orang yang sentiasa berhadas) seperti perempuan istihadah dan lain-lain, para ulama’ menqiaskan masalah ‘daimul hadas’ ini dengan masalah tayammum seperti berikut: Menurut Shaikh Sulaiman al-Jamal: “Bahawasanya perempuan yang beristihadah diqiaskan dengan orang yang bertayammum iaitu hendaklah dia bersuci untuk setiap kali solat fardhu, setelah masuk waktunya iaitu tidak sah sebelumnya, dan diqiaskan (perempuan istihadah) dengan orang yang sentiasa berhadas dalam bab mandi, menyumbat (dengan kapas) dan membalutnya (tempat keluar najis) dan segera melaksanakan solat fardhu, dan persamaan antara keduanya ialah orang yang bertayammum dan orang yang sentiasa berhadas ialah taharahnya hanya untuk mengharuskan (ibadah) dan bukannya untuk mengangkat (hadas)”. (Rujuk: Sulaiman al-Jamal, Hasyiyah al-Jamal, 1/244). Hal ini dinyatakan juga oleh Shaikh Uthman Syato al-Bakri: “Dan diwajibkan ke atas orang yang sentiasa berhadas untuk berwudhuk bagi setiap solat fardhu walaupun solat yang dinazarkan, dan tidak harus baginya untuk menjamakkan dua solat fardhu dengan satu wudhuk sebagaimana tidak harus baginya untuk menjamakkan dua solat fardhu dengan satu tayammum”. (Rujuk: Uthman Syato al-Bakri, Hasyiyah I’anah al-Tolibin, 1/63). Oleh itu, jelaslah bahawa orang yang sentiasa berhadas diqiaskan dengan masalah tayammum iaitu wudhuknya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja. Adalah harus baginya untuk menjamakkan solat dengan syarat mengambil wudhuk sebanyak dua kali. Wudhuk yang pertama ialah sebelum solat Zuhur manakala wudhuk yang kedua antara selang masa sebelum solat Asar secara berturutan. KESIMPULAN Setelah meneliti perbahasan di atas, dapat kami simpulkan masalah ini seperti berikut: Bagi orang yang sentiasa berhadas (seperti perempuan istihadah, orang yang menghidap penyakit kecing tidak lawas, buasir dan lain-lain) wudhuknya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat, begitu juga orang yang bertayammum maka tayammumnya hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak solat sunat. Harus bagi orang yang bertayammum untuk menjamakkan dua solat fardhu contohnya menjamakkan solat Zuhur dan Asar, dengan syarat hendaklah bertayammum dua kali iaitu tayammum pertama sebelum solat Zuhur, kemudian tayammum kedua antara selang masa sebelum solat Asar secara berturutan. Dalam masalah menjamakkan solat bagi ‘daimul hadas’ (orang yang sentiasa berhadas) seperti perempuan istihadah dan lain-lain, para ulama’ menqiaskan masalah ‘daimul hadas’ ini dengan masalah tayammum iaitu harus bagi orang yang sentiasa berhadas untuk menjamakkan solat dengan syarat hendaklah dia mengambil wudhuk sebanyak dua kali. Wudhuk yang pertama ialah sebelum solat Zuhur manakala wudhuk yang kedua antara selang masa sebelum solat Asar secara berturutan. Wallahu a’lam. |
214 | Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan penuh keimanan dan pengharapan di dalam hadith ini? Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” [Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)] Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya. [Lihat: Fath al-Bari, 4/115] Tambahan pula, Imam al-Munawi mengatakan makna keimanan adalah membenarkan dengan ganjaran Allah SWT atau kepastian ganjaran tersebut serta menyerahkannya kepada Allah dalam keadaan melakukannya untuk mendapatkan ganjaran atau kerana Allah SWT sahaja dan bukan disebabkan riya’. Ini kerana, kadang-kadang seseorang mukallaf itu melakukan sesuatu dalam keadaan beri’tiqad bahawa mereka itu benar tetapi mereka melakukannya dalam keadaan tidak ikhlas. Bahkan, mereka melakukannya disebabkan ketakutan atau riya’. [Lihat: Faidh al-Qadhir, 6/160] Imam al-Nawawi berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas. [Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/39] Imam Ibn Batthal berkata mensyarahkan hadith ini, maksud keimanan adalah membenarkan (di dalam hati) akan kefardhuannya serta ganjaran daripada Allah SWT ketika dia sedang berpuasa atau berqiyam di malam hari. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah SWT serta melakukan niat puasa semata-mata kerana Allah. [Lihat: Syarh Sahih al-Bukhari, 4/21] Antara kelebihan lain yang dinyatakan di dalam hadith ini adalah bagi orang yang berpuasa itu akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu sekiranya puasa tersebut dilakukan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT sebagaimana yang telah kami nyatakan maknanya di atas. Hal ini juga telah ditegaskan oleh al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani bahawa puasa tersebut perlu selamat daripada riya’ dan aib-aib yang lain. Akan tetapi, yang diampunkan itu hanyalah dosa-dosa kecil kerana dosa-dosa besar memerlukan kepada taubat kepada Allah SWT. Penutup Kesimpulannya, ibadah puasa perlulah dilakukan dengan penuh keimanan dan juga pengharapan kepada Allah agar kita memperoleh pengampunan daripada segala dosa-dosa yang telah lalu. Selain itu juga, puasa merupakan salah satu ibadah yang istimewa kerana Allah SWT menyandarkannya kepada diri-Nya dan hanya Allah SWT sahaja yang mampu untuk menilainya. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-Nya yang bertaqwa serta menerima ibadah puasa kita agar sebab penerimaan tersebut akan diampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu. Amin. Wallahua’lam |
215 | Soalan : Assalamualaikum Datuk. Soalan saya, siapakah sahabat Nabi SAW yang paling akhir meninggal dunia? Jawapan : Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Sahabat adalah merupakan generasi terbaik yang pernah ada di dalam sejarah islam. Mereka merupakan generasi yang terawal memeluk islam dan membantu penyebaran Islam ke seluruh alam. Kemuliaan para sahabat disebutkan sendiri oleh Nabi SAW. Nabi SAW bersabda : خَيْرُ أُمَّتِى الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِىءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ Maksudnya : “ Sebaik-baik umatku ada yang kurun yang mana mereka menyertai aku kemudian orang yang datang selepas mereka kemudian orang yang datang selepas mereka. Kemudian akan datang satu golongan yang mana mendahulukan penyaksian daripada sumpah dan menjadikan sumpahnya sebagai penyaksian (isyarat kepada banyaknya penyaksian dan sumpah yang palsu).” Riwayat Muslim (6632) Bahkan Allah SWT meredhai mereka dan ianya dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran. Firman Allah : وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ Maksudnya : “Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (Surah Al-Taubah : 100) Al-Syaukani menyebut bahawa Allah redha terhadap amalan ketaatan yang ikhlas yang dilakukan oleh mereka. Dan mereka juga redha terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Allah terhadap yang tidak terlintas di sanubari mereka dan tidak terfikir oleh akal. Redha daripada Allah merupakan darjat yang tertinggi dan merupakan kemuliaan yang teragung. (Rujuk Fath Al-Qadir Al-Jami Baina Fannai Al-Riwayah Wa Al-Dirayah Fi Ilm Al-Tafsir, 2/386). Oleh kerana itu, tidak boleh sewenang-wenangnya mencela atau mencaci apatahlagi memaki para sahabat. Nabi SAW pernah memberikan peringatan supaya jangan mencela para sahabat Baginda. Nabi SAW bersabda : لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ Maksudnya : “Jangan kalian mencela para sahabatku. Jika salah seorang dari kalian menginfakkan emas sebanyak bukit uhud, ia tidak akan capai segantang infak yang dilakukan oleh para Sahabat. Bahkan tidak sampai separuh pun.” Riwayat Al-Bukhari (3673) & Muslim (6651) Imam Al-Nawawi menukilkan pandangan Al-Qadhi Iyadh bahawa para Sahabat melebihi orang-orang yang datang selepas mereka. Ini disebabkan apa yang mereka infakkan adalah ketika waktu darurat dan ketika kesempitan. Kesemuanya adalah semata-mata untuk membantu, menyokong dan melindungi Nabi SAW. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 8/92). Nabi SAW pernah memberikan isyarat berkenaan tempoh masa generasi Sahabat. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar. Beliau berkata : صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ صَلَاةَ الْعِشَاءِ فِي آخِرِ حَيَاتِهِ فَلَمَّا سَلَّمَ قَامَ فَقَالَ أَرَأَيْتَكُمْ لَيْلَتَكُمْ هَذِهِ فَإِنَّ عَلَى رَأْسِ مِائَةِ سَنَةٍ مِنْهَا لَا يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ أَحَدٌ قَالَ ابْنُ عُمَرَ فَوَهَلَ النَّاسُ فِي مَقَالَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ فِيمَا يَتَحَدَّثُونَ مِنْ هَذِهِ الْأَحَادِيثِ عَنْ مِائَةِ سَنَةٍ وَإِنَّمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ الْيَوْمَ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ أَحَدٌ يُرِيدُ بِذَلِكَ أَنْ يَنْخَرِمَ ذَلِكَ الْقَرْنُ Maksudnya : “ Nabi SAW mengimamkan solat Isyak pada satu malam ketika akhir hayat Baginda. Apabila Baginda memberi salam, Baginda bangun seraya bersabda : Adakah kalian lihat pada malam ini. Sesungguhnya pada permulaan seratus tahun tidak akan ada seorang yang hidup di atas muka bumi ini. Kata Ibnu Umar: Orang ramai terkejut dengan apa yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tentang seratus tahun. Apa yang dimaksudkan oleh Nabi adalah berakhirnya generasi ini (yakni generasi para sahabat).” Riwayat Muslim (4650) Ibnu Umar memahami bahawa tidak akan ada dari kalangan para sahabat yang akan hidup melebihi seratus. Beliau juga memahami daripada sabdaan Nabi bahawa zaman generasi para sahabat akan habis. Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda : ما من نفس منفوسة اليوم، تأتي عليها مائة سنة، وهي حية يومئذٍ Maksudnya : “Tidak ada nyawa yang akan hidup pada seratus tahun.” Riwayat Muslim (2538) Imam Al-Nawawi menyebut bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi ialah sesiapa yang ada pada malam tersebut iaitu para sahabat, mereka tidak akan hidup lebih seratus tahun. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 16/89) Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, sahabat yang paling akhir meninggal dunia ialah ‘Amir Bin Wathilah Al-Laithi. Gelaran kunyah beliau ialah Abu Al-Tufail. Beliau wafat di Mekah pada tahun 110 H. Beliau lahir ketika tahun berlakunya perang Uhud. Beliau sempat bersama dengan Nabi selama 8 tahun. (Rujuk Ma’rifah Al-Sahabat Li Abi Nu’aim Al-Asbahani, 6/3534). Imam Al-Zahabi menyebut bahawa beliau merupakan penutup bagi generasi yang pernah melihat Nabi SAW. Tidak ada yang berani mengaku pernah menjadi Sahabat Nabi ketika mana beliau masih hidup.Ianya berterusan pada zaman tabi’in dan Tabi’ Tabi’in sehingga selepas 500 tahun barulah muncul orang yang mengaku pernah melihat dan menjadi Sahabat di benua India. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 3/468). Ibn Abdul Barr menyebut bahawa beliau orang yang terakhir dari kalangan sahabat. Abu Tufail pernah menyebut : ما بقي على وجه الأرض عين تطوف ممن رأى النبي صلى الله عليه وسلم غيري Maksudnya : “ Tidak ada lagi di atas muka bumi yang pernah melihat Nabi SAW selain daripada aku.” (Rujuk Al-Isti’ab Fi Ma’rifah Al-Ashab, 4/1967) BIODATA ABU TUFAIL Nama sebenar beliau ‘Amir Bin Wathilah Bin Abdullah Amru Al-Laithi Al-Kinani Al-Hijazi. Beliau merupakan antara pendokong dan pengikut Saidina Ali R.A. Oleh kerana itu, Imam Al-Zahabi menggelar beliau sebagai Al-Syi’i iaitu pendokong dan penyokong Saidina Ali. Beliau melihat Nabi ketika Hajjatul Wada’ (Haji Perpisahan iaitu haji terakhir Nabi SAW). Beliau meriwayatkan hadis daripada beberapa orang para sahabat. Antaranya Abu Bakar Al-Siddiq, Umar Bin Al-Khattab, Muaz Bin Jabal, Ali dan lain-lain lagi. Bahkan beliau juga menjadi rujukan oleh beberapa orang dari kalangan Tabi’in seperti Habib Bin Abi Thabit, Al-Zuhri, Abu Zubair Al-Makki, Ali Bin Zaid Bin Jad’an dan lain -lain lagi. Imam Al-Zahabi menyebutkan bahawa beliau adalah seorang yang thiqah (terpercaya), benar percakapan dan tindak tanduknya, alim, seorang penyair yang hebat. Ia diberikan umur yang panjang dan banyak bersama Saidina Ali dalam banyak peperangan. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 5/466-467). Semoga Allah merahmati Abu Tufail.Wallahu’alam. |
216 | SOALAN Bagaimanakah cara-cara mengerjakan ibadah haji? JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW. Ibadah haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Pelaksanaan ibadah haji ini adalah menunjukkan kepada satu mercu kesatuan umat Islam di seluruh dunia. Justeru, pelaksanaan ibadah tersebut mestilah disertai dengan hati yang ikhlas dan penuh ketaqwaan kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Allah SWT berfirman: وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ ۚ Maksudnya : “Dan sempurnakanlah Ibadat Haji dan Umrah kerana Allah..” Surah al-Baqarah :196 Daripada ‘Aisyah R.Anha berkata : خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ حَجَّةِ الْوَدَاعِ، فَمِنَّا مَنْ أَهَلَّ بِعُمْرَةٍ، وَمِنَّا مَنْ أَهَلَّ بِحَجٍّ وَعُمْرَةٍ، وَمِنَّا مَنْ أَهَلَّ بِالْحَجِّ، «وَأَهَلَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحَجِّ»، فَأَمَّا مَنْ أَهَلَّ بِعُمْرَةٍ فَحَلَّ، وَأَمَّا مَنْ أَهَلَّ بِحَجٍّ أَوْ جَمَعَ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ، فَلَمْ يَحِلُّوا، حَتَّى كَانَ يَوْمُ النَّحْرِ Maksudnya: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW pada ketika haji wida’. Maka, diantara kami ada yang melakukan ihram dengan umrah, ada yang melakukan haji serta umrah, dan ada pula yang melakukan dengan haji sahaja sedangkan Rasulullah SAW melakukan ihram dengan haji. Adapun orang yang melakukan ihram umrah maka dia halal, adapun orang yang melakukan ihram dengan haji atau menggabungkan haji dengan umrah, maka dia masih belum berada dalam keadaan halal sehingga hari nahar atau korban.” Riwayat Muslim (1211) KESIMPULAN Haji adalah satu ibadah yang ditaklifkan kepada semua umat Islam di seluruh dunia yang mempunyai kemampuan dalam melaksanakannya. Justeru, di dalam syariat Islam, Allah SWT telah menetapkan beberapa cara pelaksanaan ibadah tersebut mengikut kemampuan individu itu sendiri. Cara pelaksanaan tersebut ialah dengan cara Ifrad, Tamattu’ dan Qiran. Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin. Wallahua’lam |
218 | Soalan: Bolehkah diterangkan serba sedikit ketokohan dan sumbangan Imam Abu Hanifah dalam bidang hadith? Jazakallah khair. Jawapan: Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Kedudukan dan Kelebihan Imam Abu Hanifah Imam Abu Hanifah dilahirkan di Kufah, Iraq, pada tahun 18 Hijrah. Nama sebenar beliau ialah Al-Nu’man bin Thabit bin Marzuban. Beliau berketurunan Parsi dan datuknya memeluk Islam ketika zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab. Imam Abu Hanifah mendapat didikan daripada para ulama tabi’in yang hebat, antaranya ialah Hammad bin Abi Sulaiman, Ato’ bin Abi Rabah, Abdul Rahman bin Hurmuz, Ikrimah, Nafi’, Amru bin Dinar dan Qatadah. Terlalu banyak pujian yang dinukilkan oleh para ulama yang sezaman dengannya, antaranya ialah: Kata Ali bin ‘Asim: “Jika ditimbang ilmu Abu Hanifah dengan ilmu ulama pada zamannya, nescaya ilmu beliau akan lebih berat timbangannya”. Kata Abdullah bin al-Mubarak: “Beliau merupakan manusia yang paling faqih”. Kata Imam al-Syafi’e: “Manusia bergantung dan terhutang budi kepada Abu Hanifah dalam bidang fiqh”. (Rujuk Siyar A’lam al-Nubala’ 6/390-403) Kata Imam Ibn Abd al-Barr: “Orang yang memuji (melakukan ta’dil) kepada Abu Hanifah adalah lebih ramai berbanding mereka yang mengkritik (melakukan jarh) terhadap beliau. (Rujuk Jami’ al-Bayan wa Fadhlihi, hlm. 153) Seperti lazimnya, seorang guru yang hebat akan melahirkan pula anak-anak murid yang hebat. Antara anak murid beliau yang terkenal ialah Zufar bin Huzail, Qadhi Abu Yusuf, Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, Sufyan al-Thawri, Abdullah bin al-Mubarak, Waki’ bin Jarrah, Yazid bin Harun, Nuh bin Abi Maryam dan lain-lain. Fokus dan Penguasaan Imam Abu Hanifah terhadap Bidang Hadith Kata Imam Abu Hanifah: “Manusia berada dalam kebaikan selagi ada dalam kalangan mereka yang mempelajari hadith. Apabila mereka mempelajari ilmu tanpa hadith, nescaya mereka akan binasa”. Beliau juga pernah berkata: “Hendaklah kalian mengikut sunnah Rasulullah SAW, barangsiapa yang keluar daripada jalan ini, dia akan tersesat”. (Rujuk Al-Mizan al-Kubra, 1/50-51) Kata Yahya bin A’zham: Abu Hanifah telah menghimpunkan seluruh hadith yang ada di Kufah pada zamannya. (Rujuk Tarikh al-Asmaa’ Al-Thiqaat hlm. 325) Imam al-Zahabi pula menyatakan bahawa Imam Abu Hanifah telah mempelajari hadith selama lima puluh tahun, iaitu bermula pada tahun 100H hingga saat kematian beliau. (Rujuk Siyaar A’lam al-Nubalaa’ 6396) Melihatkan kepada panjangnya masa beliau mempelajari hadith, maka adalah amat sukar diterima pandangan yang menyatakan bahawa beliau seorang yang lemah dalam bidang hadith. Perlu diketahui juga bahawa fiqh Imam Abu Hanifah berdiri di atas hadith-hadith sahih. Kerana itulah Al-Sayyid al-Murtadha al-Zabidi telah mengarang sebuah kitab yang berjudul ‘Aqd al-Jawahir al-Munifah fi Adillah Abi Hanifah yang menghimpunkan hadith-hadith di dalam Musnad Abu Hanifah yang turut termuat di dalam kutub al-sittah. Kata al-Hafiz Muhammad bin Yusuf al-Solihani: “Sesungguhnya Imam Abu Hanifah merupakan antara al-hafiz dalam bidang hadith, diriwayatkan bahawa beliau telah mengambil hadith daripada 4 ribu guru daripada kalangan tabi’in dan lain-lain, dan ia dinyatakan sendiri oleh Imam al-Zahabi dalam kitab al-Mumti’ dan Tobaqat al-Huffaz min al-Muhaddithin. Jika beliau tidak banyak fokus terhadap hadith, nescaya beliau tidak akan mampu mengistinbatkan hukum-hakam fiqh. Adapun tentang sedikitnya riwayat hadith daripada beliau, itu tidak menunjukkan sedikitnya hadith yang beliau ketahui, namun ia adalah berpunca daripada dua sebab, (salah satunya ialah) ia menunjukkan bahawa fokus utama beliau ialah terhadap istinbat daripada hadith-hadith tersebut, bukan meriwayatkannya, dan hal ini juga sama seperti Imam Malik dan Imam Syafi’e yang tidak banyak meriwayatkan hadith kepada anak murid mereka.” (Rujuk ‘Uqud al-Jaman fi Manaqib al-Imam al-A’zham Abi Hanifah al-Nu’man hlm. 319) Abu Hanifah juga diiktiraf sebagai seorang yang pakar dalam bidang ilmu rijal (ilmu tentang perawi hadith). Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Yahya al-Hammani, bahawa dia mendengar Abu Hanifah berkata: aku tidak pernah melihat seorang pendusta yang lebih teruk daripada Jabir al-Ju’fi, dan aku tidak pernah melihat seorang yang lebih jujur daripada Ato’. Ini menunjukkan Imam Tirmizi sendiri mengiktiraf pandangan Imam Abu Hanifah dalam menilai perawi. Begitu juga dengan banyak riwayat lain yang jelas menunjukkan beliau seorang yang berpengetahuan tinggi dalam menilai status para perawi hadith, sekaligus melayakkan beliau untuk diiktiraf sebagai seorang imam dalam ilmu al-jarh wa al’ta’dil. (Rujuk Qawa’id fi ‘Ulum al-Hadith hlm. 331) Imam Abu Hanifah juga terkenal sebagai seorang yang sangat ketat syaratnya dalam menerima sesebuah hadith. Antara syarat yang beliau letakkan ialah sesebuah hadith mesti diriwayatkan melalui hafalan perawi. (Rujuk Muqaddimah Ibn Solah, hlm. 208) Imam al-Mu’allimi pula mengulas: “Imam Abu Hanifah melazimi Hammad bin Sulaiman untuk satu tempoh yang lama, dan Hammad merupakan seorang yang banyak menghafal hadith. Adapun sedikitnya hadith yang diriwayatkan daripada Imam Abu Hanifah tidak menunjukkan kepada sedikitnya hadith yang dihafal oleh beliau; ini kerana beliau terkenal tidak memfokuskan diri dalam menyampaikan hadith, sebaliknya lebih fokus kepada istinbat hukum daripada hadith. Begitu juga tidak disyaratkan untuk seorang ‘alim itu untuk menghimpun dan menghafal seluruh hadith yang ada, bahkan mencukupi baginya untuk berfatwa apabila dia menguasai ilmu al-Qur’an dan ada padanya sejumlah hadith yang cukup untuknya mencapai kebenaran melalui ijtihad. Apabila dia berhadapan dengan suatu isu yang tidak dijumpai dalam al-Qur’an dan al-hadith yang ada padanya, dia boleh bertanya kepada ulama yang ‘alim dalam hadith dan jika tiada juga dia boleh berijtihad; dan inilah yang Imam Abu Hanifah amalkan. Bahkan ramai perawi hadith yang masyhur yang datang belajar di halaqah beliau seperti Mus’ir dan Mandal. Berkenaan dakwaan pandangan beliau yang bercanggah dengan hadith, maka bilangannya adalah amat sedikit, dan tidaklah beliau sengaja menyanggahi hadith dalam pandangan-pandangannya. (Rujuk Al-Anwar al-Kasyifah, hlm. 52) Kesimpulan Tuntasnya, ketokohan dan sumbangan Imam Abu Hanifah al-Nu’man bin Tsabit telah diiktiraf oleh para ulama sejak zaman-berzaman. Penguasaan beliau dalam ilmu hadith mencakupi sudut penilaian terhadap perawi (ilmu rijal hadith) serta fiqh dan kefahaman terhadap hadith. Wallahu a’lam. |
221 | Soalan Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan, apakah pandangan SS Datuk Mufti berkenaan sikap ibu bapa yang bersifat pilih kasih terhadap anak-anak sehingga menyebabkan ada di antara anak-anaknya yang lain berasa kecil hati. Ringkasan Jawapan Sifat pilih kasih ibu bapa kepada anak-anak merupakan perkara yang dibenci dalam agama kerana perbuatan tersebut hanya akan mengundang kebencian sesama keluarga terutamanya dalam kalangan adik beradik. Setiap anak mempunyai hak masing-masing dan mereka berhak mendapatkannya daripada ibu bapa. Huraian Jawapan Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Anak-anak merupakan pemberian hadiah dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada pasangan suami isteri. Keharusan untuk memenuhi hak anak-anak pada perkara-perkara yang telah disyariatkan merupakan satu keperluan yang perlu dipenuhi mengikut kadar kemampuan ibu bapa. Agama islam memandang bahawa semua manusia di sisi tuhannya adalah sama darjatnya bahkan yang membezakannya adalah nilai ketaqwaan dan keimanan. Oleh itu, begitu juga prinsipnya dalam hal kehidupan berkeluarga iaitu ibu bapa dilarang untuk membeza-bezakan setiap anak tidak kira sama ada anak lelaki atau anak perempuan. Keadilan dan kesamarataan adalah suatu perkara yang dititik beratkan dalam islam bagi memastikan kesejahteraan dalam keluarga. Ada dinyatakan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW bahawa terdapat satu bab khusus berkaitan pemberian hadiah oleh ibu bapa kepada anak-anak. Secara umumnya, ibu bapa diharuskan memberi hadiah atau sedekah kepada anak-anak selama mana pemberian itu diberikan secara adil dan sama rata antara setiap seorang anak. Namun, timbul permasalahan hukum apabila ibu bapa memberi hadiah pada sebahagian anak sahaja sehingga ia membiarkan sebahagian yang lain[1]. Larangan ini jelas dapat dilihat dalam hadis riwayat Amir bahawa beliau berkata[2]: سَمِعْتُ النُّعْمَانَ بْنَ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ يَقُولُ:أَعْطَانِي أَبِي عَطِيَّةً، فَقَالَتْ عَمْرَةُ بِنْتُ رَوَاحَةَ: لَا أَرْضَى حَتَّى تُشْهِدَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: إِنِّي أَعْطَيْتُ ابْنِي مِنْ عَمْرَةَ بِنْتِ رَوَاحَةَ عَطِيَّةً، فَأَمَرَتْنِي أَنْ أُشْهِدَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قال: أَعْطَيْتَ سَائِرَ وَلَدِكَ مِثْلَ هَذَا. قَالَ: لَا، قَالَ: فَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْدِلُوا بَيْنَ أَوْلَادِكُمْ. قَالَ: فرجع فرد عطيته Maksudnya: “Aku mendengar Nu'man bin Basyir ketika berada di mimbar berkata: "Ayahku memberi aku hadiah tetapi Amrah binti Rawahah (ibuku) mengatakan bahawa dia tidak akan meredhainya melainkan dia menjadikan Rasulullah SAW sebagai saksi kepadanya. Kemudian, ayahku datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan berkata: “Aku telah memberikan hadiah kepada anakku daripada Amrah binti Rawahah tetapi dia memerintahkan aku untuk menjadikan kamu sebagai saksi. Rasulullah SAW bertanya: “Adakah kamu telah memberikan hadiah seumpama ini kepada semua anak-anakmu?” Beliau menjawab: “Tidak”. Baginda bersabda: “Bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan berlaku adil lah kepada anak-anakmu”. Ayahku kemudiannya pulang dan mengambil semula hadiahnya.” (Riwayat Bukhari) Dalam satu riwayat yang lain bahawa Nabi SAW menolak permintaan bapa Nu’man bin Basyir untuk dijadikan saksi[3]: قَالَ (فَأَشْهِدْ عَلَى هَذَا غَيْرِي) ثُمَّ قَالَ (أَيَسُرُّكَ أَنْ يَكُونُوا إِلَيْكَ فِي الْبِرِّ سَوَاءً). قَالَ بَلَى. (قَالَ لاَ إِذًا). Maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda: Panggillah orang lain untuk menjadi saksi selain aku, adakah kamu suka jika semua anak-anakmu bersamaan berbuat baik kepadamu? Beliau berkata: Ya. Nabi Berkata: Janganlah berbuat demikian (iaitu jangan memberikan hadiah kepada seseorang dengan mengecualikan yang lain).” (Riwayat Muslim) Berdasarkan hadis tersebut, imam al-Nawawi menjelaskan bahawa setiap ibu bapa perlu berlaku adil kepada anak-anaknya dalam hal pemberian hadiah dan tidak melebihkan sebahagiannya atas sebahagian yang lain. Sekiranya ibu bapa tidak bersikap sama rata, maka hukum perbuatan itu adalah makruh meskipun hadiah yang diberikan adalah sah menurut syarak[4]. Ini merupakan pandangan yang dipegang oleh imam al-Syafi’i, imam Malik dan sebahagian ulama fiqh[5]. Sheikh Zakaria al-Ansari menyatakan dalil yang menunjukkan bahawa pemberian hadiah itu adalah sah merujuk kepada sabda Nabi SAW yang mengarahkan bapa Nu’man bin Basyir untuk mencari orang lain untuk dijadikan saksi selain baginda[6]. Meskipun begitu, perlu difahami bahawa konsep keadilan dan kesamarataan dalam Islam adalah tindakan meletakkan sesuatu perkara sesuai pada tempat, waktu dan kadarnya, tanpa dilebihkan atau dikurangkan juga tidak diawalkan atau dilewatkan[7]. Justeru, hadiah kepada anak-anak juga tidak disyaratkan untuk sama akan pemberiannya malah mungkin ia berbeza dari sudut umur dan jantina. Hadiah untuk anak yang lebih berusia tidak sama dengan hadiah untuk anak yang masih kecil. Begitu juga dengan hadiah kepada anak perempuan tidak sama dengan anak lelaki. Selain itu, salah satu di antara hak anak-anak yang dipertanggungjawabkan kepada kedua ibu bapa adalah hak untuk mendapatkan kasih sayang, belas kasihan dan sifat keihsanan. Perasaan ini dapat ditonjolkan melalui tindakan ibu bapa seperti bercakap dengan kata-kata yang baik, menunjukkan sifat kelembutan dan kebaikan serta memberikan kegembiraan kepada mereka[8]. Justeru, tuntutan agama untuk berlaku adil kepada anak-anak tidaklah semata-mata terhad kepada pemberian sesuatu yang bersifat material atau kebendaan bahkan ia lebih meluas daripada itu dengan mengambil kira sudut emosi anak-anak dan hak mereka untuk mendapatkan kasih sayang. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA[9]: أن رجلًا كان جالسًا مع النبي صلى الله عليه وسلم قال: فجاء بني له فأخذه فقبّله وأجلسه في حجره، ثم جاءت ابنة له، فأخذها فأجلسها إلى جنبه فقال النبي صلى الله عليه وسلم: فما عدلت بينهما. Maksudnya: “Seorang lelaki sedang duduk Bersama Nabi SAW dan dia berkata: Lalu seorang anak lelakinya datang kepadanya lalu dia mengambilnya, menciumnya dan meletakkannya di pangkuan. Kemudian seorang anak perempuannya pula datang kepadanya lalu dia mengambilnya dan meletakkannya di atas pangkuan. Nabi SAW bersabda: Mengapa kamu tidak memperlakukan kedua-duanya secara adil?”. (Riwayat al-Baihaqi) Kesimpulannya, ibu bapa hendaklah berlaku adil kepada setiap anak-anak mengikut kadar kemampuan tanpa perlu membeza-bezakan setiap seorang daripada mereka. Setiap anak berhak mendapatkan hak-haknya yang wajib dipenuhi oleh ibu bapa seperti mana setiap ibu bapa mempunyai hak yang wajib dilunaskan oleh anak-anaknya. Sekiranya kesempurnaan pada anak-anak menjadi kayu ukur kepada nilai keadilan dan kasih sayang nescaya perbuatan tersebut hanya akan menyebabkan kebencian dan perbalahan di antara keluarga dan adik beradik. Berkata sebahagian ahli ilmu bahawa pada hari kiamat kelak Allah SWT akan mempersoalkan ibu bapa tentang apa yang diperlakukan kepada anak-anaknya di dunia. Wallahu A'lam Rujukan: [1] Zakaria al-Ansari, Zakaria bin Muhammad bin Ahmad. Minhatul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari. (Riyadh; Maktabah al-Rusyd li al-Nasyr wa al-Tauzi’, 2005). Jld 5. Hlm 368. بَابُ الهِبَةِ لِلْوَلَدِ : وَإِذَا أَعْطَى بَعْضَ وَلَدِهِ شَيْئًا لَمْ يَجُزْ، حَتَّى يَعْدِلَ بَيْنَهُمْ وَيُعْطِيَ الآخَرِينَ مِثْلَهُ، وَلَا يُشْهَدُ عَلَيْهِ. وَقَال النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "اعْدِلُوا بَيْنَ أَوْلادِكُمْ فِي العَطِيَّةِ" باب الهبة للولد) أي: بيان جوازها له من والده. (بينهم) جمع الضمير باعتبار معنى البعض .(ويعطي الآخرين)بالبناء للفاعل والجمع، وفي نسخة: (ويعطى الآخر) بالبناء للمفعول والإفراد. (مثله) أي: مثل الشيء المعطى. (ولا يشهد عليه) بالبناء للمفعول، أي: ولا يسوغ الإشهاد على الوالد إذا فضل بعض بنيه على بعض. (في العطية) أي: من هبة، أو هدية، أو صدقة. [2] Bukhari, Abu Abdullah Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari. (Damsyiq: Dar Ibnu Kathir, 1993). Jld 2. Hlm 914. No hadis 914. سَمِعْتُ النُّعْمَانَ بْنَ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ يَقُولُ:أَعْطَانِي أَبِي عَطِيَّةً، فَقَالَتْ عَمْرَةُ بِنْتُ رَوَاحَةَ: لَا أَرْضَى حَتَّى تُشْهِدَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: إِنِّي أَعْطَيْتُ ابْنِي مِنْ عَمْرَةَ بِنْتِ رَوَاحَةَ عَطِيَّةً، فَأَمَرَتْنِي أَنْ أُشْهِدَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ [3] Muslim bin al-Hajjaj al-Naisaburi. Sahih Muslim. Ed: Muhammad Fuad Abd Baqi. (Beirut: Dar Ihya’ Turath, 1900). Jld 3. Hlm 243. No Hadis 1623. [4] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf. Raudhah al-Tolibin wa Umdah al-Muftin. (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1991). Jld 5. Hlm 378. يَنْبَغِي لِلْوَالِدِ أَنْ يَعْدِلَ بَيْنَ أَوْلَادِهِ فِي الْعَطِيَّةِ، فَإِنْ لَمْ يَعْدِلْ، فَقَدْ فَعَلَ مَكْرُوهًا، لَكِنْ تَصِحُّ الْهِبَةُ [5] Al-Badhawi, al-Qadhi Nasirudin Abdullah bin Umar. Tuhfah al-Abrar Syarh Masabih al-Sunnah. Ed: Lajnah Mukhtassah bi Isyraf Nur al-Din Talib. (Kuwait: Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah, 2012). Jld 2. Hlm 810. وذهب الأكثرون: إلى أنه مستحب, والتفضيل مكروه من حيث إنه ترك للأولى, لكنه لو فعل نفذ, وهو قول مالك والشافعي وأصحاب الرأي. [6] Ibid. al-Baidhawi. Jld 2. Hlm 309. وما صح في بعض الروايات أنه قال: " فأشهد على هذا غيري " فإنه لو كان باطلا لما جاز إشهاد الغير عليه, فلم يأمر به [7] Al-Jahiz, Abi Uthman Amru bin Bahr. Tahzib al-Akhlaq. (t.tp: Dar al-Sahabah li al-Turath, 1989). Hlm 28. استعمال الأمور في مواضعها، وأوقاتها، ووجوهها، ومقاديرها، من غير سرف، ولا تقصير، ولا تقديم، ولا تأخير [8] Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti. Durus li Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti. Jld 13. Hlm 9. بذل الحنان والمودة لهم: ألا وإن من حقوقهم في التربية: بذل الحنان، والمودة، والإحسان:- فـ )إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ .(أحسني -أيتها الأم- إلى ذلك الصبي، وأنعمي عينَه بكلمة طيبة، وحنانٍ وبِر، وأدخلي السرور عليه، فمن سرَّه سرَّه الله يوم المساءة، فأنعمي عينه بالإحسان لا بالإساءة [9] Abu Bakar Ahmad bin al-Husin al-Baihaqi. Sya’ab al-Iman. Ed: Abu Hajar Muhammad al-Said. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2000). Jld 6. Hlm 410. No hadis 8700. |
222 | Soalan : Assalamualaikum wbt ustaz. Maaf menganggu ustaz. Saya ada persoalan tentang status riwayat yang saya dengar. Saya ada dengar dalam satu ceramah yang menyebut ketika iblis diturunkan ke bumi, Iblis memohon kepada Allah agar diberikan rumah, tempat bermajlis, makanan dan lain-lain. Allah pun berikan tandas sebagai rumah Iblis, pasar sebagai tempat bermajlis, makanan yang tidak disebutkan nama Allah sebagai makanan Iblis. Benarkah ada riwayat tersebut? Mohon pencerahan ustaz. Ringkasan jawapan : Riwayat tersebut terdapat dalam beberapa kitab hadis. Antaranya di dalam al-Mu’jam al-Kabir oleh Imam al-Ṭabarānī (m. 360 H) dan Imam al-Ṭabarī (m. 310 H) di dalam Tahzīb al-Athār. Ibn Abi al-Dunyā turut meriwayatkan hadis ini melalui jalur sanad yang sama di dalam kitab Makāid al-Shayṭān. Riwayat hadis tersebut ialah riwayat yang terlalu lemah berpunca daripada Ubaidullah bin Zahr al-Ḍamirī. Beliau perawi yang sering melakukan kesilapan dalam periwayatan dan tidak mempunyai kelayakan dalam periwayatan seperti mana yang dijelaskan oleh Yahya bin Ma’īn. Di dalam sanad ini juga terdapat Ali bin Yazīd bin Abī Hilāl yang dikritik kredibiliti beliau oleh ulama hadis. Yahyā bin Ayyūb al-Ghafiqī juga antara punca kelemahan riwayat ini dan beliau disifatkan oleh ulama hadis sebagai perawi yang teruk hafalannya. Di samping itu, tiada jalur periwayatan lain yang menyokong riwayat Sa’īd bin Abī Maryam sehingga menjadikan riwayat ini tafarrud (bersendirian dalam periwayatan). Abu al-Faḍl al-Iraqī (m. 706 H) menjelaskan bahawa riwayat hadis ini terlalu lemah dan tidak boleh disebarkan. Penilaian ini turut dijelaskan oleh al-Haithamī (m. 807 H) di dalam Majma‘ al-Zawāid. Huraian jawapan : Terdapat riwayat yang hampir sama maknanya dengan persoalan yang dikemukakan. Riwayat tersebut terdapat dalam beberapa kitab hadis. Antaranya di dalam al-Mu’jam al-Kabir oleh Imam al-Ṭabarānī (m. 360 H)[1]. Beliau menukilkan sanad dan matan seperti berikut: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ ثنا سَعِيدُ بْنُ أَبِي مَرْيَمَ ثنا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ عَنْ عُبَيْدِ اللهِ بْنِ زَحْرٍ عَنْ عَلِيِّ بْنِ يَزِيدَ عَنِ الْقَاسِمِ عَنْ أَبِي أُمَامَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: إِنَّ إِبْلِيسَ لَمَّا أُنْزِلَ إِلَى الْأَرْضِ قَالَ: يَا رَبِّ أَنْزَلْتَنِي إِلَى الْأَرْضِ وَجَعَلْتَنِي رَجِيمًا أَوْ كَمَا ذَكَرَ فَاجْعَلْ لِي بَيْتًا قَالَ: الْحَمَّامُ. قَالَ: فَاجْعَلْ لِي مَجْلِسًا، قَالَ: الْأَسْوَاقُ وَمَجَامِعُ الطُّرُقِ. قَالَ: اجْعَلْ لِي طَعَامًا. قَالَ: مَا لَا يُذْكَرُ اسْمُ اللهِ عَلَيْهِ قَالَ: اجْعَلْ لِي شَرَابًا قَالَ: كُلُّ مُسْكِرٍ. قَالَ: اجْعَلْ لِي مُؤَذِّنًا، قَالَ: الْمَزَامِيرُ. قَالَ: اجْعَلْ لِي قُرْآنًا. قَالَ: الشِّعْرُ. قَالَ: اجْعَلْ لِي كِتَابًا قَالَ: الْوَسْمُ. قَالَ: اجْعَلْ لِي حَدِيثًا قَالَ: الْكَذِبُ. قَالَ: اجْعَلْ لِي مَصَايِدَ قَالَ: النِّسَاءُ Maksudnya : Yahya bin Ayyūb telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Sa’īd bin Abu Maryam telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Yahyā bin Ayyūb telah menceritakan kepada kami, beliau meriwayatkan daripada Ubaidullah bin Zahr daripada ‘Alī bin Yazīd daripada al-Qasim daripada Abu Umamah RA daripada Nabi SAW. Baginda bersabda : Ketika Iblis dihalau ke bumi, dia berkata: Wahai Tuhan, Engkau telah menghalau aku ke bumi dan menjadikan aku sebagai makhluk yang direjam, maka berikanlah aku rumah. Allah berfirman: Rumah kamu ialah tandas. Iblis berkata lagi : Jadikan tempat bermajlis untuk aku. Allah berfirman : Tempat bermajlis kamu ialah pasar-pasar dan persimpangan jalan. Iblis berkata : Berikan makanan untuk aku. Allah berfirman : Makanan kamu ialah makanan yang tidak disebutkan nama Allah. Iblis meminta lagi : Berikan minuman untuk saya. Allah berfirman : Minuman kamu ialah setiap minuman yang mabuk. Iblis berkata lagi : Jadikan tukang azan untuk aku. Allah berfirman : Tukang azan kamu ialah seruling-seruling. Iblis berkata : Jadikan Quran untuk aku. Allah berfirman : Quran kamu ialah syair. Iblis memohon lagi : Jadikan satu kitab untuk saya. Allah berfirman : Tatu (lakaran di tubuh badan). Iblis berkata lagi : Jadikan satu perkataan (yang khusus) untuk aku. Allah berfirman : Pendustaan. Iblis memohon lagi : Jadikan perangkap untuk aku (berburu). Allah berfirman : Perangkap kamu ialah para wanita.“ Riwayat ini juga dinukilkan oleh Imam al-Ṭabarī (m. 310 H) di dalam Tahzīb al-Athār[2]. Beliau menukilkan sanad seperti berikut: حَدَّثَنَا الْمُثَنَّى بْنُ إِبْرَاهِيمَ الْآمُلِيُّ، وَمُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ، قَالَا: حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي مَرْيَمَ، قَالَ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ قَالَ: أَخْبَرَنِي ابْنُ زَحْرٍ، عَنْ عَلِيِّ بْنِ يَزِيدَ عَنِ الْقَاسِمِ عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: إِنَّ إِبْلِيسَ لَمَّا نَزَلَ الْأَرْضَ قَالَ: يَا رَبِّ... Maksudnya : al-Muthannā bin Ibrahīm al-Āmulī dan Muhammad bin Abdul Malik telah menceritakan kepada kami, mereka berdua berkata : Ibn Abī Maryam telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Yahyā bin Ayyūb telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Ibn Zahr telah memberitahu kami, beliau meriwayatkan daripada ‘Ali bin Yazīd daripada al-Qāsim daripada Abu Umamah al-Bāhilī daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda : Ketika Iblis turun ke bumi, dia berkata : Wahai Tuhan...“ Ibn Abi al-Dunyā turut meriwayatkan hadis ini melalui jalur sanad yang sama di dalam kitab Makāid al-Shayṭān[3]. Di dalam riwayat ini terdapat tambahan matan seperti berikut: قال: فاجعل لي رسلا قال: الكهنة... Maksudnya : “...Iblis berkata : Jadikan seorang utusan untuk aku. Allah berfirman : Utusan kamu ialah tukang tilik...“ Jika diteliti madar (paksi) sanad hadis ini tertumpu kepada Sa’īd bin Abī Maryam. Rajah berikut menjelaskan sanad hadis ini: Sa’īd bin Abī Maryam atau nama beliau Sa’īd bin al-Ḥakam al-Jumahī (m. 224 H) ialah seorang perawi yang thiqah (dipercayai kredibilitinya). Imam Ahmad memuji beliau dan menyebut beliau merupakan perawi yang perlu ditemui untuk diambil riwayatnya di Mesir.[4] Beliau ialah antara perawi yang dimuatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Ṣaḥīḥ.[5] Abu Hatīm (m. 277 H) turut menilai beliau sebagai perawi yang thiqah.[6] Yahyā bin Ayyūb al-Ghafiqī Abu al-Abbās (m. 263 H) ialah seorang perawi yang berasal daripada Mesir. Abu Daud menilai beliau sebagai seorang perawi yang thiqah. Imam al-Nasaiī menyatakan bahawa tidak mengapa untuk meriwayatkan hadis daripada beliau dan pada masa yang sama beliau mengkritik hafalan Yahyā bin Ayyūb.[7] Penilaian yang dilakukan oleh Imam al-Nasaiī bertitik tolak daripada kritikan Imam Ahmad bin Hanbal (m. 241 H) terhadap Yahyā bin Ayyūb. Imam Ahmad menyebut bahawa Yahyā ialah perawi yang teruk hafalan hadisnya.[8] Al-Daruqutni turut mengkritik hadis-hadis riwayat Yahyā sehingga beliau menghukum sebahagian hadisnya dengan hukum al-Muḍṭarib (berlaku kecelaruan dalam riwayat sehingga sukar untuk ditentukan kesahihannya).[9] Ubaidullah bin Zahr al-Ḍamirī merupakan seorang perawi yang dikritik. Imam Ahmad menilai beliau sebagai seorang perawi yang lemah. Yahyā bin Ma’īn mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai kelayakan dalam periwayatan hadis (Laysa bi Syai). Ali bin al-Madinī (m. 234 H) mengatakan bahawa beliau sering melakukan kesalahan dalam riwayat hadis (munkar al-ḥadīth).[10] Abu Abdurrahman al-Sulamī (m. 412 H) pernah bertanya kepada al-Daruqutnī berkenaan status Ubaidullah bin Zahr. Al-Daruqutnī menyebut bahawa Ubaidullah ialah perawi lemah.[11] Antara kaedah yang dinyatakan oleh Ibn Hibban(m. 354 H) untuk berinteraksi dengan riwayat beliau ialah : وإذا اجتمع في إسناد خبر عبيد الله بن زحر وعلي بن يزيد والقاسم أبو عبد الرحمن لم يكن متن ذلك الخبر الا مما عملته أيديهم Maksudnya :“ Jika dalam satu sanad berkumpulnya Ubaidullah bin Zahr, Ali bin Yazīd dan al-Qāsim Abu Abdurrahman, maka matan hadis tersebut ialah apa yang dibuat sendiri oleh mereka (banyak kesalahan dan kesilapan).“[12] Bahkan Ibn Hibban menjelaskan jika beliau meriwayatkan daripada Ali bin Yazīd maka akan berlaku bencana besar (kesalahan dan kesilapan).[13] Ali bin Yazīd bin Abī Hilāl al-Alhānī (m. 112 H) ialah perawi yang terlalu lemah. Yahya bin Ma’īn menjelaskan bahawa riwayat hadis Ali bin Yazīd daripada Abu Umamah kesemuanya lemah.[14] Beliau menjelaskan lagi bahawa hadis-hadis Ubaidullah bin Zahr dan Ali bin Yazīd yang diriwayatkan daripada Abu Umamah secara marfu‘ (disandarkan kepada Nabi SAW) adalah lemah. Ibn Yazīd menjelaskan bahawa beliau sering melakukan kesilapan dalam periwayatan dan cuai dalam menyampaikan hadis.[15] Imam al-Bukhari turut mengkritik beliau dengan mengatakan beliau sebagai sering melakukan kesilapan (munkar al-Ḥadīth)[16].Imam al-Nasaiī mengatakan beliau bukan perawi yang thiqah (dipecayai kredibilitinya).[17] Boleh dikatakan kebanyakan ulama hadis mengkritik kredibiliti beliau dalam periwayatan hadis khususnya hadis-hadis yang beliau riwayatkan daripada al-Qasim bin Abdurrahman. Al-Qāsim bin Abdurrahman Mawla Mu’āwiyah al-Syāmī antara perawi yang banyak dikritik oleh kebanyakan ahli hadis antaranya Imam Ahmad bin Hanbal. Imam Abu Daud pernah bertanya kepada Imam Ahmad tentang al-Qāsim bin Abdurrahman, beliau menjawab bahawa al-Qāsim banyak meriwayatkan hadis-hadis yang mengandungi banyak kesalahan dan Ja’far bin Zubair ialah antara orang terawal yang meriwayatkan hadis daripada beliau di Basrah yang kemudiannya ramai ulama meninggalkan periwayatan beliau.[18] Al-‘Ijli (m. 261 H) menjelaskan bahawa al-Qāsim bin Abdurrahman ialah perawi yang thiqah namun begitu beliau mempunyai hafalan yang lemah.[19] Justeru, riwayat hadis tersebut ialah riwayat yang terlalu lemah berpunca daripada Ubaidullah bin Zahr al-Ḍamirī. Beliau perawi yang sering melakukan kesilapan dalam periwayatan dan tidak mempunyai kelayakan dalam periwayatan seperti mana yang dijelaskan oleh Yahya bin Ma’īn. Di dalam sanad ini juga terdapat Ali bin Yazīd bin Abī Hilāl yang dikritik kredibiliti beliau oleh ulama hadis. Yahyā bin Ayyūb al-Ghafiqī juga antara punca kelemahan riwayat ini dan beliau disifatkan oleh ulama hadis sebagai perawi yang teruk hafalannya. Di samping itu, tiada jalur periwayatan lain yang menyokong riwayat Sa’īd bin Abī Maryam sehingga menjadikan riwayat ini tafarrud (bersendirian dalam periwayatan). Abu al-Faḍl al-Iraqī (m. 706 H) menjelaskan bahawa riwayat hadis ini terlalu lemah dan tidak boleh disebarkan.[20] Penilaian ini turut dijelaskan oleh al-Haithamī (m. 807 H) di dalam Majma‘ al-Zawāid.[21] NOTA HUJUNG : [1] Abu al-Qāsim, Sulaiman bin Ahmad (t.t), al-Mu’jam al-Kabīr, ed. Hamdi bin Abd al-Majid, Kaherah: Maktabah Ibn al-Taimiyah, j.8 h.245 no 7837. [2] Abu Ja’far al-Ṭabarī, Muhammad bin Jarir (t.t), Tahzīb al-Athār wa Tafṣīl al-Thābit ‘an Rasulillah min al-Akhbār Musnad Umar bin al-Khaṭṭāb, ed. Mahmud Shakir, Mesir: Matba’ah al-Madanī, j.2 h.644, al-Sifr al-Thānī no 953. [3] Ibn Abī al-Dunyā, Abdullah bin Muhammad (1991), Makāid al-Shayṭān, ed. Majdi Salim Ibrahim, Kaherah : Maktabah al-Quran, h.73. Ibn Abi al-Dunyā berkata : حدثنا أبو بكر التميمي حدثنا ابن أبي مريم حدثنا يحيى بن أيوب قال: حدثنا ابن زحر عن علي بن يزيد عن القاسم عن أبي أمامة [4] Ibn Hajar al-‘Asqalānī, Ahmad bin Ali (1326 H), Tahzīb al-Tahzīb, India: Matba’ah Dairah al-Ma’arīf al-Nizamiyah, j.4 h.58. al-Husain bin al-Hasan al-Razī menyebut : سألت أحمد عن من أكتب بمصر فقال عن ابن أبي مريم [5] Abu al-Naṣr Al-Kalābāzī, Ahmad bin Muhammad (1986), al-Hidayah wa al-Irshād fī Ma’rifah Ahl al-Thiqah wa al-Sadād (Rijāl Ṣaḥīḥ al-Bukharī), ed. Abdullah al-Laithī, Beirut: Dar al-Ma’rifah, j.1 h.284 no 388. [6] Ibid. [7] Ibid., j.11 h.187. Ibn Hajar menukilkan : وقال النسائي: ليس به بأس وقال مرة: ليس بالقوي [8] Ibn Abī Hatim, Abdurrahman bin Muhammad (1952), al-Jarh wa al-Ta’dīl, Beirut : Dar Ihyā al-Turath al-‘Arabī, j.9 h.127. Ibn Abu Hatim menukilkan : نا عبد الرحمن أنا عبد الله بن أحمد بن محمد بن حنبل فيما كتب إلي قال قال أبي يحيى بن ايوب سيئ الحفظ [9] Ibid. وقال الدارقطني في بعض حديثه اضطراب [10] Ibid.,j.5 h.315. Ibn Abī Ḥātim menukilkan : نا عبد الرحمن أنا حرب بن إسماعيل الكرماني فيما كتب إلي [قال قلت لاحمد بن حنبل: عبيد الله بن زحر فضعفه. أنا أبو بكر بن أبي خيثمة فيما كتب إلي قال سئل يحيى ابن معين عن عبيد الله بن زحر فقال: ليس بشئ. نا عبد الرحمن نا محمد ابن أحمد بن البراء قال قال على ابن المديني: عبيد الله بن زحر منكر الحديث. [11] Abu Abdurrahman al-Sulami, Muhammad bin al-Husain (2006), Suālāt al-Sulamī li al-Daruqutnī, ed. Dr Sa’ad bin Abdullah al-Humaid, Dr.Khalid bin Abdurrahman al-Jarisi, Riyadh, h. 208. Beliau menyebut : وسألتُه عن عُبيدِ اللهِ بنِ زَحْرٍ؟ فقال: ضعيف [12] Ibn Hibban, Muhammad bin Hibban (1976), al-Majrūhīn,ed. Mahmud Ibrahim Zayed, Aleppo: Dar al-Wa’ī, j.2 h.62. [13] Ibid. Beliau menyebut : وَإِذا روى عَن عَليّ بن يزِيد أَتَى بالطامات [14] Al-Mizzī,Yusuf bin Abdurrahman (1980), Tahzīb al-Kamāl fī Asmā al-Rijāl, ed. Dr Bashar Awwad Ma’ruf, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.21 h.178. قال يحيى بْن مَعِين: علي بْن يزيد عن القاسم عَن أَبِي أمامة هِيَ ضعاف كلها [15] Ibid., Beliau berkata : واهي الحديث، كثير المنكرات [16] Abu Muhammad Al-Maqdisī, Abd al-Ghanī bin Abd al-Wahid (2016), al-Kamāl fi Asmā al-Rijāl, ed. Shadi bin Muhammad Ali Nu’man, Kuwait: Syarikat Ghuras li al-Di’ayah wa al-‘Ilan wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, j.7 418. [17] Ibis. Beliau menyebut : ليس بثقة [18] Abū Daud, Sulaiman bin al-Ash’ath (1994), Suāalāt al-Imam Abū Daud li al-Imam Ahmad, ed. Dr Ziyad Mansur, Madinah Munawwarah: Maktabah al-Ulūm wa al-Hikam, h.255. Imam Abu Daud berkata : سَمِعت أَحْمد قَالَ الْقَاسِم أَبُو عبد الرَّحْمَن هُوَ ابْن عبد الرَّحْمَن هُوَ مولى لعبد الرَّحْمَن بن يزِيد بن مُعَاوِيَة قَالَ يرْوى لَهُ أَحَادِيث مَنَاكِير كَانَ جَعْفَر بن الزبير أَولا رَوَاهَا بِالْبَصْرَةِ فَترك النَّاس حَدِيثه ثمَّ جَاءَ بشر ابْن نمير فروى بعض تِلْكَ الْأَحَادِيث فَترك أهل الْبَصْرَة حَدِيثه يجيئنا بعد من عبيد الله بن زحر عَن عَليّ بن يزِيد [19] Abu al-Hasan al-‘Ijli, Ahmad bin Abdullah (1985), Ma’rifat al-Thiqāt min Rijāl Ahl al-Ilm wa al-Ḥadīth wa min al-Ḍu’afā’ wa Zikr Mazahibihim wa Akhbarihim, ed. Abd al-‘Alim Abd ‘Azīm al-Bustawī, Madinah Munawwarah: Maktabah al-Dar, j.2 h.212. Al-‘Ijli menyebut : الْقَاسِم أَبُو عبد الرَّحْمَن شَامي تَابِعِيّ ثِقَة يكْتب حَدِيثه وَلَيْسَ بِالْقَوِيّ [20] Abu al-Faḍl, Abd al-Raḥīm bin al-Husain (2005), al-Mughnī ‘an Haml al-Asfār fi al-Asfār fī Takhrīj mā fī Ihyā min al-Akhbār, Beirut: Dar Ibn Hazm, h.912. Beliau menyebut : أخرجه الطَّبَرَانِيّ فِي الْكَبِير وَإِسْنَاده ضَعِيف جدا [21] Abu al-Hasan, Ali bin Abu Bakr (1994), Majma‘ al-Zawāid wa Manba‘ al-Fawāid, ed. Husam al-Dīn Qudsi, Kaherah: Maktabah Al-Qudsī, j.8 h.119. Beliau menyebut: رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ وَفِيهِ عَلِيُّ بْنُ يَزِيدَ الْأَلْهَانِيُّ وَهُوَ ضَعِيفٌ |
223 | Soalan: Ibu saya baru saja meninggal dunia, dan sepanjang setahun terakhir ini, beliau kerap meninggalkan solat kerana sakit dan tak sempat qada sebelum meninggal dunia. Adakah kami sebagai waris boleh qada solat yang ditinggalkan atau membayar fidyah bagi pihak beliau? Ringkasan Jawapan: Menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafie, amalan qada solat atau membayar fidyah bagi pihak si mati oleh waris adalah tidak disyariatkan dan tidak sah, kerana tiada nas sama ada daripada al-Quran mahupun hadis yang sahih yang menunjukkan pensyariatan amalan ini. Namun, ada pandangan kedua (pandangan yang lemah) dalam mazhab Syafie yang membenarkan amalan ini, dan ia dipegang serta diamalkan oleh ramai ulama. Maka, amalan qada solat dan membayar fidyah bagi solat yang ditinggalkan oleh si mati boleh diamalkan, kerana ia termasuk dalam kategori khilaf muktabar yang boleh diterima pengamalannya. Huraian Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat. Menurut pendapat muktamad mazhab Syafie, amalan qadha solat atau membayar fidyah bagi pihak si mati oleh waris adalah tidak disyariatkan. Kata Imam Syamsuddin al-Ramli: ولو مات وعليه صلاة أو اعتكاف لم يفعل ذلك عنه ولا فدية له لعدم ورودها Maksudnya: "Jika seseorang mati dan dia berhutang solat atau iktikaf (nazar), maka walinya tidak dapat qada bagi pihaknya dan hutang solat itu tidak gugur dengan fidyah, kerana amalan tersebut tidak sabit melalui nas.[1] Ada pandangan kedua (pandangan yang lemah) dalam mazhab Syafie yang membenarkan amalan ini, dan ia dipegang serta diamalkan oleh ramai ulama. Namun, ia dihukumkan sebagai lemah oleh Imam al-Nawawi: وَحَكَى صَاحِبُ الْحَاوِي عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي رَبَاحٍ وَإِسْحَاقَ بْنِ رَاهَوَيْهِ أَنَّهُمَا قَالَا بِجَوَازِ الصَّلَاةِ عَنِ الْمَيِّتِ وَقَالَ الشَّيْخُ أَبُو سَعْدٍ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ هِبَةِ اللَّهِ بْنِ أَبِي عَصْرُونَ مِنْ أَصْحَابِنَا الْمُتَأَخِّرِينَ فِي كِتَابِهِ الِانْتِصَارُ إِلَى اخْتِيَارِ هَذَا. وَقَالَ الْإِمَامُ أَبُو مُحَمَّدٍ الْبَغَوِيُّ مِنْ أَصْحَابِنَا فِي كِتَابِهِ التَّهْذِيبُ لَا يَبْعُدُ أَنْ يُطْعَمَ عَنْ كُلِّ صَلَاةٍ مُدٌّ مِنْ طَعَامٍ. وَكُلُّ هَذِهِ الْمَذَاهِبِ ضَعِيفَةٌ Maksudnya: Pengarang kitab al-Hawi menukilkan kalam daripada ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Ishaq bin Rahawaih, mereka berdua mengharuskan solat bagi pihak si mati, manakala Syeikh Abu Sa‘ad Abdullah bin Muhammad bin Hibatullah bin Abi ‘Asrun daripada kalangan ulama mazhab kami yang mutakhir dalam kitabnya al-Intisar juga memilih pandangan ini. Imam al-Baghawi daripada kalangan ulama mazhab kami (ashab al-wujuh) pula menyatakan dalam kitabnya al-Tahzib bahawa pandangan yang mengharuskan bayaran fidyah sebanyak satu cupak (mud) bagi setiap solat yang ditinggalkan ialah pandangan yang boleh diterima. Namun semua pandangan ini adalah lemah.[2] Begitu juga dengan pandangan yang dikemukakan oleh Syeikh Abu Bakr al-Dimyati: من مات وعليه صلاة، فلا قضاء، ولا فدية. وفي قول - كجمع مجتهدين - أنها تقضى عنه، لخبر البخاري وغيره، ومن ثم اختاره جمع من أئمتنا، وفعل به السبكي عن بعض أقاربه، ونقل ابن برهان عن القديم أنه يلزم الولي - إن خلف تركه - أن يصلي عنه، كالصوم .وفي وجه - عليه كثيرون من أصحابنا - أنه يطعم عن كل صلاة مدا Maksudnya: “Sesiapa yang telah meninggal dunia dan dia ada hutang solat, maka tiada baginya qada mahupun fidyah. Menurut sebahagian imam mujtahid pula, ia mesti diqada (oleh waris yang masih hidup) berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari dan selain beliau. Oleh sebab itu, sebahagian ulama mazhab Syafi’i memilih pandangan ini, dan amalan qada solat ini diamalkan oleh al-Subki bagi pihak sebahagian daripada kaum kerabatnya. Ibn Burhan pula meriwayatkan satu fatwa lama (qaul qadim) Imam Syafi’i bahawa wali wajib qada dengan mengerjakan solat jika si mati meninggalkan harta warisan, seperti mana puasa. Ramai ulama daripada kalangan Ashab al-Wujuh berpendapat bahawa bagi setiap solat yang ditinggalkan, hendaklah diberi makan kepada fakir/miskin dengan kadar satu cupak.[3] Berdasarkan penjelasan di atas, hal ini merupakan permasalahan fiqh yang diperselisihkan oleh para ulama mazhab Syafie. Namun pendapat yang muktamad dalam mazhab ialah amalan fidyah solat ini tidak disyariatkan, manakala pandangan kedua membenarkannya berdasarkan qiyas kepada amalan fidyah puasa yang dibayar oleh pewaris si mati. Syeikh Qalyubi pula menukilkan daripada sebahagian ulama mazhab Syafie yang mengharuskan amalan ini: وهذا من عمل الشخص لنفسه فيجوز تقليده لأنه من مقابل الأصح Maksudnya: Amalan ini (qada solat atau membayar fidyah bagi pihak si mati) ialah amalan peribadi seseorang, maka diharuskan untuk bertaqlid padanya, kerana ia merupakan pandangan muqabil al-asah (pandangan kedua dan lemah di dalam mazhab Syafie, namun ia merupakan khilaf yang kuat dan muktabar dalam mazhab).[4] Kesimpulan Kesimpulannya, amalan qada solat atau membayar fidyah bagi pihak si mati oleh waris adalah tidak disyariatkan dan tidak sah menurut pandangan muktamad mazhab Syafie, kerana tiada nas sama ada daripada al-Quran mahupun hadis yang sahih yang menunjukkan pensyariatan amalan ini. Namun, mengambil kira perkara ini termasuk dalam khilaf yang muktabar, amalan ini boleh dilakukan kerana ia mempunyai sandaran dalam mazhab Syafie dan diamalkan oleh para ulama. Wallahu a‘lam. Rujukan [1] Rujuk Nihayah al-Muhtaj oleh Syamsuddin al-Ramli (1984) Dar al-Fikr, 3/193. Rujuk juga Tuhfah al-Muhtaj oleh Ibn Hajar al-Haitami (t.t) Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 3/440: ولو مات وعليه صلاة أو اعتكاف لم يفعل عنه ولا فدية ) تجزئ عنه لعدم ورود [2] Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim oleh Abu Zakariyya al-Nawawi (1996) Dar al-Khair, 1/76 [3] Rujuk Hasyiyah I’anah al-Talibin oleh Abu Bakar al-Dimyati (1997) Dar al-Fikr, Cetakan Pertama, 2/276 [4] Rujuk Hasyiyah Qalyubi ‘ala Syarh al-Mahalli, Dar al-Fikr, 2/86 |
224 | Soalan Salam ustaz. Saya ada satu persoalan, bagaimanakah jika jari telunjuk seseorang itu terputus atau tiada, perlukah dia menggantikan isyarat tersebut dengan jari yang lain atau mengisyaratkan dengan jari kirinya. Terima kasih Ringkasan Jawapan Bagi mereka yang tidak mempunyai jari telunjuk tangan kanannya, maka tidak perlu memberi isyarat dengan jari lain ketika duduk tasyahud bahkan makruh jika melakukannya. Hal ini kerana anjuran dan keharusan tersebut telah gugur ke atas dirinya. Huraian Jawapan Antara perkara yang disunatkan dalam solat adalah meletakkan kedua belah tangan di atas paha ketika duduk tasyahud. Tangan kanan digenggam dan jari telunjuknya dibuka, manakala tangan kiri dibuka kesemua jarinya[1]. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA katanya: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا جَلَسَ فِي الصَّلَاةِ وَضَعَ يَدَيْهِ عَلَى رُكْبَتَيْهِ، وَرَفَعَ إِصْبَعَهُ الْيُمْنَى الَّتِي تَلِي الْإِبْهَامَ، فَدَعَا بِهَا وَيَدَهُ الْيُسْرَى عَلَى رُكْبَتِهِ بَاسِطَهَا عَلَيْهَا Maksudnya: Sesungguhnya ketika Nabi SAW duduk(tasyahud) di dalam solat, Baginda meletakkan kedua tangannya di atas kedua pahanya. Kemudian Baginda mengangkat jari yang bersebelahan ibu jari tangan kanannya (jari telunjuk) lalu berdoa. Manakala tangan kirinya diletakkan terbuka kesemua jari di atas paha kiri. Riwayat Muslim (580) Jari telunjuk tersebut diisyaratkan menghadap ke arah kiblat disertai niat mentauhidkan dan mengikhlaskan diri kepada Allah SWT. Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyebut bahawa: وَيُشِيرُ بِهَا مُوَجَّهَةٌ إِلَى الْقِبْلَةِ وَيَنْوِي بِالْإِشَارَةِ التَّوْحِيدَ وَالْإِخْلَاصَ وَاللَّهُ أَعْلَمُ Maksudnya: Isyarat jari itu ditunjuk ke arah kiblat dan diniatkan untuk mentauhidkan Allah dan mengikhlaskan diri kepada-Nya.[2] Berkaitan hal ini, timbul persoalan bagaimanakah jika jari telunjuk seseorang itu terputus atau tiada, perlukah dia menggantikan isyarat tersebut dengan jari yang lain atau mengisyaratkan dengan jari kirinya. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa makruh memberi isyarat dengan menggunakan jari kiri sekiranya jari telunjuk kanan terputus atau tiada. Lafaznya seperti berikut: وَتُكْرَهُ الْإِشَارَةُ بِمُسَبِّحَةِ الْيُسْرَى، حَتَّى لَوْ كَانَ أَقْطَعَ الْيُمْنَى، لَمْ يُشِرْ بِمُسَبِّحَةِ الْيُسْرَى لَأَنَّ سُنَّتَهَا الْبَسْطُ دَائِمًا. وَاللَّهُ أَعْلَمُ Maksudnya: Makruh mengisyaratkan dengan jari telunjuk kiri walaupun jari telunjuk kanannya terputus. Tidak perlu memberi isyarat dengan telunjuk kiri kerana tangan kiri disunatkan membuka kesemua jari.[3] Begitu juga dengan jari-jari yang lain, tidak perlu memberi isyarat sebagai menggantikan jari telunjuk kanan yang terputus. Imam al-Bujairimi menjelaskan bahawa, hal ini kerana disebabkan ketiadaan jari telunjuk kanan tersebut maka gugurlah anjuran amalan sunat tersebut ketika tasyahud.[4] Berdasarkan hujah di atas, bagi mereka yang tidak mempunyai jari telunjuk tangan kanannya, maka tidak perlu memberi isyarat dengan jari lain ketika duduk tasyahud bahkan makruh jika melakukannya. Hal ini kerana anjuran dan keharusan tersebut telah gugur ke atas dirinya. Wallahu’alam. [1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafi’I (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauz’I, 1413H) وضع اليدين على أول الفخذين في جلستي التشهد :وكيفية أن يبسط اليسرى، مع ضم الأصابع إلى بعضها، بحيث تكون رؤوس الأصابع مسامتة لأول الركبة، ويقبض يده اليمنى إلا الأصبع المسبِّحة، وهي التي تسمى السبَّابة، فإنه يمدها منخفضة عند أول التشهُّد حتى إذا وصل إلى قوله: إلا الله، أشار بها، إلى التوحيد ورفعها. ويسن أن تبقى مرفوعة دون أن يحركها إلى آخر الصلاة. [2] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1392H) 5/82 [3] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Beirut: al-Maktab al-Islamiy 1412H) 1/262 [4] Sulaiman bin Muhammad bin Umar al-Bujairimi, Hasyiah al-Bujairimi ala Syarh al-Minhaj, (Matba’ah Halabi, 1369H) 1/223 كَمَا لَوْ قُطِعَتْ سَبَّابَتُهُ الْيُمْنَى لَا يُشِيرُ بِغَيْرِهَا لِأَنَّ لَهَا هَيْئَةً مَطْلُوبَةً فَالْإِشَارَةُ بِهَا تَفُوتُ مَا طُلِبَتْ لَهُ مِنْ قَبْضِهَا إنْ كَانَتْ مِنْ الْيُمْنَى وَنَشْرِهَا عَلَى فَخِذَيْهِ إنْ كَانَتْ مِنْ الْيُسْرَى |
225 | SALAH FAHAM: Mutakhir ini, terdapat fenomena sesetengah pihak yang gemar kafir mengkafir dalam isu-isu tertentu terutama apabila berbeza pendapat. Pengkafiran pula ditujukan terus kepada peribadi orang yang dikafirkan. Mohon penjelasan ustaz, adakah perbuatan sedemikian wajar dan bagaimanakah kaedah-kaedah yang ditentukan oleh syarak mengenainya? PENCERAHAN: Perbuatan kafir mengkafir adalah perkara yang amat dipandang serius oleh syarak. Lebih-lebih lagi jika dilakukan secara membuta tuli tanpa mengetahui kaedah-kaedah syarak dalam menanganinya. Apa yang lebih membimbangkan bila pengkafiran dilakukan terus ke atas peribadi seseorang muslim tanpa sebarang usul periksa. Firman Allah SWT: وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا Maksudnya: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.” (Surah al-Ahzab: 58) Sebelum kami membahaskan isu ini lebih lanjut, terdapat tiga kaedah penting yang perlu difahami terlebih dahulu dalam memahami isu kafir mengkafir. Pertama: Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang yang kafir, maka ia kafir. Bermaksud seseorang boleh tergelincir akidahnya jika tidak memperakui bahawa golongan yang dikafirkan dengan nas syarak seperti penganut agama Kristian, Yahudi, Ateisme dan lain-lain itu kafir. (Lihat Al-Ibtal li Nazariyyah al-Khalt Bayn Din al-Islam wa Ghayrih min al-Adyan, 94) Kedua: Sesiapa yang menuduh seseorang yang tidak kafir itu kafir, maka kafir itu berbalik kepada dirinya. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا Maksudnya: “Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya: Wahai kafir. Maka jatuhlah (kafir itu) ke atas salah seorang daripadanya.” Riwayat al-Bukhari (6104) dan Muslim (111). Berdasarkan hadith tersebut, al-Isfirayini mengatakan sesiapa yang membid’ahkan orang yang tidak bid’ah, menyesatkan orang yang tidak sesat atau mengkafirkan orang yang tidak kafir, maka hukum tersebut akan kembali kepadanya. (Lihat Al-Tabsir fi al-Din, 180) Ketiga: Kesilapan dalam membiarkan orang yang jatuh kafir itu hidup lebih ringan berbanding kesilapan menumpahkan darah seorang muslim. Imam al-Ghazali mengatakan ramai orang dengan mudah menjatuhkan kafir terhadap golongan yang tersilap dalam berijtihad sedangkan mereka itu bukan termasuk dalam golongan yang mendustakan Rasulullah SAW. Pengkafiran itu berlaku kebanyakannya berpunca daripada kefanatikan dan sikap taksub. Sedangkan tidak sabit pengkafiran terhadap golongan yang tersilap dalam mentakwil, kerana ‘ismah (keterpeliharaan) darah seseorang muslim adalah muktamad berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari (25): أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّ الإِسْلاَمِ Maksudnya: “Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga dia mengucapkan, tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah, Muhammad itu Rasulullah, apabila mereka mengucapkannya, maka terpeliharalah daripadaku darah dan harta mereka kecuali dengan hak Islam (syarak).” (Lihat Al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 270) Termasuk di bawah kaedah ini juga apa yang dinukilkan oleh Zarruq daripada Ibn Furak bahawa: الغلط في إدخال ألف كافر بشبهة الإسلام خير من الغلط في إخراج مسلم واحد بشبهة كفر Maksudnya: “Tersilap memasukkan seribu orang kafir dengan syubhat Islam lebih baik berbanding tersilap mengeluarkan (mengkafirkan) seorang Islam dengan syubhat kekufuran.” (Lihat Qawa’id al-Tasawwuf, hlm. 31 Kaedah 85) Dalam hal ini juga Imam al-Rafi’i menegaskan, jika dinukilkan daripada seseorang suatu lafaz yang pada zahirnya kekufuran, maka ia hendaklah diteliti dan disiasat terlebih dahulu. Jika ia mengandungi maksud yang berlainan dengan zahir lafaz, seperti ingin mengkhususkannya (takhsis) atau kata-kata kiasan (majaz), maka ia perlu ditanya kepada orang yang melafazkannya untuk mengetahui apa maksud yang dikehendakinya. Walaupun pada asalnya sesuatu lafaz itu diambil pada hakikat dan keumumannya, namun dalam hal ini kewaspadaan (ihtiyat) diperlukan. Jika dia menyebutkan sesuatu lafaz yang pada zahirnya terdapat andaian (ihtimal) kekufuran, namun dia menafikan kekufuran, maka ia dibiarkan. Jika lafaz itu tidak mengandungi andaian yang menyalahi zahirnya atau dia mempertahankan dengan hujah yang tiada kaitan dengan lafaz atau tidak menjelaskan langsung, maka ia perlu diminta bertaubat. Sekiranya dia tidak mahu bertaubat sedangkan lafaz yang diucapkan itu jelas kekufurannya menurut ijmak, maka ketika itu ia dihukumkan murtad dan boleh dibunuh jika tidak bertaubat. (Lihat al-Fatawa al-Hadithiyyah, 1/222) Berdasarkan kaedah yang dinyatakan, isu kafir mengkafir perlu ditangani dengan penuh berhati-hati. Oleh kerana itu, para ulama menggariskan dua kaedah dalam mentakfir. Pertama: Takfir Mutlaq. Bererti menyatakan bahawa sesiapa berbuat sesuatu perkara yang boleh mengkafirkan maka ia boleh membawa kepada kekufuran, tanpa memaksudkan orang tertentu. Kenyataan seumpama ini difokuskan kepada perbuatan atau ajaran atau pembawaannya, bukan orang secara khusus. Kedua: Takfir Mu’ayyan. Bererti menyatakan bahawa si fulan bin si fulan, iaitu dengan menyebut nama orang tertentu telah kafir. Kenyataan seumpama ini ditujukan secara langsung kepada seseorang yang melakukan sesuatu perkara yang boleh mengkafirkan. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 1/126-127) Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi takfir perlu dibezakan dengan dua cara iaitu takfir nau’ (jenis) dan takfir syakhs mu’ayyan (peribadi). Beliau menyebut: “Hendaklah diberikan perhatian apa yang telah diputuskan oleh para `ulama muhaqqiqun mengenai wajibnya dibezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (mengkafirkan). Ini bermaksud, contohnya kita katakan: Golongan komunis itu kafir, atau para pemerintah sekular yang membantah hukum syarak itu kafir, atau sesiapa yang menyatakan sebegini atau menyeru kepada ini maka dia kafir. Ini semua adalah hukuman pada jenis. Adapun apabila perkara ini berkait dengan peribadi seseorang, yang disandar kepada mereka itu dan ini, maka wajiblah diambil masa untuk dibuat kepastian dan kesabitan mengenai hakikat sebenar pendiriannya. Ini dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujjah, tiada lagi syubhat dan juga tiada lagi keuzuran untuknya”. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 1/126). Justeru, kita dapati para salaf mengkafirkan firqah-firqah secara mutlak seperti firqah Jahmiyah dan Rafidhah, akan tetapi mereka tidak serta merta mengkafirkan setiap anggota firqah tersebut, kecuali hanya beberapa orang daripada mereka seperti Ja’d bin Dirham, Hallaaj dan Hafs al-Fard (yang pengkafirannya masih diperselisihkan). (Lihat Majmu’ Fatawa, 23/349-350) Antara kaedah penting yang menjadi keistimewaan Ahli Sunnah wal-Jamaah berbanding golongan lain adalah mereka membezakan antara sesuatu pendapat dengan pelakunya. Sesuatu pendapat adakalanya berupa kekufuran, tetapi pelakunya tidak dihukumkan kafir kecuali setelah diselidiki. Maka, para ulama Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu sebelum menghukum seseorang itu terkeluar daripada Islam atau murtad. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut: Hendaklah pendapat atau amalan itu secara jelas menunjukkan kekufuran yang dilakukan berdasarkan pilihannya dan bukan kerana terpaksa. Hendaklah dia terus berpegang dengan pendapat atau amalan kufur tersebut, dan ketika dijelaskan kepadanya (al-haq) dia tetap berpegang kepadanya. Hendaklah telah ditegakkan hujjah kepadanya dan dia telah jelas terhadap perkara tersebut. (Lihat Majmu' Fatawa, 12/500-501) Di samping itu seseorang itu terhalang daripada hukuman murtad atau terkeluar Islam sekiranya ia berada dalam situasi berikut: Baru memeluk agama Islam. Hidup di tempat yang jauh. Termasuk dalam kelompok ini adalah orang yang tidak mempunyai ulama selain ulama bid'ah yang mereka minta berfatwa dan mereka ikuti. Kehilangan akalnya kerana gila atau kerana yang lain. Belum sampai kepadanya nas-nas daripada al-Kitab dan al-Sunnah, atau telah sampai (nas-nas tersebut) tetapi belum jelas kefahaman nas-nas tersebut. Nas-nas tersebut telah sampai kepadanya, dia telah jelas dalam memahaminya, akan tetapi didedahkan kepadanya sesuatu yang bertentangan dengan nas-nas tersebut (sama ada yang berasal daripada akal fikiran mahupun perasaan) yang mendorongnya untuk menta'wil, walaupun dia mungkin berbuat kesalahan. Termasuk kelompok ini adalah mujtahid “ahli ijtihad” yang salah dalam ijtihadnya. Ini disebabkan Allah akan mengampuni kesilapan golongan ini dan memberinya pahala atas ijtihadnya itu.(Lihat Majmu' Fatawa, 3/231; 23/345-346) Pengajaran daripada sikap sahabat dalam peperangan Siffin (37H) Sepanjang sejarah para sahabat R.anhm, tiada suatu perbezaan pendapat yang lebih tajam daripada perbezaan pendapat yang berlaku selepas kewafatan Sayyiduna ‘Uthman bin ‘Affan. Lihat bagaimana dalam peperangan Ѕiffіn, Sayyiduna ‘Alі selaku khalifah yang sah tetap meletakkan kedudukan para penentangnya sebagai kaum Muslimin yang seakidah dengannya dalam soal ketuhanan, kenabian dan dakwah kepada Islam. Tiada perbezaan antara beliau dengan para penentangnya kecuali dalam soal pembunuhan ‘Uthmаn yang beliau sendiri menafikan keterlibatannya. (Lihat Sharh Nahj al-Balaghah, 3/114.) Dalam riwayat Ja‘far al-Ѕаdiq daripada bapanya, Muhammad al-Bаqir menukilkan bahawa ‘Alі menegaskan kepada penyokongnya, beliau memerangi para penentangnya bukan kerana mengkafirkan mereka atau kerana mereka mengkafirkan dirinya. Akan tetapi, ia terjadi disebabkan masing-masing berpandangan kebenaran berpihak kepadanya. (Lihat Qurb al-Isnad, hlm. 93) Kerana itu, ‘Alі menegah para sahabatnya daripada mencela tentera Shаm yang dipimpin Mu‘аwiyah dengan berkata: “Sesungguhnya aku membenci kamu menjadi orang yang gemar mencela, akan tetapi jika kamu ingin menyifatkan perbuatan mereka, menyebutkan perihal mereka, maka setepat-tepat perkataan, setinggi-tinggi keuzuran, kamu berkata pada tempat celaan kamu terhadap mereka dengan (doa berikut): Wahai Allah! Peliharalah darah-darah kami dan darah-darah mereka, perbaikilah hubungan kami dan mereka, berikanlah mereka hidayah petunjuk daripada kesesatan mereka, sehingga mereka mengenali kebenaran daripada kejahilannya dan dijauhkan daripada kesesatan dan permusuhan orang yang berterusan dengannya.” (Lihat Waq’ah Siffin, hlm. 103) Ini bererti, ‘Alі sendiri mengakui perselisihan yang berlaku adalah berpunca daripada perbezaan menangani pembunuhan ‘Uthmаn, sedangkan masing-masing merasakan kebenaran berpihak kepada mereka. ‘Alі mengiktiraf dan mengakui bahawa ia merupakan sejenis ijtihad yang dilakukan oleh para sahabat seperti Talhah, Zubayr dan Mu‘аwiyah. Kerana itu, dicatatkan dalam karya-karya sejarah, ketika ‘Alі menemui jenazah Talhah yang gugur dalam perang Jamal, beliau mengusap wajah Talhah yang disaluti debu sambil berkata: “Amat berat terasa wahai Abu Muhammad, melihat engkau terbaring kaku di lembah ini di bawah bintang-bintang langit.” Beliau berkata lagi, “Kepada Allah aku mengadu kedukaanku.” Lalu ‘Alі mendoakan kerahmatannya dan berkata, “Alangkah baiknya jika aku meninggal dunia dua puluh tahun sebelum (peristiwa) ini.” (Lihat Tarikh Madinah Dimashq, 25/115) Begitu juga Zubayr, ketika beliau menarik diri daripada peperangan, salah seorang tentera ‘Alі bernama ‘Amr bin Jurmuz telah mengekori lalu membunuhnya. Ibn Jurmuz memenggal kepala Zubayr lalu membawanya kepada ‘Alі. Apabila melihatnya ‘Alі mengatakan: “Sampaikan berita kepada pembunuh anak Ѕafiyyah (Zubayr) dengan (balasan) neraka!” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 3/111) Riwayat juga menyebutkan, setelah perdamaian antara ‘Alі dan Mu‘аwiyah dicapai dan peperangan dihentikan, ‘Alі berjalan-jalan meninjau keadaan mangsa perang yang terlibat antara kedua-dua belah pihak. Saat melihat para tenteranya yang terkorban, beliau mengatakan, “Mereka semua di dalam syurga.” Kemudian apabila melihat mangsa korban di pihak Mu‘аwiyah, beliau turut berkata perkataan yang sama. (Lihat Tarikh Madinah Dimashq, 59/139) Sesetengah riwayat menukilkan bahawa ‘Alі mengatakan, “Mangsa korbanku dan mangsa korban Mu‘аwiyah di dalam syurga.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/144) Semua ini menunjukkan sikap baik sangka dan kasihan belas ‘Alі terhadap para penentangnya atas dasar kesilapan mereka dalam berijtihad, jauh sekali untuk bersikap buruk sangka apatah lagi mengkafirkan mereka. Kesimpulan Kesimpulannya tidak boleh bermudah-mudahan menghukum seseorang itu kafir atau murtad kecuali setelah memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan dan tidak terdapat sebarang halangan. Apa yang diriwayatkan daripada salaf tentang pemutlakan kufur dan laknat, ia tetap berada pada kemutlakan dan keumumannya. Oleh itu tidak sekali-kali disandarkan kekufuran kepada seseorang Islam secara peribadi kecuali wajib disertai dengan dalil dan bukti. Pengkafiran juga tidak boleh dilakukan secara semberono oleh mana-mana orang perseorangan, ia perlu diserahkan kepada pihak berkuasa agar siasatan dan penelitian dapat dilakukan berdasarkan undang-undang Syariah, sekaligus mengelakkan huru hara dalam masyakarat. |
226 | Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat. Apakah maksud qaul qadim dan jadid? Menurut Ibn Hajar al-Haitami, qaul qadim merupakan pandangan Imam Syafi’e sebelum beliau memasuki Mesir yang antara lain terkandung dalam kitab beliau al-Hujjah; manakala qaul jadid pula ialah pandangan Imam al-Syafi’e sewaktu di Mesir, yang antara lain termuat di dalam kitab Mukhtasar al-Buwaiti dan al-Umm. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 1/53-54) Menurut Imam al-Ramli, qaul qadim ialah pandangan Imam al-Syafi’e ketika di Iraq, atau sebelum perpindahan beliau ke Mesir, manakala qaul jadid ialah pandangan beliau ketika di Mesir. (Rujuk Nihayah al-Muhtaj 1/50) Menurut Imam Khatib al-Syirbini, qaul qadim ialah pandangan Imam al-Syafi’e ketika di Iraq, samada melalui penulisan (yang terkandung dalam kitab al-Hujjah) atau fatwa secara lisan. Qaul jadid pula ialah pandangan Imam Syafi’e ketika di Mesir, samada dalam bentuk penulisan atau fatwa lisan, dan periwayat utama qaul jadid ialah al-Buwaiti, al-Muzani dan al-Rabi’; adapun murid beliau yang lain seperti Harmalah, Yunus bin Abd al-A’la, Abdullah bin Zubair al-Makki, mereka hanya meriwayatkan sebahagian pandangan Imam al-Syafi’e. Adapun qaul yang diucapkan ketika tempoh waktu selepas beliau keluar dari Iraq dan sebelum tinggal di Mesir, maka pandangan yang lebih terkemudian dianggap sebagai qaul jadid, dan yang lebih awal sebagai qaul qadim. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 1/107) Menurut Syeikh Muhammad al-Zuhaily, qaul qadim ialah pandangan Imam al-Syafi’e ketika beliau di Iraq secara bertulis dalam kitab al-Hujjah, atau fatwa yang beliau fatwakan. Antara perawi bagi qaul qadim ini ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Za’farani, al-Karabisi dan Abu Tsur. Qaul jadid pula ialah qaul fiqhi yang dinyatakan Imam al-Syafi’e ketika di Mesir, samada secara bertulis atau fatwa secara lisan, dan antara periwayat qaul jadid ialah al-Muzani, al-Buwaiti, al-Rabi’ al-Muradi dan Harmalah. Kitab-kitab terpenting yang membawa qaul jadid ialah al-Umm, al-Imlaa’, Mukhtasar al-Buwaiti dan Mukhtasar al-Muzani. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e 1/25) Adakah qaul jadid membatalkan qaul qadim? Dalam hal ini, ada persoalan yang berbangkit: Dengan adanya qaul jadid, adakah secara automatik qaul qadim terbatal dan tidak lagi terpakai? Menurut Imam al-Nawawi: Setiap masalah yang mempunyai dua pandangan Imam Syafi’e padanya, maka qaul jadid ialah yang sahih dan yang terpakai. Seseorang mufti dan orang awam yang berpegang kepada mazhab Syafie tidak boleh berpegang kepada mana-mana qaul yang dimahukan, bahkan mestilah berpegang kepada qaul yang terakhir antara keduanya. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 1/66-67). Menurut Imam al-Ramli, apabila terdapat dua pandangan Imam al-Syafi’e dalam satu masalah, maka qaul jadid antara keduanyalah yang diamalkan. (Rujuk Nihayah al-Muhtaj 1/50) Diriwayatkan juga bahawa Imam al-Syafi’e telah menarik kembali pandangan beliau yang lama, dan berkata: “Aku tidak benarkan sesiapa meriwayatkan daripadaku pandangan aku yang lama”. Beliau juga tidak membenarkan qaul qadim dikira sebagai pandangan yang mewakili mazhab beliau. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 1/107) Penggunaan qaul jadid sebagai fatwa mazhab Syafi’e dalam isu tertentu Namun demikian, terdapat beberapa keadaan di mana qaul qadim diutamakan dan digunapakai sebagai fatwa yang mewakili mazhab Syafi’e berbanding qaul jadid, dan ini berlaku setelah para ulama mazhab Syafi’e meneliti dan menilai dalil kedua-dua qaul qadim dan jadid, dan menyimpulkan bahawa dalil dan hujah qaul qadim adalah lebih kuat dan rajih, tanpa menisbahkan pandangan tersebut kepada Imam al-Syafi’e sendiri. Namun tugas ini hanya boleh dilakukan oleh para ulama yang telah mencapai darjat kemampuan tarjih antara aqwal dalam mazhab Syafi’e. (Rujuk al-Muhimmat fi Syarh al-Raudhah wa al-Rafi’e 9/227 oleh Imam al-Isnawi dan Sullam al-Muta’allim al-Muhtaj ila Ma’rifah Rumuz al-Minhaj oleh Syeikh Sayyid Ahmad Syamilah Al-Ahdal hlm. 50) Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami, usaha para ulama dalam menentukan pandangan yang lebih rajih antara qaul qadim dan jadid ini sebenarnya bertepatan dengan wasiat Imam al-Syafi’e sendiri iaitu: إذَا صَحَّ الْحَدِيثُ مِنْ غَيْرِ مُعَارِضٍ فَهُوَ مَذْهَبي Maksudnya: Apabila sahihnya suatu hadith, maka itulah mazhabku. Daripada kata-kata Imam Syafi’e ini, para ulama yang pakar dalam mazhab telah menilai dalil dan hujah setiap qaul Imam al-Syafi’e, dan menetapkan bahawa qaul qadim adalah lebih menepati dalil dalam beberapa isu fiqh dan ia mesti didahulukan berbanding qaul jadid, meskipun Imam al-Syafi’e sendiri tidak pernah menarik kembali pandangan beliau yang tidak bertepatan dengan hadith tersebut. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 1/54) Para ulama berbeza pandangan dalam menentukan jumlah sebenar permasalahan yang difatwakan dengan qaul qadim dalam mazhab Syafi’e, antaranya dalam dua bab menurut Imam al-Haramain, ada yang menyenaraikan empat belas menurut Imam al-Nawawi, tujuh belas menurut Imam al-Ramli, lapan belas, dua puluh dan ada yang menyenaraikan lebih tiga puluh masalah menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami. Antara contoh permasalahan-permasalahan tersebut ialah: Air suci yang mengalir tidak bertukar kepada air mutanajjis melainkan apabila ia berubah samada dari sudut bau, warna dan rasa Keharusan beristinja’ menggunakan batu walaupun najis telah mengalir sekitar kemaluan Tidak batalnya wudhu apabila bersentuh dengan mahram berlainan jantina Haramnya memakan kulit binatang yang telah disamak Sunat mengumandangkan ( الصلاة خير من النوم ) ketika azan Subuh Sunat mengumandangkan azan ketika melaksanakan solat qadha Waktu Maghrib berterusan hingga terbenam syafaq merah, manakala qaul jadid menyatakan waktu Maghrib cuma sekadar untuk bersuci, menutup aurat, azan, iqamah dan solat lima rakaat Sunat melewatkan solat Isya Tidak sunat membaca surah ketika dua rakat terakhir dalam solat Sunat membaca ‘amiin’ secara kuat oleh makmum ketika dalam solat jahar Sunat membuat garis di hadapan orang solat untuk melintas Dibolehkan mengikut orang yang sedang solat sendirian (munfarid) ketika dia sedang solat Makruhnya memotong kuku jenazah Tidak diambil kira haul atau tempoh untuk mengeluarkan zakat rikaz Keharusan ahli keluarga menggantikan puasa si mati yang masih mempunyai puasa yang tidak digantikan Keharusan meletakkan syarat sakit untuk bertahallul Salah satu pihak dalam usahama (partnership) berhak untuk mewajibkan satu pihak lain untuk sama-sama menjaga harta yang diusahasama Suami wajib menggantikan semula mahar milik isteri yang dipegang olehnya jika ia rosak atau hilang dengan barang atau nilai yang serupa Wajib hukuman hudud jika seseorang bersetubuh dengan hamba yang merupakan mahram kepadanya (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 1/66-67; Nihayah al-Muhtaj 1/50; Mughni al-Muhtaj 1/10; Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib 1/77; Al-Asybah wa al-Nazo’ir li al-Suyuti 540 Bughyah al-Mustarsyidin hlm. 16; Sullam al-Muta’allim al-Muhtaj ila Ma’rifah Rumuz al-Minhaj hlm. 50-54; Al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah, hlm. 32) Syeikh Ahmad Syamilah Al-Ahdal pula menambah beberapa lagi isu yang difatwakan padanya dengan qaul qadim dalam mazhab Syafi’e, antaranya ialah diterima penyaksian dua orang anak terhadap kedua ibu bapa dan gugurnya dua bukti yang saling bercanggah dalam penghakiman. (Rujuk Sullam al-Muta’allim al-Muhtaj ila Ma’rifah Rumuz al-Minhaj hlm. 54) Namun, tidak semua permasalahan di atas disepakati kerajihan qaul qadim, bahkan pada sebahagian permasalahan, terdapat ulama yang tetap merajihkan qaul jadid. Maka perkara ini sebenarnya kembali kepada ijtihad para ulama mazhab Syafi’e dalam menetapkan pandangan mana yang lebih menepati dalil dan qaedah mazhab dalam isu-isu yang diperselisihkan di atas. Kesimpulan Tuntasnya, secara asal dan umumnya pandangan qaul qadim dikira terbatal, tidak boleh digunakan sebagai fatwa atau untuk diamalkan, melainkan pada permasalahan-permasalahan yang telah disebutkan di atas. Namun permasalahan-permasalahan di atas juga masih diperselisihkan dalam kalangan para ulama, dan setiap ulama mendatangkan hujah dan dalil masing-masing serta membahaskannya secara panjang lebar dalam kitab-kitab mereka. Wallahu a’lam. |
229 | Soalan Assalamualaikum wbt SS Dato’ Seri Mufti. Saya nak tanya, apa beza perkataan al-Masih yang digunakan pada Nabi Isa AS dan al-Masih pada Dajjal? mohon penjelasan. Terima kasih. Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Maksud al-Masih pada Nabi Isa AS Allah SWT berfirman: إِذْ قَالَتِ الْمَلَائِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّـهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ Maksudnya: (Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah). (Surah Ali Imran: 45) Ibn Kathir dalam mentafsirkan firman Allah SWT: “اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ” (nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam), menjelaskan maksudnya nama tersebut masyhur di dunia dan dikenal oleh orang-orang yang beriman. Dinamakan al-Masih, menurut sebahagian ulama salaf kerana Baginda AS banyak melakukan perjalanan. Ada juga yang berkata, kerana Baginda mempunyai tapak kaki yang rata tidak berlekuk. Dikatakan juga, kerana jika Baginda mengusap seseorang yang menghidapi penyakit kronik, maka dengan izin Allah orang tersebut akan sembuh. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/60) Ibn Manzur dalam kitabnya Lisan al-‘Arab berkata: وَقِيلَ: سُمِّيَ بِهِ لأَنه كَانَ سَائِحًا فِي الأَرض لَا يَسْتَقِرُّ، Dinamakan Nabi Isa AS dengan al-Masih kerana Baginda banyak mengembara di atas muka bumi serta Baginda tidak menetap pada satu tempat. (Lihat Lisan al-‘Arab, 2/593) Dalam pendapat lain disebut: سُمِّيَ بِذَلِكَ لأَنه كَانَ يَمْسَحُ بِيَدِهِ عَلَى الْعَلِيلِ والأَكمه والأَبرص فَيُبْرِئُهُ بإِذن اللَّهِ؛ Nabi Isa AS disebut dengan al-Masih kerana Baginda mengusap dengan tangannya pada orang yang sakit, orang yang buta sejak lahir, orang yang menderita sakit kusta, kemudian mereka sembuh dengan izin Allah SWT. (Lihat Lisan al-‘Arab, 2/593) Maksud al-Masih pada Dajjal Perkataan al-Masih pada Dajjal pula adalah berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang menyebut berkenaan bacaan untuk berlindung daripada empat perkara ketika bertasyahhud akhir. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu bertasyahhud, hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah daripada empat perkara dengan membaca: اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa neraka Jahannam, daripada seksa kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal.” Riwayat Muslim (1352) Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda: الدَّجَّالُ مَمْسُوحُ الْعَيْنِ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ كَافِرٌ... Maksudnya: “Dajjal itu sebelah matanya terhapus (seolah-olah tidak bermata), tertulis di antara kedua matanya kafir… Riwayat Muslim (7550) Ibn al-Athir Rahimahullah berkata: سمي الدجال مسيحاً، لأن عينه الواحدة ممسوحة، والمسيح: الذي أحد شقي وجهه ممسوح، لا عين له ولا حاجب Maksudnya: “Dajjal disebut Masih, kerana salah satu matanya terhapus. Dan al-Masih: ialah orang yang salah satu sisi wajahnya mamsuh (terhapus), tidak ada matanya dan tidak ada kening.” (Lihat Jami’ al-Usul fi Ahadith al-Rasul, 4/203) Oleh itu, berdasarkan kenyataan di atas, jelaslah perbezaan perkataan al-Masih pada kedua-duanya tersebut. Kami cuba mengamati betapa kalimah al-Masih digunakan kepada pembawa kebaikan dan kebenaran. Sedangkan yang satu lagi digunakan al-Masih juga untuk membawa kejahatan dan kebatilan serta kesesatan. Ini banyak kali Allah ungkapkan dalam al-Quran dan juga terdapat hadith sebagaimana raja yang adil, hakim bijaksana dan amat berkuasa seperti Nabi Sulaiman. Begitu juga terdapatnya pemerintah yang zalim bahkan mendakwa dirinya tuhan serta menguasai sebahagian besar tanah seperti firaun. Ini semua mengajar kita untuk memilih yang baik dan menjarakkan serta menjauhkan daripada yang tidak baik. Sesungguhnya dan menariknya, kedua-dua al-Masih akan muncul di akhir zaman. Al-Masih Isa dengan kemuliaannya yang dikurniakan Allah bersifat turun dari langit seperti nas hadis sahih. Sedangkan al-Masih al-Dajjal pula akan muncul dan keluar yang bersifat kebumian dan bukan dari atas yang membawa pelbagai sihir dan kesesatan dan akhirnya al-Masih membunuh al-Masih, yakni al-Masih Isa akan membasmi dan membunuh al-Masih al-Dajjal seperti yang dinaskan. Itulah tanda kebesaran Allah bahawa kebenaran akan mengalahkan kebatilan. Insya Allah, kami akan keluarkan Bayan Linnas secara khusus berkenaan hakikat Dajjal dalam masa yang terdekat. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal. Amin. |
231 | SOALAN Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan. Adakah wajib bagi seseorang waris itu mengerjakan badal haji bagi orang tuanya yang telah meninggal dunia? Bagaimana sekiranya si mati merupakan orang yang tidak berkemampuan? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih. RINGKASAN JAWAPAN Menurut mazhab Syafie, seseorang yang telah berkemampuan untuk mengerjakan haji, namun dia meninggal dunia sebelum sempat mengerjakannya, maka ahli warisnya wajib mengerjakan badal haji bagi pihaknya dengan menggunakan harta peninggalan si mati. Ini kerana ia merupakan beban hutang buat si mati. Namun, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta atau harta si mati tidak mencukupi, maka tidak wajib untuknya mengerjakan haji bagi pihak si mati, sebaliknya ia menjadi perkara yang sunat untuk dikerjakan oleh ahli warisnya ataupun orang asing yang lain bagi pihaknya. HURAIAN JAWAPAN Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kebangkitan. Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib ditunaikan oleh sekalian individu Muslim yang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/9). Firman Allah SWT: وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” Surah Ali ‘Imran (97) Pada dasarnya, syarat wajib haji terbahagi kepada lima perkara[1] iaitu: Islam Baligh Berakal Merdeka Berkemampuan Oleh itu, mereka yang memenuhi kelima-lima syarat wajib haji ini, maka diwajibkan ke atasnya untuk mengerjakan ibadah haji. Manakala bagi yang tidak dapat memenuhi salah satu atau kesemuanya, maka kewajipan haji ini terangkat daripada dirinya sehinggalah dia dapat memenuhi kesemua syarat di atas. Sehubungan dengan itu, dalam membicarakan hal pada syarat wajib haji yang kelima iaitu berkemampuan, perkara ini terbahagi kepada dua jenis iaitu secara langsung dan juga tidak langsung. Berkemampuan secara langsung ialah mereka yang mampu dan berupaya untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah dengan tubuh badannya sendiri tanpa mengalami sebarang kesusahan atau kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya. Manakala berkemampuan secara tidak langsung pula ialah seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, 2/124) Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan adakah wajib bagi para waris mengerjakan badal haji bagi ibu atau bapanya yang telah meninggal dunia tanpa sempat menunaikan haji meskipun sudah berkemampuan. Maka dalam hal ini, ada dinukilkan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, di bawah tajuk sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan tidak mengerjakan kewajipan haji. Pengarang menyebut: إذا وجب على الإنسان الحج أو العمرة، ولكنه تراخى عن أدائها فلم يؤدهما حتى مات، مات عاصياً، ووجب تكليف من يحج عنه أو يعتمر، وتدفع النفقة من رأس مال المتوفى، وتعد هذه من الديون، فلا تقسم التركة إلا بعد أداء الديون. Maksudnya: Sekiranya telah diwajibkan haji atau umrah ke atas seseorang, tetapi dia menangguhkannya atau melengah-lengahkannya, dan tidak mengerjakan kedua-duanya sehinggalah dia meninggal dunia, maka dia meninggal dalam keadaan berdosa, maka diwajibkan agar ditentukan seseorang bagi mengerjakan haji atau umrah bagi pihaknya, dengan tanggungan harta si mati, dan kewajipan ini dikira sebagai hutang. Oleh yang demikian, harta peninggalan si mati tidak boleh dibahagikan dan difaraidkan melainkan selepas selesai melunaskan hutang-hutang tersebut. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, 2/176-177) Ini berdasarkan kepada hadith daripada Ibn Abbas R.A, seorang perempuan daripada Bani Juhainah datang bertemu Rasulullah SAW, lalu berkata: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ أَفَأَحُجَّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَتَهُ؟ قَالَتْ: نَعَمْ. قَالَ: اَقْضُوا دَينَ اللهِ، الَّذِي لَهُ، فَإِنَّ اللَّهَ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ. Maksudnya: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk mengerjakan haji. Adakah aku perlu mengerjakan haji bagi pihaknya?” Baginda menjawab: “Ya, tunaikanlah haji bagi pihaknya. Bukankah sekiranya ibumu berhutang, kamu akan menyelesaikannya?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda bersabda lagi: “Tunaikanlah hutang Allah kerana hutang Allah lebih berhak ditunaikan.” Riwayat al-Bukhari (7315) Ibn Hajar al-Haitami menyebut, oleh kerana disamakan haji dengan hutang dan juga adanya tuntutan untuk melunaskannya, maka ia menunjukkan kewajipan mengerjakan haji bagi pihak si mati, dan perbelanjaannya diambil daripada harta si mati. Beliau menambah lagi, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta pusaka, maka gugur kewajipan haji ke atasnya begitu juga tidak wajib seseorang waris mengerjakan haji bagi pihaknya. Akan tetapi disunatkan bagi para waris mahupun orang asing untuk mengerjakan haji bagi pihak si mati sekalipun ahli waris tidak mengizinkannya.[2] Kesimpulannya, seseorang yang telah berkemampuan untuk mengerjakan haji namun dia meninggal dunia sebelum sempat mengerjakannya, maka ahli warisnya wajib mengerjakan badal haji bagi pihaknya dengan menggunakan harta peninggalan si mati kerana ia merupakan beban hutang buat si mati. Namun, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta atau harta si mati tidak mencukupi, maka tidak wajib untuknya mengerjakan haji bagi pihak si mati, sebaliknya ia menjadi perkara yang sunat untuk dikerjakan oleh ahli warisnya ataupun orang asing yang lain. [1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, Tahqiq: Zuhair al-Syawisy, (Beirut: Al-Maktab al-Islami, cetakan ke-3, 1412H), 3/3. [2] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1357H), 4/28-29. |
232 | Soalan: Apakah hukum sebenar lelaki memakai gelang? Saya pernah mendengar seorang ustaz menyatakan, ada pandangan ulama menghukumnya sebagai makruh, bukan haram. Mohon penjelasan. Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat. Pengharaman menyerupai jantina berlawanan Daripada Abu Hurairah R.A bahawa: أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لُبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لُبْسَةَ الرَّجُلِ Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki. Sahih al-Bukhari (5435) dan Musnad Imam Ahmad (8309) Syeikh Badr al-Din al-‘Aini pula mengulas hadith ini dengan kata beliau : وتشبه الرِّجَال بِالنسَاء فِي اللبَاس والزينة الَّتِي تخْتَص بِالنسَاء مثل لبس المقانع والقلائد والمخانق والأسورة والخلاخل والقرط Maksudnya : (Celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Rujuk ‘Umdah Al-Qari, Al-‘Aini 22/41) Jelas daripada hadith ini bahawa adalah haram hukumnya bagi seseorang untuk memakai pakaian mahupun perhiasan yang khas bagi jantina yang berlawanan dengannya. Dinyatakan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 11/267) Hukum lelaki memakai gelang Terdapat riwayat daripada ‘Imran Bin Husain R.A bahawa Nabi SAW pada suatu hari melihat seorang lelaki yang memakai gelang di tangannya. Lalu Nabi SAW bersabda: مَا هَذِهِ الْحَلْقَةُ " . قَالَ هَذِهِ مِنَ الْوَاهِنَةِ . قَالَ " انْزِعْهَا فَإِنَّهَا لاَ تَزِيدُكَ إِلاَّ وَهْنًا Maksudnya: Gelang apakah ini ? Maka lelaki itu pun menjawab: Ini disebabkan penyakit. Lalu baginda bersabda: Tanggalkanlah ia kerana sesungguhnya ia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan. Sunan Ibn Majah (3531) Maka jelas daripada hadith di atas bahawa Nabi SAW memerintahkan supaya pemakaian gelang dengan tujuan dan keyakinan bahawa ia dapat menyembuhkan ditanggal dan dijauhkan kerana ia sama sekali tidak dapat memberi manfaat mahupun mengelakkan kemudaratan. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa jumhur ulama mengharamkan lelaki memakai gelang. Terdapat juga pandangan sebahagian ulama seperti Imam al-Ghazali yang memfatwakan keharusan gelang perak, kerana nas hanya menyebut pengharaman bekas makanan daripada perak dan pengharaman menyerupai wanita bagi lelaki. Namun pendapat yang lebih sahih ialah pandangan jumhur, bahawa memakai gelang ialah haram bagi lelaki. Syeikh Zakariyya Al-Ansari pula menyebut bahawa diharuskan bagi seorang lelaki memakai cincin perak kerana mengikut (ittiba’) Rasulullah SAW, bahkan hukumnya adalah sunat, namun lelaki tidak boleh memakai gelang (al-siwar) dan tidak halal baginya, meskipun gelang tersebut diperbuat daripada perak. Hal ini kerana memakai gelang itu mempunyai unsur kewanitaan, dan ia tidak layak dan sesuai dengan sifat seorang lelaki. (Rujuk Fatawa Hujjah al-Islam Abu Hamid al-Ghazali, hlm. 30; Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/444 dan Asna Al-Matolib 1/379). Ibnu Hajar Al-Haitami pula menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita ialah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki; adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Rujuk Al-Fatawa Al-Fiqhiyyah Al-Kubra, 1/261) Ini juga dipersetujui oleh fuqaha’ mazhab Hanafi, dimana Imam Kamaluddin Ibn al-Hammam jelas menyebut bahawa tidak diharuskan bagi lelaki memakai perhiasan perak melainkan dengan cincin al-mantiqah (tali pinggang) dan hiasan pedang. Pandangan yang sama juga disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah al-Hanbali (Rujuk Syarh Fath al-Qadir 22/180 dan al-‘Umdah fi al-Fiqh 1/37) Kesimpulan Tuntasnya, majoriti besar ulama mengharamkan pemakaian gelang untuk orang lelaki yang mewakili empat mazhab besar dalam fiqh Islami, dan pandangan yang mengharuskannya ialah pandangan yang ganjil. Namun dalam isu ini terdapat beberapa pengecualian, antaranya ialah fatwa daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Negeri Sembilan akan keharusan pemakaian gelang atau rantai tangan bagi lelaki untuk tujuan perubatan atau rawatan berdasarkan keperluan dan hajat dengan syarat: Ia bukan diperbuat daripada emas, perak, suasa atau sutera (bagi lelaki). Tidak terdapat unsur najis padanya. Tidak mempercayai atau meyakini bahawa pemakaian gelang tangan tersebut boleh menyembuhkan penyakit tertentu kerana ia dikhuatiri boleh menjerumuskan seseorang kepada unsur khurafat yang boleh menjejaskan aqidah. Tidak menyebabkan kemudaratan kepada pemakainya. Mendapat perakuan daripada pakar perubatan yang beragama Islam dan telah terbukti secara saintifik bahawa ia merupakan antara kaedah rawatan yang berkesan dalam merawat penyakit. Begitu juga dengan pemakaian jam tangan yang tidak boleh diqiyaskan hukumnya dengan gelang, kerana sifat kedua-duanya yang berbeza dan telah menjadi ‘uruf serta kebiasaan yang diterima oleh masyarakat Islam sebagai satu perkara yang dilazimi oleh lelaki dan wanita. Wallahu a’lam. Disediakan oleh, Unit Buhuth, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. |
233 | Mukadimah Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat. Bersempena dengan kehadiran bulan Zulhijjah 1440/2019 kali ini, kami terdetik untuk mengulas berkenaan satu isu yang sememangnya sinonim iaitu hikmah permusafiran jemaah haji ke tanah suci Mekah. Artikel ini pernah dikeluarkan dalam ruangan majalah terbitan YADIM. Namun sebagai mengambil iktibar serta pengajaran, maka kami terbitkan kembali artikel ini dengan menambahbaik poin-poin serta isi-isi yang lebih tuntas dan terkini. Kami memilih untuk mengambil satu atau dua ayat untuk ditafsirkan tanpa mengikut tertib atau mengikut surah. Tetapi memadai dengan hanya mengambil satu atau dua ayat. Kemudian, cuba direnung dan digali tafsirannya berdasarkan hikmah dan falsafah berkenaan ayat tersebut. Kami sengaja memuqadimahkan artikel kali ini dengan isu berkenaan musafir dalam menunaikan ibadah haji. Ini kerana, kadang-kadang kita terkhilaf dalam memahami maksud dan kehendak Ilahi, seruan dan arahan-Nya berkenaan dengan kefardhuan haji atau lainnya. Justeru itu, pada edisi bayan linnas kali kami tajukkan sebagai “Hikmah Musafir Atau Berkelana Untuk Menunaikan Haji”. Semoga ia memberi manfaat kepada semua. Amin. Seruan Menunaikan Haji Dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman: وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ Maksudnya: "Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh." (Surah al-Hajj: 27) Syeikh al-Maraghi berkata: “Allah SWT berfirman kepadanya (Ibrahim): Serulah manusia agar menunaikan ibadah haji dan ziarahi rumah yang kamu diperintahkan untuk membinanya. Nescaya mereka datang kepadamu dengan berjalan kaki ataupun berkenderaan unta walaupun menempuh perjalanan yang jauh.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 17/107) Dalam kitab Mausu’ah al-I’jaz al-‘Ilmi fi al-Quran wa al-Sunnah, Yusuf al-Hajj Ahmad berkata: Ayat suci ini menunjukkan tanda mukjizat dan keagungan yang memberi manfaat yang cukup besar. Ini menunjukkan mukjizat al-Quran sejak 1400 tahun yang lalu bahawa bumi ini bulat. Sekiranya bumi ini mendatar ketika turunnya al-Quran, maka uslub ayatnya akan menggunakan yang jauh kerana ia menunjukkan jarak antara dua hala dalam satu pusingan. Namun, kerana bumi itu bulat dan orang yang datang ke Makkah dari pelbagai bentuk penjuru bumi, maka Allah SWT menggunakan melalui firman-Nya: “Dari segala penjuru yang dalam atau jauh. Mekah adalah pusat bumi di alam semesta. Fakta ini memerlukan kajian selama beratus-ratus tahun untuk membuktikannya. Selain itu, Mekah merupakan paksi graviti magnetik yang boleh dipastikan dengan fenomena aneh yang pasti dirasakan oleh setiap orang yang datang ke Mekah dengan hati yang ikhlas, baik pada waktu haji, mahupun umrah. Secara naluri, ia akan merasa tertarik dengan sesuatu yang ada di sana, seperti tanah pergunungannya dan lain-lain lagi. Ini merupakan perasaan yang mendalam sudah wujud sejak awal kewujudan bumi. Dalam kalangan perubatan mengkaji bahawa perjalanan ibadah haji merupakan cara penyucian dan ketenangan diri yang mengandungi manfaat dari segi jasmani, mahupun rohani. Tidak mungkin seseorang yang melakukan haji tidak merasai nikmat ketenteraman dan ketenangan kerana ia menjadi tetamu Allah SWT yang menguasai alam semesta ini. Haji mengandungi unsur tekanan fizikal dan mental yang berat. Ini kerana setiap jemaah haji dituntut berjalan dengan cepat secara bergantian. Dunia kedoktoran menyatakan berjalan merupakan kaedah yang paling baik khusus untuk orang berumur kerana boleh menambah oksigen, mengurangkan kadar kolesterol dalam darah dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Ketika di Mekah, jemaah yang lemah, sakit, mahupun yang sudah berusia akan merasa kekuatan yang luar biasa kurniaan Allah SWT. Itu semua bukanlah perkara yang aneh apabila berada di Mekah, tempat yang penuh dengan keberkatan. Sesungguhnya, segala-galanya yang berlaku itu, semuanya adalah kuasa Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (Lihat Mausu’ah al-I’jaz al-‘Ilmi fi al-Quran al-Karim wa al-Sunnah al-Mutahharah, hlm. 958) Kami nukilkan di sini kenyataan Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din berkenaan dengan keluar musafir untuk menunaikan ibadah haji. Katanya: Ketahuilah, apabila kamu bermusafir bagi menunaikan haji, kamu meninggalkan ahli keluarga dan watan, tawajjuh menghadap Allah SWT dalam perjalanan yang tidak sama dengan perjalanan musafir di dunia, maka hendaklah kamu hadirkan dalam hati kamu apa yang kamu kehendaki dan ke mana yang kamu tuju, dan menziarahi siapa yang dituju. Sesungguhnya kamu sedang menuju Raja segala Raja dalam kumpulan rombongan yang diseru (bagi menunaikan haji) lalu mereka menyahut seruan itu, mereka dikurniakan kerinduan, lalu mereka rindukan (melakukannya), mereka dibangkitkan semangat untuknya, lalu mereka bersemangat untuknya, lalu mereka menghilangkan hubungan-hubungan (yang menghalangnya), mereka berpisah dengan khalayak ramai, lalu menuju ke Baitullah yang sangat agung urusan-Nya, lagi besar hebat perintah suruhan-Nya, lagi Maha Tinggi terangkat kemuliaan kadar-Nya, dengan terhibur bagi bertemu dengan Kaabah dan dikurniakan rezeki yang bernilai sampai ke darjah penghabisannya. Hendaklah dia menghadirkan dalam hatinya agar sampai kepada-Nya dan diterima baik oleh-Nya. Tidak perlu berbangga dengan amalan dan berjauhan dari keluarga dan harta miliknya, tetapi percaya dengan kurniaan Allah SWT dan berharap bahawa kalau pun ia tidak sampai kepada-Nya, ia akan mencapai niat sucinya dalam perjalanan. Justeru, Allah SWT akan menemuinya sebagai rombongan kepada-Nya, seperti firman Allah SWT: وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا Maksudnya: Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.[1] (Surah al-Nisa’: 100) Tentang keluar dan memasuki padang pasir (kalau zaman dahulu setengah tempat masih ada suasana demikian), Imam al-Ghazali menyebut pengajarannya: Adapun kamu memasuki kawasan padang pasir (tempat orang Badwi berpindah randah) hingga kamu menemui miqat-miqat dan perkara yang disaksikan pada tahap perjalanan itu (sekarang perjalanan menggunakan pesawat dan alternatif lain yang memungkinkan sampai ke tempat tersebut), maka hendaklah kamu ingat tentangnya, iaitu umpama keluar daripada dunia dengan berlakunya maut sampai ke miqat-miqat Hari Kiamat, dan apa-apa yang berlaku antara keduanya itu dengan perompak dan yang sepertinya seumpama munkar nakir. Begitu juga bertembung dengan haiwan liar, seperti kala jengking di kubur, dengan ulat-ulatnya, ular berbisa. Keadaannya terpisah daripada ahli keluarga dan sahabat handai dalam keadaan sunyi seorang diri di kubur dengan kesusahan dan keseorangan. Hendaklah dia jadikan perkara yang menakutkan (dan menyusahkan) dalam amalan dan kata-katanya sebagai persiapan mendepani di alam kubur nanti. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din (1/364) pada Kitab Asrar al-Haj) Perkataan safar (pelayaran) atau pengembaraan bermaksud, dalam hal yang sebenarnya, sebagai “mendedah, membersihkan.” Para ulama’ memberitahu, kita bahawa perjalanan itu dipanggil safar di dalam bahasa Arab kerana di dalam masa perjalanan, peribadi seseorang itu akan terdedah dan menjadi bersih. Hikmah Haji Sama ada Individu atau Jama’ie Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu menyebut tentang faedah bagi seseorang yang menunaikan haji. Antaranya: Menghapuskan dosa kecil. Sebahagian ulama’ Hanafi berkata, termasuk dosa besar. Membersihkan jiwa daripada maksiat. Jiwa menjadi bersih, ikhlas dalam tajdid Menambahkan lagi ma’nawiyat Meneguh dan menguatkan cita-cita serta keazaman. Mengukuhkan lagi husnu al-zan dengan Allah SWT. Menambah dan meningkatkan iman serta keyakinan. Memperbaharui tajdid perjanjian ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Bertaubat dengan penuh keikhlasan dan harapan kepada keampunan-Nya. Mendidik jiwa serta melembutkan perasaan kemanusiaan. Menambahkan lagi sifat dan tingkatan ihsan dalam ibadat. Mengimbau kembali nostalgia keagungan Islam. Membaca sejarah salaf al-soleh yang penuh gemilang dengan amalan soleh dan jihad. Mengajar erti sebuah kesabaran dan pengorbanan. Memahami keperluan iltizam dan istiqamah yang mesti disebatikan dalam jiwa. Menzahirkan kesyukuran di atas pelbagai kurniaan nikmat-Nya: Antaranya, nikmat harta, kesihatan, ilmu, ukhuwah, iman, taqwa, tauhid, akal, dan lain-lain. Menanam dalam lubuk hati ruh ubudiah yang sempurna. Hikmah Haji dan Faedah untuk Jemaah Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu menyebut tentang faedah bagi jamaah yang menunaikan haji. Antaranya: Taa’ruf ummah yang merentasi pelbagai bangsa, bahasa, tanah air, watan dan taraf serta darjat kehidupan sesama Muslim. Memungkinkan untuk mendapat manfaat iqtisadiyyah dan ekonomi ummah, seperti transaksi perniagaan, kenderaan atau kapal terbang, perhotelan atau tempat tinggal, pengangkutan di tanah suci, makanan, minuman, buah-buahan, ubat-ubatan, farmasi, mata wang, binatang qurban, dam, fidyah, khidmat atau servis, khemah, kitab atau buku, hingga kepada perkara yang remeh-temeh Muzakarah ummah berkenaan maslahah agama Islam, politik, ekonomi, kebudayaan dan lain-lain antara cendikiawan ulama’ pemimpin dan pembesar negara. Bersatu dalam perbincangan menangani isu musuh Islam. Mengikat dan mengutuhkan lagi Rabitah Ukhuwwah Islamiyah sesama ummah di seluruh pelusuk dunia. Merasakan kebersamaan ummah yang pelbagai berasal daripada manusia yang satu, iaitu Nabi Adam AS. Melahirkan perasaan setaraf dan sama kedudukan sifat kemanusiaannya di hadapan Allah yang dijelmakan melalui: Pakaian ihram, warnanya yang putih, slogan talbiah yang sama, menuju ke tempat yang sama, mengadap kiblat yang sama, solat pada waktu yang sama, berjemaah dengan imam yang satu, tawaf di tempat yang sama, sa’ie pada tempat yang sama, wukuf pada hari, waktu, tempat yang serentak, melontar ke lubang jamarat yang sama dengan bilangan batu yang sama dan peraturan yang juga sama. Membuahkan perasaan cinta kepada Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabatnya. Melatih dan mendidik jiwa untuk saling bekerjasama sebagai team building yang benar-benar mantap. (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu,3/402) Penutup Sesungguhnya musafir menunaikan haji mempunyai banyak kelebihan dan terpahat dalam nostalgia seseorang sehingga ke akhir hayat sesorang sekalipun berlangsung begitu lama. Haji mengajar erti persahabatan dan pengorbanan. Ibadat haji juga membuka tembelang serta sifat sebenar seseorang sahabat terhadap sahabatnya yang lain. Haji juga menjadikan seseorang mendapat begitu banyak manfaat, faedah dan pengalaman baru takkala bertemu pelbagai jenis manusia, ragam dan tabiat masing-masing. Cukuplah firman Allah SWT berkenaan dengan tujuan haji : لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ Maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (Surah al-Haj: 28) Imam Ibn Kathir menakalkan kata-kata Ibn Abbas R.A bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah faedah adalah merangkumi di dunia dan akhirat. Adapun faedah di akhirat adalah mendapat reda daripada Allah SWT dan faedah di dunia pula adalah mereka mendapat manfaat dari kesihatan tubuh badan dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/414) Imam al-Maraghi menafsirkan ayat ini dengan menyebut: “Agar mereka datang menyaksikan memperoleh laba dalam perdagangan dan manfaat-manfaat di akhirat seperti mengerjakan pekerjaan yang diredai oleh Allah SWT, dan memujiNya dengan segala nikmat yang dilimpahkan kepada mereka, serta rezeki yang berupa hadiah dan unta gemuk yang dihadiahkan kepada mereka pada tiga hari korban iaitu hari raya dan dua hari sesudahnya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4547) Sesungguhnya bermusafir dalam menunaikan ibadah haji mempunyai hikmah yang besar. Bagi yang merenung dan tafakkur akan hikmahnya, nescaya akan memperoleh hikmah-hikmah yang besar ini lantas menjadikan permusafiran mereka lebih bererti. Oleh itu, sewajarnya bagi setiap jemaah haji untuk sentiasa mentajdid nawaitu semasa musafir mereka menjadi tetamu Allah yang Agung. Mudah-mudahan mereka akan beroleh haji yang mabrur dan diterima di sisi Allah SWT. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua ketika melaksanakan ibadah haji dan dapat menghayati pengalaman rehlah imaniyah ini sebagai Duyuf al-Rahman. [1] Imam Ibn Kathir berkata: Maksudnya barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan niat hijrah, lalu mati di tengah perjalanan, maka dia telah memperoleh di sisi Allah pahala orang yang berhijrah. Ini sebagaimana yang ditegaskan dalam kitab al-Sahihain dan kitab-kitab lain seperti kitab-kitab Sahih, Musnad dan Sunan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/180) |
235 | Peranan Masjid Masjid memiliki kedudukan yang sangat istimewa dan penting dalam Islam. Segala urusan pentadbiran dan kenegaraan sehinggakan ketenteraan dikelolakan oleh Baginda Nabi SAW di masjid. Ini menunjukkan bahawa masjid merupakan pusat kehidupan dan seluruh kegiatan Islam ketika zaman Nabi SAW. Firman Allah SWT: إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ Maksudnya: “Hanya orang yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah”. Kanak-kanak dan Masjid Melentur buluh biarlah dari rebungnya, ini merupakan pepatah melayu yang sering digunakan sebagai nasihat dalam mendidik anak-anak bermula dari awal peringkat umur. Mendidik dengan membawa mereka ke masjid merupakan cara memupuk rasa cintakan masjid sejak dari kecil. Dalam masa yang sama pihak masjid juga memainkan peranan yang penting dalam menyantuni kanak-kanak yang datang agar mereka merasa lebih dekat dan selesa dengan masjid. Hadis yang menunjukkan kemesraan Nabi SAW dalam menyantuni kanak-kanak sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA, katanya: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ السُّجُودِ أَعَادَهَا Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkanya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula”. Dari sudut hukum syarak, terdapat dua pandangan dalam isu membawa kanak-kanak ke masjid. Pendapat yang melarang membawa kanak-kanak ke masjid merupakan sebahagian pendapat ulama mazhab Hanbali, Maliki dan Syafie. Larangan tersebut tertakluk kepada kanak-kanak yang masih belum mumayyiz. hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal RA, Nabi SAW bersabda: جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ Maksudnya: “Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil kalian” Pendapat yang membenarkan kanak-kanak masuk ke masjid dipegang oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani, Imam al-Syaukani dan selainnya. Mereka berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA, katanya: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ السُّجُودِ أَعَادَهَا Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula”. Dalam hadis yang lain juga yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik menyebut bahawa Nabi SAW meringkaskan solat apabila mendengar suara tangisan kanak-kanak. Imam Ibnu Hajar dan Imam al-Syaukani berpendapat bahawa dua hadis di atas menunjukkan bahawa hukum bagi kanak-kanak masuk ke masjid adalah dibenarkan harus. Kanak-kanak menurut fuqaha syafi’iyyah memberi maksud kanak-kanak yang mumayyiz dan sunat membawa mereka untuk mengimarahkan masjid dengan mendirikan solat berjemaah. Berkaitan saf kanak-kanak yang telah mumayyiz dan orang dewasa, Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa saf kanak-kanak berada di belakang saf makmum dewasa. Namun, sekiranya mereka hadir terlebih dahulu dan masuk ke dalam saf yang pertama, maka mereka tidak boleh ditarik untuk ke saf belakang. Ini kerana mereka berhak untuk mendapatkan saf tersebut. Imam Mawardi berpendapat bahawa keutamaan bagi kanak-kanak yang mumayyiz untuk diletakkan bersama saf orang dewasa supaya mereka dapat mempelajari pergerakan solat. Bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz dan tidak dapat berdikari melakukan solat, ibu bapa mereka berperanan dalam memastikan anak-anak mereka tidak menggangu jemaah lain yang sedang melakukan ibadah. Bahkan satu perkara yang baik sekiranya pihak masjid dapat menyediakan inisiatif dan fasiliti bersesuaian untuk mereka supaya tidak megganggu perjalanan ibadah solat di masjid. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said menceritakan bahawa Nabi SAW pernah menegur seseorang yang membaca al-Quran dengan suara yang kuat sehingga mengganggu orang lain yang mengerjakan ibadah.[1] Pun begitu, pihak masjid berhak menetapkan syarat dan etika tertentu terutamanya bagi kehadiran kanak-kanak agar tidak mengganggu dan menjamin perjalanan ibadat lebih selesa serta lebih fokus dan khusyuk. Hak individu untuk beribadah hendaklah dijaga supaya tidak terganggu dengan kehadiran kanak-kanak ke masjid. Bahkan Syiekh Abdul Rahman al-Jaziri menukilkan pandangan fuqaha Syafi’iyyah berpendapat bahawa haram membawa kanak-kanak di dalam masjid jika dengan kehadiran mereka menjadikan masjid termpat bermain dan memberi kemudaratan kepada para jemaah di dalamnya[2]. Kesimpulan Setelah melihat perbahasan di atas, dapat disimpulkan bahawa hukum syarak membenarkan kanak-kanak datang ke masjid bagi mendekatkan mereka kepada masjid dan dapat mempelajari pergerakan-pergerakan solat. Justeru itu, pihak masjid sepatutnya mengambil peluang ini untuk menyantuni ibu bapa yang ingin membawa anak-anak mereka pergi ke masjid agar dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk cintakan masjid terutamanya mereka yang mempunyai anak-anak. Bagi kanak-kanak yang mumayyiz dan mampu berdikari melakukan solat, sebaiknya pihak masjid menyediakan saf yang khusus untuk mereka di belakang saf orang dewasa. Boleh juga kanak-kanak yang tidak mengganggu dan boleh melakukan solat dengan sempurna diletakkan bersama saf dewasa terutamanya di samping kedua ibu atau bapanya. Manakala bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz, menjadi tanggungjawab ibubapa menjaga mereka agak tidak menggangu para jemaah yang lain. Sangat baik bagi pihak masjid sekiranya dapat menyediakan fasiliti yang bersesuaian dalam membantu menjaga kanak-kanak tersebut supaya tidak menggangu perjalanan ibadah. Baik juga pihak masjid menyediakan inisiatif dengan melantik penyelia untuk mengawasi dan membimbing kanak-kanak dengan penuh kemesraan agar mereka dapat mempelajari gerak-geri solat di samping dapat mengawal keadaan dan kehormatan masjid. Malahan juga ibu bapa juga hendaklah mengambil tanggungjawab dalam memastikan anak-anak mereka tidak mengganggu jemaah lain yang sedang solat. Awasilah mereka dengan penuh sopan-santun agar dapat mendidik mereka dengan penuh kasih sayang. Nabi SAW bersabda: لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا Maksudnya: Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak memuliakan golongan yang tua dari kalangan kami. Wallahu’alam Rujukan: [1] Sunan Abi daud 1332 عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، قَالَ : اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ : " أَلاَ إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلاَ يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلاَ يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ " . أَوْ قَالَ : " فِي الصَّلاَةِ " . [2] الشافعية قالوا: يجوز إدخال الصبي الذي لا يميز والمجانين المسجد إن أمن تلويثه وإلحاق ضرر بمن فيه، وكشف عورته، وأما الصبي المميز فيجوز إدخاله فيه إن لم يتخذه ملعباً وإلا حرم. -كتاب الفقه على المذاهب الأربعة- |
237 | SOALAN Assalamualaikum Datuk. Saya nak Vaksin tapi suami saya tak izinkan langsung, sebab saya isteri dia kena dengar kata dia dalam undang-undang perkahwinan. Macam mana saya nak defend diri saya? Saya sedih. RINGKASAN JAWAPAN Dalam Islam adalah menjadi kewajipan seorang isteri untuk mentaati suami. Manakala vaksinisasi pula adalah satu bentuk penjagaan dari mendapat sesuatu penyakit yang mana dalam situasi sekarang ia untuk menjaga dari dijangkiti COVID-19 yang boleh mengancam nyawa. Dalam keputusan muzakarah MKI menyatakan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan. Manakala pihak pemerintah pula telah menjalankan program vaksinisasi besar-besaran di seluruh negara maka sepatutnya ia diambil cakna oleh setiap rakyat untuk menyambut baik usaha-usaha ini. Untuk menjaga kerukunan rumah tangga isteri sebaiknya berbincang dengan suami dalam perkara ini, begitu juga pihak suami tidak seharusnya menghalang pihak isteri untuk mengambil vaksin lebih-lebih lagi itu adalah hak isteri untuk mendapat kaedah penjagaan yang sebaiknya daripada jangkitan COVID-19 berdasarkan pandangan pakar. HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Sistem kekeluargaan Islam sangat memberi penekanan dalam aspek tanggungjawab atau hak-hak antara suami dan isteri. Suami isteri mesti bertanggungjawab dalam memastikan segala hak tersebut dilaksanakan dengan baik. Hal ini kerana, sebarang bentuk pengabaian terhadap hak dan tanggungjawab boleh menyebabkan keruntuhan dan kecelaruan berlaku dalam rumah tangga. Islam memberi penekanan yang jelas dalam perkara ini. Firman Allah SWT: وَلَهُنَّ مِثۡلُ ٱلَّذِي عَلَيۡهِنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيۡهِنَّ دَرَجَة Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).” Surah al-Baqarah (228) Imam al-Thobari dalam menjelaskan ayat di atas, beliau menukilkan kata-kata al-Dhahhak bahawa jika para isteri taat kepada Allah dan para suami mereka, maka suami perlu berkelakuan baik serta bertanggungjawab dalam menunaikan hak-hak isteri dengan sebaik mungkin. (Rujuk: Jaami’ al-Bayan li al-Thobari, 4/531) Selain itu, kesihatan dan keselamatan isteri merupakan hak yang wajib dipelihara oleh suami. Hal ini kerana aspek ini merupakan suatu tuntutan syarak dan maqasid syariah, bahkan ia berada dalam kategori al-Dharuriyyat al-Khamsah yang wajib setiap individu memeliharanya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali R.H di dalam kitabnya: وَمَقْصُودُ الشَّرْعِ مِنْ الْخَلْقِ خَمْسَةٌ: وَهُوَ أَنْ يَحْفَظَ عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ وَنَفْسَهُمْ وَعَقْلَهُمْ وَنَسْلَهُمْ وَمَالَهُمْ Maksudnya: “Dan tujuan Syari’at itu ada lima, iaitu: untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka.” (Rujuk: al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul, 174) Memelihara nyawa merupakan prinsip yang kedua terpenting mengikut urutan keutamaan untuk dijaga selepas memelihara agama. Justeru, Ikhtiar perubatan adalah bertujuan untuk memelihara nyawa termasuklah mengambil vaksin. Tambahan pula, dalam keadaan wabak yang semakin kritikal adalah satu keperluan untuk seseorang itu mendapat vaksin bagi mencegah jangkitan COVID-19. Perkara yang perlu difahami ialah ketetapan oleh pihak kerajaan berdasarkan pandangan pakar-pakar yang dipercayai telah memutuskan untuk mengambil kaedah vaksinisasi sebagai langkah pencegahan dalam menangani wabak COVID-19. Bagi kita sebagai seorang Muslim, Islam telah mengajar supaya merujuk kepada pakar dalam bidangnya. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT: فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. Surah al-Nahl (43) Sebagaimana umat Islam dituntut agar memelihara lima perkara teras dalam kehidupan seperti agama, nyawa, akal, harta dan maruah. Oleh yang demikian, sebagai Muslim perlu menjaga kesihatan tubuh badan agar memelihara kelangsungan hidup berpanjangan. Lebih-lebih lagi apabila keadaan dunia dilanda dengan wabak yang berbahaya sehingga membawa kepada kematian. Oleh itu, kita perlu mencegah diri kita daripada terkena dengan wabak tersebut dengan cara yang ditetapkan oleh pemerintah seperti pematuhan SOP dan pengambilan vaksin yang dapat mengurangkan kebarangkalian dijangkiti wabak COVID-19 yang sedang melanda. Hal ini kerana kaedah fiqh yang masyhur ada menyatakan bahawa: الضرر يُزَال Maksudnya: Kemudaratan itu disingkirkan. (Rujuk: Al-Asybah wa al-Nazhoir, al-Subki, 1/41) Berdasarkan kaedah fiqh ini, Syeikh Mustafa Al-Zarqa ada menyatakan bahawa sesuatu kemudaratan itu WAJIB dihilangkan atau disingkirkan. Kaedah ini berkaitan dengan kemudaratan dari sudut larangan melakukannya dan kewajipan mencegah dan menyingkirkannya setelah ianya berlaku. (Rujuk: Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, 179) Oleh itu, sekiranya terdapat sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap diri dan nyawa individu seperti wabak virus maka perlulah disingkirkan dan dihilangkan. Antaranya adalah dengan mengambil langkah berhati-hati terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa seperti pengambilan vaksin yang turut termasuk dalam cara menyingkirkan kemudaratan daripada menimpa seseorang individu. Oleh yang demikian, pengambilan vaksin ini selari dengan kaedah fekah ini. Sebaliknya, perbuatan meninggalkan pengambilan vaksin yang boleh memberikan kemudaratan jangkitan terhadap seseorang individu adalah tindakan yang bertentangan dengan kaedah fekah tersebut. Justeru itu, sekiranya terdapat dakwaan bahawa vaksin ini akan memberikan kesan sampingan kepada individu yang menggunakannya, maka mudarat ini tidak sebesar jika dibandingkan dengan mudarat tidak mengambil vaksin secara total. Hal ini selari dengan kaedah yang menyatakan apabila bertembung dua mafsadah atau keburukan maka kita lakukan mafsadah yang lebih ringan kesannya. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibnu Nujaim: إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا Maksudnya: Apabila bertembungnya dua mafsadah, maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan. (Rujuk: Al-Asybah wa al-Nazhair, Ibn Nujaim, 76) Syeikh Mustafa Al-Zarqa’ memperincikan kaedah tersebut bahawa maksud meraikan kemudaratan yang paling berat diantara kedua-dua mudarat itu adalah dengan cara membuangnya (meninggalkannya). Hal ini kerana segala kemudaratan dipertimbangkan untuk kita mengelak dari melakukannya sepertimana segala kebaikan dipertimbangkan untuk kita melaksanakannya. (Rujuk: Syarah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 201) Dalam isu vaksin ini sekiranya benar terdapat kesan-kesan sampingan seperti demam-demam kecil dan seumpamanya, maka pengambilannya tetap diteruskan kerana ia bertujuan untuk mengelakkan kesan mudarat yang lebih besar yang bakal berlaku sekiranya ia tidak diambil seperti jangkitan wabak COVID-19 berskala yang lebih besar lagi. KESIMPULAN Berdasarkan huraian di atas adalah jelas tentang keperluan untuk menyambut usaha kerajaan ini dengan sebaiknya. Manakala dari sudut hubungan antara suami dan isteri pula adalah menjadi kewajipan seorang isteri untuk mentaati suami. Manakala vaksinisasi pula adalah satu bentuk penjagaan dari mendapat sesuatu penyakit yang mana dalam situasi sekarang ia untuk menjaga dari dijangkiti COVID-19 yang boleh mengancam nyawa. Dalam keputusan muzakarah MKI menyatakan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan. Manakala pihak pemerintah pula telah menjalankan program vaksinisasi besar-besaran di seluruh negara maka sepatutnya ia diambil cakna oleh setiap rakyat untuk menyambut baik usaha-usaha ini. Untuk menjaga kerukunan rumah tangga isteri sebaiknya berbincang dengan suami dalam perkara ini, begitu juga pihak suami tidak seharusnya menghalang phak isteri untuk mengambil vaksin lebih-lebih lagi itu adalah hak isteri untuk mendapat kaedah penjagaan yang sebaiknya daripada jangkitan COVID-19 berdasarkan pandangan pakar. |
238 | Soalan Assalamualaikum wbt. Sebelum ini tular isu di media sosial berkenaan sebuah tasik yang dikunjungi ramai orang kerana dikatakan tasik itu memberi manfaat untuk mengandung kepada wanita yang berendam di dalam tasik tersebut dan ingin mendapatkan zuriat. Adakah cara pergi ke tasik tersebut untuk mendapatkan zuriat dikira sebagai usaha ataupun perkara khurafat? Mohon penjelasan SS. Mufti. Ringkasan Jawapan Waalaikumussalam wbt. Sebagai orang Islam, kita harus berpegang bahawa Allah SWT yang mempunyai kuasa untuk memberi rezeki, memberi manfaat dan mudarat. Pada asasnya meyakini bahawa selain daripada Allah SWT yang mampu memberi rezeki atau mudharat seperti tasik, makhluk, atau ciptaan lain adalah berunsurkan amalan syirik dan khurafat. Kerana yang boleh memberi manfaat dan mudharat tidak lain tidak bukan hanya Allah SWT. Cara sedemikian juga dikategorikan sebagai usaha yang haram kerana tidak berlandaskan syariat Islam. Wallahua’lam. Huraian Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. Meyakini bahawa sesuatu selain Allah boleh memberi manfaat atau mudarat adalah bercirikan amalan yang syirik. Ia juga merupakan kategori usaha yang haram kerana tidak berlandaskan syariah. Firman Allah SWT: قُلِ ادْعُوا الَّذِينَ زَعَمْتُم مِّن دُونِهِ فَلَا يَمْلِكُونَ كَشْفَ الضُّرِّ عَنكُمْ وَلَا تَحْوِيلًا Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya”. Surah al-Isra’ (56) Syeikh Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan bahawa ayat ini sebagai penjelasan kepada orang-orang musyrik yang mempercayai kuasa selain daripada Allah SWT. Tiada sesuatu pun selain Allah SWT yang mampu memulihkan kemudaratan seperti kemiskinan, penyakit, bala dan sebagainya, atau memindahkannya daripada satu tempat ke tempat yang lain dan daripada seseorang kepada orang yang lain.[1] [Lihat: Tafsir al-Munir, 15/112] Imam al-Qurtubi pula mengatakan bahawa ayat ini turun kepada Nabi Muhammad SAW sebagai respon kepada kepercayaan orang musyrikin mekah. Menurut Imam al-hassan al-Basri, ia sebagai cabaran kepada tuhan-tuhan kepercayaan mereka seperti para malaikat, Uzair AS, Isa AS. Berkata Ibn Mas’ud pula ia adalah kepercayaan seperti jin, yang mana tuhan-tuhan kepercayaan mereka ini tidak mampu untuk mengangkat kemudharatan seperti yang menimpa kepada penduduk Mekah selama tujuh tahun. Tidak ada yang berubah daripada miskin menjadi kaya, ataupun yang sembuh daripada penyakit.[2] [Lihat: Tafsir Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/279] Kemudian terdapat hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah berkaitan kebergantungan kepada selain daripada Allah SWT: مَنْ عَقَدَ عُقْدَةً ثُمَّ نَفَثَ فِيهَا فَقَدْ سَحَرَ وَمَنْ سَحَرَ فَقَدْ أَشْرَكَ وَمَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِّلَ إِلَيْهِ Maksudnya: Sesiapa yang mengikat sesuatu ilmu kemudian meniupkannya, maka itu adalah sihir, dan dia telah melakukan perkara yang syirik. Dan sesiapa yang menggantung sesuatu sebagai azimat, maka ia diwakilkan sebagai tempat dirinya bergantung (tidak mendapat apa-apa manfaat). Riwayat al-Nasaie (4084) Menurut Syeikh al-Munawi, hadis di atas ditujukan kepada orang yang berpegang kepada penawar atau ubat dan percaya bahawa ianya berkesan dan mujarab untuk mengubati sesuatu penyakit. Tetapi sebenarnya Allah SWT yang menyembuhkan penyakit tersebut.[3] [Lihat: Faidhul Qadir, 6/107] Hadis di atas juga memberi penjelasan jika seseorang manusia berpegang kepada sesuatu benda selain Allah dalam meminta rezeki atau manfaat, maka Allah tidak akan menolongnya. Syeikh al-Dardir dalam kitabnya mengatakan sesuatu benda itu secara hakikatnya tidak memberi kesan terhadap perkara yang berkaitan dengannya. Jadi sebenarnya api tidak memberi kesan terhadap kebakaran, makanan tidak memberi kesan terhadap kekenyangan, air tidak memberi kesan terhadap sistem pengairan atau pertumbuhan tanaman, kesuburan bumi atau buah-buahan, atau keadaan yang menjadikan cuaca itu panas atau sejuk, melainkan semua ini terjadi dengan izin dan kuasa Allah sahaja, yang berkehendak untuk memilih dalam menjadikan asas dan akibat sesuatu ciptaan tersebut.[4] [Lihat: Al-Kharidah Bahiyyah, 63] Kesimpulan Justeru, sebagai orang Islam, kita harus berpegang bahawa Allah SWT yang mempunyai kuasa untuk memberi rezeki, memberi manfaat dan mudhrat. Meyakini bahawa selain daripada Allah SWT yang mampu memberi rezeki atau mudarat seperti tasik, makhluk, atau ciptaan lain adalah syirik hukumnya. Kerana yang boleh memberi manfaat dan mudarat tidak lain tidak bukan hanya Allah SWT. Cara sedemikian juga dikategorikan sebagai usaha yang haram kerana tidak berlandaskan syariat Islam. Wallahua’lam. [1] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, (Beirut: 1991), Darul Fikri لا يملك أحد غير الله عزّ وجلّ كشف الضّر من فقر أو مرض أو بلاء أو غيره، أو تحويله وتبديله من مكان إلى مكان أو من شخص إلى آخر [2] Ahmad Barduni, Tafsir al-Qurtubi: Jami’ li Ahkam al-Quran, (Kaherah:1994), Darul Kutub Misriyyah لَمَّا ابْتُلِيَتْ قُرَيْشٌ بِالْقَحْطِ وَشَكَوْا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْزَلَ اللَّهُ هَذِهِ الْآيَةَ، أَيِ ادْعُوا الَّذِينَ تَعْبُدُونَ من دونه وَزَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ آلِهَةً. وَقَالَ الْحَسَنُ: يَعْنِي الْمَلَائِكَةَ وَعِيسَى وَعُزَيْرًا. ابْنُ مَسْعُودٍ: يَعْنِي الْجِنَّ (فَلا يَمْلِكُونَ كَشْفَ الضُّرِّ عَنْكُمْ) أَيِ الْقَحْطِ سَبْعَ سِنِينَ، عَلَى قَوْلِ مُقَاتِلٍ. (وَلا تَحْوِيلًا) مِنَ الْفَقْرِ إِلَى الْغِنَى وَمِنَ السَّقَمِ إِلَى الصِّحَّةِ [3] Abdul Rauf al-Munawi, Kitab Faidhul Qadir, (1971: Mesir), Darul Ma’rifah, أي تمسك بشيء من المداواة واعتقد أنه فاعل للشفاء أو دافع للداء (وكل إليه) أي وكل الله شفاءه [4] Muhammad al-Adawi al-Dardir, Al-Kharidah Bahiyyah fi Ilm Tawhid, وعلم أيضا أنه لا تأثير للأمور العادية في الأمور التي اقترنت بها، فلا تأثير للنار في الإحراق، ولا للطعام في الشبع، ولا للماء في الري ولا في إنبات الزرع، ولا للكواكب في إنضاج الفولكه وغيرها، ولا للأفلاك في شيء من الأشياء، ولا للسكين في اقطع، ولا لشيء في دفع حر أو برد، أوجبلهما، أو غير ذلك لا بالطبع ولا بالعلة ولا بقوة أودعها الله فيها، بل التأثيرفي ذلك كله لله تعالى وحده، بمحض اختياره عند وجود هذه الأشياء |
241 | Soalan: Saya baru memeluk Islam. Apa yang saya boleh boleh buat jika ada keluarga saya yang non Muslim meninggal dunia? Jawapan: Islam amat menitikberatkan hubungan yang harmoni sesama manusia walaupun berlainan agama dan bangsa. Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik untuk kita teladani. 1. Memandikan, Mengkafankan dan Mengebumikan Jika Perlu Disebutkan dalam sebuah hadith Ali bin Abi Talib telah bertemu Rasulullah SAW dan beliau mengkhabarkan tentang kematian Abu Talib. Baginda SAW bersabda: «اذْهَبْ فَوَارِهِ». قَالَ: إِنَّهُ مَاتَ مُشْرِكًا. قَالَ: «اذْهَبْ فَوَارِهِ». فَلَمَّا وَارَيْتُهُ رَجَعْتُ إِلَيْهِ، فَقَالَ لِي: «اغْتَسِلْ»Maksudnya: “Pergilah dan kebumikannya” Aku berkata: “Sesungguhnya dia mati dalam keadaan musyrik.” Nabi berkata: “Pergilah dan kebumikannya” Setelahmana aku mengebumikannya, aku kembali kepada Baginda. Maka Baginda berkata kepadaku, “Mandilah.”(Riwayat al-Nasa’ie, no. 190; Ahmad, no. 759) Dalam riwayat yang lain di dalam Musnad Ahmad (no. 1074), al-Suddi yang merupakan perawi hadith tersebut menyebutkan: “Dan adalah Ali RA selepas memandikan jenazah, beliau akan mandi.” Bahkan Nabi SAW sendiri memberikan jubahnya untuk dijadikan kain kafan bagi Abdullah bin Ubay ibn Salul, seorang munafik pada zamannya. Daripada Jabir bin Abdullah RAnhuma berkata: لَمَّا كَانَ يَوْمَ بَدْرٍ أُتِيَ بِأُسَارَى، وَأُتِيَ بِالعَبَّاسِ وَلَمْ يَكُنْ عَلَيْهِ ثَوْبٌ، «فَنَظَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَهُ قَمِيصًا، فَوَجَدُوا قَمِيصَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أُبَيٍّ يَقْدُرُ عَلَيْهِ، فَكَسَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاهُ، فَلِذَلِكَ نَزَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَمِيصَهُ الَّذِي أَلْبَسَهُ» قَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ كَانَتْ لَهُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يُكَافِئَهُ“Ketika Perang Badar, tahanan perang dibawakan termasuk al-Abbas yang tidak berpakaian. Nabi SAW mencari-cari pakaian untuknya dan mendapati jubah Abdullah bin Ubai sesuai dengannya. Maka Nabi memberikan jubah itu kepada al-Abbas. Oleh itulah Nabi SAW melepaskan jubah yang dipakainya (untuk dijadikan kain kafan jenazah Abdullah bin Ubai). Ibn ‘Uyainah berkata: ‘Dia (Abdullah bin Ubai) telah melakukan sesuatu yang membuatkan Nabi SAW suka untuk memberikannya ganjaran.”(Riwayat al-Bukhari, 3008) Oleh itu, Mazhab Syafie membolehkan orang Islam untuk memandikan, mengkafankan dan mengebumikan jenazah bukan Islam. [Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 1/628; Al-Hawi al-Kabir, 3/19.] 2. Mengiringi Jenazah Jika Perlu Kami cenderung untuk membenarkannya berdalilkan athar para Sahabat Nabi SAW dan juga tabi’en Radhiallahu ‘anhum. Antaranya: Sebahagian para sahabat pernah mengiringi jenazah ibu al-Harith bin Abi Rabi’ah yang mana beliau adalah seorang nasrani (kristian). Ini berdasarkan sebuah riwayat oleh al-Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani di dalam kitabnya, al-Aathar (2/178) dan ianya juga adalah zahir dari pendapat al-Imam Abu Hanifah Rahimahullah: أَنَّ الْحَارِثَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ مَاتَتْ أُمُّهُ النَّصْرَانِيَّةُ، فَتَبِعَ جَنَازَتَهَا فِي رَهْطٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَ مُحَمَّدٌ: لَا نَرَى بِاتِّبَاعِهَا بَأْسًا، إِلَّا أَنَّهُ يَتَنَحَّى نَاحِيَةً عَنِ الْجَنَازَةِ، وَهُوَ قَوْلُ أَبِي حَنِيفَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ Maksudnya: Sesungguhnya al-Harith bin Rabi’ah telah kematian ibunya seorang nasrani. Maka diikuti jenazahnya sekumpulan dari sahabat Nabi ﷺ. Telah berkata Muhammad al-Syaibani: “Aku tidak melihatnya (mengikuti jenazah) sebagai suatu kesalahan kecuali jika ianya memberi ruang satu sudut daripada jenazah dan ianya adalah pendapat Abu Hanifah RA. Telah berkata al-Sya’bi Rahimahullah: مَاتَتَ أُمُّ الْحَارِثِ بْنِ أَبِي رَبِيعَةَ، وَكَانَتْ نَصْرَانِيَّةً، فَشَيَّعَهَا أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَ الثَّوْرِيُّ فِي بَعْضِ الْحَدِيثِ: إِنَّهُ كَانَ يُؤْمَرُ أَنْ يَمْشِيَ أَمَامَهَا Maksudnya: Telah meninggal dunia ibu kepada al-Harith bin Abi Rabi’ah, yang mana ibunya itu adalah seorang nasrani (kristian). Maka telah mengiringi sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Telah berkata al-Thauri Rahimahullah dalam sebahagian hadith: “Sesungguhnya mereka diarahkan berjalan dihadapan (jenazah tersebut)”.Musannaf Abdul Razak al-Son’ani (9926) Begitu juga dengan riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (11842) namun dengan sidikit lafaz yang berbeza namun membawa maksud yang sama. Daripada Abi Wael, telah berkata beliau: مَاتَتْ أُمِّي وَهِيَ نَصْرَانِيَّةٌ فَأَتَيْتُ عُمَرَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ: ارْكَبْ دَابَّةً وَسِرْ أَمَامَهَا. Maksudnya: Telah meninggal dunia ibuku dan beliau adalah seorang nasrani (kristian). Maka aku mendatangi Umar RA dan memberitahunya. Maka telah berkata Umar RA: “Ambillah kenderaan dan berjalanlah dihadapannya (jenazah tersebut).Musannaf Ibn Abi Syaibah (11844) Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkannya di dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah di dalam Mukhtasar al-Muzani dan juga ashab-ashab yang lain mengatakan dibolehkan bagi seorang muslim untuk mengiringi jenazah kerabatnya yang kafir dan begitu juga menziarahi kubur mereka. [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, 5/144] Begitu juga pendapat yang membenarkan untuk mengiringi jenazah bukan Islam adalah berdasarkan qiyas kepada dibenarkan untuk mengiringi jenazah kerabat yang bukan Islam. Ini sepertimana yang telah dinukilkan oleh al-Imam Shamsuddin al-Ramli Rahimahullah di dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj. Beliau menyebut termasuk di dalam dibenarkan untuk mengiringi jenazah bukan Islam termasuklah jiran tetangga yang bukan Islam, maula (hamba) dan ianya diqiyaskan dengan keharusan menziarahi mereka. [Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 3/23] 3. Menghadiri Majlis Pengebumian Menghadiri pengebumian sahabat-sahabat atau ahli keluarga yang tidak memeluk Islam dan tidak memusuhi Islam, adalah dibolehkan dan tidak ada larangan padanya. Qiyas al-aula bagi perkara ini adalah jika memandikan, mengkafankan dan mengebumikan jenazah bukan Muslim pun dibolehkan olah syarak, maka sekadar menghadiri majlis pengebumian bukan Muslim, semestinya tidak menjadi satu kesalahan. Nasihat kami kepada yang berhadapan dengan situasi ini adalah: Tidak beri'tikad untuk membenarkan agama berkenaan. Tidak terbabit dalam upacara yang berkaitan dengan agama mereka kerana sesetengah majlis kematian bagi bukan Islam terdapat upacara-upacara yang berkaitrapat dengan amalan keagamaan. Bagi mereka yang ada pertalian dengan non Muslim seperti saudara baru, rakan taulan, jiran tetangga dan sebagainya, kami syorkan agar dizahirkan akhlak Islam dan menjadi jurudakwah dengan memperlihatkan keindahan Islam itu sendiri. |
244 | Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah seorang anak boleh bayar zakat fitrah sendiri walaupun masih dalam tanggungan bapa? Dan adakah bapa sememangnya wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi anak-anaknya. Mohon penjelasan. Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Kami mulakan dengan takrif zakat fitrah iaitu kadar yang tertentu daripada harta yang wajib dikeluarkan oleh setiap mukallaf bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya setelah matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/553) Antara peranan dan fungsi zakat fitrah disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata: فَرَضَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ ، مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ ، فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ ، وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ ، فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ. Maksudnya: Rasulullah SAW telah fardhukan zakat fitrah sebagai menyuci untuk orang berpuasa dari sebarang lagha serta keji di samping memberi makan kepada golongan miskin. Siapa yang menunaikannya sebelum solat raya maka dia dianggap zakat yang diterima. Dan sebaliknya, siapa yang menunaikannya selepas solat hari raya maka dia dianggap sebagai sedekah. Riwayat Abu Daud (1609) Zakat fitrah merupakan salah satu ibadah daripada ibadah-ibadah yang wajib ditunaikan sendiri oleh seorang Muslim atau melalui wakilnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar R.A, beliau berkata: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mewajibkan Zakat Fitrah, iaitu segantang tamar atau segantang gandum (pada bulan Ramadhan) atas setiap orang Islam, sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan.” Riwayat al-Bukhari (1433) dan Muslim (984) Terdapat tiga syarat wajib zakat fitrah iaitu: Islam Waktu, iaitu selepas Maghrib hari terakhir Ramadhan dan bermulanya malam raya. Berkemampuan (al-yasar). (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/97-98) Pada asasnya, adakah bapa wajib membayar zakat fitrah untuk anak-anaknya? Dalam isu ini, jika anak-anak belum baligh dan mereka mempunyai harta, maka zakat fitrahnya diambil dari harta mereka. Namun, jika mereka tidak mempunyai harta, maka zakat fitrahnya ditanggung oleh bapa mereka. Imam Nawawi berkata: Jika seorang kanak-kanak tidak mempunyai harta, maka zakat fitrahnya dibayar oleh bapanya. Bapanya wajib membayarkannya berdasarkan ijma’ oleh para ulama’ sepertimana dinukilkan oleh Ibn al-Munzir dan lain-lain. Namun, jika anak tersebut mempunyai harta, maka zakat fitrahnya diambil daripada hartanya. Demikian juga pendapat Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq dan Abu Thaur. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/141) Imam Nawawi turut menyebut: Sekiranya seorang kanak-kanak itu kaya, maka nafkah dan zakat fitrahnya diambil daripada hartanya, tidak daripada ayah atau datuknya. Demikian juga pendapat Abu Hanifah, Muhammad, Ahmad dan Ishaq. (Lihat al-Majmu’, 6/120) Satu kaedah menyebut: كُلُّ مَن تَلْزَمُهُ نَفْقَةُ غَيْرِهِ تَلْزَمُهُ فِطْرَتُهُ Maksudnya: Barangsiapa yang wajib menafkahi seseorang, wajib juga menunaikan zakat fitrahnya. Oleh itu, jika seseorang itu menafkahi (menanggung) seseorang atas sebab nikah (isteri, anak-anak), kaum kerabat (ibu ayah, saudara) dan khidmat (hamba) maka wajib juga seseorang itu membayarkan zakat fitrah bagi tanggungannya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 419) Kesimpulan Berdasarkan apa yang telah dinyatakan di atas, dapat disimpulkan seperti berikut: Pada asasnya, bapa hendaklah mengeluarkan zakat fitrah kepada anak-anak yang masih di bawah tanggungannya. Ini melainkan kanak-kanak tersebut memiliki harta, maka boleh diambil daripada harta tersebut. Dalam isu di atas, jika anak tersebut ingin membayar sendiri, maka boleh untuknya membayar sendiri zakat fitrah tersebut sekiranya memiliki harta dan berkemampuan. Bagi mengelakkan berlaku pembayaran dua kali, maklumkan juga kepada bapanya terlebih dahulu. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin. |
245 | Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat. Dalam mazhab Syafi’e, terdapat dua istilah yang sering ditemui dalam kitab-kitab mazhab, iaitu qaul qadim dan qaul jadid. Sebelum menjelaskan lebih lanjut tentang makna kedua-dua istilah ini, kami bawakan terlebih dahulu latar belakang kehidupan Imam al-Syafi’e secara ringkas serta kembara ilmu beliau hingga berjaya mencapai taraf mujtahid mutlaq. Biografi dan latar belakang Imam al-Syafi’e Imam al-Syafi’e atau nama penuhnya Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafie bin Ubaid bin Abdu Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdi Manaf lahir pada tahun 150H di sebuah tempat bernama Ghazzah di kota ‘Asqalan. Nasab beliau bertemu dengan nasab Rasulullah SAW pada moyang mereka berdua iaitu Abdu Manaf. Ketika umurnya dua tahun, beliau dibawa oleh ibunya ke Hijaz dan apabila umurnya mencecah 10 tahun, ibunya membawanya ke Mekah kerana khuatir nasabnya yang mulia akan lenyap. (Rujuk Manaqib al-Syafi’e oleh Imam al-Baihaqi, 1/472 dan Tawali al-Ta'sis li Ma'ali Muhammad ibn Idris, hlm. 51) Di Mekah, beliau menuntut ilmu dengan beberapa orang ulama terkenal, antaranya Imam Khalid bin Muslim al-Zanji iaitu mufti Mekah pada waktu itu, Fudhail bin ‘Iyadh dan Sufyan bin ‘Uyainah. Kemudian beliau berpindah ke Madinah ketika berumur 12 tahun, dan telah menghafal kitab al-Muwatto hanya dalam masa 9 hari untuk membolehkan dirinya belajar dengan Imam Malik bin Anas. Beliau telah menjadi anak murid Imam Malik yang paling alim, selain turut belajar daripada ulama Madinah yang lain. Beliau telah diberikan kebenaran untuk berfatwa ketika umur beliau 15 tahun. Kemudiannya, beliau berpindah ke Yaman dan menuntut ilmu daripada Mutorrif bin Mazin, Hisyam bin Yusuf, ‘Amru bin Abi Salamah dan Yahya bin Hassan, sebelum menetap di Iraq dan berguru dengan Waki’ bin Jarrah, Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, Hammad bin Usamah, Ayyub bin Suwaid al-Ramli dan Ismail bin ‘Ulayyah. Di Iraq, beliau telah mengarang kitab al-Hujjah yang menghimpunkan pandangan beliau yang lama (qaul qadim). Kemudian, Imam al-Syafi’e berpindah ke Mesir, dan mengubah banyak fatwa-fatwa beliau yang lama dan mengasaskan mazhab yang baharu yang menghimpunkan qaul jadid, yang dimuatkan di dalam kitab al-Umm. Beliau turut mengarang kitab al-Risalah dalam ilmu Usul Fiqh, sekaligus menjadi pengasas bagi ilmu ini. Beliau telah diiktiraf sebagai mujaddid (pembaharu) agama Islam bagi kurun yang kedua, antara lain kerana telah menghimpunkan antara dua manhaj, iaitu manhaj Ahlu Ra’yi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah dan manhaj Ahlu al-Hadith yang dilazimi oleh Imam Malik bin Anas. Imam al-Syafi’e telah meninggal dunia pada tahun 204H di Kaherah, semoga Allah SWT merahmati roh beliau. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah hlm. 31-32) Apakah maksud qaul qadim dan jadid? Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami, qaul qadim merupakan pandangan Imam Syafi’e sebelum beliau memasuki Mesir yang antara lain terkandung dalam kitab beliau al-Hujjah; manakala qaul jadid pula ialah pandangan Imam al-Syafi’e sewaktu di Mesir, yang antara lain termuat di dalam kitab Mukhtasar al-Buwaiti dan al-Umm. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 1/53-54) Menurut Imam al-Ramli, qaul qadim ialah pandangan Imam al-Syafi’e ketika di Iraq, atau sebelum perpindahan beliau ke Mesir, manakala qaul jadid ialah pandangan beliau ketika di Mesir. (Rujuk Nihayah al-Muhtaj 1/50) Menurut Imam Khatib al-Syirbini, qaul qadim ialah pandangan Imam al-Syafi’e ketika di Iraq, samada melalui penulisan (yang terkandung dalam kitab al-Hujjah) atau fatwa secara lisan. Qaul jadid pula ialah pandangan Imam Syafi’e ketika di Mesir, samada dalam bentuk penulisan atau fatwa lisan, dan periwayat utama qaul jadid ialah al-Buwaiti, al-Muzani dan al-Rabi’; adapun murid beliau yang lain seperti Harmalah, Yunus bin Abd al-A’la, Abdullah bin Zubair al-Makki, mereka hanya meriwayatkan sebahagian pandangan Imam al-Syafi’e. Adapun qaul yang diucapkan ketika tempoh waktu selepas beliau keluar dari Iraq dan sebelum sampai ke Mesir, maka pandangan yang lebih terkemudian dianggap sebagai qaul jadid, dan yang lebih awal sebagai qaul qadim. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 1/107) Menurut Syeikh Muhammad al-Zuhaily, qaul qadim ialah pandangan Imam al-Syafi’e ketika beliau di Iraq secara bertulis dalam kitab al-Hujjah, atau fatwa yang beliau fatwakan. Antara perawi bagi qaul qadim ini ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Za’farani, al-Karabisi dan Abu Tsur. Qaul jadid pula ialah qaul fiqhi yang dinyatakan Imam al-Syafi’e ketika di Mesir, samada secara bertulis atau fatwa secara lisan, dan antara periwayat qaul jadid ialah al-Muzani, al-Buwaiti, al-Rabi’ al-Muradi dan Harmalah. Kitab-kitab terpenting yang membawa qaul jadid ialah al-Umm, al-Imlaa’, Mukhtasar al-Buwaiti dan Mukhtasar al-Muzani. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e 1/25) Berdasarkan definisi para ulama yang dibawakan di atas, boleh disimpulkan bahawa qaul qadim merangkumi pandangan-pandangan Imam al-Syafi’e sebelum beliau menetap di Mesir, iaitu ketika beliau tinggal di Mekah, Madinah, Yaman dan Iraq. Adapun qaul jadid, ia merupakan pandangan-pandangan beliau ketika beliau berpindah ke Mesir, hinggalah setelah kewafatan beliau, dan qaul jadid merupakan qaul mu’tamad yang dijadikan fatwa yang mewakili mazhab Imam al-Syafi’e. Secara umumnya, Imam al-Syafi’e telah menarik kembali pandangan beliau yang lama (qaul qadim), dan berkata: “Aku tidak benarkan sesiapa meriwayatkan daripadaku pandangan aku yang lama”. Beliau juga tidak membenarkan qaul qadim dikira sebagai pandangan yang mewakili mazhab beliau. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 1/107) Kesimpulan Tuntasnya, qaul qadim merangkumi pandangan-pandangan Imam al-Syafi’e sebelum beliau menetap di Mesir, iaitu ketika beliau tinggal di Mekah, Madinah, Yaman dan Iraq. Adapun qaul jadid, ia merupakan pandangan-pandangan beliau ketika beliau berpindah ke Mesir, hinggalah setelah kewafatan beliau, dan qaul jadid merupakan qaul mu’tamad yang dijadikan fatwa yang mewakili mazhab Imam al-Syafi’e. Wallahu a’lam. |
246 | Mukadimah: Baru-baru ini tular isu seorang wanita yang berperilaku seperti lelaki pergi menunaikan umrah dalam keadaan seperti jemaah lelaki.[1] Perbuatan tersebut mengundang kemarahan masyarakat yang melihat perbuatan tersebut sebagai bukan sahaja menggambarkan sikap mengambil ringan terhadap hukum-hakam berkaitan umrah malah seakan menghina dan merendah-rendahkan kemuliaan ibadat tersebut. Selain kecaman daripada warga maya isu ini bahkan mendapat perhatian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) untuk memberi komen terhadap isu tersebut.[2] Isu penghinaan terhadap ibadat dalam Islam yang berkait dengan isu kecelaruan jantina ini pernah diulas oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di dalam Qalam Mufti Siri ke-60: Ingatan Kepada Sajat dan Umat Islam.[3] Memandangkan isu ini berkaitan dengan hukum-hakam dan kemuliaan dalam ibadat umrah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kali ini akan mengulas serba sedikit isu-isu yang berkaitan. Tidak Sah Umrah Seorang Wanita Dalam Keadaan Aurat Terdedah Sesungguhnya ibadat umrah terdiri daripada rukun, syarat-syarat sahnya serta etika dan kod pemakaian khususnya di dalam ihram perlu dipatuhi oleh jemaah lelaki dan wanita. Oleh itu, apabila seorang jemaah wanita berpakaian ihram seperti jemaah lelaki hukumnya tidak sah khususnya semasa mengerjakan tawaf kerana dia telah mendedahkan auratnya. Hal ini kerana menutup aurat merupakan salah satu daripada syarat sah tawaf.[4] (Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab: 8/16) Oleh yang demikian, apabila tawaf tidak sah maka ia akan menyebabkan rukun-rukun umrah yang lain seperti ihram, sai, dan tahallul menjadi tidak sah. Selain itu, tuntutan untuk memelihara dan menyempurnakan ibadat ini perlu dihayati seperti mana yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam firmannya: وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”. (Surah al-Baqarah: 196) Perintah untuk menyempurnakan ibadat haji dan umrah di dalam ayat berkenaan ialah meliputi dengan perbuatan menjaga ibadat-ibadat di dalam haji begitu juga dengan umrah dengan memelihara batasan-batasan serta sunat-sunatnya.[5] Maka jelaslah di sini bahawa mana-mana umat Islam yang melanggar rukun di dalam ibadat umrah serta tidak memenuhi syarat-syarat dalam ibadat berkenaan umrahnya tidak sah. Mempersenda serta Merendah-rendahkan Syariat adalah Perkara Yang Dilaknat Perbuatan sengaja melanggar hukum dan syariat di dalam sesuatu ibadat tidak kira di dalam ibadat umrah mahupun ibadat yang lain akan menyebabkan ibadat berkenaan menjadi tidak sah serta berdosa. Tambahan lagi, perbuatan sengaja berperwatakan seperti lelaki oleh seorang wanita ketika menunaikan ibadah umrah yang kemudiannya dimuat naik pula di media sosial, dilihat bukan sahaja menjurus kepada dosa besar malah dikhuatiri boleh mengundang laknat Allah SWT. Kemurkaan ini jelas boleh dilihat melalui sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abdullah bin Abbas yang mana Rasulullah SAW bersabda: لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالمُتَرَجِّلَاتِ مِنَ النِّسَاءِ Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat golongan wanita yang menyerupai lelaki dan golongan lelaki yang menyerupai wanita”.[6] (Riwayat al-Bukhari: 6834) Merujuk kepada hadis di atas, Sheikh al-Zaidani menjelaskan perbuatan seorang lelaki yang menyerupai wanita itu meliputi dari sudut cara berhias, bercakap serta mengubah intonasi ketika cakap. Perbuatan yang demikian adalah perbuatan yang ditegah di dalam agama kerana termasuk di dalam perkara yang telah menyalahi fitrah ciptaan Allah SWT.[7] Oleh yang demikian, bagi mana-mana individu muslim yang sengaja berperilaku dengan perilaku yang menyalahi fitrah seharusnya berwaspada dengan tindakan berkenaan kerana kelak akan ditimpa azab yang pedih oleh Allah SWT. Apatah lagi sekiranya perbuatan maksiat yakni menyerupai jantina berlawanan itu dibawa ke dalam amal ibadah. Jadikan Ibadat Umrah Sebagai Peluang Untuk Memohon Keampunan Sebagai individu yang berpeluang menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah, seharusnya menzahirkan rasa bertuah dan beruntung menjejak kaki di bumi yang kaya barakah dan sejarah. Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa golongan yang ingin menunaikan haji dan umrah supaya meninggalkan perkara yang dilarang sebelum mengerjakan ibadat berkenaan. Beliau menyebut peringatan ini di dalam karyanya: إِذا اسْتَقَرَّ عَزْمه بَدَأَ بالتوْبَةِ مِنْ جَمِيعِ المَعَاصِي وَالمَكْرُوهَاتِ Maksudnya: “Apabila seseorang itu telah berazam (untuk mengerjakan haji), hendaklah dia memulakan dengan bertaubat dari segala maksiat dan perkara-perkara yang makruh.” [8] (Rujuk al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah: hlm 48). Oleh yang demikian, umat Islam yang berpeluang untuk mengerjakan ibadat umrah mestilah mengambil peluang ini untuk menginsafi segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukan kerana tidak semua umat Islam mampu serta berpeluang untuk mengerjakan ibadat berkenaan. Kesimpulan: Melihat kepada isu yang berlaku, seorang wanita yang mengerjakan umrah dengan gaya dan watak lelaki adalah haram dan berdosa besar kerana perbuatan tersebut menyalahi fitrah bagi kaum wanita dalam masa yang sama telah merendah-rendahkan martabat ibadat berkenaan. Selain itu, tindakan ini juga mendatangkan kemurkaan oleh Allah SWT dan agama Islam itu sendiri. Justeru itu, umat Islam seharusnya menzahirkan rasa beruntung di atas peluang dalam mengerjakan ibadat berkenaan dengan mematuhi segala rukun dan syarat-syaratnya supaya ibadat umrah yang dikerjakan itu mendapat pahala dan diterima di sisi Allah SWT. Semoga kita semua bersama dengan golongan yang mendapat petunjuk dari Allah SWT. [1] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/987672/ambil-tindakan-terhadap-wanita-tunai-umrah-sebagai-lelaki diakses pada: 15/8/2022 [2] https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2110473 diakses pada: 15/8/2022. [3] https://muftiwp.gov.my/en/media-menu/tinta-mufti/4112-qalam-mufti-60-ingatan-kepada-sajat-dan-umat-islam diakses pada: 15/8/2022. [4] Al-Nawawi, Abu Zakaria bin Muhyiddin bin Sharaf. (T.T). al-Majmuk Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr. Jilid 8 hlm 16. Teks asal: سَتْرُ الْعَوْرَةِ شَرْطٌ لِصِحَّةِ الطَّوَافِ [5] Al-Tabari, Muhammad bin Jarir. (T.T). Jami’ al-Bayan ‘An Ta’wil al-Quran. Makkah: Dar al-Tarbiah wa al-Turath. J3 hlm7. Teks Asal: فقال بعضهم: معنى ذلك أتِمّوا الحج بمناسكه وسُننِه، وأتموا العُمْرة بحدودها وسُننِها [6] Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim. (T.T). Sahih Bukhari. Tahkik: Jamaah Ulama. Cetakan al-Sultaniyyah: al-Matba’ah al-Kubra al-Emiriyyah. Jilid 8 hlm 171. [7] Al-Zaidani, al-Husain bin Mahmud bin al-Hassan. (2012). Al-Mafatih fi Syarh al-Masabih. Tahkik: Nur al-Din Talib. Cetakan 1, Wuzarah al-Auqaf al-Kuwaitiyyah. Jilid 5 hlm41. كلُّ رجلٍ شبَّه نفسَه بالنساء في اللباس وخضاب اليدَين والرَّجلَين، وفي الصوت والتكلم والحركات والسكنات، وهذا الفعلُ منهيٌّ عنه؛ لأنه تغييرٌ لخلق الله [8] Al-Nawawi, Abu Zakaria bin Muhyiddin bin Sharaf. (1994). Al-Idhah Fi Manasik al-Haj wa al-‘Umrah. Cetakan 2, Beirut: Dal al-Basyair al-Islamiyyah. Hlm 48. |
248 | Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh saya tahu, apakah sifat-sifat seorang sufi? mohon penjelasan. Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Istilah Sufi menurut sumber-sumber kitab tasawuf lahir pada pertengahan kurun kedua hijrah. Dicatatkan nama sufi telah dikenali sebelum tahun 200 Hijrah lagi. Walaupun demikian, istilah ini mula tersebar pada abad ketiga Hijrah. (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 7-8. Lihat juga Muqaddimah Ibn Khaldun, hlm. 228) Abi Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ menyebut bahawa orang yang mula-mula diberi gelaran ahli sufi ialah Abi Hasyim al-Kufi (150 H) kerana cara dan perjalanan hidupnya yang mengikuti cara hidup Rasulullah SAW dan para sahabat, yang lebih mengutamakan cara hidup sederhana serta tidak terpengaruh dengan keseronokan dan kemewahan hidup dunia. Demikian juga, gelaran ini diberikan kepada ahli zuhud bernama Jabir bin Hayyan dan kepada beberapa ahli zuhud di Kufah seperti Mansur bin Ammar. Di Basrah pula, gelaran ini diberikan kepada Abu Hasan al-Basri. Penggunaannya semakin popular sehingga digunakan untuk Malik bin Dinar, Abd al-Wahid bin Yazid dan lain-lain. (Lihat Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf, hlm. 41-42) Allah SWT berfirman: الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ Maksudnya: (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Surah Yunus (63) Ibn Kathir berkata: Allah SWT memberi khabar, bahawa wali-wali-Nya adalah orang-orang yang beriman dan bertaqwa. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 4/292) Syeikh al-Maraghi berkata: Ertinya mereka itulah wali-wali Allah SWT yang beriman dengan keimanan yang sebenarnya kepada Allah SWT, para malaikat-Nya dan kitab-kitab-Nya dan bersifat takwa kepada Allah SWT dengan cara melakukan amal perbuatan yang sesuai dengan tuntutan takwa. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3075) Zu al-Nun al-Misri pernah berkata: Para sufi adalah orang-orang yang mengutamakan Allah SWT daripada yang lain, sehingga Allah lebih mengutamakan mereka daripada yang lain. (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 418) Antara sifat seorang sufi juga, sepertimana disebut oleh Ibn Sina yang menjelaskan berkenaan kedudukan akhlak yang menjadi hiasan para ahli sufi, katanya: “Seorang yang arif billah (sufi) ialah seorang yang berani. Mengapa tidak? Kerana dia tidak takut mati. Seorang yang pemurah. Mengapa tidak? Kerana dia tidak cinta kepada kebakhilan. Seorang yang pemaaf. Mengapa tidak? Kerana dirinya lebih agung, tidak dilukai oleh kesalahan insan. Orang yang lupakan hasad dengki. Mengapa tidak? Kerana ingatannya terisi terang dengan Yang Maha Haq.” (Lihat al-Isyarat wa al-Tanbihat oleh Ibn Sina) Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman yang benar dalam beribadah serta menjadikan kita daripada golongan yang dikasihi oleh-Nya. Amin. |
249 | Soalan Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, bolehkah seseorang itu mengerjakan solat sunat hari raya secara bersendirian? Apakah hukumnya? Terima kasih Datuk. Ringkasan Jawapan Hukum mengerjakan solat sunat hari raya secara bersendirian adalah sunat, begitu juga mengerjakannya secara berjemaah, namun mendirikan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih afdal. Huraian Jawapan Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat. Pada setiap 1 Syawal, seluruh umat Islam akan berhimpun bagi meraikan hari yang berbahagia ini iaitu Hari Raya Aidilfitri. Mereka akan keluar menuju ke tempat solat atau kawasan lapang bagi menunaikan solat sunat hari raya secara berjemaah. Perkara ini ada dinukilkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ فَيَعِظُهُمْ، وَيُوصِيهِمْ، وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ Maksudnya: “Kebiasaannya Rasulullah SAW pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha keluar menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang Baginda mulakan ialah solat (sunat hari raya), kemudian Baginda berpaling dan berdiri menghadap orang ramai yang sedang duduk di saf-saf mereka lalu Baginda memberikan peringatan, wasiat dan perintah kepada mereka. Sekiranya Baginda ingin mengutuskan pasukan, maka Baginda akan mengutusnya, atau Baginda ingin memerintahkan sesuatu, maka Baginda akan memerintahkannya.” Riwayat al-Bukhari (956) Oleh yang demikian, berdasarkan kepada hadis ini, perkara pertama yang dimulakan oleh Rasulullah SAW pada pagi hari raya sama ada Aidilfitri mahupun Aidiladha ialah solat, dan mengerjakannya adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut)[1]. Seterusnya, ia juga disyariatkan untuk dikerjakan secara berjemaah berdasarkan kepada sunnah Nabi SAW. Namun, berbalik kepada persoalan yang diutarakan, bagaimana sekiranya ia dilakukan secara berseorangan? Apakah hukumnya? Imam al-Syirbini ada menukilkan bahawa disunatkan juga untuk mengerjakannya secara bersendirian. Meskipun begitu, mengerjakan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih baik dan lebih afdhal[2]. Syeikh Muhammad al-Zuhaili turut menyebut hal yang sama dengan lafaz[3]: وتشرع صلاة العيد جماعة كما فعلها رسول الله صلى الله عليه وسلم، على كل رجل مكلف بصلاة الجماعة، وتشرع للمنفرد ندبًا، والجماعة أفضل Maksudnya: “Dan disyariatkan juga solat hari raya (agar dilaksanakan) secara berjemaah sebagaimana yang Rasulullah SAW lakukan, ke atas setiap lelaki yang dituntut untuk mengerjakan solat berjemaah, dan juga disyariatkan ke atas orang yang solat secara bersendirian dengan hukum sunat, namun mengerjakan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih afdhal.” Adapun, bagi jemaah haji yang mengerjakan solat sunat hari raya Aidiladha di Mina, tidak disunatkan ke atasnya untuk mengerjakan solat sunat hari raya tersebut secara berjemaah, sebaliknya disunatkan untuk dikerjakan secara bersendirian. Sekiranya, ia dilaksanakan secara berjemaah, ia telah menyalahi sunnah Nabi SAW. Hal ini kerana, Rasulullah SAW meninggalkannya atas sebab urusan manasik haji dan juga mengajar manusia tentang hukum-hakamnya, dan kesemua ini adalah lebih penting daripada perayaan[4]. Di samping itu, hikmahnya di sini adalah bagi meringankan para jemaah haji untuk menguruskan hal ehwal tahallul mereka dan bergerak menuju ke Mekah berbanding mendirikan solat sunat hari raya secara berjemaah dan juga mendengar khutbah[5]. Kesimpulannya, hukum mengerjakan solat sunat hari raya secara bersendirian adalah sunat, begitu juga mengerjakannya secara berjemaah, namun mendirikan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih afdhal. Akhir kalam, kami berharap agar kita semua dapat bersama-sama hadir menyertai solat hari raya ini secara berjemaah, agar dapat meraih pahala sebanyak mungkin dan juga memupuk hubungan silaturahim sesama masyarakat. Wallahu A‘lam. Rujukan: [1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 5/3. قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّهَا سُنَّةٌ مُتَأَكِّدَةٌ عِنْدَنَا وَبِهِ قَالَ مَالِكٌ وَأَبُو حَنِيفَةَ وَدَاوُد وَجَمَاهِيرُ الْعُلَمَاءِ [2] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 1/587. (وَتُشْرَعُ جَمَاعَةً) لِفِعْلِهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - وَهِيَ أَفْضَلُ فِي حَقِّ غَيْرِ الْحَاجِّ بِمِنًى مِنْ تَرْكِهَا بِالْإِجْمَاعِ. أَمَّا هُوَ فَلَا يُسَنُّ لَهُ صَلَاتُهَا جَمَاعَةً وَتُسَنُّ لَهُ مُنْفَرِدًا (وَ) تُشْرَعُ أَيْضًا (لِلْمُنْفَرِدِ وَالْعَبْدِ وَالْمَرْأَةِ وَالْمُسَافِرِ) وَالْخُنْثَى وَالصَّغِيرِ فَلَا تَتَوَقَّفُ عَلَى شُرُوطِ الْجُمُعَةِ مِنْ اعْتِبَارِ الْجَمَاعَةِ وَالْعَدَدِ وَغَيْرِهِمَا، وَيُسَنُّ الِاجْتِمَاعُ لَهَا فِي مَوْضِعٍ وَاحِدٍ، وَيُكْرَهُ تَعَدُّدُهُ بِلَا حَاجَةٍ وَلِلْإِمَامِ الْمَنْعُ مِنْهُ Lihat juga: Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, t.c, 1357H), 3/40. (وَتُشْرَعُ) أَيْ تُسَنُّ (جَمَاعَةً) وَهُوَ أَفْضَلُ إلَّا لِلْحَاجِّ بِمِنًى، فَإِنَّ الْأَفْضَلَ لَهُ صَلَاةُ عِيدِ النَّحْرِ فُرَادَى لِكَثْرَةِ مَا عَلَيْهِ مِنْ الْأَشْغَالِ فِي ذَلِكَ الْيَوْمِ، قَالَ فِي الْأَنْوَارِ وَيُكْرَهُ تَعَدُّدُ جَمَاعَتِهَا بِلَا حَاجَةٍ وَلِلْإِمَامِ الْمَنْعُ مِنْهُ. (وَ) تُسَنُّ (لِلْمُنْفَرِدِ) وَلَا خُطْبَةَ لَه [3] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 1/551. [4] Al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/26. * أَمَّا الْأَحْكَامُ فَهَلْ تُشْرَعُ صَلَاةُ الْعِيدِ لِلْعَبْدِ وَالْمُسَافِرِ وَالْمَرْأَةِ وَالْمُنْفَرِدِ فِي بَيْتِهِ أَوْ فِي غَيْرِهِ فِيهِ طَرِيقَانِ (أَصَحُّهُمَا وَأَشْهُرُهُمَا) الْقَطْعُ بِأَنَّهَا تُشْرَعُ لَهُمْ وَدَلِيلُهُ مَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ وَأَجَابُوا عَنْ تَرْكِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم صلاة العيد بمنى بانه تركها لا شتغاله بِالْمَنَاسِكِ وَتَعْلِيمِ النَّاسِ أَحْكَامَهَا وَكَانَ ذَلِكَ أَهَمَّ مِنْ الْعِيدِ [5] Sulaiman bin Muhammad bin Umar al-Bujairami, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, 1415H), 2/219. بِمَكَّةَ لَمْ تُسَنَّ لَهُمْ الْجَمَاعَةُ أَيْضًا، فَإِنْ صَلَّوْهَا جَمَاعَةً كَانَ خِلَافَ السُّنَّةِ. وَحِكْمَتُهُ التَّخْفِيفُ عَلَيْهِمْ لِاشْتِغَالِهِمْ بِأَعْمَالِ التَّحَلُّلِ وَالتَّوَجُّهِ إلَى مَكَّةَ عَنْ إقَامَةِ الْجَمَاعَةِ وَالْخُطْبَةِ اهـ. |
250 | Ringkasan Jawapan Sejak kebelakangan ini timbul isu berkaitan hukum berwuduk dengan menyapu di atas stoking bagi menggantikan basuhan kaki. Kami telah menjelaskan hukum berkaitan isu ini dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-552 : Adakah Stoking Kain Boleh Digunakan Sebagai Khuf? Kami ingin menegaskan bahawa pandangan yang paling kuat dalam mazhab al-Syafie dan majoriti ulama ialah tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas stoking yang nipis, justeru hendaklah menanggalkan stoking dan membasuh kaki seperti biasa ketika wuduk dan tidak bermudah-mudah untuk mengambil pandangan yang lemah serta sentiasa mengambil langkah ihtiyat (berjaga-jaga) bagi memastikan ibadah yang kita lakukan sah dan diterima oleh Allah SWT. Sebaiknya mengambil pandangan yang disepakati oleh para ulama dan pandangan muktamad mazhab al-Syafie dalam memastikan kesempurnaan wuduk kita. Ini supaya kita tidak terjerumus kepada perbuatan yang dilarang iaitu bermudah-mudahan dengan mengambil pendapat yang paling mudah (tatabu’ al-rukhas) tanpa keperluan dan hajat yang dibenarkan oleh syarak. Dalam konteks pengamalan fiqh di Malaysia, kita hendaklah meraikan mazhab al-Syafie yang telah menjadi pegangan dan amalan setempat. Kami menasihatkan kepada orang ramai supaya menghormati mazhab masyarakat setempat dan tidak menyebarkan pandangan-pandangan yang boleh mengelirukan orang ramai. Huraian Jawapan Sejak kebelakangan ini timbul isu berkaitan hukum berwuduk dengan menyapu di atas stoking bagi menggantikan basuhan kaki. Kami telah menjelaskan hukum berkaitan isu ini dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-552 : Adakah Stoking Kain Boleh Digunakan Sebagai Khuf? Kesimpulan daripada artikel tersebut kami menyatakan bahawa pandangan yang paling kuat dalam mazhab al-Syafie dan jumhur ulama adalah tidak boleh dan tidak sah berwuduk dengan menyapu di atas stoking bagi menggantikan khuf. Oleh yang demikian, dalam artikel kali ini kami ingin menerangkan dengan lebih jelas dan terperinci dalil-dalil yang kuat berkaitan pandangan yang dipegang ini serta menjelaskan pandangan terpencil yang mengharuskannya yang dibina atas dalil yang lemah. Berkaitan dalil yang mengatakan perbuatan menyapu di atas stoking adalah tidak dibolehkan dan tidak sah, ini dapat diperhatikan dengan jelas berdasarkan pandangan yang paling sahih mazhab al-Syafie yang disebutkan Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj al-Talibin bahawa beliau berkata: وشرطه أن يلبس بعد كمال طهر ساترا محل فرضه طاهرا يمكن تباع المشي فيه لتردد مسافر لحاجاته قيل: وحلالا ولا يجزىء منسوج لا يمنع ماء في الأصح Maksudnya: Syaratnya (khuf atau sarung kaki) hendaklah dipakai selepas sempurnanya wuduk, hendaklah ia menutup semua tempat (kaki) yang wajib di basuh, tahan lasak dan boleh digunakan untuk berjalan dengan berulang-alik bagi seorang musafir bagi menunaikan keperluannya. Menurut pendapat yang lemah, hendaklah yang halal (bukan sutera atau dicuri, kerana ini adalah hukum berasaskan rukhsah). Tidak sah jika sekiranya diperbuat daripada bahan yang tidak menghalang air menurut pendapat yang paling sahih.[1] (Rujuk Minhaj al-Tolibin: 14) Berdasarkan nukilan di atas, dapat difahami bahawa stoking tidak menepati syarat khuf yang ditetapkan oleh para fuqaha Syafi’iyyah kerana ia tidak tahan lasak dan tidak kuat untuk digunakan bagi permusafiran yang jauh serta tidak dapat menghalang daripada ditembusi air. Ini merupakan pandangan yang rajih (kuat) di sisi mazhab al-Syafie. Oleh yang demikian, stoking tidak boleh digunakan sebagai khuf bagi menggantikan basuhan kaki ketika wuduk. Bahkan ulama mazhab Maliki dan Hanafi serta para ulama mujtahid yang lain seperti Imam al-Awza’ie, Mujahid, ‘Amr Ibn Dinar, al-Hasan Ibn Muslim turut bersepakat bahawa tidak boleh dan tidak sah menyapu di atas stoking yang tidak boleh digunakan untuk sepertimana dijelaskan Ibn Qudamah al-Maqdisi bahawa: وَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ، وَمَالِكٌ، وَالْأَوْزَاعِيُّ، وَمُجَاهِدٌ، وَعَمْرُو بْنُ دِينَارٍ، وَالْحَسَنُ بْنُ مُسْلِمٍ، وَالشَّافِعِيُّ: لَا يَجُوزُ الْمَسْحُ عَلَيْهِمَا، إلَّا أَنْ يُنْعَلَا؛ لِأَنَّهُمَا لَا يُمْكِنُ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ فِيهِمَا، فَلَمْ يَجُزْ الْمَسْحُ عَلَيْهِمَا Maksudnya: Abu Hanifah, Malik, al-Awza’ie, Mujahid, Amr Ibn Dinar, al-Hasan Ibn Muslim dan al-Syafie berpandangan bahawa, tidak boleh disapu ke atas kedua-duanya (al-jawrab) kecuali jika dipakai selipar kerana kedua-dua tidak boleh digunakan untuk berjalan. Oleh itu, tidak dibolehkan untuk menyapu ke atas kedua-duanya.[2] (Rujuk al-Mughni Li Ibn al-Qudamah, 1:215) Begitu juga Imam al-Nawawi membawa pandangan ulama mujtahid seperti al-Qadhi Abu Tayyib, al-Qaffal dan sebilangan para muhaqqiqin bahawa stoking yang tidak boleh untuk digunakan bagi permusafiran maka tidak sah untuk disapu di atasnya. Kata beliau: وَالصَّحِيحُ بَلْ الصَّوَابُ مَا ذَكَرَهُ الْقَاضِي أَبُو الطَّيِّبِ وَالْقَفَّالُ وَجَمَاعَاتٌ مِنْ الْمُحَقِّقِينَ أَنَّهُ إنْ أَمْكَنَ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ عَلَيْهِ جَازَ كَيْفَ كَانَ وَإِلَّا فَلَا Maksudnya: Pendapat yang sahih bahkan yang benar ialah apa yang disebut oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Qaffal dan beberapa kumpulan daripada muhaqqiqin bahawa jika sekiranya boleh digunakan untuk berjalan, maka ia diharuskan walaupun bagaimana keadaannya, jika tidak boleh digunakan untuk berjalan, maka tidak diharuskan.[3] (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:499) Hal ini menunjukkan bahawa sepakat para ulama mazhab dan para ulama mujtahidin yang lain dengan pandangan bahawa mengambil wuduk dengan menyapu di atas stoking adalah tidak dibolehkan dan tidak sah. Bahkan Imam al-Kasani daripada mazhab Hanafi menukilkan ijmak dalam kalangan ulama berkaitan perkara ini. Kata beliau: فَإِنْ كَانَا رَقِيقَيْنِ يَشِفَّانِ الْمَاءَ، لَا يَجُوزُ الْمَسْحُ عَلَيْهِمَا بِالْإِجْمَاعِ Maksudnya: Jika sekiranya kedua-dua al-jaurab (stoking) itu nipis dan ditembusi air, maka ijmak para ulama tidak boleh disapu ke atas kedua-duanya.[4] (Rujuk Bada'ie al-Sana'ie, 1:10) Selain daripada itu, pandangan yang mengatakan ia dibolehkan dan sah menyapu di atas stoking berdasarkan mazhab Hanbali, mereka bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada al-Mughirah Ibn Syu’bah RA, bahawa beliau berkata: أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلى الله عَلَيه وآله وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW berwuduk dan menyapu di atas dua al-jaurab (stokin) dan kasut Baginda SAW. Riwayat al-Tirmidzi (99), Abu Daud (159) Ulama hadis berbeza pandangan mengenai status hadis yang meriwayatkan berkenaan menyapu di atas al-jaurab (stoking) ini. Imam al-Tirmidzi berpendapat hadis tersebut ialah hadis yang berstatus hasan sahih. Namun penilaian Imam al-Tirmidzi ini dikritik oleh ulama hadis yang lain seperti Imam Abu Daud dan Imam al-Zahabi. Hal ini kerana salah seorang perawinya bernama Abu Qais menyalahi riwayat perawi-perawi thiqah yang lain. Selain itu Abu Qais dan seorang lagi perawi bernama Huzail bin Syarahbil adalah perawi yang lemah.[5] (Rujuk I’lam al-Anam, 1:186) Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk menyebutkan sejumlah yang ramai dari kalangan ulama hadis yang melemahkan hadis di atas seperti Imam al-Baihaqi, Sufyan al-Tauri, Abd al-Rahman Ibn Mahdi, Ahmad Bin Hanbal, Ali Ibn al-Madini, Yahya Ibn Ma’in dan Muslim Ibn Hajjaj. Menurut Imam al-Nawawi lagi pandangan ulama-ulama besar hadis ini sudah tentu lebih didahulukan berbanding pandangan Imam al-Tirmidzi.[6] (Rujuk al-Majmuk: 1:500) Walau bagaimanapun menurut Imam al-Zaila’i mereka yang mensahihkan hadis ini melihat kepada pandangan ulama yang menilai Abu Qais sebagai perawi yang thiqah di samping perbezaan riwayat Abu Qais dengan perawi yang lain hanyalah penambahan yang boleh untuk dihimpunkan. Kemungkinan Nabi SAW kadang-kadang menyapu di atas khuf dan pada waktu yang lain Nabi SAW menyapu di atas al-jaurab.[7] (Rujuk Nasbu al-Rayah: 1:142) Sekalipun jika hadis di atas adalah sahih seperti pandangan sebahagian ulama namun menurut Imam al-Nawawi hadis tersebut perlu ditakwilkan dengan makna stoking yang tebal dan boleh digunakan untuk berjalan bagi mengharmonikan dengan riwayat-riwayat hadis yang ada. Menurut sebahagian ulama yang lain hadis di atas bukan bermaksud menyapu di atas stoking semata-mata namun maksud hadis tersebut ialah menyapu di atas stoking berserta khuf.[8] (Rujuk al-Majmuk: 1:526) Bahkan ia turut disebut oleh ulama dari mazhab Hanbali sendiri bahawa maksud jaurab di dalam hadis di atas adalah hampir serupa dengan ciri-ciri khuf iaitu boleh digunakan untuk berjalan bagi permusafiran yang jauh. وَالْجَوَارِبُ فِي مَعْنَى الْخُفِّ؛ لِأَنَّهُ سَاتِرٌ لِمَحَلِّ الْفَرْضِ، يُمْكِنُ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ فِيهِ أَشْبَهَ الْخُفَّ Maksudnya: Lafaz al-jawarib ialah sama maksudnya dengan makna khuf kerana ia menutup bahagian kaki yang wajib dibasuh dan boleh digunakan untuk berjalan (tidak koyak atau rosak), justeru ia menyerupai khuf.[9] (Rujuk Kasysyaf al-Qina’ ‘an Matn al-Iqna’, 1:111) Ini juga apa yang disebut oleh Ibn Taimiyyah al-Hambali sendiri bahawa beliau menjelaskan: وإن كان رقيقا يتخرّق في اليومين أو الثلاثة أو لا يثبت بنفسه، لم يمسح عليه، لأنَّ في مثله لا يمشى فيه عادة ولا يحتاج إلى المسح عليه. Maksudnya: Jika stoking itu tidak kuat yang akan koyak dalam dua atau tiga hari atau tidak tahan lama, maka tidak boleh untuk disapu di atasnya. Ini kerana secara adatnya stoking yang seperti itu tidak boleh digunakan untuk berjalan dan tidak perlu untuk disapu di atasnya.[10] (Rujuk Syarh al-‘Umdah, 251) Manakala sebahagian ulama seperti Ibn Hazm al-Zahiri, Jamaludin al-Qasimi dan Ahmad Syakir daripada ulama mutaakhirin pula hanya mengambil hadis tersebut secara literal dengan mengharuskan perbuatan menyapu di atas stoking secara mutlak, sama ada ia lembut, nipis, menutupi atau koyak. Hal ini boleh dilihat dari kenyataan Ibn Hazm dalam al-Muhalla: قد صح عن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم الأمر بالمسح على الخفين، وأنه مسح على الجوربين، ولو كان ههنا حد محدود لما أهمله عليه السلام ولا أغفله، فوجب أن كل ما يقع عليه اسم خُف أو جورب أو لبس على الرجلين فالمسح عليه جائز. Maksudnya: Perintah Rasulullah SAW agar menyapu dua khuf itu terpakai juga ke atas pemakaian stoking. Hal ini kerana, kalaulah ada spesifikasi tertentu terhadap khuf itu, sudah semestinya Baginda tidak akan menghiraukan atau membiarkannya (tanpa memberitahu). Oleh yang demikian, setiap sesuatu yang terletak padanya nama khuf atau stoking atau pakaian yang menutupi kedua belah kaki, maka hukum menyapu atas keduanya adalah diharuskan.[11] (Rujuk al-Muhalla, 1:336) Oleh yang demikian, perbuatan membasuh kedua-dua kaki ini hendaklah diberikan perhatian yang serius dan tidak bermudah-mudah untuk mengambil pandangan yang lemah dalam hal ini. Sebaiknya kita mengambil pandangan yang disepakati oleh para ulama dan pandangan muktamad mazhab al-Syafie dalam memastikan kesempurnaan wuduk kita. Ini supaya kita terjerumus kepada perbuatan yang dilarang iaitu bermudah-mudahan dengan mengambil pendapat yang paling mudah (tatabu’ al-rukhas) tanpa keperluan dan hajat yang dibenarkan oleh syarak. Fatwa Daripada Institusi Fatwa Antarabangsa 1. Fatwa Dar al-Ifta’ Jordan Manakala, Dar al-Ifta’ Jordan mengeluarkan fatwa dalam hal ini dengan memutuskannya seperti berikut: وعليه؛ فإن كانت الجوارب خفيفة فلا يجزئ المسح عليها؛ لأنها لا تتوافر فيها الشروط المذكورة، بل يجب غسل القدمين عندئذٍ، والأولى في أبواب العبادات الاحتياط ليطمئن القلب ويخرج المسلم عن عهدة التكليف. والله تعالى أعلم. Maksudnya: “Kesimpulannya bahawa jika stokin tersebut merupakan stokin yang nipis maka tidak sah untuk disapu di atasnya. Hal ini kerana ia tidak menepati syarat-syarat khuf yang telah disebutkan. Bahkan, wajib untuk membasuh kedua-dua kaki kerana perkara yang utama dalam perkara ibadah ialah al-ihtiyat (berjaga-jaga). Waallahu a’lam.” .[12] 2. Fatwa Dar al-Ifta’ Mesir Shaykh Ali Jum’ah di dalam fatwanya di web Dar al-Ifta’ Mesir menyatakan pandangan tentang perkara ini dengan berkata: يجوز عند جماهير العلماء المسح على الجورب -الشراب- إذا كان مجلدًا يمكن تتابع المشي عليه وكان قد لُبِسَ على طهارة، والأصل في جواز المسح حديث الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ رضي الله عنه: "أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم مَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ" رواه أحمد وأبو داود والترمذي وصححه. وقيَّد الجمهورُ الإطلاقَ الوارد في الحديث الشريف في الجورب بأحاديث المسح على الخُفِّ؛ فاشترطوا في الجورب شروط الخُفِّ. ولكن بعض العلماء -كبعض الحنابلة، وكالقاسمي وأحمد شاكر من المتأخرين- أخذوا بظاهر النص وأجازوا المسح على الجورب مطلقًا: رقيقًا وسميكًا، ساترًا ومخرقًا. وعليه: فالمسح على الجورب الشفاف ممنوعٌ عند الجمهور، جائزٌ عند قليل من العلماء. ومما ذكر يعلم الجواب. والله سبحانه وتعالى أعلم. Maksudnya: Harus hukumnya di sisi jumhur ulama perbuatan menyapu di atas sarung kaki (stoking) jika sekiranya diperbuat daripada kulit, tahan lasak untuk digunakan untuk berjalan dan dipakai ketika dalam keadaan suci. Dalil keharusan berdasarkan kepada hadith al-Mughirah Ibn Syu’bah yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmidzi, beliau (al-Tirmidzi) mengatakan hadith ini sahih. Jumhur ulama mengikat keumuman hadith itu dengan hadith yang sama diriwayatkan berkenaan khuf, maka mereka mensyaratkan pada stoking dengan syarat yang sama dengan khuf juga. Namun begitu sebahagian ulama seperti sebahagian ulama mazhab Hanbali, dan seperti al-Qasimi dan Ahmad Syakir daripada ulama mutaakhirin mengambil hadith tersebut secara literal dan mengharuskan perbuatan menyapu di atas stoking secara mutlak: sama ada ia lembut, nipis, menutupi atau koyak. Oleh itu, berdasarkan perbahasan di atas, maka hukum menyapu stoking yang nipis adalah dilarang oleh jumhur ulama dan harus di sisi segelintir ulama. Justeru daripada apa yang telah dibincangkan maka difahami jawapannya. Waallahu a’lam.[14] Hal ini sama juga sepertimana yang diputuskan oleh Dar al-Ifta’ Mesir dalam fatwa yang lain dengan memberikan kenyataan berikut: وبناءً على ذلك: فيجوز عند جماهير العلماء المسح على الجورب -الشَّراب- بشرط: أن يكون مجلدًا، يمكن تتابع المشي فيه، وأن يكون ساترًا للقدمين كاملتين؛ أي: يغطي الكعبين، وأن يكون طاهرًا في نفسه، وأن يكون قد لُبِسَ على طهارة. Maksudnya: Berdasarkan perbincangan di atas, maka harus hukumnya untuk menyapu di atas stoking di sisi jumhur ulama dengan beberapa syarat: iaitu hendaklah diperbuat daripada kulit, boleh digunakan untuk berjalan (tanpa koyak), hendaklah menutup kedua-dua kaki secara sempurna iaitu dengan menutup dua buku lali, hendaklah ia bersih (daripada najis), hendaklah dipakai dalam keadaan sempurna bersuci.[15] Kesimpulannya, pandangan yang sahih dalam mazhab al-Syafi’i ialah tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas stokin yang tidak cukup syarat, justeru hendaklah menanggalkan stokin dan membasuh kaki seperti biasa ketika wuduk dan tidak bermudah-mudah untuk mengambil pandangan yang lemah serta sentiasa mengambil langkah ihtiyat (berjaga-jaga) bagi memastikan ibadah yang kita lakukan sah dan diterima oleh Allah SWT. Sebaiknya mengambil pandangan yang disepakati oleh para ulama dan pandangan muktamad mazhab al-Syafi’i dalam memastikan kesempurnaan wuduk kita. Ini supaya kita tidak terjerumus kepada perbuatan yang dilarang iaitu bermudah-mudahan dengan mengambil pendapat yang mudah (tatabu’ al-rukhas) tanpa keperluan dan hajat yang dibenarkan oleh syarak. Dalam konteks pengamalan fiqh di Malaysia, kita hendaklah meraikan mazhab al-Syafi’i yang telah menjadi pegangan dan amalan setempat. Kami menasihatkan kepada orang ramai supaya menghormati mazhab masyarakat setempat dan tidak menyebarkan pandangan-pandangan yang boleh mengelirukan orang ramai. WaAllahu a’lam. RUJUKAN [1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf (2005), Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftin, Dar al-Fikr, hlmn. 14. [2] Ibn al-Qudamah al-Maqdisi, Abdullah (1968). Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, jld. 1 hlmn. 215 [3] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 499. [4] Al-Kasani, ‘Alauddin, 1986, Bada’ie al-Sana’ie fi Tartib al-Syara’ie, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 10. [5] Al-Itir, Nuruddin, I’lam al-Anam Syarh Bulugh al-Maram, Dar al-Farfur, jld. 1, hlm. 186. [6] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 500. [7] Al-Zailaie, Abdullah bin Yusuf, Nasbu al-Rayah li Ahadis al-Hidayah, jld. 1, hlm. 142. [8] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 526. [9] Al-Bahuti, Mansur Ibn Yunus, Kasysyaf al-Qina’ ‘an Matn al-Iqna’, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld. 1 hlm. 111 [10] Ibn Taimiyah, Syarah al-‘Umdah, jld. 1, hlmn. 251. [11] Ibn Hazm, Ali bin Ahmad, Al-Muhalla bi al-Athar, Dar al-Fikr, jld. 1, hlm. 336. [12] Rujuk: https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3692 [13] Dr. Amjad Rusydi, 2019, Bughyah al-Arib min Maa’ni Nazam Nihayat al-Tadrib, Dar al-Fath, Jordan, jld. 1 [14] Rujuk: Dar al-Ifta’ Mesir : https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11078 [15] Rujuk: Dar al-Ifta’ Mesir : https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=15037&LangID=1&%D8%AD%D9%83%D9%85_%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D8%AD_%D8%B9%D9%84%D9%89_%D8%A7%D9%84%D8%AC%D9%88%D8%B1%D8%A8 [16] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 476. |
253 | SOALAN Assalamualaikum wbt datuk. Boleh ke seorang isteri menuntut sesuatu yang diluar kemampuan suami untuk ditunaikan? RINGKASAN JAWAPAN Dalam sesebuah kehidupan rumahtangga, suami bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada isteri dan keluarga mengikut kadar kemampuannya. Justeru, isteri seharusnya tidak menuntut sesuatu perkara yang diluar kemampuan suami, sekiranya suami telah menunaikan hak-hak nafkah yang diwajibkan ke atasnya. HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkah Baginda hingga Hari Kesudahan. Islam menetapkan garis panduan yang jelas tentang nafkah dan tanggungjawab suami terhadap keluarganya. Islam tidak memberatkan seseorang melainkan dengan kemampuannya. Dalam pemberian nafkah kepada keluarga, Islam menetapkan nafkah pasangan itu perlu dilihat mengikut kemampuan suami. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” Surah Talaq (7) Di samping itu juga, isteri tidak seharusnya membebankan suami seperti menuntut sesuatu diluar kemampuannya, sehingga boleh mendatangkan kemudaratan terhadap hubungan antara suami isteri. Justeru, para isteri perlulah bersikap menuntut harta suaminya dengan cara yang paling baik iaitu sekadar untuk mencukupkan keperluan keluarga mereka. Perkara ini bersandarkan hadis Nabi SAW yang berpesan kepada Hind binti ‘Utbah R.Anha: خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَوَلَدَكِ بِالْمَعْرُوفِ Maksudnya: “Ambillah apa yang untuk kamu dan anak-anakmu dengan cara yang makruf (cara yang baik).” Riwayat Ahmad (24231) Para ulama fiqh telah sepakat dalam pemberian nafkah terhadap isteri adalah wajib sekadar memenuhi keperluan asas dengan mengikut kemampuan suami, dan melihat kesesuaian tempat yang didiami oleh mereka. [Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 40/279) KESIMPULAN Sebagai kesimpulan, dinyatakan bahawa setiap pasangan mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap pasangan masing-masing. Pasangan suami isteri perlu saling memahami di antara satu sama yang lain, agar sesebuah kehidupan rumahtangga itu dapat dibina di atas landasan yang baik dengan mengikut acuan yang ditetapkan oleh syarak. Justeru, dalam perkara ini isteri tidak seharusnya membebankan suami dengan permintaan diluar kemampuannya, melainkan sekiranya suami seorang yang kaya dan memiliki harta yang lebih untuk menunaikan segala permintaannya. Wallahu a’lam. |
256 | Soalan : Assalamualaikum ustaz. Maaf mengambil masa ustaz. Saya ada satu persoalan yang nak dikemukakan. Baru-baru ini ada viral berkenaan sebuah group di facebook yag dinamakan group ‘riyak apa hari ini’. Dalam group tersebut hampir setiap hari akan post tentang barang kemas yang mereka ada, barang-barang yang mereka miliki. Ditambah pula adanya perbualan dan post yang tidak sepatutnya. Para wanita ada yang mendedahkan aurat mereka. Adakah perkara sebegini dibenarkan dalam islam? Tidakkah perkara ini adalah salah satu normalisasi dosa. Ini baru satu timbul, mungkin akan datang akan ada pula group dosa apa hari ini dan lain. Mohon pencerahan ustaz?. Ringkasan jawapan : Kewujudan group riyak apa hari ini atau yang seumpama dengannya adalah salah satu perbuatan yang dianggap sebagai normalisasi dosa. Walaupun dengan niat bergurau, ianya bukan satu cara untuk menghalalkannya. Hantaran-hantaran yang mendedahkan aurat dan perbualan antara lelaki dengan wanita yang tidak sepatutnya adalah perkara yang dilarang sama sekali. Islam mengajarkan umatnya untuk tidak terlibat dalam perlakuan dosa apatah lagi menzahirkannya. Jika ingin bergurau sekalipun bukan dengan cara menzahirkan dosa, maksiat dan mempromosikan terma-terma negatif seperti perkataan “Riyak”. Perkara sebegini perlu dibendung dan dielakkan agar tidak lagi timbul normalisasi dosa yang lain. Wallahu’alam. Huraian jawapan : Kesemua larangan yang dilarang oleh Allah SWT dianggap sebagai maksiat dan dosa jika dilakukan. Bahkan dosa dan maksiat adalah penyebab turunnya azab Allah SWT. Allah SWT berfirman : فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنبِهِ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا ۚ وَمَا كَانَ اللَّـهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَـٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ Maksudnya : “Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”[1] Bahkan dosa dan maksiat adalah penyebab kehidupan menjadi sempit. Allah SWT : وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَ Maksudnya : “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.”[2] Justeru dosa dan maksiat sama ada yang zahir mahupun yang batin bukanlah perkara yang boleh diremehkan. Bahkan tidak boleh dipandang enteng. Termasuk juga dosa adalah sikap riyak, ujub, sum’ah (suka supaya orang lain melihat apa yang dilakukan olehnya), dan yang seumpama dengannya. Kesemua ini adalah dosa yang tersembunyi dan halus yang tidak disedari oleh manusia. Antara contoh, Nabi SAW menyifatkan sifat ujub iaitu berbangga dengan diri sebagai satu sifat yang boleh membinasakan. Nabi SAW bersabda : ثَلَاثٌ مُهْلِكَاتٌ: شُحٌّ مُطَاعٌ، وَهَوًى مُتَّبَعٌ، وَإِعْجَابُ الْمَرْءِ بِنَفْسِهِ مِنَ الْخُيَلَاءِ Maksudnya : “ Tiga perkara yang membinasakan. Kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang dituruti dan seseorang yang bangga dengan diri sendiri yang mana ia sebahagian dari kesombongan.”[3] Apabila disebut tentang riyak, Nabi SAW bersabda : إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً Maksudnya :” Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya : apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah? Nabi saw bersabda : Itulah Riya’! Allah SWT akan befirman pada hari kiamat kelak : pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah ganjaran itu di sisi mereka? (dengan sebab amalan kamu).”[4] Jelas seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas, kesemua ini adalah dosa tersembunyi dan halus yang boleh membawa si pelaku kepada kebinasaan. Apatah lagi, jika ianya diwar-warkan dan disebarkan tanpa ada rasa malu. Nabi SAW memberi peringatan tentang kecaman Allah terhadap orang yang suka memperagakan maksiat, Baginda bersabda : كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ Maksudnya : “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.”[5] Ibn Hajar Al-Asqalani memperincikan maksud mujahirin. Beliau berkata : وَالْمُجَاهِرُ الَّذِي أَظْهَرَ مَعْصِيَتَهُ وَكَشَفَ مَا سَتَرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيُحَدِّثُ بِهَا “Al-Mujahir adalah orang yang menzahirkan maksiat yang dilakukannya dan mendedahkan apa yang telah Allah sembunyikan serta menceritakan tentang maksiat yang dilakukannya itu.”[6] Justeru, hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa perbuatan mendedahkan dan menzahirkan maksiat adalah perbuatan yang dianggap boleh menjauhkan seseorang daripada rahmat Allah. Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, kewujudan group riyak apa hari ini atau yang seumpama dengannya adalah salah satu perbuatan yang dianggap sebagai normalisasi dosa. Walaupun dengan niat bergurau, ianya bukan satu cara untuk menghalalkannya. Satu kaedah fiqh ada menyebut : الغاية لا تبرر الوسيلة “Tujuan tidak membenarkan cara.” Tambahan pula, ada pendedahan aurat dan sebagainya yang boleh membawa kepada perbualan antara lelaki dan wanita yang tidak dibenarkan. Bahkan ia boleh menjurus kepada dosa. Ini berdasarkan umum firman Allah SWT : فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَعْرُوفاً Maksudnya : “…Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik…”[7] Imam Fakhruddin Al-Razi mentafsirkan ayat suci di atas : أَيْ لَا تَقُلْنَ مِنْ أَمْرِ الرَّفَثِ شَيْئًا فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ “Iaitu jangan kalian bercakap perkara-perkara yang keji. Lalu akan menyebabkan orang yang ada penyakit akan menimbulkan keinginan jahat .”[8] Kesimpulannya, kewujudan group riyak apa hari ini atau yang seumpama dengannya adalah salah satu perbuatan yang dianggap sebagai normalisasi dosa. Walaupun dengan niat bergurau, ianya bukan satu cara untuk menghalalkannya. Hantaran-hantaran yang mendedahkan aurat dan perbualan antara lelaki dengan wanita yang tidak sepatutnya adalah perkara yang dilarang sama sekali. Islam mengajarkan umatnya untuk tidak terlibat dalam perlakuan dosa apatah lagi menzahirkannya. Wallahu’alam. Nota Hujung : [1] Surah Al-Ankabut : 40 [2] Surah Taha : 124 [3] Riwayat Al-Tabarani no 5452, Al-Mu’jam Al-Awsat, Tahkik : Dr Tariq Iwadullah, Abdul Muhsin Bin Ibrahim Al-Husaini, cetakan Dar Al-Haramain, Kaherah,j.5 h.328. [4] Riwayat Imam Ahmad no 23630 dalam Musnad. [5] Riwayat Al-Bukhari no 6069 [6] Ibn Hajar Al-Asqalani, Ahmad Bin Ali, Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, cetakan Dar Al-Ma’rifah,Beirut,j.10 h.487. [7] Surah Al-Ahzab : 32 [8] Fakhruddin Al-Razi, Muhammad Bin Umar, Mafatih Al-Ghaib,Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi, Beirut,j.6 h.461. |
257 | رئيس موظفي الإعلام (CIO)
الاسم : صاحب السماحة الحاج جمالي بن محمد عدنان المنصب : نائب المفتي البريد الإلكتروني : عنوان البريد الإلكتروني هذا محمي من روبوتات السبام. يجب عليك تفعيل الجافاسكربت لرؤيته. التمديد : 105 |
259 | Soalan: Saya pernah mendengar bahawa ada hadis yang melarang daripada mengajar surah Yusuf kepada golongan wanita, kerana terdapatnya kisah tentang isteri al-‘Aziz yang menggoda Nabi Yusuf? Alasannya adalah kerana dibimbangi golongan wanita akan terpengaruh dengan perbuatan tersebut. Ringkasan Jawapan: Tiada sebarang hadis yang melarang daripada mengajar Surah Yusuf kepada golongan perempuan dan wanita. Adapun nukilan pandangan daripada sebahagian ulama yang tidak suka mengajarkannya kepada wanita, maka itu adalah disebabkan wujudnya sebahagian golongan pada zaman mereka yang menyukai surah tersebut kerana ia mengandungi kisah tentang kerinduan, cinta dan godaan, serta sengaja memperdengarkan Surah tersebut kepada wanita sebagai bahan hiburan untuk membangkitkan gelora nafsu yang tidak halal. Huraian Jawapan Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat. Seluruh ayat Al-Quran itu tanpa sebarang keraguan merupakan petunjuk bagi semua golongan mukmin dan yang bertakwa, tanpa mengira jantina, keturunan dan latar belakang. Firman Allah SWT: ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ Maksudnya: Inilah dia Kitab Al-Quran, tiada sebarang keraguan padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa. Surah al-Baqarah (2) Hadis yang melarang daripada mengajar Surah Yusuf kepada wanita? Imam al-Suyuti menyebut dalam salah satu kitab beliau berkenaan ‘Ulum al-Quran: وَقَدْ صَحَّحَ الْحَاكِمُ فِي مُسْتَدْرَكِهِ حَدِيثَ النَّهْيِ عَنْ تَعْلِيمِ النِّسَاءِ سُورَةَ يُوسُفَ Maksudnya: Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak telah mensahihkan hadis yang melarang daripada mengajar Surah Yusuf kepada golongan wanita.[1] Namun menurut para pengkaji di Markaz al-Dirasat al-Quraniyyah yang mentahkik kitab ini, tidak dijumpai riwayat yang disebut oleh al-Suyuti dalam kitab al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain yang didakwa disahihkan oleh al-Hakim.[2] Maka dakwaan yang mengatakan ada hadis yang melarang adalah tertolak. Bahkan sabit dalam hadis yang sahih bahawa Saidatina Aisyah R.Anha berkata ketika berhadapan dengan ujian fitnah: وَاللَّهِ لاَ أَجِدُ مَثَلاً إِلاَّ أَبَا يُوسُفَ {فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ} Maksudnya: Demi Allah, aku tidak mendapati adanya contoh yang lebih tepat dengan situasi aku ini kecuali apa yang disebut oleh bapa kepada Nabi Yusuf: Maka hanya bersabar sahaja yang terbaik bagiku dan hanya kepada Allah-lah aku memohon diberi kekuatan menghadapi apa yang kamu telah ceritakan ini. Sahih al-Bukhari (4690) dan Sahih Muslim (2770) Jelas bahawa Aisyah mengambil iktibar dan pengajaran daripada Surah Yusuf. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Yusuf sendiri yang menegaskan bahawa kisah para Nabi itu perlu dijadikan sumber pengajaran, tanpa membataskan hanya kepada golongan tertentu sahaja: لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ۗ Maksudnya: Sesungguhnya kisah para Nabi bersama kaum mereka mempunyai pengajaran bagi orang yang berfikir. Surah Yusuf (111) Selain itu, riwayat yang melarang daripada mengajar Surah Yusuf kepada wanita ada dijumpai dalam kitab Syiah, iaitu kitab al-Kafi oleh Muhammad ibn Ya’qub Al-Kulaini yang meletakkannya dalam bab ta’dib al-nisaa’, daripada Ali bin Abi Talib R.A: لا تعلموا نساءكم سورة يوسف ولا تقرؤوهن إياها فإن فيها الفتن وعلموهن سورة النور فإن فيها المواعظ Maksudnya: Jangan ajari wanita-wanita kalian Surah Yusuf, dan jangan membacanya kepada mereka kerana terdapat fitnah padanya; namun ajarilah mereka Surah al-Nur, kerana padanya terdapat nasihat (mawa’iz).[3] Fatwa ulama yang tidak suka mengajar Surah Yusuf kepada wanita Qadhi ‘Iyadh menyebut bahawa sebahagian ulama salaf tidak suka untuk mengajar Surah Yusuf kepada para wanita: فَقَدْ كَرِهَ بَعْضُ السّلف تعليمَ النِّساءِ سُورةَ يُوسُفَ لِمَا انْطَوَتْ عَلَيْهِ مِنْ تِلْكَ الْقَصَصِ لِضَعْفِ مَعْرِفَتِهِنَّ وَنَقْصِ عُقُولِهِنَّ وَإِدْرَاكِهِنَّ Maksudnya: Sebahagian ulama salaf tidak suka mengajar Surah Yusuf kepada golongan wanita kerana isi kandungan yang ada dalam kisah-kisah Baginda, yang disebabkan oleh lemahnya pengetahuan dan kurangnya akal serta kefahaman mereka.[4] Menurut Ibn Taimiyyah pula: فَمِنْ النَّاسِ وَالنِّسَاءِ مَنْ يُحِبُّ سَمَاعَ هَذِهِ السُّورَةِ لِمَا فِيهَا مِنْ ذِكْرِ الْعِشْقِ وَمَا يَتَعَلَّقُ بِهِ؛ لِمَحَبَّتِهِ لِذَلِكَ وَرَغْبَتِهِ فِي الْفَاحِشَةِ حَتَّى إنَّ مِنْ النَّاسِ مَنْ يَقْصِدُ إسْمَاعَهَا لِلنِّسَاءِ وَغَيْرِهِنَّ لِمَحَبَّتِهِمْ لِلسُّوءِ وَيَعْطِفُونَ عَلَى ذَلِكَ وَلَا يَخْتَارُونَ أَنْ يَسْمَعُوا مَا فِي سُورَةِ النُّورِ مِنْ الْعُقُوبَةِ وَالنَّهْيِ عَنْ ذَلِكَ... Maksudnya: Ada sebahagian manusia dan wanita yang suka mendengar Surah Yusuf ini kerana ada padanya cerita tentang kerinduan dan seumpamanya; ini kerana mereka amat suka kepada perkara-perkara tersebut dan keinginan mereka yang kuat terhadap perkara-perkara keji (al-fahisyah), sehingga ada sebahagian daripada mereka yang sengaja memperdengarkan surah tersebut kepada wanita dan selain mereka yang suka dan cenderung kepada keburukan, dan mereka tidak memilih untuk mendengar Surah al-Nur yang mengandungi hukuman dan larangan terhadap perbuatan zina. Tambah beliau lagi: فَكُلُّ أَحَدٍ يُحِبُّ سَمَاعَ ذَلِكَ لِتَحْرِيكِ الْمُحِبَّةِ الْمَذْمُومَةِ وَيُبْغِضُ سَمَاعَ ذَلِكَ إعْرَاضًا عَنْ دَفْعِ هَذِهِ الْمَحَبَّةِ وَإِزَالَتِهَا: فَهُوَ مَذْمُومٌ Maksudnya: Oleh itu, setiap orang yang suka mendengar Surah Yusuf untuk membangkitkan rasa cinta yang terlarang, dan tidak suka mendengar Surah al-Nur kerana enggan menyekat dan menghilangkan gelora cinta, dia merupakan orang yang tercela. [5] Maka jelas daripada nukilan-nukilan di atas bahawa larangan daripada mengajar Surah Yusuf kepada wanita adalah bersebab dan diikat dengan konteks yang khusus, iaitu mereka yang sengaja menjadikan Surah Yusuf seolah-olah sebagai satu bahan hiburan untuk membangkitkan rasa cinta dan nafsu yang haram. Jika ada golongan tersebut pada hari ini, maka hukum larangan itu terpakai kepada mereka sahaja, dan tidak terpakai secara mutlak kepada orang lain. Begitu juga larangan akan terpakai sekiranya dibimbangi akan menimbulkan nafsu kepada mereka yang tidak memahami objektif sebenar kisah Nabi Yusuf. Kesimpulan Tiada sebarang hadis yang melarang daripada mengajar Surah Yusuf kepada golongan perempuan dan wanita. Adapun nukilan pandangan daripada sebahagian ulama yang tidak suka mengajarkannya kepada wanita, maka itu adalah disebabkan wujudnya sebahagian golongan pada zaman mereka yang menyukai surah tersebut kerana ia mengandungi kisah tentang kerinduan, cinta dan godaan, serta sengaja memperdengarkan Surah tersebut kepada wanita. Wallahu a’lam. Rujukan: [1] Rujuk al-Suyuti, Jalaluddin ‘Abd al-Rahman (1978) Al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an, Arab Saudi: Wizarah al-Syu’un al-Islamiyyah wa al-Awqaf, tahqiq: Markaz al-Dirasat al-Quraniyyah, 5/1656 [2] Ibid. [3] Al-Kafi fi ‘Ilm al-Hadith, 5/516 [4] Rujuk Qadhi ‘Iyadh (1986) Al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa, Amman: Dar al-Faiha’, Cetakan Kedua, 2/537 [5] Rujuk Ibn Taimiyyah, Abu al-‘Abbas Taqiuddin (1995) Majmu’ al-Fatawa, Madinah al-Munawwarah: Mujamma’ al-Malik Fahd, tahqiq: Abd al-Rahman bin Muhammad bin Qasim 15/335 |
260 | Soalan Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, benarkah kita dituntut untuk menjamah makanan terlebih dahulu sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya? Adakah sama halnya dengan hari raya haji? Terima kasih Datuk. Ringkasan Jawapan Seluruh umat Islam disunatkan untuk makan dan minum terlebih dahulu sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri, adapun bagi solat sunat hari raya Aidiladha, disunatkan agar melewatkan makan dan minum sehinggalah selesai mengerjakan solat sunat hari raya. Hal ini adalah kerana kedua-duanya bagi membezakan hari perayaan tersebut dengan hari sebelumnya. Huraian Jawapan Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat. Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas R.A, beliau berkata: أَنَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَخْرُجُ يوم الفطر حتى يأكل تمرات ويأكلهن وترا Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW tidak akan keluar rumah pada hari raya Aidilfitri melainkan setelah Baginda memakan beberapa biji tamar, dan Baginda memakannya dalam bilangan yang ganjil.” Riwayat al-Bukhari (953) Begitu juga, terdapat sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Buraidah R.A, beliau berkata: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يخرج يوم الفطر حتى يطعم ويوم النحر لا يأكل حتي يرجع فيأكل من نسيكته.[1] Maksudnya: “Nabi SAW tidak akan keluar rumah pada hari raya Aidilfitri sehinggalah Baginda menjamah makanan, dan pada hari raya Aidiladha pula Baginda tidak akan makan sehinggalah Baginda kembali (dari solat) lalu menjamah makanan daripada sembelihan Baginda.[2]” Berdasarkan kepada kedua-dua hadis ini, dapat kita lihat bahawa sememangnya sudah menjadi amalan kebiasaan Rasulullah SAW untuk menjamah sedikit makanan pada pagi hari raya Aidilfitri sebelum Baginda keluar menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya bersama orang ramai. Imam al-Nawawi berkata, para ulama mazhab Syafie telah bersepakat bahawa sunat makan sesuatu pada hari raya sebelum keluar mengerjakan solat sunat hari raya. Sekiranya tidak dapat berbuat demikian sebelum, maka makanlah sebelum mengerjakan solat. Di samping itu, disunatkan makanan tersebut ialah tamar dan juga disunatkan untuk dimakan dalam bilangan yang ganjil[3]. Imam al-Syafi‘i berkata: وَنَحْنُ نَأْمُرُ مَنْ أَتَى الْمُصَلَّى أَنْ يَطْعَمَ وَيَشْرَبَ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إلَى الْمُصَلَّى، وَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ أَمَرْنَاهُ بِذَلِكَ فِي طَرِيقِهِ، أَوْ الْمُصَلَّى إنْ أَمْكَنَهُ، وَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَا شَيْءَ عَلَيْهِ، وَيُكْرَهُ لَهُ أَنْ لَا يَفْعَلَ، وَلَا نَأْمُرُهُ بِهَذَا يَوْمَ الْأَضْحَى، وَإِنْ طَعِمَ يَوْمَ الْأَضْحَى فَلَا بَأْسَ عَلَيْهِ. Maksudnya: “Kami memerintahkan mereka yang hadir ke tempat solat agar makan dan minum terlebih dahulu sebelum keluar menuju ke tempat solat (bagi menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri). Sekiranya dia tidak melakukannya, maka kami perintahkan agar ia dilakukan sewaktu dalam perjalanan atau di tempat solat sekiranya boleh, dan sekiranya dia tidak melakukannya juga, tidak mengapa baginya, namun makruh baginya sekiranya dia tidak menjamah sedikit makanan sebelum solat sunat hari raya[4]. Seterusnya, kami tidak pula memerintahkannya (menjamah sedikit makanan) pada hari raya Aidiladha. Namun, sekiranya dia makan juga, maka tidak mengapa.[5]” Berdasarkan kepada kalam Imam al-Syafi‘i ini juga, jelas kepada kita bahawa berbeza pula halnya pada hari raya Aidiladha, yakni kita disunatkan untuk menahan diri daripada makan dan minum sehinggalah pulang daripada mengerjakan solat sunat hari raya[6]. Sehubungan dengan itu, ada dinyatakan juga hikmah perbezaan tersebut, sebagaimana Imam al-Nawawi menukilkannya di dalam kitab al-Majmu‘, bahawa sunat untuk bersedekah pada pagi hari raya Aidilfitri sebelum mengerjakan solat sunat raya, maka disunatkan baginya untuk menjamah makanan agar orang-orang miskin dapat bersama-sama menyertai aktiviti makan tersebut. Adapun bersedekah pada hari raya Aidiladha pula, ia dilakukan selepas solat melalui aktiviti sembelihan, maka disunatkan untuk menyamai perbuatan bersedekah tersebut dengan cara menjamah makanan . Seterusnya, antara hikmah lain pula adalah kerana umat Islam diharamkan untuk makan dan minum sebelum hari raya Aidilfitri, maka disunatkan makan pada hari raya tersebut sebelum mengerjakan solat. Hal ini adalah bagi membezakan dengan kewajipan berpuasa pada hari sebelumnya. Adapun, pada hari raya Aidiladha, sebelum hari raya tersebut kita tidaklah diharamkan untuk makan dan minum, maka aktiviti makan itu dilewatkan dengan tujuan untuk membezakan dengan hari sebelumnya. Kesimpulannya, seluruh umat Islam disunatkan untuk makan dan minum terlebih dahulu sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri, adapun bagi solat sunat hari raya Aidiladha, disunatkan agar melewatkan makan dan minum sehinggalah selesai mengerjakan solat sunat hari raya. Hal ini adalah kerana kedua-duanya bagi membezakan hari perayaan tersebut dengan hari sebelumnya. Akhir kalam, kami menasihati sekalian kaum Muslimin agar bersama-samalah kita meningkatkan amalan-amalan sunat meskipun pada hari berbahagia ini, agar ia dapat menampung sedikit kekurangan pada amalan fardu kita. Wallahu A‘lam Rujukan: [1] Lafaz ‘نسيكة’ seerti dengan ‘ذبيحة’ yang bererti sembelihan. Lihat: https://www.almaany.com/en/dict/ar-en/نسيكة/, laman web diakses pada 27 April 2022. [2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 5/5. والسنة ان يأكل في يوم الفطر قبل الصلاة ويمسك يوم النحر حتى يفرغ من الصلاة لما روى بريدة رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ " كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يخرج يوم الفطر حتى يطعم ويوم النحر لا يأكل حتي يرجع فيأكل من نسيكته " والسنة أن يأكل التمر ويكون وترا لِمَا رَوَى أَنَسٌ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " كَانَ لَا يَخْرُجُ يوم الفطر حتى يأكل تمرات ويأكلهن وترا "} [3] Al-Nawawi, al-Majmu‘, 5/6. وَاتَّفَقَ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ عَلَى أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ أَنْ يَأْكُلَ فِي عِيدِ الْفِطْرِ شَيْئًا قَبْلَ الْخُرُوجِ إلَى الصَّلَاةِ فَإِنْ لَمْ يَأْكُلْ قَبْلَ الْخُرُوجِ فَلِيَأْكُلْ قَبْلَ الصَّلَاةِ وَيُسْتَحَبُّ كَوْنُ الْمَأْكُولِ تَمْرًا وَكَوْنُهُ وِتْرًا لِمَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ [4] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 1/592. وَالشُّرْبُ كَالْأَكْلِ، وَيُكْرَهُ لَهُ تَرْكُ ذَلِكَ كَمَا نَقَلَهُ فِي الْمَجْمُوعِ عَنْ نَصِّ الْأُمِّ. [5] Muhammad bin Idris al-Syafi‘i, al-Umm¸(Beirut: Dar al-Ma‘rifah, t.c, 1410H), 1/266. Lihat juga: Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 1/592. (وَيَأْكُلُ فِي عِيدِ الْفِطْرِ قَبْلَ الصَّلَاةِ) وَالْأَفْضَلُ كَوْنُ الْمَأْكُولِ تَمْرًا وِتْرًا فَإِنْ لَمْ يَأْكُلْ مَا ذُكِرَ فِي بَيْتِهِ فَفِي الطَّرِيقِ أَوْ الْمُصَلَّى إنْ تَيَسَّرَ (وَيُمْسِكُ) عَنْ الْأَكْلِ (فِي) عِيدِ (الْأَضْحَى) حَتَّى يُصَلِّيَ لِلِاتِّبَاعِ و [6] Al-Nawawi, al-Majmu‘, 5/6. وَالسُّنَّةُ فِي عِيدِ الْأَضْحَى أَنْ يُمْسِكَ عَنْ الْأَكْلِ حَتَّى يَرْجِعَ مِنْ الصَّلَاةِ لِمَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ Lihat juga: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 1/277. - 3يسن في عيد الفطر أن يأكل شيئاً قبل خروجه إلى الصلاة. أمَّا في عيد الأضحى فيُسنُّ له أن يمسك عن الطعام حتى يعود من الصلاة. |
261 | Soalan Assalamualaikum Dr. Saya ingin bertanya mengenai hukum ibadah korban, saya adalah penjual lembu. Seekor lembu ada 7 bahagian, tapi kami hanya ada pembeli untuk 4 bahagian sahaja. Adakah boleh jika 3 bahagian lagi kami sedekahkan sahaja tanpa ada nama di dalam senarai korban tersebut? Ringkasan Jawapan Ibadah korban yang berkongsi bahagian pada seekor lembu dengan bahagian yang tidak diniat korban adalah harus menurut mazhab al-Syafi’i. Bahagian yang diniat korban pada haiwan tersebut sah ibadahnya. Oleh itu, pengagihan daging pada bahagian tersebut wajib mengikut apa yang disyaratkan dalam pembahagian daging korban. Manakala bahagian lembu yang tidak ada penama atau tidak diniatkan untuk korban dikira sebagai sedekah secara umum dan tidak dikira sebagai ibadah korban kerana tidak diniatkan untuk korban. Daging pada bahagian tersebut boleh disedekah atau digunakan tanpa perlu mengikut cara pembahagian daging korban. Huraian jawapan Ibadah korban merupakan ibadah yang dikhususkan pada hari yang tertentu iaitu pada hari raya Aidiladha dan hari Tasyrik. Ibadah korban hendaklah dilakukan mengikut syarat-syarat tertentu agar diterima oleh Allah SWT. Antara syarat dalam melakukan ibadah korban, niat merupakan perkara yang paling penting, ini kerana niat yang akan menentukan sesuatu ibadah[1]. Niat ketika menyembelih haiwan akan membezakan antara sembelihan untuk mengambil daging sebagai makanan dan sembelihan untuk ibadah korban bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT[2] seperti membezakan antara korban wajib, korban sunat, akikah dan seumpamanya. Hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Umar bin al-Khattab RA, beliau berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan dengan niat, Dan sesungguhnya setiap perkara akan dibalas dengan apa yang diniatkan”. Riwayat al-Bukhari, (1) Perkongsian Bahagian Korban Pada Seekor Lembu Kategori haiwan korban yang boleh dikongsi mestilah haiwan yang mempunyai tujuh bahagian sepertimana yang telah ditetapkan syarak sebagai contoh unta dan lembu. Manakala haiwan yang mempunyai satu bahagian seperti kambing dan kibas tidak boleh dikongsi. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Jabir bin Abdullah RA, katanya: نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ Maksudnya: “Kami melakukan korban bersama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah (perjanjian damai) dengan unta dikongsi dengan tujuh bahagian dan lembu dikongsi dengan tujuh bahagian”. Riwayat Muslim (1318) Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis di atas bahawa bahagian pada seekor unta adalah tujuh bahagian begitu juga dengan lembu dan setiap bahagian itu bersamaan dengan seekor kambing. Ini seperti yang dinyatakan dalam kitabnya al-Minhaj: أَنَّ الشَّاةَ لَا يَجُوزُ الِاشْتِرَاكُ فِيهَا وَفِي هَذِهِ الْأَحَادِيثِ أَنَّ الْبَدَنَةَ تُجْزِي عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَتَقُومُ كُلُّ وَاحِدَةٍ مَقَامَ سَبْعِ شِيَاهٍ Maksudnya: “Sesungguhnya seekor kambing tidak boleh dikongsi bahagiannya. Hadis ini menjelaskan bahawa sesungguhnya haiwan al-Badanah (unta atau lembu) dibahagikan daripada tujuh bahagian. Seekor lembu terdiri daripada tujuh bahagian dan setiap seekor haiwan (unta dan lembu) itu bersamaan tujuh ekor kambing.”[3] Imam al-Nawawi menjelaskan lagi bahawa hadis di atas menggambarkan tentang keharusan untuk kongsi bahagian-bahagian pada seekor haiwan korban yang mempunyai tujuh bahagian. Beliau berkata: وَفِي الْمَسْأَلَةِ خِلَافٌ بَيْنَ الْعُلَمَاءِ فَمَذْهَبُ الشَّافِعِيِّ جَوَازُ الِاشْتِرَاكِ فِي الْهَدْيِ سَوَاءٌ كَانَ تَطَوُّعًا أَوْ وَاجِبًا وَسَوَاءٌ كَانُوا كُلُّهُمْ مُتَقَرِّبِينَ أَوْ بَعْضُهُمْ يُرِيدُ الْقُرْبَةَ وَبَعْضُهُمْ يُرِيدُ اللَّحْمَ Maksudnya: “Pada permasalahan ini (berkongsi bahagian haiwan korban iaitu unta dan lembu) para ulama berbeza pendapat, menurut mazhab al-Syafi’i harus berkongsi bahagian pada binatang korban. Perkongsian tersebut sama ada korban sunat atau korban wajib, begitu juga sekiranya kesemua bahagian itu diniatkan untuk korban atau sebahagian daripadanya untuk korban dan sebahagian yang lain untuk mendapatkan daging”.[4] Kesimpulan Ibadah korban yang berkongsi bahagian pada seekor lembu dengan bahagian yang lain adalah harus menurut mazhab al-Syafi’i. Bahagian yang diniatkan untuk korban pada haiwan tersebut sah ibadahnya. Oleh itu, pengagihan daging pada bahagian tersebut hendaklah mengikut apa yang disyaratkan dalam pembahagian daging korban sebagai contoh, sekiranya korban wajib maka hendaklah disedekah keseluruhan dagingnya[5], manakala korban sunat disedekahkan sebahagian daripadanya[6]. Firman Allah SWT: فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ Maksudnya: “Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin”. (Surah al-Hajj, 28) Manakala bahagian lembu yang tidak ada penama atau tidak diniatkan untuk korban dikira sebagai sedekah secara umum dan tidak dikira sebagai ibadah korban kerana tidak diniatkan untuk korban. Daging pada bahagian tersebut boleh disedekah atau digunakan tanpa perlu mengikut cara pembahagian daging korban. Wallahua’lam Rujukan: [1] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-SYirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415) Jld. 6 Hlm. 133 (وَتُشْتَرَطُ النِّيَّةُ) لِلتَّضْحِيَةِ (عِنْدَ الذَّبْحِ) لِلْأُضْحِيَّةٍ (إنْ لَمْ يَسْبِقْ تَعْيِينٌ) أَمَّا اشْتِرَاطُ النِّيَّةِ فَلِأَنَّهَا عِبَادَةٌ وَالْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، [2] Dr. Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh li Zuhaili. (Damsyik: Dar al-Fikr) Jld. 4 Hlm.2713 ويشترط لجواز إقامة التضحية على المكلف بها: نية الأضحية، فلا تجزئ الأضحية بدونها، لأن الذبح قد يكون للحم، وقد يكون للقربة، والفعل لا يقع قربة بدون النية [3] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin Hajjaj. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1392) Jld. 9 Hlm. 67 [4] Ibid. [5] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-SYirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415) Jld. 6 Hlm. 134 وَالْأُضْحِيَّةُ الْوَاجِبَةُ لَا يَجُوزُ لَهُ الْأَكْلُ مِنْهَا [6] Ibid. Jld. 6 Hlm. 135 )وَالْأَصَحُّ وُجُوبُ التَّصَدُّقِ بِبَعْضِهَا) وَلَوْ جُزْءًا يَسِيرًا مِنْ لَحْمِهَا بِحَيْثُ يَنْطَلِقُ عَلَيْهِ الِاسْمُ عَلَى الْفُقَرَاءِ |
264 | Soalan: Seorang kawan saya bukan Muslim bertanya, "Kenapakah umat Islam berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan? Apakah faedah puasa?" Boleh Datuk berikan jawapan yang sesuai? Jawapan: Semasa Ramadhan, Muslim berpuasa bermula terbit matahari sehingga tenggelam matahari selama sebulan. Puasa itu adalah dengan tidak mengambil makanan dan minuman semasa siang hari. Bagi pasangan yang berkahwin, mereka juga tidak dibenarkan melakukan persetubuhan semasa berpuasa di siang hari. Dalam Bahasa Arab, puasa dipanggil sebagai al-saum (الصوم). Umat Islam akan bangun awal pagi untuk bersahur. Pada penghujung hari (ketika tenggelam matahari), puasa dikira selesai dengan Muslim dibenarkan makan seperti biasa. Selepas berbuka puasa, Muslim akan menunaikan solat Maghrib dan Isyak seperti biasa serta ditambah dengan solat Tarawih di masjid. Dalam bulan Ramadhan, Muslim digalakkan bersedekah, berzikir, membaca al-Qur'an dan melakukan pelbagai kebaikan. Kebiasaannya, al-Qur'an yang mempunyai 114 surah yang merangkumi 6236 ayat dibaca dan ditamatkan dalam tempoh sebulan Ramadhan. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa al-Qur'an adalah satu-satunya kitab suci yang dibaca dan dikhatamkan setiap masa. Kenapa Muslim Berpuasa? Muslim berpuasa kerana ia adalah perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya: يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”(Surah al-Baqarah:183) Mungkin sudah terlalu banyak kajian-kajian saintifik yang boleh dibaca berkenaan kelebihan berpuasa. Di sini, kami cuma ingin memfokuskan 3 faedah utama puasa di sisi seorang Muslim. Bagi Muslim, terdapat pelbagai faedah berpuasa. Antaranya adalah: Ia membantu seseorang untuk menghayati kehidupan mereka yang kurang bernasib baik dengan berlapar dan rasa dahaga sebagaimana yang dirasai oleh mereka. Dalam erti kata lain, seseorang itu akan lebih bersyukur dengan kesenangan hidupnya dan tidak lokek yang membantu mereka yang dalam kekurangan. Ia memberi seseorang kemampuan untuk mengawal kehendak diri dan nafsu. Semasa berpuasa, umat Islam belajar untuk mengawal kehendak diri seperti lapar dan dahaga serta mengelakkan diri daripada berbuat kejahatan. Seterusnya, ia mengelakkan Muslim bagi melakukan perkara yang lebih membawa kerosakan kepada diri dan aktiviti-aktiviti lain yang tidak bermanfaat. Ia menawarkan masa bagi Muslim untuk mensucikan jiwa mereka dan membangunkan kesedaran kemanusian dan spiritual. Ramadhan adalah bulan pembersihan jiwa bagi Muslim dan mereka biasanya menjemput sanak saudara dan sahabat handai berbuka puasa di rumah dan solat berjemaah. Begitu juga sifat pemaaf dan jujur disuburkan dalam bulan Ramadhan ini. Selain itu, antara kebaikan puasa dari sudut kesihatan adalah: Mengurangkan berat badan Menstabilkan gula dalam darah dan meningkatkan kepekaan insulin. Mengurangkan tahap kolestrol LDL (low density lipo-protein) dengan meningkatkan kolestrol HDL (high density lipo-protein). Mengurangkan tekanan darah tinggi. Memberi rehat kepada sistem penghadaman. Mengawal stres Ini bermakna, seorang Muslim yang benar-benar berpuasa dan patuh kepada agama semestinya akan menjadi Muslim yang baik dan disenangi semua lapisan masyarakat. Itulah faedah-faedah terbesar berpuasa dalam agama Islam yang mana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada dirinya sahaja bahkan seluruh masyarakat sekitarnya tanpa mengira agama dan bangsa. Akhukum fillah, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-BakriMufti Wilayah Persekutuan23 Mei 2017 bersamaan 26 Sya'ban 1438H |
266 | Soalan: Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Ketika saya sedang membaca al-Quran, datang sekumpulan jemaah muslim yang berjalan di hadapan saya dan kemudiannya memberi salam. Persoalannya, adakah pada masa tersebut saya boleh menghentikan bacaan al-Quran dan menjawab salamnya atau meneruskan bacaan. Mohon pandangan SS Datuk Mufti. Ringkasan Jawapan Hukum seseorang memberhentikan bacaan al-Quran kerana ingin menjawab ucapan salam adalah wajib, dengan syarat salam itu khusus diberikan kepada individu tertentu. Namun, sekiranya ucapan salam itu diberikan kepada sekumpulan orang maka tidak wajib memberhentikan bacaan al-Quran untuk menjawab salam bahkan memadai jika ada salah seorang dari kumpulan itu yang menjawab salam tersebut. Huraian Jawapan Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat. Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai pedoman kepada umat manusia secara keseluruhannya dan juga merupakan petunjuk dan rahmat bagi manusia yang beriman dan beramal dengannya. Oleh yang demikian, antara hal yang perlu diambil perhatian adalah adab-adab ketika berinteraksi dengan al-Quran, sebagaimana firman Allah SWT: وَإِذَا قُرِئَ ٱلۡقُرۡءَانُ فَٱسۡتَمِعُوا۟ لَهُۥ وَأَنصِتُوا۟ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ (Surah al-A’raf : 204) Al-Tabari menjelaskan ayat ini sebagai peringatan dan suruhan Allah SWT kepada orang yang beriman dengan kitab-Nya; iaitu ketika mana dibacakan ayat al-Quran kepada golongan mukmin maka hendaklah mereka mendiamkan diri (senyap) dan mendengar lantunan bacaan sebagai tanda mengagungkan, memuliakan serta memahami isi dan makna ayat yang dibaca[1]. Selain itu, Allah SWT juga berfirman, bahawasanya: وَإِذَا حُیِّیتُم بِتَحِیَّةࣲ فَحَیُّوا۟ بِأَحۡسَنَ مِنۡهَاۤ أَوۡ رُدُّوهَاۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءٍ حَسِیبًا Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah SWT sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Nisa : 86) Ayat ini jelas menyatakan berkenaan kewajipan seseorang muslim untuk menjawab salam ketika ia diajukan kepadanya. Ibnu Kathir menjelaskan bahawa seseorang itu hendaklah menjawab salam dengan ucapan yang lebih baik atau dia menjawab salam tersebut dengan ucapan yang sama dengannya[2]. Seperti yang disebutkan oleh al-Ruyani dalam kitabnya; apabila seseorang itu menerima ucapan salam maka dia diwajibkan (fardu ain) untuk menjawab salam tersebut jika ucapan itu khusus ditujukan kepadanya. Bahkan dia disunatkan untuk membalas salam itu dengan ucapan yang lebih baik jika individu yang memberi salam beragama islam. Manakala jika seseorang itu menerima ucapan salam ketika situasi ia berada dalam kumpulan jemaah, maka kewajipan menjawab salam di sini dalam kategori fardu kifayah, iaitu cukup sebahagian daripada mereka yang menjawabnya. Namun jika tiada seorang pun yang menjawab salam tersebut maka kewajipan tersebut tidak tergugur bahkan berdosa jika ditinggalkan dengan sengaja[3]. Justeru itu, adakah orang yang sedang membaca al-Quran boleh menghentikan bacaannya untuk memberi dan menjawab salam ? atau perlu meneruskan bacaannya. Imam al-Nawawi ada menyebutkan berkaitan hukum memberi dan menjawab salam ketika bacaan al-Quran. Hukumnya berdasarkan beberapa situasi; sekiranya seseorang membaca al-Quran dalam keadaan sedang berjalan, lalu ia melintasi sekumpulan manusia. Justeru ketika itu dia disunatkan untuk memutuskan bacaan dan memberi salam kepada mereka sebelum ia menyambung kembali bacaannya. Jika dia ingin menyambung semula bacaannya maka yang terbaik adalah apabila bacaannya dimulai dengan lafaz al-istia’zah (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم). Manakala sekiranya seseorang membaca al-Quran dalam posisi duduk lalu terdapat sekumpulan manusia melintasi dan memberi salam kepadanya, maka menurut Imam Abu al-Hassan al-Wahidi lebih utama meninggalkan memberi salam kepada orang yang membaca al-Quran kerana ia sedang disibukkan dengan bacaannya dan memadai baginya menjawab salam secara isyarat sahaja. Namun, sekiranya dia ingin menjawab salam secara lafaz maka perbuatan ini dibolehkan dan kemudiannya dia perlu mengulangi semula bacaan al-istia’zah sebelum menyambung bacaan. Walau bagaimanapun, ini merupakan pandangan yang lemah dan yang muktamad di sisi mazhab al-Syafi’I adalah dia wajib menjawab salam tersebut[4]. KESIMPULAN Seseorang itu diwajibkan menjawab salam meskipun dalam keadaan sedang membaca al-Quran bahkan wajib ia memberhentikan bacaan pada ketika itu. Keadaan sekiranya ucapan salam itu khusus diberikan kepada dirinya seorang sahaja tanpa ada yang lain. Namun, jika ia berada dalam sekumpulan kelompok maka memadai jika ada salah seorang di antara mereka yang menjawab salam tersebut dan tergugur kefarduan menjawab salam ke atas yang lain. Wallahu a’lam. Rujukan: [1] Al-Thabari, Abu Ja’afar Muhammad bin Jarir. Tafsir al-Thabari Jami’ al-Bayan. Ed: Abdullah bin Abd al-Muhsin. (t.tp: Dar Hajar, 2001). Jld 10. Hlm 558. قال أبو جعفر: يقول تعالى ذكره للمؤمنين به، المصدقين بكتابه، الذين القرآنُ لهم هدى ورحمة: ﴿إذا قرئ﴾ ، عليكم، أيها المؤمنون، ﴿القرآن فاستمعوا له﴾ ، يقول: أصغوا له سمعكم، لتتفهموا آياته، وتعتبروا بمواعظه ﴿وأنصتوا﴾ ، إليه لتعقلوه وتتدبروه، ولا تلغوا فيه فلا تعقلوه [2] Ibnu Kathir, Anu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir. Tafsir al-Quran al-Azim. Ed: Sami bin Muhammad al-Salamah. (t.tp: Dar Thoyyibah, 1999). Jld 2. Hlm 368. إذا سلم عليكم المسلم، فردوا عليه أفضل مما سلم، أو ردوا عليه بمثل ما سلم )به( [3] Al-Ruyani, Abu al-Mahasin Abd al-Wahid bin Ismail. Bahr al-Mazhab fi Furu’ al-Mazhab al-Syafi’i. ed: Toriq Fath al-Sayyid. (t.tp: Dar al-Kutub, 2009). Jld 13. Hlm 209. وأما رد السلام فضربان فإن سلم على واحد يكون رده متعينًا على ذلك الواحد سواء كان المسلم مسلمًا أو كافرًا، وقال عطاء: يجب رده على المسلم دون الكافر وهذا غلط لقوله تعالى:) وَإِذَا حُيِّيْتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا :( بمعنى أحسن منها للمسلم وردوها مثلها للكافر، وقيل: فحيوا بأحسن منها أي: زيادة على الدعاء أو ردوا عليه غير زيادة. وإن كان السلام على جماعة فرده من فروض الكفايات على تلك الجماعة فأيهم تفرد بالرد سقط فرضه عن الباقين والراد منهم هو المختص بثواب رده، فإن أمسكوا عنه حرجوا أجمعين ولا يسقط الفرض عنهم برد غيرهم. [4] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin bin Syarf. Al-Tibyan fi Adab Hamatil Quran. Ed: Muhammad Hajar. (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1994). Hlm 124. إذا كان يقرأ ماشيا فمر على قوم يستحب ان يقطع القراءة ويسلم عليهم ثم يرجع الى القراءة ولو أعاد التعوذ كان حسنا ولو كان يقرأ جالسا فمر عليه غيره فقد قال الامام ابو الحسن الواحدي الأولى ترك السلام على القارئ لاشتغاله بالتلاوة قال فان سلم عليه إنسان كفاه الرد بالاشارة قال فان أراد الرد باللفظ رده ثم استأنف الاستعاذة وعاود التلاوة وهذا الذي قاله ضعيف والظاهر وجوب الرد باللفظ |
267 | Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Mengapa kita disuruh berdoa dan melakukan istikharah jika semuanya telah ditakdirkan? Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Doa menurut Imam al-Khattabi adalah pemohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. (Lihat Sya’n al-Du’a, 1/4) Allah SWT telah menjadikan doa sebagai sebab untuk meraih apa yang diinginkan. Allah SWT berfirman: وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. Surah Ghafir (60) Imam Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 183/24) Kita disuruh berdoa kerana besarnya kesannya terhadap apa yang akan berlaku. Daripada Ibn Umar R.A, Nabi SAW bersabda: إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللهِ بِالدُّعَاءِ Maksudnya: “Sesungguhnya doa bermanfaat terhadap apa yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Hendaklah kamu berdoa wahai hamba Allah.” Riwayat al-Tirmizi (3548) Manakala dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW menjelaskan betapa besarnya kuasa doa sehingga mampu mengubah sesuatu takdir. Daripada Thauban R.A, Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ ، وَلاَ يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلاَّ الدُّعَاءُ Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang itu boleh terhalang dari rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya. Tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali doa.” Riwayat Ibn Majah (4022), Ahmad (22745) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9752) Seseorang yang tidak berdoa merupakan orang yang keliru dengan konsep takdir dan doa. Di dalam kitab Majmu’ Fatawa dijelaskan: “Sesiapa yang berkata: ‘Saya tidak berdoa dan tidak memohon kerana hanya bersandar dengan takdir, maka orang itu keliru. Ini kerana Allah SWT telah menjadikan doa dan permohonan sebagai sebab untuk meraih keampunan dan rahmat-Nya serta memberinya petunjuk dan pertolongan serta rezeki-Nya. Jika seseorang telah ditakdirkan kebaikan dengan doa, maka kebaikan tersebut tidak akan dapat diraih kecuali dengan doanya. (Lihat Majmu’ Fatawa, 8/69) Dalam menghadapi musibah, doa dan permohonan kepada Allah SWT mampu menolong seseorang dalam menghadapi musibah. Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi menyebut: “Doa merupakan ubat yang paling bermanfaat. Ia merupakan musuh bagi musibah. Ia dapat mengubati dan mengatasinya, mencegah turunnya musibah atau mengangkatnya atau meringankannya. Ia merupakan senjata orang beriman. Doa dalam menghadapi musibah terbahagi kepada tiga tingkatan: Doa lebih kuat dari musibah, maka ia dapat mengusirnya. Doa lebih lemah dari musibah, maka musibah dapat mengalahkannya sehinggalah seseorang ditimpa musibah. Akan tetapi boleh jadi doa dapat meringankannya walaupun doanya lemah. Keduanya saling berlawanan antara satu sama lain, saling mencegah terjadinya pada orang tersebut. (Lihat al-Jawab al-Kafi, hlm. 4) Kesimpulan Daripada nas dan kenyataan di atas, jelas bahawa doa berperanan dalam meraih sesuatu yang diinginkan oleh seseorang. Allah SWT telah menjadikan doa sebagai sebab dalam meraih keampunan dan rahmat daripada-Nya. Begitu juga dalam memohon petunjuk, pertolongan serta rezeki daripada-Nya. Kami tegaskan di sini, janji Allah yang thabit bagi orang yang berdoa, antaranya: Firman Allah SWT: وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ Maksudnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. Surah al-Baqarah (186) Ibnu Kathir menjelaskan, ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak akan mengecewakan doa orang yang memanjatkan doa kepada-Nya. Dia tidak menolak dan mengabaikan doa seseorang, bahkan Dia Maha Mendengar doa. Di dalam pengertian ini terkandung anjuran untuk sentiasa berdoa, dan bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan doa yang dipanjatkan kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/506) Syeikh al-Maraghi berkata: “Istijabah bermaksud memperkenankan seruan dengan penuh perhatian dan bersedia untuk melaksanakannya. Ini bermaksud disebabkan Aku sangat hampir dengan mereka, Aku mengabulkan doa orang yang berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan menjalankan apa yang Aku perintahkan kepada mereka, iaitu beriman dan menunaikan ibadah yang berguna untuk mereka, seperti puasa, sembahyang, zakat dan ibadah lain. Apa yang Aku serukan kepada mereka seperti Aku mengabulkan doa mereka dengan cara menerima ibadah mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/368) Firman Allah SWT lagi: وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Surah Ghafir (60) Marilah kita sama-sama melazimi dengan berdoa dan memohon kepada Allah SWT dalam apa jua perkara dan urusan dalam kehidupan kita. |
268 | Soalan Assalamualaikum. Adakah telur padi halal dimakan? Jawapan Ringkas Hukum makan telur padi adalah halal berpegang dengan kaedah fiqh yang menyebut “Asal sesuatu makanan adalah halal melainkan terdapat dalil yang mengatakan haram”. Dalam masa yang sama, proses pembuatan dan pengawetan telur padi tidak mengandungi elemen-elemen yang mengubah kehalalan telur tersebut, maka hukum memakannya adalah halal selagi mana tidak dicampur dengan bahan-bahan yang diharamkan seperti arak, najis dan sebagainya. Huraian Jawapan Telur padi merupakan telur berakali yang dianggap sebagai hidangan tradisional pembuka selera istimewa masyarakat Cina yang diperbuat daripada telur ayam atau itik. Ia juga dikenali sebagai telur seribu tahun serta telur berabad walaupun sebenarnya proses pengawetan hanya berlangsung sekitar beberapa minggu hingga beberapa bulan bahkan mencecah beberapa tahun sahaja bergantung kepada kaedah pengawetan yang digunakan. Kaedah moden dibuat dengan merendam setiap telur di dalam larutan berakali selama beberapa hari mengikut musim seperti 15 hari ketika musim panas atau 20 hari ketika musim sejuk. Walau bagaimanapun, proses rebusan telur tidak diperlukan. (Rujuk laman web: Enhancing the Value of Eggs: How to Make Balut and Century Eggs) Selepas proses pengawetan selesai, tekstur cengkerang telur berubah seakan usia telur tersebut sudah terlalu lama. Perubahan yang lebih drastik terjadi ketara apabila putih telur telah berubah tekstur agar-agar dan warna coklat gelap. Perubahan yang paling ketara adalah pada kuning telur ia bertukar kepada hijau gelap dan mempunyai tekstur krim tebal atau yogurt. Kebanyakan bau dan rasa yang kuat pada telur padi datang dari kuning telur kerana kandungan sulfur atau ammonia dalamnya.[1] Berdasarkan kaedah dan proses pembuatan dan pengawetan di atas yang tidak mencampurkan bahan-bahan yang diharamkan seperti arak serta kotoran-kotoran seperti najis, darah dan sebagainya, maka hukum memakan telur padi adalah halal. Kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama: الأصل في الأطعمة الحل، ولا يصار إلى التحريم إلا لدليل خاص Maksudnya: “(Hukum) asal dalam bab makanan adalah halal. Hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125) Kaedah ini dikuatkan lagi dengan nas-nas yang umum yang menyebut bahawa segala makanan dan nutrisi yang berkhasiat sehingga menjadi asbab seseorang hamba lebih bertenaga dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT adalah halal dimakan dan dimanfaatkan. Allah SWT berfirman: يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” Surah al-Baqarah (168) Namun begitu, segala makanan dan minuman yang boleh memudaratkan fizikal dan akal manusia telah diharamkan oleh syarak. Ini jelas disebutkan melalui firman Allah SWT, يَأْمُرُهُم بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ Maksudnya: “...Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk...” Surah al-A’raf (157) Sebagai kesimpulan, hukum memakan telur padi termasuk dalam kategori makanan yang baik dan diharuskan untuk makan selagi mana tidak dicampurkan dengan bahan-bahan lain yang diharamkan mahupun memudaratkan jasmani dan rohani. Akhir kata, semoga Allah memudahkan urusan hambanya dalam mencari yang halal dan dijauhi daripada makanan yang haram lagi diragui. Wallahu a’lam. [1] McGee, Harold (2004). On Food and Cooking: The Science and Lore of the Kitchen. Scribner. p. 117. ISBN 978-0-684-80001-1. |
269 | Soalan : عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَكَّلَ اللَّهُ بِالرَّحِمِ مَلَكًا فَيَقُولُ أَيْ رَبِّ نُطْفَةٌ أَيْ رَبِّ عَلَقَةٌ أَيْ رَبِّ مُضْغَةٌ فَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ أَنْ يَقْضِيَ خَلْقَهَا قَالَ أَيْ رَبِّ أَذَكَرٌ أَمْ أُنْثَى أَشَقِيٌّ أَمْ سَعِيدٌ فَمَا الرِّزْقُ فَمَا الْأَجَلُ فَيُكْتَبُ كَذَلِكَ فِي بَطْنِ أُمِّهِ Anas bin Malik RA, dari Nabi SAW: "Allah mengutus malaikat pada setiap rahim, kemudian malaikat tersebut mengatakan; Wahai Tuhan, apakah segumpal mani?, Wahai Tuhan, apakah segumpal darah? Wahai Tuhan, apakah segumpal daging? Jika Allah berkehendak memutuskan penciptaannya malaikat mengatakan: Wahai Tuhan apakah laki-laki atau perempuan? Adakah sengsara ataukah bahagia? bagaimana rezekinya? bila ajalnya? lantas ditulis demikian dalam perut ibunya." (Sahih al-Bukhari) Berdasarkan attachment atau screen shot tentang hadis itu, saya ingin bertanya kalau Allah dah takdirkan seseorang tu evil doer (pelaku maksiat) sebelum dia dilahirkan lagi.. Jadi macamana dia nak pilih jalan baik kalau dah ditakdirkan sebegitu rupa? Jawapan Ringkas : Allah SWT memberikan pilihan dalam melakukan amalan baik ataupun buruk. Tidak ada paksaan bagi mereka dalam melakukan amalan mereka. Firman Allah SWT : مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” Surah al-Syura (20) Setiap hamba Allah hendaklah memperbanyakkan amalan kebaikan yang dan perbanyakan doa agar dijauhkan dari amalan yang dilarang oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ ، وَلاَ يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلاَّ الدُّعَاءُ Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang itu boleh terhalang dari rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya. Tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali doa.” (Riwayat Ibn Majah) Huraian Jawapan : Tidak dapat dinafikan setiap ketentuan makhluk sudah di tulis dan ditetapkan oleh Allah SWT. Ketetapan inilah dinamakan sebagai Qada’ dan Qadar. Sabda Nabi SAW: إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ، فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيَدْخُلُهَا Maksudnya: “Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya dalam keadaan air mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya malaikat untuk ditiupkan kepadanya roh dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga.” (Sahih Bukhari) Melalui hadis nabi SAW ini jelas kita dapat fahami setiap ketentuan Allah ke atas manusia telah ditetapkan. Hadis ini juga sepakat memberi makna yang sama dengan hadis di atas. Oleh itu, wajib bagi setiap muslim beriman dengan ketentuan ini sama ada baik ataupun buruk sesuatu ketetapan itu. Al-Kattabi menjelaskan kenyataan Nabi SAW “Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga.” bahawa zahir bagi amalan-amalan kebaikan dan keburukan hanya sebagai tanda bukanlah suatu kewajipan yang dikehenadaki. Manakala kesudahan sesuatu kejadian itu telah di tentukan qada’ dan qadar.[1] [Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari: 15/132] Namun, Allah SWT juga telah menjelaskan pada kita usaha dalam melakukan kebaikan perlu ada dan pasti akan dipermudahkan bagi mereka yang Allah inginkan kebaikan dari-Nya. Sabda nabi SAW: مَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ، فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ، فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ، فَقَالَ: اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ، أَمَّا أَهْلُ السَّعَادَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَأَمَّا أَهْلُ الشَّقَاوَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ Maksudnya: “Sesiapa dalam kalangan orang yang bahagia(ahli syurga), maka dia akan beramal dengan amalan orang yang bahagia(ahli syurga). Adapun, sekiranya dia daripada kalangan orang yang derita(ahli neraka), maka dia akan beramal dengan amalan orang yang derita(ahli neraka). Sabda Nabi SAW lagi: “Beramallah dan setiap orang itu akan dipermudahkan (oleh Allah SWT). Adapun orang yang bahagia akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang bahagia. Manakala orang yang derita akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang derita”. Riwayat Muslim (2647) Qadhi ‘Iyadh memberi pencerahan tentang hadis ini bahawa apabila Allah SWT menetapkan kesengsaraan atas hamba-Nya. Dia akan memudahkan jalannya untuk beramal dengan amalan orang yang mendapat kesengasaraan. Allah akan mengizinkan sebab-sebab yang membantunya melakukan perbuatan maksiat. Ini kerana manusia itu ada sesuatu yang diperolehi dari perbuatannya dan tidak ada paksaan baginya melakukan perbuatan maksiat itu.[2] [Lihat Ikmal al-Mu’lim bi Fawaid Muslim: 8/129] Justeru, setiap manusia tidak mengetahui apa pengakhirannya sama ada baik atau buruk, ahli syurga atau ahli neraka dan mendapat kebahagiaan atau kesengsaraan. Tetapi Allah SWT memerintahkan setiap manusia untuk melakukan ketaatan dan berusaha meninggalkan segala bentuk maksiat. Setiap manusia juga diberi pilihan untuk melakukan di antara amalan baik dan buruk. Oleh yang demikian, tiada paksaan ke atas mereka dalam memilih sesuatu amalan sama ada baik atau buruk. Hal ini dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran: : مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” Surah al-Syura (20) Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan makna ayat ini melalui karyanya Tafsir al-Wasit, sesiapa yang inginkan adalah balasan dan ganjaran akhirat daripada amalannya maka Allah pasti akan memperkuatkannya dan membantunya untuk memenuhi hasrat itu.. Dan Allah akan memberi ganjaran terbaik untuknya. Barang siapa yang inginkan ganjaran dunia dan kebaikannya sahaja lalu mengabaikan urusan akhirat maka Allah akan mengurniakannya mengikut kehendak Allah SWT dan tidak ada baginya ganjaran hari akhirat.[3] [Lihat Tafsir al-Wasit: 2335] Melalui tafsiran ini, maka jelas setiap manusia memiliki pilihan dalam melakukan kebaikan atau keburukan kerana Allah tidak memaksa hamba-Nya melakukan amalan buruk mahupun amalan baik tetapi pilihan itu diberikan Allah SWT kepada manusia. Di samping akal yang dikurniakan kepada manusia oleh Allah untuk hamba-hambanya berfikir untuk memilih sama ada yang baik mahupun buruk. Oleh yang demikian itu, setiap muslim wajib beriman kepada qada dan qadar Allah SWT. Beriman dengan qada dan qadar merupakan usul bagi kesempurnaan Iman. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin Khattab RA, Jibril AS bertanya kepada Nabi SAW, beritahu akan aku berkenaan dengan iman. Lalu Baginda SAW bersabda: أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ Maksudnya: Beriman kepada Allah SWT, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya dan hari akhirat, serta beriman kepada takdir yang baik dan buruk Riwayat Muslim (8) Kesimpulan Sebagai hamba Allah SWT kita tidak boleh lari dari takdir yang telah ditetapkan Allah SWT. Namun, usaha ke arah melakukan ketaatan dan meninggalkan larangan Allah itu wajib dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan penuh pengharapan kepada Allah SWT di samping ada pilihan untuk melakukan kebaikan yang di berikan Allah kepada setiap hamba-Nya. Sertakan amalan-amalan kita dengan doa kepada Allah SWT agar di jauhkan dari perbuatan-perbuatan yang boleh menjauhkan kita dari Allah SWT. Doa dapat menjauhkan diri kita dari ketentuan yang buruk. Oleh itu, perbanyakan doa kepada Allah SWT agar di jauhkan dari ketentuan yang buruk. Semoga dengan amalan baik dan doa-doa kita menjadikan kita sebahagian dari ketentuan Allah yang baik. Wallahua'lam Disediakan oleh, Muhammad Asyraf bin Ahmad [1] Abu Muhammad Mahmud bin Ahmad al-‘Aini, ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut: Ihya’ al-Turath al-A’rabi , jld. 15 p:132 [2] Iyad bin Musa (1998), Ikmal al-Mu’lim bi Fawaid Muslim, , Mesir: Dar al-Wafa, jld. 8 p:129 [3] Wahbah al-Zuhaili (2001), Tafsir al-Wasit, Dar al-Fikr al-Mu’asir p:2335 |
270 | Soalan: Apakah terdapat hadith yang menyatakan bahawa hari Jumaat adalah penghulu kepada segala hari? Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Hari Jumaat merupakan hari yang mulia di sisi umat Islam. Ini kerana, terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan yang ada padanya. Di antaranya, apa yang boleh kami nyatakan adalah: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: الصَّلَاةُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ، مَا لَمْ تُغْشَ الْكَبَائِرُ Maksudnya: “Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat berikutnya merupakan kaffarah (penghapus dosa) di antara keduanya selagimana tidak melakukan dosa besar.” [Riwayat Muslim (233)] Imam al-Nawawi menyatakan setiap yang disebut di dalam hadith tersebut boleh menghapuskan dosa sekiranya terdapat dosa kecil untuk dihapuskan. Sekiranya tidak terdapat dosa kecil atau besar maka akan dicatat baginya kebaikan dan diangkat darjatnya. Sekiranya terdapat dosa besar dan tidak terdapat dosa kecil, mudah-mudahan perkara tersebut dapat meringankan dosa besar yang dilakukan. [Lihat: al-Minhaj, 3/113] Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat hadith yang menceritakan berkaitan hari Jumaat merupakan penghulu kepada segala hari sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith: Daripada Abi Lubabah bin Abd al-Munzir, bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ سَيِّدُ الْأَيَّامِ، وَأَعْظَمُهَا عِنْدَ اللَّهِ، وَهُوَ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ يَوْمِ الْأَضْحَى وَيَوْمِ الْفِطْرِ، فِيهِ خَمْسُ خِلَالٍ، خَلَقَ اللَّهُ فِيهِ آدَمَ، وَأَهْبَطَ اللَّهُ فِيهِ آدَمَ إِلَى الْأَرْضِ، وَفِيهِ تَوَفَّى اللَّهُ آدَمَ، وَفِيهِ سَاعَةٌ لَا يَسْأَلُ اللَّهَ فِيهَا الْعَبْدُ شَيْئًا إِلَّا أَعْطَاهُ، مَا لَمْ يَسْأَلْ حَرَامًا، وَفِيهِ تَقُومُ السَّاعَةُ، مَا مِنْ مَلَكٍ مُقَرَّبٍ، وَلَا سَمَاءٍ، وَلَا أَرْضٍ، وَلَا رِيَاحٍ، وَلَا جِبَالٍ، وَلَا بَحْرٍ، إِلَّا وَهُنَّ يُشْفِقْنَ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ Maksudnya: “Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu kepada segala hari dan seagung-agung hari di sisi Allah yang mana keagungannya itu di sisi Allah lebih agung berbanding hari raya Aidiladha dan juga Aidilfitri. Ini kerana, pada hari tersebut terdapat lima perkara besar iaitu: Padanya diciptakan, diturunkan ke bumi dan diwafatkan Nabi Adam. Padanya juga terdapat satu masa apabila seseorang itu meminta sesuatu kepada Allah pasti akan diberikan kepadanya selagimana dia tidak meminta sesuatu yang haram. Padanya juga akan berlakunya Kiamat dan pada hari itu juga (hari Jumaat) tidak ada malaikat yang dekat dengan Allah, di langit, bumi, angin, gunung dan laut melainkan takut dengan keagungan hari Jumaat.” [Riwayat Ibn Majah (1084)][Riwayat Ahmad (15548)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah dhaif disebabkan Abdullah bin Muhammad bin Uqail atau Ibn Abi Thalib al-Qurasyi. Ibn Hajar mengatakan beliau seorang buruk hafalannya tetapi riwayatnya boleh dijadikan sokongan. Adapun perawi yang lain adalah thiqah] Tambahan pula, hari Jumaat adalah penghulu segala hari ada diriwayatkan juga oleh Ibn Majah daripada riwayat Abi Lubabah. Selain itu, Ibn Jarir juga ada meriwayatkannya di dalam tafsirnya dan begitu juga Ibn Abi Syaibah daripada riwayat Said bin al-Musayyib secara mursal dengan sanad yang sahih. Di samping itu, al-Thabarani juga meriwayatkannya di dalam al-Awsath daripada riwayat Anas bin Malik dan al-Hakim pula meriwayatkannya daripada riwayat Abu Hurairah RA. Manakala, Imam al-Baihaqi meriwayatkannya di dalam al-Syu’ab daripada ucapan Abdullah bin Mas’ud dengan sanad yang sahih. Justeru itu, kami cenderung kepada riwayat tersebut adalah dhaif sebagaimana yang telah dinyatakan di atas. Walaupun begitu, terdapat banyak riwayat lain yang meriwayatkan perkara yang sama dan ia boleh menjadi sokongan kepada riwayat di atas. Selain itu juga, riwayat tersebut tidak melibatkan perkara ibadah tetapi ia hanya menunjukkan kebesaran dan keagungan hari Jumaat itu berbanding hari-hari yang lain. Penutup Kesimpulannya, hari Jumaat merupakan hari yang agung disebabkan ia mempunyai banyak kelebihan, keistimewaan dan kemuliaan berbanding hari-hari yang lain. Untuk itu, kita sebagai seorang muslim sama ada lelaki atau wanita perlulah mengambil berat berkaitan perkara ini terutamanya pada hari-hari yang agung seperti hari Jumaat ini agar kita tidak mensia-siakan kebesaran hari tersebut. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang ikhlas dalam beribadah kepada-Nya serta memberi kita kekuatan untuk terus beristiqamah dalam melakukan amal soleh. Amin. Wallahua’lam |
271 | SOALAN Salam Dato’. Adakah suami wajib memberi nafkah selepas menceraikan isteri? RINGKASAN JAWAPAN Wanita yang telah bercerai pada asasnya berhak mendapat nafkah dalam tempoh idahnya daripada bekas suaminya berdasarkan kepada beberapa syarat. Nafkah yang dimaksudkan tersebut adalah merangkumi makanan, pakaian dan tempat tinggal. Hak nafkah idah terhadap isteri yang diceraikan adalah bergantung kepada kedudukan idah dalam sesuatu talak itu sendiri iaitu sama ada idah tala raj’i, idah talak ba’in atau idah kematian. HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW dan seluruhnya. Isteri yang diceraikan berhak mendapat nafkah dalam masa idahnya daripada bekas suaminya. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT: أَسۡكِنُوهُنَّ مِنۡ حَيۡثُ سَكَنتُم مِّن وُجۡدِكُمۡ وَلَا تُضَآرُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُواْ عَلَيۡهِنَّۚ وَإِن كُنَّ أُوْلَٰتِ حَمۡلٖ فَأَنفِقُواْ عَلَيۡهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعۡنَ حَمۡلَهُنَّۚ فَإِنۡ أَرۡضَعۡنَ لَكُمۡ فََٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ وَأۡتَمِرُواْ بَيۡنَكُم بِمَعۡرُوفٖۖ وَإِن تَعَاسَرۡتُمۡ فَسَتُرۡضِعُ لَهُۥٓ أُخۡرَىٰ Maksudnya: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.” Surah al-Talak (6) Hak nafkah terhadap isteri yang diceraikan adalah bergantung kepada kedudukan talak itu sendiri iaitu sama ada idah talak raj’i, idah talak ba’in atau idah kematian suami. Bagi isteri yang berada dalam idah talak raj’i berhak mendapat semua nafkah sebagaimana nafkah yang diterima sewaktu dalam perkahwinan. Walaubagaimanapun, sekiranya isteri itu diceraikan dengan sebab nusyuz, maka dia tidak layak untuk mendapat nafkah dalam tempoh idah tersebut. (Rujuk: Minhaj al-Tolibin, 264)[1] (Rujuk: Fath al-Mu’in, hlm 535)[2] Manakala, perempuan yang berada dalam idah talak ba’in dan mengandung, berhak mendapat nafkah perbelanjaan termasuk tempat tinggal. Syeikh Zainuddin ada menyebut: وتجب النفقة أيضا لمطلقة حامل بائن بالطلاق الثلاث Maksudnya: “Nafkah juga wajib diberikan kepada wanita yang mengandung (yang telah diceraikan) dengan talak tiga.” (Rujuk: Fath al-Mu’in, 536) Namun, wanita yang diceraikan dengan talak ba’in wajib diberikan tempat kediaman dan tidak wajib diberi nafkah dan segala bentuk perbelanjaan. Perkara ini dijelaskan oleh Syeikh Muhammad bin Ismail di dalam kitabnya seperti berikut: Wajib diberikan (disediakan) tempat kediaman bagi perempuan yang dicerai ba’in. Tidak wajib diberi nafkah dan segala bentuk perbelanjaan seperti pakaian, lauk dan lain-lain lagi kecuali mengandung mengikut pendapat yang sahih. (Rujuk: Matla’ al-Badrain Pejabat Mufti Wilayah, 3/179) Dr Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa majoriti ulama fikah berpendapat bahawa suami tidak wajib memberi nafkah kepada isteri yang sedang dalam idah kematian. (Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 10/ 7405)[3] Selain itu juga, mengikut undang-undang keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan bahawa isteri yang telah bercerai berhak untuk menerima nafkah dari suaminya yang dahulu sehingga tamat tempoh idah atau sekiranya isteri nusyuz. Hal ini dinyatakan di dalam seksyen 65 (1): “Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh ‘iddah atau apabila isteri itu menjadi nusyuz.” KESIMPULAN Islam menekankan tanggungjawab suami dalam memberi nafkah terhadap isteri bukan sahaja sepanjang tempoh perkahwinan, bahkan pensyariatan ini berjalan dan dilaksanakan selepas terjadinya perceraian. Justeru, hak nafkah terhadap isteri yang diceraikan adalah bergantung kepada kedudukan idah dalam sesuatu talak itu sendiri, iaitu sama ada idah talak raj’i, idah talak ba’in atau idah kematian suami. [1] ويجب لرجعية المؤن... ونفقة العدة مقدرة كزمن النكاح. [2] ويسقط مؤنتها ما يسقط مؤنة الزوجة كالنشوز [3] ولا تجب بالاتفاق نفقة المعتدة من وفاة أو من زواج فاسد أو شبهة، إلا أن المالكية أوجبوا لمعتدة الوفاة السكنى مدةالعدة إذا كان المسكن مملوكاً للزوج، أو مستأجراً ودفع أجرته قبل الوفاة |
275 | Soalan: Apakah terdapat dalil berkaitan solat sunat ketika keluar dan masuk ke rumah? Jawapan : Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Dituntut ke atas setiap muslim itu sama ada lelaki atau wanita untuk melakukan solat sunat dua rakaat sebelum daripada keluar daripada rumah dan selepas daripada memasuki rumah. Sebelum kami menjawab persoalan di atas, suka bagi kami untuk mendatangkan beberapa buah hadith yang menceritakan berkaitan galakan Nabi SAW untuk memperbanyakkan solat sunat di rumah. Antaranya: Daripada Zaid bin Thabit RA, bahawa Nabi SAW bersabda: صَلَاةُ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهِ فِي مَسْجِدِي هَذَا، إِلَّا الْمَكْتُوبَةَ Maksudnya: “Solat seseorang itu di rumahnya lebih afdhal (lebih baik) berbanding solatnya di masjidku (masjid Nabawi) ini melainkan solat yang wajib (solat fardhu).” [Riwayat Abu Daud (1044)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih] Di dalam hadith yang lain pula daripada Zaid bin Thabit RA, bahawa Nabi SAW bersabda: فَصَلُّوا أَيُّهَا النَّاسُ فِي بُيُوتِكُمْ، فَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ صَلاَةُ المَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا المَكْتُوبَةَ Maksudnya: “Solatlah wahai sekalian manusia di rumah-rumah kamu kerana solat yang paling afdhal ialah solat seseorang itu di rumahnya melainkan solat yang wajib (solat fardhu).” [Riwayat al-Bukhari (731)] Bagi menjawab persoalan di atas, sememangnya terdapat riwayat yang menceritakan berkaitan solat yang dilakukan apabila ingin keluar atau masuk ke dalam rumah berdasarkan kepada sebuah riwayat daripada Imam al-Bazzar di dalam musnadnya: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا خَرَجْتَ مِنْ مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ تَمْنَعانِكَ مَخْرَجَ السَّوْءِ، وَإِذَا دَخَلْتَ مَنْزِلَكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ تَمْنَعانِكَ مَدْخَلَ السَّوْءِ Maksudnya: “Apabila kamu keluar dari rumahmu, maka solatlah dua rakaat, nescaya keduanya akan mencegahmu dari tempat keluar yang buruk dan apabila kamu masuk ke rumahmu, maka solatlah dua rakaat, nescaya keduanya akan mencegahmu dari tempat masuk yang buruk.” [Riwayat al-Bazzar (8567)][Imam al-Hafiz Ibn Hajar menilai hadith ini adalah hadith yang hasan] Imam al-Munawi mengatakan ketika mensyarahkan hadith ini, apabila seseorang itu ingin keluar maka lakukanlah solat sunat sebanyak dua rakaat dengan ringka dan hal ini boleh didapati dengan melakukan solat fardhu dan juga sunat. Kemudian di dalam hadith tersebut disebutkan hikmah dituntut untuk melakukan solat sunat ini agar Allah SWT memelihara daripada keburukan di luar dan di dalam rumah. Di samping itu juga, tuntutan solat sunat ini akan gugur sekiranya berlalunya masa yang panjang tanpa keuzuran. Hadith ini juga menjadi dalil oleh Imam al-Ghazali akan sunat melakukan solat sunat dua rakaat ketika keluar dari rumah dan dua rakaat dilakukan selepas masuk ke dalam rumah. Selain itu juga, fadhilat ini juga akan diperolehi dengan solat fardhu dan sunat yang dilakukan sebelum keluar dan selepas masuk ke dalam rumah. [Lihat: Faidh al-Qadir, 1/334] Penutup Kesimpulannya, kita amat dituntut untuk melazimi serta memperbanyakkan solat sunat di rumah termasuklah solat sunat yang dilakukan ketika keluar dan masuk ke dalam rumah. Akhirnya, semoga Allah SWT sentiasa memelihara kita dan ahli keluarga daripada segala perkara yang tidak baik. Amin. |
276 | Soalan : Assalamualaikum ustaz. Saya mahu pencerahan berkenaan hadis ini. Ada saya pernah baca yang Nabi sebut ‘sesiapa yang sebut Madinah dengan nama Yathrib, hendaklah dia beristighfar’. Apakah status hadis ini ustaz? Mohon pencerahan ustaz. Ringkasan jawapan : Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya Imam Ahmad (m. 241 H) di dalam al-Musnad, Abu Ya’la(m.307 H) di dalam al-Musnad, Ibn Adiy(m.365 H) di dalam al-Kamil fi Dhu’afa al-Rijal, Ibn Syabah (m.262 H) di dalam Tarikh al-Madinah. Kesemuanya melalui jalan periwayatan Yazid Bin Abi Ziyad daripada Abdurrahman bin Abi Laila dariada al-Bara bin ‘Azib. Ia juga diriwayatkan secara mursal melalui jalan periwayatan yang sama. Riwayat secara mursal ini dinukilkan oleh Abdurrazzaq al-San’ani (m.211 H) dalam al-Musannaf dan juga Ibn Syabah di dalam kitab yang sama. Sanad hadis yang disebutkan adalah hadis yang lemah. Perkara ini disebabkan oleh perawi yang bernama Yazid bin Abi Ziyad yang menjadi paksi (madar) hadis ini. Beliau adalah perawi yang saduq (benar) akan tetapi hafalan beliau diragui dan dikritik oleh para ulama hadis. Tambahan lagi, berlaku perubahan pada hafalan beliau pada akhir umurnya. Antara buktinya beliau meriwayatkan hadis ini dengan dua periwayatan yang berbeza, pertama beliau meriwayatkan hadis ini secara musnad. Dalam riwayat lain beliau meriwayatkan secara mursal. Walaupun sanadnya lemah, dari sudut makna, ia mempunyai makna yang sahih dengan sokongan daripada riwayat hadis lain yang lebih sahih. Para ulama menjelaskan bahawa penamaan Madinah sebagai Yathrib adalah perkara yang tidak elok kerana perkataan Yathrib membawa makna keburukan, celaan dan hinaan. Ianya tidak disukai oleh Nabi SAW. Berdasarkan hadis yang sahih terdapat larangan menggelar Madinah dengan Yathrib dari Baginda SAW dan larangan ini menunjukkan perkara yang haram dilakukan menurut para ulama. Antara yang lain, hadis riwayat Imam Muslim menjelaskan bahawa Allah menamakan Madinah sebagai Tabah yang membawa makna elok, makmur dan bersih dari kesyirikan. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang benar. Wallahu’alam. Huraian jawapan : Matan asal hadis tersebut adalah seperti berikut مَنْ سَمَّى الْمَدِينَةَ يَثْرِبَ فَلْيَسْتَغْفِرِ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ، هِيَ طَابَةُ هِيَ طَابَةُ Maksudnya : “Sesiapa yang menamakan Madinah dengan (nama) Yathrib, maka dia hendaklah memohon keampunan Allah SWT. Ia adalah Tobah. Ia adalah Tobah (nama lain bagi Madinah Munawwarah).” Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya Imam Ahmad (m. 241 H) dalam al-Musnad[1]. Beliau menukilkan sanad seperti berikut : حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ مَهْدِيٍّ قَالَ: حَدَّثَنَا صَالِحُ بْنُ عُمَرَ عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِي زِيَادٍ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى عَنِ الْبَرَاءِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ “ Ibrahim bin Mahdi telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Saleh bin Umar telah menceritakan kepada kami, bahawa beliau meriwayatkan daripada Yazid bin Abi Zziyad daripada Abdurrahman bin Abi Laila daripada al-Bara bin ‘Azib, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda…” Hadis ini juga diriwayatkan oleh Abu Ya’la (m. 307 H) dalam kitab beliau, al-Musnad[2]. Beliau menukilkan sanad seperti berikut : حدّثنا أحمد بن إبراهيم الموصلى حدّثنا أبو على صالح بن عمر عن يزيد بن أبى زيادٍ عن عبد الرحمن بن أبى ليلى عن البراء بن عازبٍ قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم “Ahmad bin Ibrahim al-Musili telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Abu Ali Saleh bin Umar telah menceritakan kepada kami, bahawa beliau meriwayatkan daripada Yazid bin Abi Ziyad daripada Abdurrahman bin Abi Laila daripada al-Bara bin ‘Azib, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda…” Ibn ‘Adiy (m.365 H) juga turut meriwayatkan hadis ini melalui jalan periwayatan Yazid bin Abi Ziyad daripada Abdurrahman bin Abi Laila daripada al-Bara bin ‘Azib di dalam kitab al-Kamil fi al-Dhu’afa[3]. Selain daripada itu, Ibn Syabah (m.262 H) turut menukilkan hadis ini dalam kitab Tarikh al-Madinah[4] dengan matan yang hampir sama. Dalam riwayat yang lain, hadis ini juga diriwayatkan secara mursal (tiada perantaraan sahabat) melalui jalan periwayatan Yazid bin Abi Ziyad daripada Abdurrahman bin Abi Laila daripada Nabi SAW. Riwayat secara mursal ini dinukilkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya Abdurrazzaq al-San’ani (m.211 H) dalam al-Musannaf[5]. Beliau menukilkan sanad dan matan seperti berikut : عَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ قَالَ: حُدِّثْتُ عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِي زِيَادٍ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ قَالَ لِلْمَدِينَةِ يَثْرِبُ فَلْيَقُلْ: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ ثَلَاثًا هِيَ طِيبَةٌ هِيَ طِيبَةٌ هِيَ طِيبَةٌ “Diriwayatkan daripada Ibn Juraij, beliau berkata : Saya diceritakan daripada Yazid bin Abi Ziyad daripada Abdurrahman bin Abi Laila bahawa Nabi SAW bersabda : Sesiapa yang menyebut Madinah dengan nama Yathrib, maka sebutlah : Saya memohon keampunan kepada Allah (istighfar) sebanyak tiga kali. Ia dalah Tibah, ia adalah Tibah.” Riwayat secara mursal ini juga turut dinukilkan oleh Ibn Syabah[6] dengan jalan periwayatan yang sama. Beliau menukilkan matan seperti berikut : مَنْ قَالَ لِلْمَدِينَةِ يَثْرِبَ فَلْيَقُلْ: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ ثَلَاثًا هِيَ طَابَةُ هِيَ طَابَةُ هِيَ طَابَةُ “Sesiapa yang menyebut Madinah dengan nama Yathrib, maka sebutlah istighfar sebanyak tiga kali. Ia adalah Tabah, ia adalah Tabah.” Jika diteliti, kesemua riwayat ini bertemu pada Yazid bin Abi Ziyad al-Qurasyi al-Kufi. Beliau dikritik oleh para ulama hadis khususnya sudut hafalan beliau. Ini kerana pada akhir umur beliau, berlaku perubahan pada hafalan beliau. Imam al-Nasaie menyebut bahawa beliau tidak kuat hafalan[7]. Imam Ahmad menyebut bahawa bukan dari kalangan al-Hafiz[8]. Abu al-Hasan al-‘Ijli (m.261 H) menjelaskan berkenaan hafalan dan apa yang berlaku kepada hafalan beliau, beliau menyatakan : جائز الحديث وكان بآخره يلقن “ Hadis beliau boleh diriwayatkan. Pada akhir umurnya berlaku perubahan (pada hafalan beliau).”[9] Di antara bukti beliau berlaku perubahan pada hafalan beliau adalah riwayat hadis ini. Dalam satu riwayat beliau meriwayatkan hadis ini dengan menyebut perantaraan antara Abdurrahman bin Abi Laila dengan Nabi SAW, iaitu al-Bara bin ‘Azib. Dalam riwayat yang lain, beliau meriwayatkan secara mursal iaitu menggugurkan al-Bara bin ‘Azib yang menjadi perantaraan. Perkara ini menunjukan beliau tidak konsisten dalam periwayatan yang menjadi tanda masalah dalam hafalan beliau. Justeru, sanad hadis ini lemah disebabkan Yazid bin Abi Ziyad. Walaupun sanadnya, dari sudut makna, ia mempunyai makna yang sahih dengan sokongan daripada riwayat hadis lain yang lebih sahih sanadnya. Jabir bin Samurah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda : إِنَّ اللهَ تَعَالَى سَمَّى الْمَدِينَةَ طَابَةَ “Sesungguhnya Allah SWT menamakan Madinah dengan nama Tabah”[10] Hadis ini menjelaskan bahawa penamaan Madinah sebagai Tabah adalah sesuatu yang baik. Perkara ini kerana Tabah bermaksud bau yang baik dan elok. Bahkan Imam al-Nawawi (m.676 H) menjelaskan, Allah menamakan Madinah dengan nama Tabah adalah kerana Madinah bersih dari kesyirikan dan kemakmuran yang terdapat di dalamnya[11]. Di sana terdapat juga larangan secara jelas untuk menyebut Madinah sebagai Yathrib. Abu Ayub al-Ansari meriwayatkan : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُقَالَ لِلْمَدِينَةِ يَثْرِبَ Maksudnya : “Rasulullah SAW melarang agar tidak menyebut Madinah sebagai Yathrib.”[12] Hadis ini di atas jelas menyebutkan larangan menyebut Madinah sebagai Yathrib. Hal ini kerana Yathrib pada dasarnya mengandungi makna yang buruk. Ia merupakan perkataan yang berasal dari perkataan ثَرَبَ yang bermaksud memalukan, buruk dan hina[13]. Ibn Hajar al-‘Asqalani (m. 851) menjelaskan hikmah di sebalik larangan menamakan Madinah sebagai Yathrib dengan menukilan pandangan Isa bi Dinar, salah seorang ulama bermazhab Maliki. Beliau menjelaskan sesiapa yang menyebut Madinah sebagai Yathrib, maka dia akan mendapat dosa ini kerana perkataan Yathrib itu sendiri membawa makna menghina dan mencela. Ia juga membawa makna keburukan. Penamaan sebegitu rupa tidak dibenarkan kerana Nabi SAW suka kepada nama-nama yang elok dan baik. Baginda tidak gemar kepada nama-nama yang buruk.[14] Kesimpulannya, sanad hadis yang disebutkan adalah hadis yang lemah. Perkara ini disebabkan oleh perawi yang bernama Yazid bin Abi Ziyad. Beliau adalah perawi yang saduq (benar) akan tetapi hafalan beliau diragui dan dikritik oleh para ulama hadis. Tambahan lagi, berlaku perubahan pada hafalan beliau pada akhir umurnya. Antara buktinya beliau meriwayatkan hadis ini dengan dua periwayatan yang berbeza, pertama beliau meriwayatkan hadis ini secara musnad. Dalam riwayat lain beliau meriwayatkan secara mursal. Walaupun sanadnya lemah, dari sudut makna, ia mempunyai makna yang sahih dengan sokongan daripada riwayat hadis lain yang lebih sahih. Para ulama menjelaskan bahawa penamaan Madinah sebagai Yathrib adalah perkara yang tidak elok kerana perkataan Yathrib membawa makna keburukan, celaan dan hinaan. Ianya tidak disukai oleh Nabi SAW. Berdasarkan hadis yang sahih terdapat juga larangan menggelar Madinah dengan Yathrib dari Baginda SAW dan larangan ini menunjukkan perkara yang haram dilakukan menurut para ulama. Antara yang lain, hadis riwayat Imam Muslim menjelaskan bahawa Allah menamakan Madinah sebagai Tabah yang membawa makna elok, makmur dan bersih dari kesyirikan. NOTA HUJUNG: [1] Abu Abdullah, Ahmad bin Hanbal, al-Musnad (2001), Muassasah al-Risalah, Beirut, j.30 h.483 no. 18519. [2] Abu Ya’la al-Musili, Ahmad bin ‘Ali, Musnad Abi Ya’la (2013), Dar al-Hadith, Kaherah, j.3 h.203 no. 1688. [3] Abu Ahmad bin ‘Adiy, Abdullah bin ‘Adiy, al-Kamil fi Dhu’afa al-Rijal (1997), Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, j.9 h.165. [4] Ibn Syabah, Zaid bin Ubaidah, Tarikh al-Madinah (1978), Jeddah, j.1 h.165. Dalam matan yang dinukilkan ada beberapa tambahan iaitu : مَنْ قَالَ لِلْمَدِينَةِ يَثْرِبَ فَلْيَسْتَغْفِرِ اللَّهَ هِيَ طَابَةُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ [5] Al-San’ani, Abdurrazzaq bin Hammam, al-Musanaf (1983), al-Maktab al-Islami, Beirut, j.9 h.267 no. 17617. [6] Ibid., j.1 h.164. [7] Abu Abdurrahman al-Nasaie, Ahmad bin Syu’aib, al-Dhu’afa wa al-Matrukin (1976), Dar al-Wa’i, Aleppo, h.111. Beliau menyebut : يزِيد بن أبي زِيَاد كُوفِي لَيْسَ بِالْقَوِيّ [8] Ibn Abi Hatim, Abdurrahman bin Muhammad, al-Jarh wa al-Ta’dil (1952), Dairah al-Ma’arif al-Uthmaniyah, India,j.9 h.265. [9] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Ahmad bin Ali, Taqrib al-Tahzib (1995), Muassasah al-Risalah, Beirut, j.4 h.413. [10] Abu al-Husain, Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim (t.t), Dar Ihya al-Turath al-‘Arabiy, Beirut, j.2 h.1007, no.1385. [11] Abu Zakariya al-Nawawi, Yahya bin Syarf, al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim (1972), Dar Ihya al-Turath al-‘Arabiy, Beirut, j.9 h.155. [12] Ibid., j.1 h.165 [13] Ibn Manzur, Muhammad bin Mukarram, Lisan al-Arab (1994), Dar Sadir, Beirut, j. h.235. [14] Ibn Hajar al-Asqalani, Ahmad bin Ali, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (1959), Dar al-Ma’rifah, Beirut, j.4 h.87. Beliau menyebut : وَلِهَذَا قَالَ عِيسَى بْنُ دِينَارٍ مِنَ الْمَالِكِيَّةِ مَنْ سَمَّى الْمَدِينَةَ يَثْرِبَ كُتِبَتْ عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ قَالَ وَسَبَبُ هَذِهِ الْكَرَاهَةِ لِأَنَّ يَثْرِبَ إِمَّا مِنَ التَّثْرِيبِ الَّذِي هُوَ التَّوْبِيخُ وَالْمَلَامَةُ أَوْ مِنَ الثَّرْبِ وَهُوَ الْفَسَادُ وَكِلَاهُمَا مُسْتَقْبَحٌ وَكَانَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ الِاسْمَ الْحَسَنَ وَيَكْرَهُ الِاسْمَ الْقَبِيحَ |
277 | Ringkasan Jawapan Sejak kebelakangan ini timbul isu berkaitan hukum berwuduk dengan menyapu di atas stoking bagi menggantikan basuhan kaki. Kami telah menjelaskan hukum berkaitan isu ini dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-552 : Adakah Stoking Kain Boleh Digunakan Sebagai Khuf? Kami ingin menegaskan bahawa pandangan yang paling kuat dalam mazhab al-Syafie dan majoriti ulama ialah tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas stoking yang nipis, justeru hendaklah menanggalkan stoking dan membasuh kaki seperti biasa ketika wuduk dan tidak bermudah-mudah untuk mengambil pandangan yang lemah serta sentiasa mengambil langkah ihtiyat (berjaga-jaga) bagi memastikan ibadah yang kita lakukan sah dan diterima oleh Allah SWT. Sebaiknya mengambil pandangan yang disepakati oleh para ulama dan pandangan muktamad mazhab al-Syafie dalam memastikan kesempurnaan wuduk kita. Ini supaya kita tidak terjerumus kepada perbuatan yang dilarang iaitu bermudah-mudahan dengan mengambil pendapat yang paling mudah (tatabu’ al-rukhas) tanpa keperluan dan hajat yang dibenarkan oleh syarak. Dalam konteks pengamalan fiqh di Malaysia, kita hendaklah meraikan mazhab al-Syafie yang telah menjadi pegangan dan amalan setempat. Kami menasihatkan kepada orang ramai supaya menghormati mazhab masyarakat setempat dan tidak menyebarkan pandangan-pandangan yang boleh mengelirukan orang ramai. Huraian Jawapan Sejak kebelakangan ini timbul isu berkaitan hukum berwuduk dengan menyapu di atas stoking bagi menggantikan basuhan kaki. Kami telah menjelaskan hukum berkaitan isu ini dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-552 : Adakah Stoking Kain Boleh Digunakan Sebagai Khuf? Kesimpulan daripada artikel tersebut kami menyatakan bahawa pandangan yang paling kuat dalam mazhab al-Syafie dan jumhur ulama adalah tidak boleh dan tidak sah berwuduk dengan menyapu di atas stoking bagi menggantikan khuf. Oleh yang demikian, dalam artikel kali ini kami ingin menerangkan dengan lebih jelas dan terperinci dalil-dalil yang kuat berkaitan pandangan yang dipegang ini serta menjelaskan pandangan terpencil yang mengharuskannya yang dibina atas dalil yang lemah. Berkaitan dalil yang mengatakan perbuatan menyapu di atas stoking adalah tidak dibolehkan dan tidak sah, ini dapat diperhatikan dengan jelas berdasarkan pandangan yang paling sahih mazhab al-Syafie yang disebutkan Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj al-Talibin bahawa beliau berkata: وشرطه أن يلبس بعد كمال طهر ساترا محل فرضه طاهرا يمكن تباع المشي فيه لتردد مسافر لحاجاته قيل: وحلالا ولا يجزىء منسوج لا يمنع ماء في الأصح Maksudnya: Syaratnya (khuf atau sarung kaki) hendaklah dipakai selepas sempurnanya wuduk, hendaklah ia menutup semua tempat (kaki) yang wajib di basuh, tahan lasak dan boleh digunakan untuk berjalan dengan berulang-alik bagi seorang musafir bagi menunaikan keperluannya. Menurut pendapat yang lemah, hendaklah yang halal (bukan sutera atau dicuri, kerana ini adalah hukum berasaskan rukhsah). Tidak sah jika sekiranya diperbuat daripada bahan yang tidak menghalang air menurut pendapat yang paling sahih.[1] (Rujuk Minhaj al-Tolibin: 14) Berdasarkan nukilan di atas, dapat difahami bahawa stoking tidak menepati syarat khuf yang ditetapkan oleh para fuqaha Syafi’iyyah kerana ia tidak tahan lasak dan tidak kuat untuk digunakan bagi permusafiran yang jauh serta tidak dapat menghalang daripada ditembusi air. Ini merupakan pandangan yang rajih (kuat) di sisi mazhab al-Syafie. Oleh yang demikian, stoking tidak boleh digunakan sebagai khuf bagi menggantikan basuhan kaki ketika wuduk. Bahkan ulama mazhab Maliki dan Hanafi serta para ulama mujtahid yang lain seperti Imam al-Awza’ie, Mujahid, ‘Amr Ibn Dinar, al-Hasan Ibn Muslim turut bersepakat bahawa tidak boleh dan tidak sah menyapu di atas stoking yang tidak boleh digunakan untuk sepertimana dijelaskan Ibn Qudamah al-Maqdisi bahawa: وَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ، وَمَالِكٌ، وَالْأَوْزَاعِيُّ، وَمُجَاهِدٌ، وَعَمْرُو بْنُ دِينَارٍ، وَالْحَسَنُ بْنُ مُسْلِمٍ، وَالشَّافِعِيُّ: لَا يَجُوزُ الْمَسْحُ عَلَيْهِمَا، إلَّا أَنْ يُنْعَلَا؛ لِأَنَّهُمَا لَا يُمْكِنُ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ فِيهِمَا، فَلَمْ يَجُزْ الْمَسْحُ عَلَيْهِمَا Maksudnya: Abu Hanifah, Malik, al-Awza’ie, Mujahid, Amr Ibn Dinar, al-Hasan Ibn Muslim dan al-Syafie berpandangan bahawa, tidak boleh disapu ke atas kedua-duanya (al-jawrab) kecuali jika dipakai selipar kerana kedua-dua tidak boleh digunakan untuk berjalan. Oleh itu, tidak dibolehkan untuk menyapu ke atas kedua-duanya.[2] (Rujuk al-Mughni Li Ibn al-Qudamah, 1:215) Begitu juga Imam al-Nawawi membawa pandangan ulama mujtahid seperti al-Qadhi Abu Tayyib, al-Qaffal dan sebilangan para muhaqqiqin bahawa stoking yang tidak boleh untuk digunakan bagi permusafiran maka tidak sah untuk disapu di atasnya. Kata beliau: وَالصَّحِيحُ بَلْ الصَّوَابُ مَا ذَكَرَهُ الْقَاضِي أَبُو الطَّيِّبِ وَالْقَفَّالُ وَجَمَاعَاتٌ مِنْ الْمُحَقِّقِينَ أَنَّهُ إنْ أَمْكَنَ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ عَلَيْهِ جَازَ كَيْفَ كَانَ وَإِلَّا فَلَا Maksudnya: Pendapat yang sahih bahkan yang benar ialah apa yang disebut oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Qaffal dan beberapa kumpulan daripada muhaqqiqin bahawa jika sekiranya boleh digunakan untuk berjalan, maka ia diharuskan walaupun bagaimana keadaannya, jika tidak boleh digunakan untuk berjalan, maka tidak diharuskan.[3] (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:499) Hal ini menunjukkan bahawa sepakat para ulama mazhab dan para ulama mujtahidin yang lain dengan pandangan bahawa mengambil wuduk dengan menyapu di atas stoking adalah tidak dibolehkan dan tidak sah. Bahkan Imam al-Kasani daripada mazhab Hanafi menukilkan ijmak dalam kalangan ulama berkaitan perkara ini. Kata beliau: فَإِنْ كَانَا رَقِيقَيْنِ يَشِفَّانِ الْمَاءَ، لَا يَجُوزُ الْمَسْحُ عَلَيْهِمَا بِالْإِجْمَاعِ Maksudnya: Jika sekiranya kedua-dua al-jaurab (stoking) itu nipis dan ditembusi air, maka ijmak para ulama tidak boleh disapu ke atas kedua-duanya.[4] (Rujuk Bada'ie al-Sana'ie, 1:10) Selain daripada itu, pandangan yang mengatakan ia dibolehkan dan sah menyapu di atas stoking berdasarkan mazhab Hanbali, mereka bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada al-Mughirah Ibn Syu’bah RA, bahawa beliau berkata: أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلى الله عَلَيه وآله وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW berwuduk dan menyapu di atas dua al-jaurab (stokin) dan kasut Baginda SAW. Riwayat al-Tirmidzi (99), Abu Daud (159) Ulama hadis berbeza pandangan mengenai status hadis yang meriwayatkan berkenaan menyapu di atas al-jaurab (stoking) ini. Imam al-Tirmidzi berpendapat hadis tersebut ialah hadis yang berstatus hasan sahih. Namun penilaian Imam al-Tirmidzi ini dikritik oleh ulama hadis yang lain seperti Imam Abu Daud dan Imam al-Zahabi. Hal ini kerana salah seorang perawinya bernama Abu Qais menyalahi riwayat perawi-perawi thiqah yang lain. Selain itu Abu Qais dan seorang lagi perawi bernama Huzail bin Syarahbil adalah perawi yang lemah.[5] (Rujuk I’lam al-Anam, 1:186) Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk menyebutkan sejumlah yang ramai dari kalangan ulama hadis yang melemahkan hadis di atas seperti Imam al-Baihaqi, Sufyan al-Tauri, Abd al-Rahman Ibn Mahdi, Ahmad Bin Hanbal, Ali Ibn al-Madini, Yahya Ibn Ma’in dan Muslim Ibn Hajjaj. Menurut Imam al-Nawawi lagi pandangan ulama-ulama besar hadis ini sudah tentu lebih didahulukan berbanding pandangan Imam al-Tirmidzi.[6] (Rujuk al-Majmuk: 1:500) Walau bagaimanapun menurut Imam al-Zaila’i mereka yang mensahihkan hadis ini melihat kepada pandangan ulama yang menilai Abu Qais sebagai perawi yang thiqah di samping perbezaan riwayat Abu Qais dengan perawi yang lain hanyalah penambahan yang boleh untuk dihimpunkan. Kemungkinan Nabi SAW kadang-kadang menyapu di atas khuf dan pada waktu yang lain Nabi SAW menyapu di atas al-jaurab.[7] (Rujuk Nasbu al-Rayah: 1:142) Sekalipun jika hadis di atas adalah sahih seperti pandangan sebahagian ulama namun menurut Imam al-Nawawi hadis tersebut perlu ditakwilkan dengan makna stoking yang tebal dan boleh digunakan untuk berjalan bagi mengharmonikan dengan riwayat-riwayat hadis yang ada. Menurut sebahagian ulama yang lain hadis di atas bukan bermaksud menyapu di atas stoking semata-mata namun maksud hadis tersebut ialah menyapu di atas stoking berserta khuf.[8] (Rujuk al-Majmuk: 1:526) Bahkan ia turut disebut oleh ulama dari mazhab Hanbali sendiri bahawa maksud jaurab di dalam hadis di atas adalah hampir serupa dengan ciri-ciri khuf iaitu boleh digunakan untuk berjalan bagi permusafiran yang jauh. وَالْجَوَارِبُ فِي مَعْنَى الْخُفِّ؛ لِأَنَّهُ سَاتِرٌ لِمَحَلِّ الْفَرْضِ، يُمْكِنُ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ فِيهِ أَشْبَهَ الْخُفَّ Maksudnya: Lafaz al-jawarib ialah sama maksudnya dengan makna khuf kerana ia menutup bahagian kaki yang wajib dibasuh dan boleh digunakan untuk berjalan (tidak koyak atau rosak), justeru ia menyerupai khuf.[9] (Rujuk Kasysyaf al-Qina’ ‘an Matn al-Iqna’, 1:111) Ini juga apa yang disebut oleh Ibn Taimiyyah al-Hambali sendiri bahawa beliau menjelaskan: وإن كان رقيقا يتخرّق في اليومين أو الثلاثة أو لا يثبت بنفسه، لم يمسح عليه، لأنَّ في مثله لا يمشى فيه عادة ولا يحتاج إلى المسح عليه. Maksudnya: Jika stoking itu tidak kuat yang akan koyak dalam dua atau tiga hari atau tidak tahan lama, maka tidak boleh untuk disapu di atasnya. Ini kerana secara adatnya stoking yang seperti itu tidak boleh digunakan untuk berjalan dan tidak perlu untuk disapu di atasnya.[10] (Rujuk Syarh al-‘Umdah, 251) Manakala sebahagian ulama seperti Ibn Hazm al-Zahiri, Jamaludin al-Qasimi dan Ahmad Syakir daripada ulama mutaakhirin pula hanya mengambil hadis tersebut secara literal dengan mengharuskan perbuatan menyapu di atas stoking secara mutlak, sama ada ia lembut, nipis, menutupi atau koyak. Hal ini boleh dilihat dari kenyataan Ibn Hazm dalam al-Muhalla: قد صح عن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم الأمر بالمسح على الخفين، وأنه مسح على الجوربين، ولو كان ههنا حد محدود لما أهمله عليه السلام ولا أغفله، فوجب أن كل ما يقع عليه اسم خُف أو جورب أو لبس على الرجلين فالمسح عليه جائز. Maksudnya: Perintah Rasulullah SAW agar menyapu dua khuf itu terpakai juga ke atas pemakaian stoking. Hal ini kerana, kalaulah ada spesifikasi tertentu terhadap khuf itu, sudah semestinya Baginda tidak akan menghiraukan atau membiarkannya (tanpa memberitahu). Oleh yang demikian, setiap sesuatu yang terletak padanya nama khuf atau stoking atau pakaian yang menutupi kedua belah kaki, maka hukum menyapu atas keduanya adalah diharuskan.[11] (Rujuk al-Muhalla, 1:336) Oleh yang demikian, perbuatan membasuh kedua-dua kaki ini hendaklah diberikan perhatian yang serius dan tidak bermudah-mudah untuk mengambil pandangan yang lemah dalam hal ini. Sebaiknya kita mengambil pandangan yang disepakati oleh para ulama dan pandangan muktamad mazhab al-Syafie dalam memastikan kesempurnaan wuduk kita. Ini supaya kita terjerumus kepada perbuatan yang dilarang iaitu bermudah-mudahan dengan mengambil pendapat yang paling mudah (tatabu’ al-rukhas) tanpa keperluan dan hajat yang dibenarkan oleh syarak. Fatwa Daripada Institusi Fatwa Antarabangsa 1. Fatwa Dar al-Ifta’ Jordan Manakala, Dar al-Ifta’ Jordan mengeluarkan fatwa dalam hal ini dengan memutuskannya seperti berikut: وعليه؛ فإن كانت الجوارب خفيفة فلا يجزئ المسح عليها؛ لأنها لا تتوافر فيها الشروط المذكورة، بل يجب غسل القدمين عندئذٍ، والأولى في أبواب العبادات الاحتياط ليطمئن القلب ويخرج المسلم عن عهدة التكليف. والله تعالى أعلم. Maksudnya: “Kesimpulannya bahawa jika stokin tersebut merupakan stokin yang nipis maka tidak sah untuk disapu di atasnya. Hal ini kerana ia tidak menepati syarat-syarat khuf yang telah disebutkan. Bahkan, wajib untuk membasuh kedua-dua kaki kerana perkara yang utama dalam perkara ibadah ialah al-ihtiyat (berjaga-jaga). Waallahu a’lam.” .[12] 2. Fatwa Dar al-Ifta’ Mesir Shaykh Ali Jum’ah di dalam fatwanya di web Dar al-Ifta’ Mesir menyatakan pandangan tentang perkara ini dengan berkata: يجوز عند جماهير العلماء المسح على الجورب -الشراب- إذا كان مجلدًا يمكن تتابع المشي عليه وكان قد لُبِسَ على طهارة، والأصل في جواز المسح حديث الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ رضي الله عنه: "أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم مَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ" رواه أحمد وأبو داود والترمذي وصححه. وقيَّد الجمهورُ الإطلاقَ الوارد في الحديث الشريف في الجورب بأحاديث المسح على الخُفِّ؛ فاشترطوا في الجورب شروط الخُفِّ. ولكن بعض العلماء -كبعض الحنابلة، وكالقاسمي وأحمد شاكر من المتأخرين- أخذوا بظاهر النص وأجازوا المسح على الجورب مطلقًا: رقيقًا وسميكًا، ساترًا ومخرقًا. وعليه: فالمسح على الجورب الشفاف ممنوعٌ عند الجمهور، جائزٌ عند قليل من العلماء. ومما ذكر يعلم الجواب. والله سبحانه وتعالى أعلم. Maksudnya: Harus hukumnya di sisi jumhur ulama perbuatan menyapu di atas sarung kaki (stoking) jika sekiranya diperbuat daripada kulit, tahan lasak untuk digunakan untuk berjalan dan dipakai ketika dalam keadaan suci. Dalil keharusan berdasarkan kepada hadith al-Mughirah Ibn Syu’bah yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmidzi, beliau (al-Tirmidzi) mengatakan hadith ini sahih. Jumhur ulama mengikat keumuman hadith itu dengan hadith yang sama diriwayatkan berkenaan khuf, maka mereka mensyaratkan pada stoking dengan syarat yang sama dengan khuf juga. Namun begitu sebahagian ulama seperti sebahagian ulama mazhab Hanbali, dan seperti al-Qasimi dan Ahmad Syakir daripada ulama mutaakhirin mengambil hadith tersebut secara literal dan mengharuskan perbuatan menyapu di atas stoking secara mutlak: sama ada ia lembut, nipis, menutupi atau koyak. Oleh itu, berdasarkan perbahasan di atas, maka hukum menyapu stoking yang nipis adalah dilarang oleh jumhur ulama dan harus di sisi segelintir ulama. Justeru daripada apa yang telah dibincangkan maka difahami jawapannya. Waallahu a’lam.[14] Hal ini sama juga sepertimana yang diputuskan oleh Dar al-Ifta’ Mesir dalam fatwa yang lain dengan memberikan kenyataan berikut: وبناءً على ذلك: فيجوز عند جماهير العلماء المسح على الجورب -الشَّراب- بشرط: أن يكون مجلدًا، يمكن تتابع المشي فيه، وأن يكون ساترًا للقدمين كاملتين؛ أي: يغطي الكعبين، وأن يكون طاهرًا في نفسه، وأن يكون قد لُبِسَ على طهارة. Maksudnya: Berdasarkan perbincangan di atas, maka harus hukumnya untuk menyapu di atas stoking di sisi jumhur ulama dengan beberapa syarat: iaitu hendaklah diperbuat daripada kulit, boleh digunakan untuk berjalan (tanpa koyak), hendaklah menutup kedua-dua kaki secara sempurna iaitu dengan menutup dua buku lali, hendaklah ia bersih (daripada najis), hendaklah dipakai dalam keadaan sempurna bersuci.[15] Kesimpulannya, pandangan yang sahih dalam mazhab al-Syafi’i ialah tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas stokin yang tidak cukup syarat, justeru hendaklah menanggalkan stokin dan membasuh kaki seperti biasa ketika wuduk dan tidak bermudah-mudah untuk mengambil pandangan yang lemah serta sentiasa mengambil langkah ihtiyat (berjaga-jaga) bagi memastikan ibadah yang kita lakukan sah dan diterima oleh Allah SWT. Sebaiknya mengambil pandangan yang disepakati oleh para ulama dan pandangan muktamad mazhab al-Syafi’i dalam memastikan kesempurnaan wuduk kita. Ini supaya kita tidak terjerumus kepada perbuatan yang dilarang iaitu bermudah-mudahan dengan mengambil pendapat yang mudah (tatabu’ al-rukhas) tanpa keperluan dan hajat yang dibenarkan oleh syarak. Dalam konteks pengamalan fiqh di Malaysia, kita hendaklah meraikan mazhab al-Syafi’i yang telah menjadi pegangan dan amalan setempat. Kami menasihatkan kepada orang ramai supaya menghormati mazhab masyarakat setempat dan tidak menyebarkan pandangan-pandangan yang boleh mengelirukan orang ramai. WaAllahu a’lam. RUJUKAN [1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf (2005), Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftin, Dar al-Fikr, hlmn. 14. [2] Ibn al-Qudamah al-Maqdisi, Abdullah (1968). Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, jld. 1 hlmn. 215 [3] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 499. [4] Al-Kasani, ‘Alauddin, 1986, Bada’ie al-Sana’ie fi Tartib al-Syara’ie, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 10. [5] Al-Itir, Nuruddin, I’lam al-Anam Syarh Bulugh al-Maram, Dar al-Farfur, jld. 1, hlm. 186. [6] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 500. [7] Al-Zailaie, Abdullah bin Yusuf, Nasbu al-Rayah li Ahadis al-Hidayah, jld. 1, hlm. 142. [8] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 526. [9] Al-Bahuti, Mansur Ibn Yunus, Kasysyaf al-Qina’ ‘an Matn al-Iqna’, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld. 1 hlm. 111 [10] Ibn Taimiyah, Syarah al-‘Umdah, jld. 1, hlmn. 251. [11] Ibn Hazm, Ali bin Ahmad, Al-Muhalla bi al-Athar, Dar al-Fikr, jld. 1, hlm. 336. [12] Rujuk: https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3692 [13] Dr. Amjad Rusydi, 2019, Bughyah al-Arib min Maa’ni Nazam Nihayat al-Tadrib, Dar al-Fath, Jordan, jld. 1 [14] Rujuk: Dar al-Ifta’ Mesir : https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11078 [15] Rujuk: Dar al-Ifta’ Mesir : https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=15037&LangID=1&%D8%AD%D9%83%D9%85_%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D8%AD_%D8%B9%D9%84%D9%89_%D8%A7%D9%84%D8%AC%D9%88%D8%B1%D8%A8 [16] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 476. |
278 | SOALAN Dalam pengajian saya, terdapat perbahasan yang menganggap wali Allah mempunyai martabat yang lebih tinggi daripada para nabi. Oleh itu, benarkah tanggapan ini? Mohon pencerahan pihak tuan. RINGKASAN JAWAPAN Wali Allah mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT berdasarkan tingkatan keimanan dan ketakwaan masing-masing. Walau bagaimanapun, martabat para nabi secara jelas menunjukkan jauh lebih utama daripada martabat wali Allah dan martabat wali Allah tidak akan mencapai kedudukan para nabi. Oleh yang demikian itu, perbahasan mengenai wali Allah mempunyai martabat yang lebih tinggi daripada para nabi merupakan perbahasan yang tersasar daripada kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Masyarakat Islam dianjurkan untuk tidak berselisih berkenaan perkara ini kerana ditakuti boleh menjadikan seseorang itu kafir. HURAIAN JAWAPAN Pendahuluan Alhamdulillah segala puji dan syukur hanya bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan besar Muhammad SAW serta ahli keluarga, sahabat-sahabat, para tabiin dan pewaris-pewaris perjuangan baginda SAW. Nabi adalah sesorang yang diutuskan oleh Allah untuk menerima dan menyampaikan wahyu yang diturunkan kepadanya. Hal yang sama juga berlaku kepada Rasul yang diberikan syariat dan kitab Allah SWT secara khusus.[1] Manakala, wali Allah adalah sesorang yang mengenal Allah SWT dan sifat-sifat-Nya dalam melakukan ketaatan yang berterusan, menghindari daripada kemaksiatan, membebaskan diri daripada belenggu kelazatan duniawi dan keinginan syahwat.[2] Sememangnya diketahui, wali Allah mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT berdasarkan tingkatan keimanan dan ketakwaan masing-masing. Walau bagaimanapun, martabat para nabi secara jelas menunjukkan lebih utama daripada martabat wali Allah. Antara sebab-sebabnya termasuk perkara yang berikut: 1. Keutamaan martabat para nabi berbanding seluruh manusia Martabat para nabi secara pasti adalah lebih utama berbanding seluruh manusia. Hal ini kerana Allah SWT memilih para nabi sebagai penyampai kepada risalah dalam kalangan umat mereka. Firman Allah SWT: وَإِذَا جَآءَتۡهُمۡ آيَةٌ قَالُواْ لَن نُّؤۡمِنَ حَتَّىٰ نُؤۡتَىٰ مِثۡلَ مَآ أُوتِيَ رُسُلُ ٱللَّهِۘ ٱللَّهُ أَعۡلَمُ حَيۡثُ يَجۡعَلُ رِسَالَتَهُۥۗ Maksudnya: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: Kami tidak akan beriman sehingga kami juga diberi (wahyu) sama seperti yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Dia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikan-Nya itu. Surah al-An'am (124) Menurut at-Tabari, ayat di atas menerangkan bahawa Allah SWT melantik nabi dan rasul dalam kalangan manusia yang terpilih. Pelantikan ini bukanlah dengan usaha daripada pemilihan dalam kalangan manusia. Namun, pelantikan ini merupakan anugerah yang khusus daripada Allah SWT. Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui kepada siapa tugas risalah itu diberikan.[3] Selain itu, Nabi ﷺ bersabda tentang sebab kedudukan para nabi dan rasul diangkat tinggi oleh Allah: عَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلَاءً قَالَ الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى الْعَبْدُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صُلْبًا اشْتَدَّ بَلَاؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ رِقَّةٌ ابْتُلِيَ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَمَا يَبْرَحُ الْبَلَاءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِي عَلَى الْأَرْضِ وَمَا عَلَيْهِ مِنْ خَطِيئَةٍ Maksudnya: Mus’ab bin Sa’ad meriwayatkan daripada bapanya yang berkata: “Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berat mendapat ujian? Baginda SAW menjawab: “Para nabi, kemudian orang-orang yang selanjutnya yang lebih utama dan selanjutnya. Seseorang hamba itu diuji menurut kadar agamanya (keimanannya). Sekiranya semakin kuat keimanannya, maka semakin berat ujiannya. Sekiranya semakin lemah keimanannya, maka dia diuji menurut kadar kesesuaian agamanya. Lalu, ujian itu akan berterusan menimpa seorang hamba sehinggalah dia akan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan suci daripada dosa. Riwayat Ibn Majah Menurut Muhammad al-Sindi, hadis di atas membahaskan bahawa keutamaan martabat berdasarkan tingkatan ujian yang diterima oleh seseorang. Ujian yang paling berat terhadap para nabi menunjukkan martabat mereka yang paling utama. Kemudian, diikuti martabat seterusnya iaitu martabat yang lebih rendah berdasarkan tingkatan ujian yang diterima.[4] Badr al-Din al-Ayni juga menghuraikan hadis di atas secara pasti terdapat jurang yang besar antara martabat nabi dengan martabat wali Allah. Sedangkan, jurang martabat wali-wali Allah lebih kecil daripada itu.[5] 2. Martabat wali Allah dan para nabi Seterusnya, penjelasan martabat wali Allah dan para nabi yang dibuat menerusi matan iaitu teks akidah oleh Abu Ja’faar al-Tahawi seperti berikut: وَلَا نُفَضِلُ أَحَداً مِنَ الأَوْلِيَاء عَلَى أَحَدٍ مِنَ الأَنْبِيَاء عَليهِمُ السَّلَامُ ، وَنَقُولُ : نَبِي وَاحِدٌ أَفْضَلُ مِنْ جَمِيعِ الأَوْلِيَاء Maksudnya: Kami tidak melebihkan seseorang wali daripada para nabi. Justeru kami mengatakan bahawa seorang Nabi itu lebih mulia daripada semua wali.[6] Huraian matan di atas memperlihatkan bahawa seorang wali Allah tidak pernah mencapai tahap nabi. Hal ini berlaku kerana wali Allah merupakan pengikut kepada nabi. Martabat wali Allah sebagai pengikut adalah lebih rendah berbanding nabi sebagai orang yang diikutinya. Setiap nabi adalah wali Allah dan bukan semua wali Allah adalah nabi. Dengan keadaan sedemikian, seorang nabi itu menghimpunkan dalam dirinya ciri-ciri kenabian dan kewalian.[7] Hal ini menyebabkan ulama aliran Ashari’rah secara ijmak iaitu sebulat suara bersama majoriti umat Islam menyatakan bahawa setiap nabi lebih baik daripada setiap wali Allah yang bukan nabi.[8] Dalam pada itu, umat Islam tidak berselisih pandangan bahawa para nabi itu mempunyai kedudukan dan darjat yang lebih tinggi. Begitu juga para nabi memiliki lebih keutamaan dan kemuliaan di sisi Allah SWT berbanding dengan golongan yang lain. Sesiapa yang menyelisihi kesepakatan ini, maka boleh termasuk dalam golongan yang terkeluar daripada Islam.[9] Ketinggian dan keutamaan martabat nabi adalah perkara sesuatu kebenaran yang dapat dipastikan melalui akal atau dalil. Manakala sesiapa yang berpendapat sebaliknya, perkara ini boleh menjadikan seseorang itu kafir. Hal yang demikian kerana perkara ini merupakan urusan agama yang dapat diketahui secara pasti.[10] Penutup Perbahasan mengenai wali Allah mempunyai martabat yang lebih tinggi daripada para nabi merupakan perbahasan yang tersasar daripada kefahaman Ahli Sunnah Waljamah. Keutamaan martabat para nabi dibuktikan dengan pelantikan mereka sebagai penyampai risalah Allah SWT dan penerimaan ujian yang paling berat berbanding dengan manusia yang lain. Sementara itu, martabat wali Allah tidak akan mencapai kedudukan para nabi berdasarkan pendapat secara ijmak dalam kalangan Ahli Sunnah Waljamaah. Oleh itu, masyarakat Islam dianjurkan untuk tidak berselisih berkenaan perkara ini kerana ditakuti boleh menjadikan sesorang itu kafir. Wallahu A'lam Rujukan: [1] al-Taftazani, Mas’ud bin ‘Umar bin ‘Abd Allah, Sharh al-Maqasid, (Beirut: 'Alam al-Kutub, 1998), 5: 5. Teks asal: النبي إنسان بعثه الله لتبليغ ما أوحى اليه وكذا الرسول، وقد يخص بمن خص بشريعة وكتاب [2] Al-Jurjani, ‘Ali ibn Muhammad al-Sharif, Kitab al-Ta‘rifat, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1983), 254. Teks asal: والولي، هو العارف بالله وصفاته بحسب ما يمكن المواظب على الطاعات، المجتنب عن المعاصي، المعرض عن الانهماك في اللذات والشهوات [3] al-Tabari, Abu Jaafar Muhammad Ibn Jarir, Tafsiran al-Tabari Jami al-Bayan ‘an Tawil Ayat al-Quran. (Dar al-Hijrah, 2001), 9: 539-540. Teks asal: أَنَّ آيَاتِ الْأَنْبِيَاءِ وَالرُّسُلِ لَمْ يُعْطَهَا مِنَ الْبَشَرِ إِلَّا رَسُولٌ مُرْسَلٌ، وَلَيْسَ الْعَادِلُونَ بِرَبِّهِمُ الْأَوْثَانَ وَالْأَصْنَامَ مِنْهُمْ فَيُعْطَوْهَا. يَقُولُ جَلَّ ثَنَاؤُهُ: فَأَنَا أَعْلَمُ بِمَوَاضِعِ رِسَالَاتِي وَمَنْ هُوَ لَهَا أَهْلٌ، فَلَيْسَ لَكُمْ أَيُّهَا الْمُشْرِكُونَ أَنْ تَتَخَيَّرُوا ذَلِكَ عَلَيَّ أَنْتُمْ، لِأَنَّ تَخَيُّرَ الرَّسُولِ إِلَى الْمُرْسِلِ دُونَ الْمُرْسَلِ إِلَيْهِ، وَاللَّهُ أَعْلَمُ إِذَا أَرْسَلَ رِسَالَةً بِمَوْضِعِ رِسَالَاتِهِ [4] Muhammad Ibn Abd al-Hadi al-Tawwi al-Sindi, Hashiah al-Sindi ala Sunan Ibn Majah: Kifayah al-Hajah fi Sharh Sunan Ibn Majah, (Beirut: Dar al-Jil, t.t.), 2: 490. Teks asal: الْأَفْضَلُ فَالْأَفْضَلُ عَلَى تَرْتِيبِهِمْ فِي الْفَضْلِ فَكُلُّ مَنْ كَانَ أَفْضَلَ فَبَلَاؤُهُ أَشَدُّ [5] Badr al-Din Abu Muhammad Mahmoud Ibn Ahmad al-Ayni, Umdat al-Qariy Sharh Sahih al-Bukhari, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabiy, t.t.), 21: 212. Teks asal: إِذْ لَا شكّ أَن الْبعد بَين النَّبِي وَالْوَلِيّ أَكثر من الْبعد بَين ولي وَولي [6] Al-Tahawi, Abu Ja’afar al-Tahawi, Matan al-‘Aqidah al-Tahawiyyah: Bayan ‘Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. (Bayrut: Dar Ibn Hazm, 1995). [7] Al-Babarti, Muḥammad Ibn Muhammad, Sharh Aqidah Ahl al-Sunnah wa al- Jama'ah, (Kuwait: Wizarah al-Awqaf wa al-Shu'un al-Islamiyyah, 1989), 148. Teks asal: لا يبلغ ولى قط من درجة النبي لأن الولى تابع للنبى والتابع درجته دون درجة المتبوع ولأن كل نبي ولي وليس كل ولي نبيا ففي النبي اجتمعت النبوة والولاية [8] Al-Baghdadi, Abi Mansur ‘Abd al-Qahir bin Tahir, Usul al-Dīn (Istanbul: Matba’ah al-Dawlah, 1928), 298. Teks asal: أجمع أصحابنا مع أكثر الأمة على أن كل نبي أفضل من كل ولي ليس بنبي [9] Ibn Hazm, Muhammad Ali Ibn Ahmed Ibn Saed, al-Muhalla bi al-'Athar, (Beirut: Dar al-Fikr, t.t.), 1: 45. Teks asal: وَلَا خِلَافَ بَيْنَ مُسْلِمَيْنِ فِي أَنَّ الْأَنْبِيَاءَ - عَلَيْهِمْ السَّلَامُ - أَرْفَعُ قَدْرًا وَدَرَجَةً وَأَتَمُّ فَضِيلَةً عِنْدَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَأَعْلَى كَرَامَةً مِنْ كُلِّ مَنْ دُونَهُمْ، وَمَنْ خَالَفَ فِي هَذَا فَلَيْسَ مُسْلِمًا [10] Al-Qurtubi, Ahmad Ibn Umar Ibn Ibrahim, al-Mufhim li-ma Ashkal min Talkhis Kitab Muslim, (Damshik: Dar Ibn Kathir dan Dar al-Kalim al-Tayyib, 1996), 6: 217. Teks asal: لا إشكال أن النبي أفضل من الولي. وهذا أمرٌ مقطوع به عقلًا ونقلًا، والصائر إلى خلافه كافر، فإنَّه أمرٌ معلوم من الشرائع بالضرورة |
279 | Soalan: Assalamualaikum WBT. Sekiranya darah nifas keluar daripada seseorang wanita melebihi tempoh 60 hari, adakah ia dianggap sebagai istihadah? Ringkasan Jawapan: Sekiranya darah tersebut bersambung dan tidak berhenti walaupun sedetik, maka ia dihukumkan sebagai darah isitihadah iaitu hendaklah melihat kepada salah satu ciri-ciri istihadah. Sekiranya darah tersebut berhenti sekalipun sedetik maka darah selepasnya dihukumkan sebagai darah haid. Huraian Jawapan: Wa’alaikumussalam WBT. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. MAKSUD NIFAS Nifas ialah darah yang keluar setelah kosong kesemua rahim daripada kandungan sekalipun yang keluar itu dalam bentuk alaqah (segumpal darah) atau mudghah (segumpal daging), dan sebelum berlalu sekurang-sekurang suci (selepas kelahiran) iaitu selama 15 hari. Sekiranya seseorang melihat darah setelah kelahiran selepas selang masa 15 hari dan ke atas, maka hal yang demikian tidak dianggap sebagai nifas. (Rujuk: Hasyiyah Qalyubi, 1/112). Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Hajar al-Haitami: Nifas ialah darah yang keluar setelah kosong rahim daripada kandungan walaupun dalam bentuk mudghah (segumpal daging) atau alaqah (segumpal darah)dan ianya berlaku sebelum berlalu tempoh 15 hari (daripada kelahiran). (Rujuk: Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj, 1/383). TEMPOH NIFAS Ibn Hajar al-Haitami menyebut berkenaan tempoh nifas: Tidak ada had bagi tempoh minimum bagi nifas, iaitu tidak dapat diukur, ia dilihat sekadar apa yang telah didapati, sekalipun nifas itu sangat sedikit, tetapi kadar yang lebih sesuai bagi tempoh minimum ialah sedetik. Dan sebanyak-banyak nifas ialah 60 hari, dan kebiasaan tempoh nifas ialah 40 hari, iaitu ianya didapati melalui istiqra’ (kajian) sebagaimana yang telah disebutkan. (Rujuk: Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj, 1/413). Justeru, dapat kami ringkaskan tempoh nifas adalah seperti berikut: Tempoh Minimum: Sedetik Tempoh Maksimum: 60 hari Tempoh Kebiasaan: 40 hari Oleh yang demikian, jelas bahawa tempoh maksimum bagi seseorang wanita keluar darah nifas ialah sebanyak 60 hari. Sekiranya darah tersebut keluar melebihi tempoh 60 hari, maka hukumnya adalah seperti berikut: Sekiranya darah tersebut bersambung dan tidak berhenti walaupun sedetik, maka ia dihukumkan sebagai darah isitihadah iaitu hendaklah melihat kepada salah satu ciri-ciri istihadah. Sekiranya darah tersebut berhenti sekalipun sedetik maka darah selepasnya dihukumkan sebagai darah haid. (Rujuk: al-Ibanah wa al-Ifadhah, 36). Wallahu a’lam. |
281 | Soalan: Assalamualaikum. Benarkah terdapat jenis-jenis warna haiwan korban yang diutamakan berbanding warna lain ? Mohon pencerahan SS Mufti. Ringkasan Jawapan: Pemilihan warna haiwan korban disunatkan mengikut keutamaan seperti turutan berikut: Putih Kuning Kelabu Merah Belang putih dan hitam Hitam Huraian Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat. Kriteria pemilihan haiwan korban yang utama adalah dari sudut sempurna fizikalnya mahupun keutamaan warnanya. Terdapat beberapa riwayat berkaitan permilihan warna haiwan korban. Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata: قَالَ: «ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا» Maksudnya: “Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor jantan kibasy (kambing biri-biri) putih kehitaman lagi bertanduk, Baginda menyembelih keduanya dengan tangannya, lalu mengucapkan basmallah serta bertakbir, dan Baginda meletakkan kakinya di antara leher dan badan kedua haiwan tersebut " Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966) Maksud “أَمْلَحَيْنِ” daripada الْأَمْلَحُ (amlah) menurut Ibn al-‘Arabi ialah putih bersih sementara al-Asma’i menyatakan putih bertompok warna kehitaman. [1] Sebahagian pendapat ulama lain menyatakan warna putih lebih banyak daripada hitam dan atasnya warna merah. [2] Sementara Imam al-Munawi menyatakan الْأَمْلَحُ (amlah) ialah warna putih dan hitam yang mana putihnya lagi banyak atau disebut الأغبر (aghbar) atau warna hitam di celah bulunya dan warna putihnya bersih seperti garam atau atasnya warna kemerahan. Pemilihan sifat warna haiwan tersebut kerana elok penampilannya atau kerana banyak lemak dan dagingnya. Justeru itu, orang yang melaksanakan ibadah korban mestilah memilih jenis haiwan yang paling terbaik, sempurna fizikalnya dan paling gemuk. [3] Sementara Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyatakan pemilihan haiwan korban mengikut keutamaan warna : اسْتِحْبَابُ اسْتِحْسَانِ لَوْنِ الْأُضْحِيَّةِ وَقَدْ أَجْمَعُوا عَلَيْهِ قَالَ أَصْحَابُنَا أَفْضَلُهَا الْبَيْضَاءُ ثُمَّ الصَّفْرَاءُ ثُمَّ الْغَبْرَاءُ وَهِيَ الَّتِي لَا يَصْفُو بَيَاضُهَا ثُمَّ الْبَلْقَاءُ وَهِيَ الَّتِي بَعْضُهَا أَبْيَضُ وَبَعْضُهَا أَسْوَدُ ثم السوداء “Fuqaha mazhab Syafi’i menyatakan sunat memilih haiwan korban berdasarkan warna yang terbaik dan mereka bersepakat tentang perkara itu. Menurut ulama kami bahwa warna yang paling afdal haiwan sembelihan korban ialah putih, kemudian warna kuning, seterusnya warna kelabu iaitu tidak putih bersih, kemudian warna al-balqa’ iaitu sebahagian warna putih dan sebahagian warna hitam (belang) kemudian warna hitam.[4] Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : دَمُ عفراءَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ دَمِ سَوداوين". Maksudnya: “Darah binatang korban yang kulitnya berwarna kelabu lebih aku sukai berbanding dua ekor yang berwarna hitam” Riwayat Ahmad Warna الْعَفْرَاءُ ialah warna putih yang tidak terang, maka warna putih lebih afdal daripada warna lain. Selain warna putih juga masih sah dijadikan haiwan korban seperti yang dinyatakan dalam hadis Bukhari sembelihan haiwan kibasy yang berwarna amlah “أَمْلَح” / aghbarالأغبر (lebih banyak putih dari hitam). [5] Sementara itu, fuqaha al-Bujairimi menambah warna merah dalam sususan keutaman pemilihan warna haiwan korban: وَأَفْضَلُهَا الْبَيْضَاءُ ثُمَّ الصَّفْرَاءُ ثُمَّ الْعَفْرَاءُ ثُمَّ الْحَمْرَاءُ ثُمَّ الْبَلْقَاءُ ثُمَّ السَّوْدَاءُ “Mengutamakan haiwan korban berwarna putih, kemudian kuning, kelabu, merah, seterusnya warna belang putih hitam dan hitam.”[6] PENUTUP Berdasarkan perbahasan yang dikemukakan, warna yang paling afdal haiwan sembelihan korban ialah putih, kemudian warna kuning, seterusnya warna kelabu, merah kemudian warna belang putih hitam dan warna kehitaman. Rujukan : [1] Al-Nawawi, 1392, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Bayrut : Dar al-Ihya’ Turath al-Arabi. J: 13 P: 120 قال بن الْأَعْرَابِيِّ وَغَيْرُهُ الْأَمْلَحُ هُوَ الْأَبْيَضُ الْخَالِصُ الْبَيَاضِ وَقَالَ الْأَصْمَعِيُّ هُوَ الْأَبْيَضُ وَيَشُوبُهُ شَيْءٌ مِنَ السواد [2] Zakariya al-Ansari. tth. Asna al-Matalib fi Syarh Raud Thalib, Dar al-Kitab Islami , J:1 P: 534 وَقِيلَ: الَّذِي بَيَاضُهُ أَكْثَرُ مِنْ سَوَادِهِ وَقِيلَ: الَّذِي يَعْلُوهُ حُمْرَةٌ [3] Al-Munawi, 1356, Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ Shaghir, Mesir : Maktabah al-Tijari al -Kubra J : 5 P: 227 أملح بمهملة وهو الذي فيه سواد وبياض والبياض أكثر أو الأغبر أو الذي في خلل صوفه طاقات سوداء والأبيض الخالص كالملح أو الذي يعلوه حمرة وإنما اختار هذه الصفة لحسن منظره أو لشحمه وكثرة لحمه وقيه أن المضحي ينبغي أن يختار الأفضل نوعا والأكمل خلقا والأحسن سمنا [4] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, Dar al-Ihya al-Turath al-‘Arabiy, Beirut, jld. 13, hlmn. 120 [5] Ibn Kathir, t.t.h. Tafsir al-Quran al-‘Azim. Dar al-Taybah Li Nasyar wa Tauzi’ J :5 P: 421 قَالُوا: وَالْعَفْرَاءُ هِيَ الْبَيْضَاءُ بَيَاضًا لَيْسَ بِنَاصِعٍ، فَالْبَيْضَاءُ أَفْضَلُ مِنْ غَيْرِهَا، وَغَيْرُهَا يُجْزِئُ أَيْضًا؛ لِمَا ثَبَتَ فِي صَحِيحِ الْبُخَارِيِّ، عَنْ أَنَسٍ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَحَّى بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ (3) . [6] Al-Bujairimi, 1950. Hasiyah al-Bujairimi ‘ala Syarah Minhaj, J: 4 P: 297 |
282 | Soalan: Apakah terdapat hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan istighfar pada hari Jumaat? Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Di dalam kehidupan kita, kita perlulah banyak beristighfar kepada Allah SWT iaitu memohon ampun kepada-Nya di atas segala dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan. Ini kerana, Nabi SAW yang diketahui bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang tidak pernah meninggalkan istighfar ini. Di dalam sebuah hadith, diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307)] Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang biasa dijadikan dalil dalam menceritakan berkaitan kelebihan istighfar pada hari Jumaat iaitu: Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: مَنْ قال صَبيحَةَ يَوْمِ الجُمُعَةِ قَبْلَ صَلاةَ الغَدَاةِ: أسْتَغْفِرُ اللهَ الذِي لا إلهَ إلَّا هُوَ الحَيَ القَيومَ وأتُوبُ إلَيْهِ ثلَاثَ مَرَات، غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ Maksudnya: “Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi. Dengan mengatakan “Aku memohon ampun kepada Allah, Tiada Tuhan melainkan-Nya, yang Maha Hidup, Maha Kekal Mentadbir dan aku bertaubat kepada-Nya sebanyak tiga kali. Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.” [Riwayat Ibn al-Sunni (83)] Antara ulama yang menilai status hadith ini ialah Imam al-Hafiz Ibn Hajar. Beliau mengatakan bahawa hadith ini adalah gharib dan sanadnya terlalu dhaif. Selain itu, Imam al-Nawawi ada menukilkan hadith ini di dalam kitabnya al-Azkar dengan sighah tamridh yang menunjukkan bahawa hadith tersebut adalah dhaif. Di samping itu juga, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif. Walaupun hadith tersebut dinilai dhaif, tetapi terdapat banyak dalil yang bersifat umum menuntut untuk kita memperbanyakkan istighfar dalam setiap masa dan keadaan. Adapun berkaitan makna seperti buih-buih lautan adalah kinayah banyaknya dosa dan dosa-dosa yang diampunkan ini adalah dosa-dosa kecil yang berkaitan dengan hak-hak Allah SWT. [Lihat: al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 143/2] Imam al-Nawawi menyatakan disunatkan kepada kita untuk memperbanyakkan berzikir dan berselawat kepada Nabi SAW pada hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain. Selain itu, kita juga disunatkan untuk memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. [Lihat: al-Azkar, 85] Tambahan pula, istighfar mempunyai banyak kelebihan sebagaimana yang riwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda: مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. [Riwayat Abu Daud (1518)][Menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh: Sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama al-Hakam bin Mus’ab padanya jahalah (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi] Penutup Kesimpulannya, istighfar sangat penting kerana padanya terdapat banyak kelebihan. Selain itu juga, kita sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan perlulah melazimi istighfar di dalam kehidupan seharian kita. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa melazimi istighfar serta menggolongkan kita dalam kalangan penghuni syurga. Amin. Wallahua’lam |
284 | Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda SAW, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat. Muqaddimah Isu membincangkan hukum-hakam fiqh pada perkara yang belum berlaku merupakan satu perbahasan yang panjang dalam kalangan ulama, dan ia diistilahkan sebagai al-fiqh al-iftiradhiالافتراضي) (الفقه atau al-fiqh al-taqdiri (الفقه التقديري) . Ringkasnya, ia merupakan usaha para ulama untuk mengandaikan situasi, keadaan atau perkara yang mungkin akan berlaku, lalu menetapkan hukum baginya. Menurut Muhammad bin al-Hasan al-Hijawi, pengasas bagi manhaj fiqh iftiradhi ini ialah Imam Abu Hanifah al-Nu’man bin Tsabit. Beliau banyak memikirkan masalah-masalah taqdiriyyah dan menjangka terjadinya perkara-perkara tertentu serta hukum-hakamnya, sama ada melalui qiyas atau meletakkannya di bawah al-'umum. Dikatakan bahawa permasalahan taqdiriyyah atau iftiradhiyyah yang beliau susun mencapai bilangan 60 ribu, dan ada yang menyatakan sehingga 300 ribu permasalahan fiqh. Bahkan Imam Malik sendiri, meskipun diriwayatkan bahawa beliau tidak berfatwa melainkan pada perkara yang benar-benar telah berlaku, namun dalam al-Muwatto’ dan al-Mudawwanah jelas membuktikan beliau ada berfatwa pada perkara yang belum terjadi. (Rujuk al-Fikr al-Sami di Tarikh al-Fiqh al-Islami 1/419-420) Namun demikian, terdapat ayat-ayat al-Qur’an serta hadith-hadith yang pada zahirnya melarang fiqh iftiradhi ini. Allah SWT telah berfirman: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu. Surah al-Ma’idah (101) Selain itu, Nabi SAW juga pernah melarang dari banyak bertanya tentang perkara-perkara yang belum diturunkan hukumnya dalam sabda Baginda SAW: دَعُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ، إِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِسُؤَالِهِمْ وَاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ، فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَىْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ Maksudnya: “Cukuplah dengan apa yang telah aku tinggalkan kepada kalian. Sesungguhnya umat-umat sebelum kamu telah binasa kerana terlalu banyak soalan mereka dan perselisihan mereka dengan para Nabi mereka. Apabila aku larang suatu perkara, tinggalkanlah, dan apabila aku perintahkan suatu perkara, lakukanlah dengan semampu yang mungkin.” Sahih al-Bukhari (7288) Secara umumnya, ramai para ulama yang tidak suka kepada fiqh iftiradhi ini, dan Imam Ibn Abd al-Barr banyak menukilkan perkataan para salafussoleh yang menunjukkan keengganan mereka berbicara atau berijtihad pada perkara-perkara yang masih belum berlaku. Imam Ibn Syihab Al-Zuhri pernah ditanya oleh khalifah Abdul Malik bin Marwan mengenai sesuatu perkara. Lalu dia bertanya semula kepada khalifah sama ada telah terjadi sesuatu sehingga tertimbulnya soalan itu? Khalifah menjawab bahawa ia belum berlaku. Al-Zuhri pun berkata, “Biarkan wahai Khalifah. Jika ia benar berlaku kelak, Allah akan mendatangkan kemudahan untuk perkara itu.” Diriwayatkan pula bahawa Raqabah bin Masqalah pernah berkata: هو أجهل الناس بما كان وأعلمهم بما لم يكم Maksudnya: Beliau (Abu Hanifah) ialah seorang yang paling jahil tentang hukum-hakam yang telah berlaku, dan paling mengetahui hukum pada perkara yang belum berlaku. (Rujuk Jami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi 2/145) Kata-kata ini merupakan satu kritikan yang berbentuk mubalaghah (berlebih-lebihan) ke atas Imam Abu Hanifah daripada seorang ulama yang tidak gemar kepada manhaj beliau yang banyak berijtihad pada perkara yang belum berlaku. Kata Masruq: Aku pernah bertanya Ubay bin Ka’ab R.A tentang suatu masalah, lalu dia bertanya sama ada dia telah berlaku, dan aku menyatakan tidak, lalu dia meminta aku datang kembali hanya setelah ia benar-benar berlaku. (Rujuk Jami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi 2/1065) Keharusan dan kepentingan fiqh iftiradhi Menurut Imam Ibn al-‘Arabi, larangan Nabi SAW terhadap para sahabat R.’Anhum daripada bertanya tentang perkara yang belum berlaku ialah kerana Baginda bimbang akan turunnya berkenaan perkara yang ditanya, lalu menyusahkan umat Baginda sendiri. Adapun setelah berakhirnya zaman kewahyuan, maka larangan tersebut tidak lagi terpakai. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 13/263) Menurut Imam al-Khatib al-Baghdadi juga, Rasulullah SAW sendiri telah diminta fatwa dan diajukan soalan berkenaan perkara yang belum berlaku, namun Baginda tidak mengingkarinya, bahkan menjawabnya tanpa Baginda mempersoalkan si penanya mengapa dia bertanya soalan yang demikian. (Rujuk al-Faqih wa al-Mutafaqqih 2/19) Misalnya, Rafi` bin Khadij R.A pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang apa yang perlu dilakukan jika berlakunya suatu peperangan yang menyebabkan tiada pisau untuk menyembelih binatang: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا لاَقُو الْعَدُوِّ غَدًا وَلَيْسَتْ مَعَنَا مُدًى قَالَ صلى الله عليه وسلم " أَعْجِلْ أَوْ أَرْنِي مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ فَكُلْ لَيْسَ السِّنَّ وَالظُّفُرَ Maksudnya: Wahai Rasulullah, jika tiba suatu peperangan dan kami tidak mempunyai pisau untuk menyembelih, bagaimana? Rasulullah SAW lalu menjawab: “Apa sahaja yang dapat mengalirkan darah dan disebut nama Allah dengannya selain menggunakan gigi dan kuku, maka makanlah kamu dari sembelihan tersebut.” Sahih Muslim (1968) ‘Alqamah bin Wa’il R.A meriwayatkan bahawa Salamah bin Yazid al-Ju’fi R.A bertanya kepada Rasululllah SAW: يَا نَبِيَّ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ قَامَتْ عَلَيْنَا أُمَرَاءُ يَسْأَلُونَا حَقَّهُمْ وَيَمْنَعُونَا حَقَّنَا فَمَا تَأْمُرُنَا فَأَعْرَضَ عَنْهُ ثُمَّ سَأَلَهُ فَأَعْرَضَ عَنْهُ ثُمَّ سَأَلَهُ فِي الثَّانِيَةِ أَوْ فِي الثَّالِثَةِ فَجَذَبَهُ الأَشْعَثُ بْنُ قَيْسٍ وَقَالَ " اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا فَإِنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوا وَعَلَيْكُمْ مَا حُمِّلْتُمْ " Maksudnya: Wahai Nabi Allah, apa pandanganmu jika kami berada di bawah pemerintah yang meminta kami melaksanakan tanggungjawab kami kepada mereka, namun mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka kepada kami? Apa yang kau perintahkan untuk kami lakukan? Rasulullah SAW mengelak daripada memberikan jawapan, dan Salamah bertanya untuk kali kedua dan ketiga; tatkala Asy’ats bin Qays R.A menyedari Nabi tidak selesa didesak sedemikian, Asy’ath menarik Salamah ke tepi dan berkata: Dengar dan patuhlah kepada mereka, sesungguhnya mereka dan kalian akan dibalas dengan apa yang Sahih Muslim (1846) Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah pernah bertanya kepada Qatadah tentang hukum seorang lelaki yang meninggalkan keluarganya selama beberapa tahun, dan isterinya menyangka suaminya telah meninggal dunia lalu berkahwin dengan lelaki lain. Kemudian suami pertamanya datang kembali, bagaimana status perkahwinannya? Qatadah tidak menyukai pertanyaan sebegini kerana ia sekadar andaian yang belum berlaku, lalu Imam Abu Hanifah menjawab: Persoalan sebegini adalah untuk kita bersedia dengan sebarang isu dan masalah sebelum ia berlaku, agar kita mampu mencari solusi baginya. (Rujuk Tarikh Baghdad 13/348) Menurut Imam al-Sarakhsi al-Hanafi, antara kepentingan fiqh iftiradhi ini adalah supaya kita bersedia dengan sebarang kemungkinan sebelum ia berlaku. (Rujuk al-Mabsuth, 1/242) Menurut Imam al-Bayhaqi, Imam Abu Abdilllah al-Hulaimi membenarkan isu fiqh iftiradhi ditanya oleh para penuntut ilmu fiqh dan dijawab oleh guru yang ‘alim untuk memberi panduan kepada mereka cara untuk beristidlal dan berijtihad. (Rujuk Al-Madkhal ila al-Sunan al-Kubra, hlm. 227) Imam Ibn Nujaim al-Hanafi pula meriwayatkan kisah bahawa suatu hari Qadhi Abu Yusuf ingin membuka kelas pengajian dan mengajar masyarakat, sedangkan beliau masih belum diberi kebenaran oleh gurunya Imam Abu hanifah untuk berbuat demikian. Maka Imam Abu Hanifah telah menghantar seorang lelaki untuk bertanya lima permasalahan iftiradhiyyah kepadanya, dan Abu Yusuf tidak mampu menjawabnya dengan baik. Maka sedarlah Abu Yusuf bahawa beliau masih banyak kekurangan dari sudut keilmuan dan kefaqihan, lalu kembali belajar dengan gurunya. (Rujuk Al-Asybah wa al-Nazha’ir li Ibn Nujaim al-Hanafi, hlm. 364-365) Menurut Imam Ibn Qayyim, jika suatu permasalahan iftiradhi itu tidak mempunyai dalil atau nukilan pandangan ulama terdahulu, dan ia berkemungkinan akan berlaku, dan niat orang yang bertanya adalah untuk bersedia sekiranya ia berlaku, maka disunatkan bagi seorang ‘alim untuk menjawab persoalan itu, bahkan ia boleh menjadi wajib mengikut keadaan tertentu. (Rujuk I’lam al-Muwaqqi’in 4/193) Selain itu, Imam al-Syawkani pula, salah satu keadaan yang disunatkan untuk para ulama berijtihad dan berfatwa ialah pada perkara atau persoalan yang belum berlaku. (Rujuk Irsyad al-Fuhul 2/211) Amalan fiqh iftiradhi juga disokong oleh Al-‘Allamah Muhammad Abu Zahrah yang menyatakan bahawa ia merupakan satu syarat untuk membolehkan ilmu fiqh berkembang, dan ia merupakan satu kemestian kepada setiap pelajar ilmu ini. (Rujuk Abu Hanifah: Hayatuhu wa ‘Asruhu, hlm. 204) Larangan mengandaikan hukum pada perkara yang mustahil berlaku Namun demikian, para ulama yang membenarkan fiqh iftiradhi mensyaratkan agar ia mestilah ada kemungkinan atau kebarangkalian, dan tidak mustahil untuk berlaku. Kerana itu menurut Imam al-Maziri al-Maliki, bukanlah sifat seorang faqih itu untuk menjangka dan memikirkan hukum pada perkara yang menyanggahi adat. (Rujuk Al-Fikr al-Sami, hlm. 353) Oleh kerana itu juga, para ulama telah mengkritik ijtihad sebahagian ulama mazhab Hanafi yang mengandaikan permasalahan yang hampir mustahil untuk berlaku, antaranya ialah pengiraan fara’idh bagi seorang lelaki yang mati dan meninggalkan seratus orang nenek, atau jika tentera kuffar menjadikan seorang Nabi sebagai benteng pertahanan diri ketika peperangan, adakah boleh tentera Islam menyerang? (Rujuk Hasyiyah Ibn ‘Abidin 4/129 dan Hasyiyah al-Tohtowi ‘ala al-Durr al-Mukhtar 1/60) Begitu juga dengan persoalan jika seorang khunsa menyetubuhi diri sendiri dan melahirkan anak, adakah anak itu akan mewarisi fara’idh daripadanya dengan bahagian seorang ibu atau bahagian bapa? Jika dia mengandungkan sepasang kembar, dengan salah seorang bayi dikandungkan di dalam rahim dan seorang lagi pula dikandung pada bahagian belakang, kedua-duanya tidak boleh mewarisi harta pusakanya. Para ulama menegaskan bahawa adalah lebih baik untuk seorang faqih dan penuntut ilmu untuk menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang wajib, mempelajari penyakit-penyakit hati serta penawarnya serta mendalami ma’na-ma’na al-Qur’an dan al-Hadith. (Rujuk Sahih Muslim bi Syarh al-Abi wa al-Sanusi 1/336-337) Begitu juga dengan andaian seperti seorang wanita yang memasuki tandas dan duduk di atas tempat yang mengandungi sisa air mani lelaki. Tanpa disedari, air mani itu termasuk ke dalam rahimnya sehingga membuatkannya mengandung. Adakah anak itu boleh dinisbahkan kepada dia dan suaminya yang sah jika dia telah bernikah? Adakah dia perlu mandi junub? Isu seperti ini teramat jauh daripada kemungkinan untuk berlaku, maka pembicaraan mengenainya adalah tiada faedah yang nyata untuk diri seorang faqih dan untuk masyarakat amnya. Contoh Fiqh Iftiradhi Di sana terdapat beberapa contoh ijtihad fiqh iftiradhi yang pada waktu ia diijtihadkan kedengaran agak pelik, namun pada zaman kini ia terbukti berlaku. Contohnya Imam Ibn Abidin pernah menyebut bahawa jika seseorang itu solat dalam keadaan menanggung bekas yang mengandungi air kencing, maka solatnya tidak sah. (Rujuk Hasyiyah Ibn Abidin 1/403) Hal tersebut kedengaran janggal pada zaman tersebut, namun pada zaman ini ia terbukti relevan bagi kes-kes pesakit yang memakai beg air kencing. Begitu juga dengan nukilan daripada Imam al-Syatibi yang menyatakan bahawa mereka yang menuju ke Mekah untuk menunaikan haji secara ‘terbang di langit’ atau ‘berjalan di atas air’ tidak dianggap sebagai perbuatan bidaah, kerana ia hanya merupakan wasilah untuk melaksanakan satu kefardhuan. (Rujuk Al-I’tisom 1/253) ‘Berjalan di atas air’ sudah berlaku pada zaman tersebut melalui kapal, namun terbang di langit hanya berlaku pada zaman sekarang melalui kapa terbang dan helikopter. Imam al-Hattob al-Maliki pula dalam syarah beliau terhadap Mukhtasar Khalil mengandaikan satu masalah fiqh: Jika seorang wali Allah terbang ke langit sejam sebelum terbitnya fajar, dan ketika di langit dia melihat fajar atau matahari itu sendiri; dalam keadaan ini haram untuknya solat Subuh, kerana fajar yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai sebab kepada wajibnya solat Subuh ialah fajar yang kita lihat ketika di bumi. (Rujuk Mawahib al-Jalil 1/382) Atas dasar inilah para ulama pada zaman sekarang berhukum pada isu solat di atas kapal terbang mestilah mengikut masuknya waktu solat berdasarkan waktu di bumi, bukannya semata-mata melihat fajar ketika di atas kapal terbang. Cabaran perubahan pada masa hadapan Satu realiti yang perlu kita terima, kemajuan teknologi manusia semakin hari semakin berkembang pesat. Perkara yang suatu ketika dahulu kedengaran mustahil untuk dicapai, pada hari ini ia ada peluang untuk digapai. Zaman ini diistilahkan oleh ramai pihak sebagai zaman Revolusi Perindustrian 4.0 (Industrial Revolution atau IR 4.0), yang menyaksikan kemajuan kecerdasan buatan (artificial intelligence atau AI), industri robotik dan kejuruteraan genetik (genetic engineering) mula diaplikasikan dalam segenap bidang kehidupan manusia. Pada Oktober 2019, Jabatan Hal Ehwal Islam di Dubai, UAE telah melancarkan laman web dan aplikasi ‘Virtual Fatwa’ yang dikuasakan oleh AI, yang membenarkan pengguna meminta fatwa dan hukum dalam pelbagai bidang.[1] Ini sebenarnya menimbulkan persoalan dari sudut etika fatwa itu sendiri, kerana antara tatacara meminta fatwa adalah ia mesti daripada seorang mufti yang faqih dan ‘adil, serta mufti juga mesti mengetahui latar belakang permasalahan yang ditanya, selain mengetahui kadar pemikiran orang yang meminta fatwa. Maka apakah ‘virtual mufti’ menepati syarat ini? Pada zaman sekarang juga sudah bermula ekspedisi dan penerokaan manusia ke angkasa lepas. Sebelum ini kita pernah menghantar angkawasawan pertama negara, Sheikh Muszaphar Shukor ke International Space Station (ISS), dan panduan fiqh yang lengkap telah disediakan untuk membolehkan beliau beribadat dengan sebaiknya ketika di ISS dan di dalam roket. Pada masa akan datang, tidak mustahil akan ada ekspedisi manusia ke planet Marikh seperti yang dirancang oleh Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), dan tidak mustahil akan ada warga Muslim yang turut menyertainya. Maka pada waktu itu, kita perlukan formulasi baharu fiqh, antaranya berkaitan kiblat solat, waktu solat, tempoh berpuasa dan sebagainya. Perkara-perkara di atas merupakan sebahagian kecil daripada cabaran zaman moden yang mesti dihadapi oleh institusi kefatwaan serta semua pihak yang berkecimpung dalam bidang fiqh ini. Sebagaimana yang ditegaskan oleh sekian ramai para ulama, fiqh dan fatwa mesti sentiasa mampu menyelesaikan permasalahan umat manusia, dan tidak kaku serta terhad kepada fiqh di dalam kitab, tanpa mengambil kira fiqh realiti yang pantas berubah. Kesimpulan Tuntasnya, kami nyatakan bahawa manhaj fiqh iftiradhi ini diterima oleh para ulama, dengan syarat ia melibatkan hukum pada perkara-perkara yang ada kebarangkalian untuk berlaku dan tidak mustahil untuk terjadi dari segi akal dan adat manusia. Larangan-larangan dalam hadith serta sikap negatif sebahagian ulama terhadap fiqh iftiradhi ialah pada hukum hakam yang mustahil berlaku, serta perbincangan tentangnya tidak memberi manfaat yang nyata. Banyak ijtihad para ulama terdahulu yang sukar diterima akal untuk berlaku pada zaman tersebut, namun ia terbukti benar-benar berlaku pada zaman sekarang. Hal ini menunjukkan betapa relevannya fiqh iftiradhi ini dalam menyelesaikan permasalahan dalam kalangan masyarakat. Fiqh iftiradhi juga sebenarnya membuka ruang untuk perkembangan dan kemajuan ilmu fiqh dan fatwa itu sendiri, yang membenarkan para ulama berijtihad dan memberikan solusi terhadap perkara-perkara yang bakal berlaku dalam masyarakat, seiring dengan peredaran zaman dan kemajuan sains dan teknologi. Wallahu a’lam. Nota kaki: [1] Rujuk pautan: https://www.alaraby.co.uk/english/news/2019/10/31/dubai-launches-first-ever-artificial-intelligence-powered-fatwa-service |
286 | Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. Mukadimah Imam al-Syatibi telah menggariskan salah satu tujuan syarak yang penting, iaitu al-Qasdu fi Dukhul al-Mukallaf tahta as-Syari’ah yang menetapkan kewajipan untuk manusia berada di bawah petunjuk Syariah dan tertakluk kepada segala peraturan dan hukum-hakamnya, serta kewajipan mereka untuk terus mengamalkan syariah ini, selain penetapan bahawa Syariah ini terpakai dan tertakluk kepada seluruh lapisan manusia, dan sesungguhnya penetapan kemaslahatan manusia itu adalah milik Allah SWT sebagai syari’, bukannya milik kehendak dan hawa nafsu manusia itu sendiri. Sementara al-Qasdu al-Ibtida’ie telah meletakkan Syari’ah sebagai satu cara hidup/undang-undang/peraturan yang meliputi kebahagiaan di dunia dan di akhirat, tujuan syara’ ini pula menetapkan bahawa manusia seluruhnya perlu tunduk dan patuh kepada Syari’ah, bukannya patuh kepada hawa nafsunya. Dengan kata lain Maqasid membebaskan manusia daripada hawa nafsu ini merupakan pelengkap kepada Maqasid ibtida’ie, iaitu mengurniakan maslahah untuk menusia. Ini kerana maslahah manusia itu, meskipun mampu dicapai dengan cara menuruti hawa nafsu mereka, hanya akan sempurna dan lengkap sifatnya melalui hukum-hakam syara’. Dan kesempurnaan maslahah ini tidak dapat direalisasikan kecuali dengan cara membebaskan manusia daripada belitan hawa nafsu, dan maslahah haqiqi itu hanyalah apa yang menepati kehendak syara’. (Rujuk Nazhariyyah al-Maqasid ‘inda al-Imam al-Syatibi hlm. 157) Tujuan syara’ dalam membebaskan manusia daripada belitan nafsu Al-Imam al-Syatibi telah menyebut pada permulaan bab ini: المقصد الشرعي من وضع الشريعة إخراج المكلف عن داعية هواه حتى يكون عبد الله اختيارا، كما هو عبد الله اضطرارا Maksudnya: (Salah satu) tujuan Syariah adalah untuk membebaskan manusia (mukallaf) daripada dorongan hawa nafsunya, supaya mereka menjadi hamba kepada Allah SWT secara sukarela dan melalui pilihan mereka sendiri, sebagaimana mereka menjadi hamba Allah SWT secara paksa. (Rujuk al-Muwafaqat, 2/289) Al-Imam al-Syatibi sepertimana kebiasaannya dalam kitab ini, akan mempersembahkan sejumlah dalil dari al-Qur’an dan as-Sunnah untuk mengabsahkan hujahannya, dan sebagai mempraktikkan prinsip beliau bahawa Maqasid Syariah itu adalah terbina pada kaedah al-istiqra’ (induktif), iaitu satu proses menggabungkan sejumlah dalil yang relevan, yang mengandungi aspek dan tujuan yang berbeza- baik sifatnya zhahir, mutlaq, muqayyad, kulliyah, atau juz’iyyah dalam berbagai variasi dalam setiap bab hukum fiqh. Selain itu, menurut beliau, harus dipertimbangkan juga qara’in al-ahwal (indikasi-indikasi keadaan), baik yang dinaskan (manqulah) mahupun yang tidak dinaskan (ghairu manqulah). Hanya dengan cara ini sahaja, menurut al-Imam al-Syatibi, satu kesimpulan hukum yang qath’ie (yakin dan pasti) dapat ditahqiqkan. (Rujuk al-Muwafaqat 1/18-19) Dalil-dalil yang didatangkan oleh al-Imam al-Syatibi terbahagi kepada 3 bahagian: Pertama, banyak nas-nas yang soreh menunjukkan bahawa sesungguhnya manusia itu diciptakan untuk mengabdikan diri mereka kepada Allah SWT: وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak meciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. Surah al-Zariyat (56) يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Sembahlah Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang sebelum daripada kamu; mudah-mudahan kamu menjadi (orang-orang yang) bertaqwa. Surah al-Baqarah (21) وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا Maksudnya: Dan sembahlah Allah SWT, dan jangan lah mempersekutukan-Nya walau dengan apa pun. Surah al-Nisaa’ (36) Kedua, beliau juga mendatangkan dalil-dalil yang melarang kita daripada mengingkari perintah Allah SWT, beserta ancaman ‘azab di dunia dan di akhirat bagi mereka yang berpaling daripada Allah SWT. Allah SWT juga telah menjadikan menuruti hawa nafsu sebagai bercanggah dengan kebenaran. Antara dalil yang dikemukakan ialah: يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ Maksudnya: Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurtu hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azah yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu. Surah Saad (26) وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى (40) فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى Maksudnya: Adapun orang yang takutkan keadaannya semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya. Surah al-Nazi’aat (40-41) وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى Maksudnya: Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Qur’an atau Hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. Surah al-Najm (3-4) أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ Maksudnya: Maka apakah pandangan kamu terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, dan ia pula disesatkan oleh Allah SWT kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar) Surah al-Jatsiyah (23) وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ Maksudnya: Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. Surah al-Mu’minun (71) Beliau juga menyebutkan satu atsar sahabat yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya: ما ذكر الله الهوى في كتابه إلا ذمه Maksudnya: Allah SWT tidak menyebut berkenaan hawa nafsu di dalam Kitab-Nya, melainkan Dia akan turut menyatakan kecelaan hawa nafsu itu. (Rujuk Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatul Musytaqqin 1/469 oleh Ibn al-Qayyim dan Zamm al-Hawa hlm. 12 oleh Ibn al-Jauzi) Dalil ketiga pula tulis al-Imam, bahawa telah terbuki dari segi ‘adat dan pengalaman manusiawi, bahawa maslahah duniawi dan ukhrawi tidak akan tercapai jika sentiasa mengikut dorongan hawa nafsu dan menuruti kehendak serta keinginan. (Rujuk Al-Muwafaqat, 2/292) Kerana itulah, adalah salah jika seseorang itu berpandangan bahawa Syariah itu terbentuk dan disusun berdasarkan kepada kehendak manusia dan keinginan mereka. Syariah mahukan maslahah kepada manusia, dan menjauhkan mafsadah daripada mereka, kerana itu sememangnya kehendak asal syara’, bukan kerana Syariah ‘menuruti’ kehendak manusia. Al-Imam menambah, Syari’ah dan hawa nafsu adalah saling bertentangan antara satu sama lain, dan menurut hawa nafsu bererti menyanggahi kebenaran (al-haqq). Maka jelas, menurut beliau, dalil-dalil ini menunjukkan bahawa Qasdu al-Syari’ itu menginginkan supaya manusia menjauhi diri mereka daripada menuruti dorongan hawa nafsu, dan al-Imam menyimpulkannya dengan berkata: أن قصد الشارع الخروج عن اتباع الهوى، والدخول تحت التعبد للمولى Maksudnya: Adalah menjadi tuntutan syara’ supaya keluar daripada kongkongan hawa nafsu, dan masuk ke dalam lingkungan pengabdian diri kepada Tuhan. (Rujuk Al-Muwafaqat, 2/290-294) Maqasid Syariah Atau Maqasid Nafsu Pada zaman di mana ‘ilmu Maqasid ini mula diperkatakan oleh ramai orang, salah faham dan kesilapan tidak dapat tidak akan timbul. Timbul satu kebimbangan- bahkan ia telahpun berlaku- bahawa ada yang menggunakan hujah Maqasid Syariah sebagai justifikasi untuk mengabaikan dan meremehkan peranan nas syara. Golongan ini digelar oleh Dr. Yusof al-Qaradhawi dalam kitab beliau Dirasah fi Fiqh Maqasid as-Syari’ah sebagai ‘al-Mu’atthilah li an-Nusus bi ismi al-Maslahah wal Maqasid’, iaitu mereka yang mengabaikan nas syara’ atas nama maslahah dan Maqasid. Mereka ini kata Dr. Qaradhawi, jahil mengenai syari’at, tidak mempelajari Maqasid Syari’ah menurut disiplin yang teratur, kemudian bercakap mengenai Maqasid tanpa ‘ilmu, selain terpengaruh dengan proses pembaratan dan moderniti. (Rujuk Dirasah fi Fiqh Maqasid as-Syari’ah: Bainal Maqasid al-Kulliyyah wa an-Nusus al-Juz’iyyah, hlm. 83-95) Golongan ini hanya bercakap mengenai Maqasid dari sudut al-Qasdu al-Ibtida’ie, iaitu tujuan Syari’at untuk memberi kemaslahatan kepada manusia, namun pada masa sama mengabaikan sudut-sudut Maqasid yang lain. Sebagai contoh, salah satu tujuan syari’at yang telah dibincangkan di atas, iaitu al-Qasdu li at-Taklif, dimana Syari’at menginginkan supaya manusia itu tunduk, patuh dan tertakluk kepada tuntutan syara’; namun kita lihat ramai yang menyeru kearah perkara yang bercanggah dengan syari’at menggunakan hujah Maqasid Syariah! Ini suatu perkara yang sangat ajaib. Antara hak asasi dan hawa nafsu Hal yang sama telah juga dibangkitkan oleh Dr. Ahmad ar-Raysouni ketika beliau memberi komentar tentang isu hak asasi manusia, di mana sebahagian para pejuang hak asasi manusia moden kelihatannya mengabaikan satu sisi manusiawi yang amat penting, iaitu sisi spiritual dan dimensi keagamaan. Perjuangan mereka menampakkan seolah-olah hak asasi manusia ini hanyalah sekadar satu set kehendak-kehendak manusia, aspirasi material, keperluan lahiriah serta hak-hak mereka dari sudut politik dan perundangan.” (Rujuk Huquq al-Insan Mihwar Maqasid al-Syari’ah, hlm. 45 ) Hal ini contohnya jelas dapat dilihat pada sebahagian pejuang hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Queers (LGBTQ) serta kalangan yang menentang operasi mencegah khalwat dan zina yang dilakukan pihak berkuasa agama secara pukal. Mereka telah terkeliru antara memperjuangkan hak asasi manusia dan menuruti dorongan nafsu syahwat, dimana mereka percaya mereka mempunyai hak untuk menuruti dorongan nafsu songsang mereka, dan berhak untuk meneruskan budaya seks bebas tanpa kawalan, hanya kerana mereka mahukannya. ‘I want to do it, therefore it is my right to do it, and no one can stop me from doing it’ menjadi pegangan dan landasan hak asasi mereka. Konsep mereka mengenai hak sangat kabur. Hak, yang berasal daripada kalimah ‘Arab haqq, bermaksud kebenaran, atau perkara yang betul dan benar. Bahkan maksudnya dalam bahasa Inggeris, right juga membawa maksud yang sama. Maka dari sudut bahasanya pun kita sudah mampu menyingkap konsep asas hak asasi manusia, iaitu melakukan perkara yang benar, dan bertepatan dengan nilai-nilai manusiawi, bukan melakukan perkara yang dimahukan oleh nafsu. Petikan mengenai pejuang hak asasi manusia di atas juga boleh dikaitkan dengan tulisan beliau dalam buku yang lain, tatkala beliau memperkatakan tentang pembebasan manusia daripada mempertuhankan hawa nafsu dalam makalah beliau Maqalatun fil Hurriyyah, dimana beliau menegaskan bahawa menuruti hawa nafsu adalah satu perhambaan, bukan kebebasan/pembebasan (itba’ al-hawa ‘ubudiyyah la hurriyyah). Kenyataan ini berkemungkinan besar juga ditujukan kepada kelompok pejuang kebebasan dan hak asasi manusia ini yang tidak mempunyai asas perjuangan yang jelas; yang hanya memperjuangkan sisi-sisi keperluan material tanpa menumpukan kepada dimensi spiritual yang sebenarnya lebih penting. Beliau juga menambah bahawa sesungguhnya Syari’ah cuba memandu manusia ke arah kebaikan dan manfaat mereka, meskipun ia bertentangan dengan kehendak mereka; Syari’ah juga menghalang sebarang keburukan daripada menimpa mereka, sekalipun mereka sendiri berkehendak kepada keburukan itu. (Rujuk Maqalat fi al-Hurriyyah hlm. 15-16 ) Kita harus renungi kembali pesanan Nabi Muhammad SAW dimana Baginda telah bersabda dalam satu hadith yang masyhur: حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ Maksudnya: Syurga itu dipenuhi dengan perkara-perkara yang dibenci, manakala neraka pula dipenuhi dengan perkara-perkara yang selari dengan dorongan syahwat. Sunan al-Tirmizi (2560) Kesimpulan Tuntasnya, kita tidak harus terkeliru antara prinsip-prinsip Maqasid Syari’ah dan seruan-seruan ke arah hawa nafsu yang bertopengkan Maqasid. Kita juga perlu menjauhi daripada mengambil ‘ilmu Maqasid ini secara separuh-separuh, hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Wallahu’alam. |
288 | Soalan : Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu persoalan. Semasa menunaikan umrah dahulu, saya ada pergi ke tempat saie untuk melihat keadaan di sana. Ada bau yang harum di sana. Saya menyedut bau tersebut. Dalam hati saya berkata, “Oh begini baunya di tempat saie”. Kemudian, baru saya teringat yang saya masih di dalam ihram. Mohon pencerahan Datuk Mufti. Jawapan : Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. Mukadimah Antara perkara yang diharamkan ke atas orang yang sedang berihram ialah memakai wangi-wangian. Perkara ini adalah berdasarkan jawapan Baginda SAW ketika menjawab mengenai pakaian yang perlu dipakai oleh orang yang sedang berihram, sabdanya SAW : وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ Maksudnya : “Janganlah kamu memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).” Riwayat al-Bukhari (1542) Memakai wangi-wangian Maksud wangian tersebut ialah setiap apa yang dianggap sebagai wangi-wangian menurut adat setempat yang mana penggunaannya adalah untuk wangi-wangian semata-mata. Maka, diharamkan ke atas orang yang berihram untuk menggunakannya, walau bagaimana cara sekalipun. Berbeza sekiranya, penggunaan bahan tersebut bukan bertujuan untuk berwangi-wangian semata-mata (dinikmati baunya) tetapi tujuannyanya adalah untuk perubatan atau merawat atau dimakan sekalipun baunya wangi, maka tidak haram ke atasnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 504 dan Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 2/168) Sesiapa yang melanggar pantang larang ini semasa sedang berihram dengan memakai wangi-wangian, wajib ke atasnya membayar dam. Bagi kesalahan ini, dia diberi pilihan antara : Menyembelih seekor kambing atau, Memberi makanan 3 gantang kepada 6 orang miskin dengan tiap-tiap seorang ½ gantang atau, Berpuasa 3 hari. (Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/325) Akan tetapi, sekiranya seseorang itu memakai wangi-wangian kerana tidak sengaja (terlupa) atau tidak mengetahui haramnya (jahil) pelakunya dimaafkan dan tidak perlu membayar fidyah (dam). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502 dan Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/308) Namun, dia hendaklah segera menanggalkan atau menghilangkannya saat dia sedar atau tahu akan perkara tersebut. Menghidu bau wangi ketika dalam ihram Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa penggunaan wangi-wangian ialah dengan melekatkan bau wangian tersebut pada badan atau pada apa yang dipakainya (pakaian) mengikut cara biasa wangian tersebut dipakai. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/322) Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan di dalam kitabnya bahawa penggunaan wangi-wangian boleh berlaku dalam empat keadaan : Dengan membakarnya, supaya asapnya dapat digunakan untuk mewangikan seperti menggunakan kayu Oud. Haram bagi seorang yang sedang berihram untuk mengenakan asap tersebut kepada badannya atau pakaiannya. Dengan menghilangkan ‘ainnya (kerana meresap) seperti air mawar dan cologne. Dengan menikmati baunya (melalui hidung) seperti bunga mawar dan bau-bauan yang lain. Dengan membawanya seperti kasturi dan seumpamanya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 504) Namun, Dr. Muhammad al-Zuhaili mengatakan bahawa jika seseorang yang sedang berihram duduk di dalam satu tempat yang berbau harum (wangi) seperti di kedai minyak wangi atau di sisi Kaabah yang sedang diasapkan (dengan Oud) atau di dalam rumah yang mana ahlinya sedang membakar Oud (mengasapkannya), dia tidak perlu membayar fidyah (dam). Akan tetapi, sekiranya dia berniat (bertujuan) untuk menghidu baunya (wangian tersebut), hukumnya adalah makruh dan sekiranya dia tidak berniat demikian, hukumnya adalah tidak makruh. Begitu juga, tidak dikira termasuk dalam hukum wangi-wangian, menghidu bunga mawar atau menghidu air mawar di dalam bekas sebagaimana riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma : يشم المحرم الريحان، ويتداوى بالزيت أو السمن Maksudnya : “Seorang yang sedang berihram menghidu wangi-wangian dan berubat dengan minyak atau lemak.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/322-323) Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami cenderung kepada pendapat bahawa mengidu bau wangi-wangian secara tidak sengaja, hukumnya adalah tidak mengapa dan tidak makruh. Namun, sekiranya dia sengaja melalui kawasan saie untuk menghidu bau wangi-wangian di situ, hukumnya adalah makruh dan tidak perlu membayar dam. Kesimpulannnya Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menghidup bau wangi-wangian secara tidak sengaja di kawasan saie ketika masih dalam ihram, hukumnya adalah tidak makruh serta tidak dikenakan dam. Lebih-lebih lagi, memakai wangi-wangian termasuk dalam perkara yang dimaafkan ke atas pelakunya sekiranya terlupa atau jahil (tidak tahu). Namun, sekiranya seseorang itu sengaja melalui kawasan saie bagi menghidu bau wangi tersebut, hukumnya adalah makruh. Akan tetapi, kami ingin menasihati, adalah lebih baik sekiranya dapat dielakkkan bagi seseorang yang sedang berihram daripada melalui kawasan-kawasan yang berbau wangi, dengan tujuan menghidu bau wangi-wangian di kawasan tersebut kerana meninggalkan perkara-perkara yang khilaf termasuk dalam apa yang disebutkan sebagai : الْخُرُوجُ مِنَ الْخِلاَفِ مُسْتَحَبٌّ Maksudnya : “Keluar dari perkara-perkara khilaf adalah sunat (digalakkan).” Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen. |
291 | PENDAHULUAN Bidang kepimpinan merupakan satu bidang yang amat dititikberatkan dalam Islam. Menurut al-Quran, kepimpinan dan Islam tidak dapat dipisahkan, memandangkan tujuan penciptaan manusia sendiri ialah untuk menjadi khalifah yang akan memakmurkan bumi. Firman Allah SWT: وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". (Surah al-Baqarah :30) Peri-pentingnya bidang kepimpinan ini ditegaskan beberapa kali oleh al-Qur’an al-Karim dan Rasulullah s.a.w, antaranya: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan ulil amri dalam kalangan kamu.” (Surah An-Nisaa’ : 59) Nabi s.a.w juga pernah bersabda: إِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ Maksudnya: “Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah salah seorang daripada mereka dilantik sebagai ketua.” Riwayat Abu Daud (2708) Dalam konteks negara Malaysia, pembentukan kerajaan adalah melalui demokrasi berpilihanraya. Dalam hal ini, timbul persoalan berkenaan keharusan mengundi calon bukan Muslim dalam pilihanraya yang diadakan. Maka kami kemukakan perbahasan berkenaan isu ini yang merangkumi penelitian terhadap dalil-dali Quran dan sunnah, pandangan para ulama silam dan kontemporari serta pentarjihan pendapat terpilih disisi kami. Ayat Al-Qur’an Berkenaan Pelantikan Non-Muslim Sebagai Pemimpin Surah Ali Imran: 28 لَّا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَن تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ Maksudnya: “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu).” Menurut Syeikh Wahbah az-Zuhaily, ayat ini diturunkan berkenaan sekumpulan orang Islam yang yang menjadikan segolongan orang Yahudi yang mempunyai niat jahat terhadap Islam, dan mereka enggan untuk menjauhi mereka meskipun telah dinasihati dan diperingatkan berkali-kali tentang tipu-daya mereka. Ayat ini ditafsirkan pula melalui ayat 118 surah yang sama apabila Allah SWT menyebut: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.” Rujuk Al-Tafsir al-Munir (3/199) Surah al-Nisaa’: 144 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.” Menurut Ibn ‘Asyur, orang-orang kafir dalam ayat ini merujuk kepada Musyrikin Quraish dan ahli kitab di Madinah, dimana kecenderungan kebanyakan mereka adalah bermusuh terhadap sifat dan berpakat dengan kelompok munafiq untuk menghancurkan Islam Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir (5/243). Surah al-Ma’idah: 57-58 يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَكُمْ هُزُوًا وَلَعِبًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَالْكُفَّارَ أَوْلِيَاءَ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ ﴿٥٧﴾ وَإِذَا نَادَيْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ اتَّخَذُوهَا هُزُوًا وَلَعِبًا ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan ugama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu: menjadi penolong-penolong; dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman. Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal. ” Ibn ‘Asyur sewaktu mentafsirkan ayat ini menyebut bahawa kalimah kuffar merujuk kepada Musyrikin yang tinggal di Madinah yang menzahirkan keislaman sedangkan sebenarnya tidak beriman atau dalam kata lain munafiq i’tiqadi. Terdapat sebahagian orang Islam yang tertipu dengan perlakuan dan penampilan zahir mereka. Diriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas menyebut: Sebahagian orang Yahudi dan Musyrikin ketawa sewaktu melihat kaum Muslimin sujud di dalam solat Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir (6/241) Beliau menambah lagi, wala’ atau kesetiaan kepada orang kafir yang dilarang ialah wala’ sepenuhnya dalam erti kata kesetiaan dari sudut agama. Maka kerana itu ayat ini ditafsirkan dengan ayat ke-51 surah yang sama, وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ yang bermaksud sesiapa yang mengambil orang kafir sebagai teman rapat, maka mereka termasuk dalam kalangan orang kafir tersebut (Al-Tahrir wa al-Tanwir: 6/242). Surah Al-Mumtahanah : 1 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَن تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي ۚ تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنتُمْ Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu karena kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu.” Para ulama’ tafsir telah bersepakat bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbuatan Hathib bin Abi Balta’ah yang menulis surat kepada kafir Quraish mengenai persiapan Rasulullah s.a.w untuk menunaikan umrah pada tahun perjanjian Hudaibiyah. Pandangan lain menyebut ayat ini diturunkan sewaktu Nabi ingin membuka Kota Mekah (Fathu Makkah) namun ia tidak kuat Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir (28/132) Surah al-Mumtahanah: 8-9 لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ . إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” Melalui dua ayat ini, Allah SWT telah menegaskan bahawa ‘illah pengharaman menjadikan orang kafir sebagai teman rapat, pemimpin atau ikutan itu adalah kerana mereka menzahirkan permusuhan terhadap Islam dan menghalau kaum Muslimin daripada tanah air mereka. Adapun yang tidak bersifat dengan yang demikian, maka terkecuali daripada pengharaman ini. Al-Qistu dalam ayat ini bermaksud berlaku adil, manakala al-Birru pula berbuat baik, termasuklah bergaul dengan baik dan memuliakan mereka Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir (28/151-152). Hasil penelitian terhadap ayat-ayat al-Qur’an di atas beserta penjelasan para mufassir dan melihat kepada asbab nuzul, kami dapat simpulkan bahawa kesemua ayat di atas adalah diturunkan dalam konteks hubungan yang tegang antara kaum Muslimin pada zaman Rasulullah s.a.w dengan sebahagian Musyrikin Quraisy dan sebahagian orang Yahudi yang memusuhi agama Islam dengan permusuhan yang nyata. Maka celaan dan larangan daripada menjadikan orang kafir sebagai wali / teman rapat/ penolong terpakai kepada kalangan bukan Muslim yang menzahirkan permusuhan dan kebencian kepada Islam dan yang memerangi orang-orang Islam. PANDANGAN PARA ULAMA BERKENAAN ISU INI Haram Melantik Pemimpin Non Muslim Al-Qadhi ‘Iyadh, Ibnu Munzir dan Ibnu Hazm menyatakan bahawa para ulama sepakat bahawa kepemimpinan tidak boleh diserahkan kepada orang kafir (Syarh Shahih Muslim: 6/315; Ahkam Ahl al-Dzimmah: 2/787; Maratib al-Ijma’: 208). Al-Jassas sewaktu menafsirkan ayat 28 Surah Ali ‘Imran berpendapat ayat ini menjadi dalil pengharaman meminta bantuan bukan Muslim dan mempercayai mereka, dan mereka tidak berhak memperoleh kekuasaan (wilayah) ke atas orang Muslim, dan Ahlu Dzimmah tidak boleh memegang jawatan dalam pengurusan harta dan kekuasaan (Ahkam al-Qur’an: 3/280). Ibn Nujaim al-Hanafi sewaktu membahaskan soal syarat pemilihan ‘amil zakat berpendapat hendaklah seorang Muslim, kerana bukan Muslim tidak mempunyai kuasa ke atas orang Muslim, dan beliau juga berpandangan amalan memberikan sebahagian jawatan kepada orang Yahudi pada zaman beliau adalah haram (Al-Bahr ar-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq: 2/248). Harus Melantik Pemimpin Non Muslim Menurut Ibnu Hajar al-Haitami, adalah harus mengangkat orang bukan Muslim untuk suatu jawatan jika adanya maslahah padanya, dan jika jawatan tersebut tidak mampu dipikul mana-mana orang Islam, atau orang Islam mempunyai sifat khianat dan yang bukan Islam tidak mempunyai sifat tersebut. Namun, pihak yang mengangkatnya ke jawatan tersebut perlu mengawal selia (muraqabah) dan mampu mencegahnya daripada melakukan sebarang kemudaratan terhadap orang Islam (Tuhfah al-Muhtaj ma’a Hashiyah al-Syarwini, 9/73). Imam ar-Ramli mengharuskan kerjasama dengan orang bukan Islam apabila mereka tidak berniat khianat terhadap orang Islam dan terdapat keperluan ke arahnya (Nihayah al-Muhtaj: 8/62). Imam Khatib as-Syarbini juga menyatakan keharusan kerjasama dengan bukan Islam jika ada keperluan (Mughni al-Muhtaj: 5/407). Sementara Ibnul ‘Arabiy pula menyatakan bahawa jika (pada pelantikan non-Muslim sebagai pemimpin) mempunyai faedah yang muhaqqaqah, maka tidak mengapa (yakni harus melantik bukan Muslim sebagai pemimpin) (Ahkam al-Qur’an: 1/351). Imam Fakhruddin Ar-Razi dalam Tafsir Mafatihul Ghaib, ketika menafsirkan ayat 28 Surah Ali ‘Imran di atas berpandangan bahawa larangan yang dimaksudkan adalah menjadikan non-Muslim pemimpin mutlak tanpa ada orang Islam yang sama-sama memimpin (Tafsir al-Kabir: 8/192). Menurut Ibn Sa’ad al-Hanbali, antara maksud keadaan dharurah yang dibenarkan melantik bukan Muslim sebagai pemimpin ialah dalam keadaan mereka adalah majoriti, dan disyaratkan mereka itu mempunyai pandangan yang baik terhadap orang Islam, dan mereka dalam kalangan yang boleh dipercayai (Mathalib Uli al-Nuha fi Syarh Ghayah al-Muntaha: 2/532). Menurut Muhammad ibn Ahmad Al-Saffarini al-Hanbali, sebahagian ulama’ mazhab Hanbali memakruhkan penyerahan urusan orang Islam kepada yang bukan Islam seperti kutipan cukai tanah dan pembahagian ghanimah kecuali kerana dharurat (Ghaza’ al-Albab: 2/15). Pandangan Para Ulama Kontemporari Dr. Yusuf al-Qaradhawi Menurut beliau, golongan bukan Islam mempunyai hak untuk menjawat jawatan-jawatan negara kecuali jawatan-jawatan yang lebih dominan unsur keagamaan seperti ketua negara, panglima tentera, penghakiman antara orang Islam dan pengurusan zakat. Adapun jawatan-jawatan selainnya maka harus bukan Muslim menjawatnya jika syarat-syarat kompetensi, amanah dan kesetiaan kepada negara dipenuhi. Bahkan beliau turut berpandangan bahawa tiada masalah untuk melantik bukan Muslim sebagai salah seorang timbalan Presiden sesebuah negara, khasnya jika bukan Muslim membentuk jumlah komposisi penduduk yang besar, seperti Sudan Rujuk Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtama’ al-Islami (hlmn 23-24). Non-Muslim berhak menyumbang suara dan pandangan mereka pada perkara yang tiada nas yang muhkam atau nas yang ada bersifat zhanniy dilalah dan tsubut. Mereka berhak mempunyai perwakilan dalam dewan perwakilan dan kerajaan selagi mana bilangan wakil Musim melebihi wakil bukan Muslim. Bagi beliau, prinsip لهم ما لنا وعليهم ما علينا terpakai dalam keadaan ini, dimana Muslim dan bukan Muslim berkongsi hak dan perlindungan yang sama, dan tertakluk kepada undang-undang yang sama (kecuali dalam kes-kes tertentu). Beliau juga menyatakan bahawa sepanjang sejarah, orang bukan Muslim telah banyak memegang jawatan-jawatan penting dalam negara Islam, dan tiada seorang ulama’ pun yang mengingkari hal ini. Adapun ayat-ayat al-Qur’an yang melarang muwalah terhadap orang bukan Islam, ia khusus kepada mereka yang mempunyai permusuhan terhadap agama Islam dan penganutnya, bukan semata-mata kerana berbeza agama Rujuk Rujuk Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam (hlmn 195-197). Syeikh Wahbah az-Zuhaily Sewaktu mentafsirkan ayat 28 Surah Ali ‘Imran di atas, beliau menegaskan bahawa tahaluf (kerjasama), kesepakatan, memberi kepercayaan pada perkara-perkara tertentu bersama bukan Muslim adalah diharuskan, selagi mana mereka bukan dalam kalangan yang memusuhi agama Islam dan kaum Muslimin. Rujuk Al-Tafsir al-Munir (3/202-203) Syeikh Rashid Ghannouchi Menurut beliau, seluruh rakyat dalam negara Islam berhak untuk menjawat semua jawatan umum dalam pentadbiran negara kecuali sebagai Imam dan ketua tentera kerana kedua-duanya berkait rapat dengan tugas menegakkan agama. Ini sebagaimana yang diistilahkan oleh Al-Mawardi yang mengkelaskan wizarah kepada dua iaitu tafwidh yang menggagaskan dasar (Perdana Menteri) atau tanfiz yang melaksanakan dasar (Jemaah Menteri) Rujuk Huquq al-Muwathanah: Huquq Ghayr al-Muslim fi al-Mujtama’ al-Islami(hlmn 79). PANDANGAN TERPILIH Setelah meneliti dalil dan pandangan para ulama’ yang dikemukakan di atas, kami berpandangan hukum mengundi non-Muslim dalam pilihanraya dan melantik mereka sebagai pemimpin (kecuali pimpinan tertinggi) adalah harus berdasarkan kepada alasan berikut: 1. Wakil rakyat bukan ketua / imam Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menulis: “Sesungguhnya al-niyabah (perwakilan) merupakan wakil kepada sebahagian orang ramai dalam kawasan tertentu, ia tidak dianggap dalam bab al-imarah (kepimpinan) dan al-wilayah (kekuasaan) yang dilarang dalam hadith daripada memintanya. Seorang wakil (rakyat) bukannya ketua, menteri atau gabenor, tetapi dia sekadar mewakili kawasannya dalam dewan yang berfungsi untuk menegur kepimpinan, penguasa dan para menteri. Oleh itu, dia menegur bukannya yang ditegur.” Rujuk Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam (hlmn 194) Kuasa seorang wakil rakyat di Malaysia adalah terhad dan terbatas, dikawal dan terikat dengan undang-undang serta perlembagaan negara. Jika suatu perkara itu menyentuh sebarang urusan yang berkaitan dengan agama Islam, ia perlu melepasi dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja. Sistem pengundian di Malaysia juga tidak memestikan seorang wakil rakyat itu memperoleh sebarang kuasa. Jika calon tersebut menang sekalipun, penggubalan dan penetapan dasar tidak terletak pada seorang individu semata-mata, tapi ditetapkan menerusi konsensus atau kehendak majoriti sesebuah dewan yang terbentuk melalui sesebuah parti atau gabungan yang mempunyai dasar tersendiri. Wakil rakyat yang mewakili Parlimen atau DUN juga bukanlah ketua dalam erti kata sebenar, kerana peranan sebenar mereka adalah membawa suara rakyat ke dan menyuarakan isi hati dan keluhan mereka. Mereka wajib berkhidmat kepada rakyat yang telah memilih mereka. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: سَيِّدَ الْقَوْمِ خَادِمُهُمْ Maksudnya: "Pemimpin suatu masyarakat itu merupakan khadam bagi mereka." Disebut oleh Abu Abdul Rahman as-Sulami dalam kitabnya Adab as-Suhbah (117, 1/89) 2. Wakil rakyat tidak berkuasa menentukan dasar secara sendirian Pada zaman dahulu, raja-raja berkuasa mutlak dan boleh bertindak sesuka hati tanpa ada kuasa lain yang boleh menghalang. Pada zaman sekarang, doktrin pengasingan kuasa (separation of power) yang diamalkan dalam sistem demokrasi mampu mencegah mana-mana pihak daripada menyalahgunakan kuasa atau melakukan perkara yang melangkaui bidang kuasa yang ditetapkan. Pada peringkat persekutuan, kuasa legislatif (Parlimen), kuasa eksekutif (Jemaah Menteri) dan kuasa kehakiman (mahkamah) akan saling menyemak-imbang (check and balance) antara satu sama lain demi memastikan tiada salah guna kuasa berlaku. Selain itu, Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Yang Dipertua bagi setiap negeri juga bertanggungjawab memastikan kedaulatan dan kemuliaan agama Islam sentiasa dipelihara seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri. Justeru, kebimbangan melantik non-Muslim sebagai pemimpin akan menggugat kedudukan agama Islam adalah tertolak kerana ia sebenarnya telah dijamin Perlembagaan, dan ia tidak boleh dipinda melainkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. 3. Kontrak sosial Muslim dan non-Muslim Perlembagaan Persekutuan melalui artikel 8 telah memberikan hak yang sama rata kepada seluruh warganegara untuk perlindungan daripada sebarang diskriminasi berasaskan agama, ras dan jantina dari sudut undang-undang. Perlembagaan Persekutuan boleh diibaratkan seperti Piagam Madinah yang diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w bersama-sama kaum Muslimin dan orang Yahudi di Madinah untuk hidup aman dibawah panji keadilan dan kesaksamaan. Sebagai orang Islam, kewajipan menepati dan mempertahankan perjanjian ini tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, sebagaimana firman Allah SWT: وَأَوْفُوا بِعَهْدِ اللَّـهِ إِذَا عَاهَدتُّمْ وَلَا تَنقُضُوا الْأَيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا Maksudnya: “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah)”. (Surah an-Nahl: 91) Kontrak sosial ini merangkumi penghormatan warga non-Muslim terhadap Islam sebagai agama Persekutuan, manakala sebagai imbalannya warga Muslim perlu memberi hak kepada warga non-Muslim untuk menikmati hak yang sama sebagai seorang warganegara, antara lainnya ialah untuk bertanding dan menempati posisi ahli Parlimen, DUN dan menteri kabinet. Firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Maidah : 8) Keadilan dalam konteks ini termasuk juga memberi hak kepada mereka untuk mempunyai perwakilan di Parlimen dan DUN, terutamanya di kawasan-kawasan majoriti bukan Muslim. 4. Fiqh implikasi dalam masyarakat majmuk Jika dalil-dalil yang disebutkan di atas difahami secara literal, maka sudah pasti pelantikan seorang non-Muslim untuk apa jua jawatan awam adalah haram. Ini tidak terhad kepada wakil rakyat atau menteri sahaja, bahkan termasuk juga jawatan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru besar atau pengetua sekolah, ahli Majlis Daerah / Perbandaran / Bandaraya, hakim mahkamah sivil dan pegawai tinggi kementerian. Keadaan ini sudah pasti akan menimbulkan suasana kucar-kacir dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, selain memperbesar jurang antara agama dan kaum yang akan menatijahkan imej Islam yang buruk pada pandangan non-Muslim. Dalam hal ini, fiqh ma’alat al-af’al (fiqh implikasi) amat perlu diberi perhatian, di mana sesuatu pandangan atau keputusan yang diambil harus mengambil kira kesan dan implikasi yang akan terjadi. Islam akan dilihat sebagai satu agama yang ektrem dan menindas penganut agama lain. Berdasarkan statistik untuk tahun 2000, penduduk non-Muslim membentuk kira-kira 40% (38.7%) daripada 30 juta rakyat Malaysia (Layari https://www.malaysia.gov.my/). Pembentukan sebuah kerajaan yang hanya terdiri daripada wakil Muslim dalam sebuah masyarakat majmuk adalah suatu yang amat tidak sihat, dan tidak dapat diterima oleh akal dan hati yang sejahtera. 5. Uruf masyarakat Malaysia dalam sebuah negara demokratik Imam al-Qarafi menyebut bahawa: وَالْجُمُودُ عَلَى الْمَنْقُولَاتِ أَبَدًا ضَلَالٌ فِي الدِّينِ وَجَهْلٌ بِمَقَاصِدِ عُلَمَاءِ الْمُسْلِمِينَ وَالسَّلَفِ الْمَاضِينَ Maksudnya: “Kejumudan terhadap fatwa-fatwa dan pandangan ulama’ terdahulu adalah satu kesesatan dalam agama dan satu kejahilan terhadap maksud sebenar mereka.” Rujuk Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq (1/177) Begitu juga Ibn ‘Abidin as-Syami, faqih mazhab Hanafi pernah berpesan: أن المفتي ليس له الجمود على المنقول في كتب ظاهرة الرواية، من غير مراعاة الزمان وأهله، وإلا يضيع حقوقاً كثيرة، ويكون ضرره أكثر من نفعه Maksudnya: “Seorang mufti tidak seharusnya bersikap jumud terhadap nukilan pandangan terdahulu yang terdapat dalam kitab hanya semata-mata berdasarkan zahir riwayat tanpa meraikan suasana zaman dan masyarakat setempat. Jika tidak, banyak hak-hak yang akan diketepikan, dan membawa mudarat yang lebih besar daripada kebaikan.” Rujuk Rasa’il Ibn ‘Abidin (2/131) Keterikatan terhadap pandangan ulama silam sehingga tidak peka kepada tuntutan kontemporari merupakan suatu hal yang harus dijauhi dalam ijtihad dan fatwa. Suasana Malaysia memerlukan satu ijtihad politik yang meraikan ‘uruf dan suasana setempat. Kata Imam Ibnul Qayyim: تَغْيِيرِ الْفَتْوَى ، وَاخْتِلَافِهَا بِحَسَبِ تَغَيُّرِ الْأَزْمِنَةِ وَالْأَمْكِنَةِ وَالْأَحْوَالِ وَالنِّيَّاتِ وَالْعَوَائِدِ Maksudnya: “Perubahan fatwa harus disesuaikan dengan perubahan zaman, tempat, keadaan, niat dan adat kebiasaaan.” Rujuk I’lam al-Muwaqqi’in (1/41) Demokrasi, iaitu membuat keputusan berdasarkan suara majoriti, telah menjadi satu ‘uruf masyarakat Malaysia dalam memilih pemimpin dan pembentukan kerajaan. Maka ia satu hal yang harus diambil kira dalam berinteraksi dengan nas-nas syara’ dan pandangan ulama’ silam. Konsep kewarganegaraan dalam sebuah negara bangsa Sistem kenegaraan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat khilafah-khilafah selepasnya adalah berbentuk Darul Islam, di mana kewarganegaraan dikelaskan mengikut agama, daerah atau negeri yang bermusuh dinamakan Dar al-Harbi dan yang mempunyai perjanjian dinamakan Dar al-Mu’ahad. Warga bukan Muslim dikelaskan sebagai Ahlu Dzimmah yang berlindung di bawah kekuasaan negara Islam. Adapun pada zaman sekarang, konteks dan sistem yang diamalkan berbeza.. Kerana itulah munculnya ijtihad-ijtihad moden dalam bidang politik yang menganggap pengkelasan warga bukan Muslim sebagai Ahlu Dzimmah tidak lagi sesuai pada zaman sekarang yang mengamalkan sistem negara bangsa (nation state). Antara ulama’ yang berpegang kepada pendapat ini termasuklah Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah az-Zuhaily dan Dr. Fahmy Huwaidi yang terkenal dengan bukunya Muwathinun la Dzimmiyyun yang berpandangan rakyat bukan Muslim seharusnya dianggap sebagai warganegara yang setaraf dengan rakyat Muslim. Selain itu, tatkala negara-negara majoriti bukan Islam seperti Kanada dan United Kingdom mulai memperlihatkan peningkatan perwakilan Muslim dalam kerajaan dan kepimpinan negara atas dasar kesetaraan dan kesaksamaan, maka sewajarnya juga Malaysia dan negara-negara majoriti Muslim yang lain menempatkan perwakilan bukan Islam yang sesuai dengan komposisi rakyat yang bukan Muslim dalam pemerintahan negara. KESIMPULAN Hasil penelitian yang dilakukan, kami dapati tiada dalil qath’ie (muktamad) yang melarang untuk mengundi calon bukan Muslim dalam PRU di Malaysia dan melantik mereka sebagai pemimpin. Ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan hujah untuk mengharamkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang-orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya. Adapun bagi golongan bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam dan patuh kepada Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, maka larangan tersebut tidak terpakai. Hal ini termasuk di bawah topik siyasah syar’iyyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar maslahat kumpulan minoriti. Tanpa menafikan bahawa majoriti ulama silam mengharamkan pelantikan non-Muslim sebagai pemimpin dan keharusan hanya diberikan apabila terdapatnya darurat. Ini dapat difahami memandangkan konteks hubungan Muslim dan non-Muslim pada waktu tersebut berbeza dengan sekarang. Kesimpulannya, hukum asal mengundi bukan Muslim dalam pilihanraya dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus, kecuali apabila terdapat sifat mendatang seperti memberi ancaman kepada kemuliaan Islam, tiada sifat amanah dan tiada kepakaran dalam melaksanakan tugas. Kesemua faktor ini haruslah diambil kira dalam membuat keputusan sebelum mengundi dan memilih, selain memastikan jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri, portfolio hal ehwal Islam dan pertahanan negara adalah kekal disandang oleh orang Muslim yang berkelayakan sahaja. Wallahu a’lam. Akhukum fillah, Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan |
296 | Soalan Apakah yang dimaksudkan dengan tahallul dan apakah perbezaan di antara tahallul haji dan umrah? Jawapan Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Tahallul dari segi bahasa ialah menjadi boleh atau dihalalkan. Menurut syarak pula perkataan tahallul bermaksud membebaskan diri daripada larangan yang terdapat semasa dalam waktu ihram. Dalam ibadah haji dan umrah, perbuatan tahallul dijadikan salah satu dari rukun dalam kedua-dua ibadah tersebut. Dalam erti kata lain, tidak sempurnalah ibadah haji atau umrah seorang jemah haji jika tidak melaksanakan rukun tahallul ini. Tahallul bagi ibadah umrah ialah dimana para jemaah melakukan cukur atau bergunting selepas selesainya melaksanakan rukun saei’ di dalam masjid al-haram itu sendiri. Justeru selepas selesainya bergunting atau bercukur ini, para jemaah bebas daripada larangan yang terdapat sepanjang tempoh berihram. Talallul bagi ibadah haji pula dibahagikan kepada dua iaitu talallul awwal dan tahallul thani. Pertama, tahallul awwal boleh dilaksanakan oleh jemaah haji apabila telah melaksanakan dua daripada tiga perkara serti dibawah. Melontar jamrah al-kubra Tawaf rukun dan saie’ (jika saie’ masih belum dilaksanakan) Bercukur atau bergunting Dalam melaksanakan talallul awwal, jemaah haji diberi pilihan untuk melakukan mana-mana perbuatan di atas secara mengikut turutan ataupun sebaliknya. Kedua, tahallul thani ialah bila mana jemaah haji berjaya melaksanakan ketiga-tiga perkara yang disebutkan seperti di atas. Allah SWT berfirman: لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ Maksudnya: “Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram - insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) - Dalam keadaan aman (menyempurnakan Ibadat Umrah kamu) Dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).” (Surah al-Fath : 27) Kesimpulan Tahallul ialah pembebasan ataupun pelepasan ke atas setiap jemaah haji yang melakukan ihram. Dengan bertahallul, setiap larangan yang terdapat selepas pelaksanaan ihram dapat dibuat ataupun luputlah larangan tersebut seperti sediakala (sebelum ihram). Dalam ibadah haji dan umrah, terdapat garisan-garisan yang menjadi perbezaan di antara tahallul haji dan umrah. Tahallul haji yang sempurna (tahallul thani) boleh dicapai apabila selesai melaksanakan ketiga-tiga perkara yang telah dinyatakan di atas. Manakala tahallul bagi umrah terjadi apabila melaksanakan bergunting ataupun bercukur rambut bagi mereka yang melaksanakan umrah. Justeru, setiap jemaah haji dan umrah harus tahu dan mengambil cakna berkenaan hal-hal tahallul ini kerana dibimbangi jika tidak diketahui dengan betul maka kita akan tergolong dari golongan yang akan dikenakan denda (dam) kerana melanggar batasan-batasan yang telah ditetapkan. Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin. |
298 | Soalan: Adakah niat keluar daripada solat merupakan salah satu rukun solat? Jika ketika memberi salam saya leka dan sekadar melafazkan di mulut tanpa berniat di dalam hati, adakah solat saya sah? Jawapan: Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Sememangnya terdapat pandangan yang meletakkan niat keluar daripada solat sebagai salah satu rukun solat, antaranya yang disebut oleh Imam Abu Syuja’ Ahmad bin al-Husain al-Asfahani dalam matannya: وأركان الصلاة ثمانية عشر ركنا….. ونية الخروج من الصلاة Maksudnya: Dan rukun-rukun solat itu ada lapan belas, (salah satunya ialah) niat untuk keluar daripada solat. (Rujuk Matan Abi Syuja’, hlm 9) Namun demikian, para ulama yang mensyarahkan matan ini, antaranya Syeikh Taqiyuddin Al-Hisni mentarjihkan pandangan yang tidak meletakkannya sebagai rukun: وَهل تجب نِيَّة الْخُرُوج من الصَّلَاة فِيهِ وَجْهَان: أَحدهمَا تجب وَهُوَ اخْتِيَار الشَّيْخ لِأَن السَّلَام ذكر وَاجِب فِي أحد طرفِي الصَّلَاة فَتجب فِيهِ النِّيَّة كتكبيرة الْإِحْرَام وَلِأَن السَّلَام لفظ آدَمِيّ يُنَاقض الصَّلَاة فِي وَضعه فَلَا بُد فِيهِ من نِيَّة تميزه وأصحهما أَنَّهَا لَا تجب قِيَاسا على سَائِر الْعِبَادَات Maksudnya: Adakah wajib berniat untuk keluar daripada solat? Disana ada dua pandangan: Salah satunya ialah ianya wajib, dan ia merupakan pandangan yang dipilih oleh Syeikh (Abu Syuja’), kerana memberi salah merupakan satu zikir wajib pada salah satu daripada bahagian (الطرف ) solat (iaitu takbiratul ihram pada permulaan, salam pada pengakhiran); maka diwajibkan berniat keluar daripada solat ketika memberi salam sebagaimana wajib berniat memasuki solat ketika takbiratul ihram. Salam juga merupakan lafaz seseorang yang membatalkan solat ketika diucapkan pada tempatnya, maka diperlukan niat ketika mengucapkannya untuk membezakan. Namun pandangan yang lebih sahih ialah tidak wajib niat keluar daripada solat, berdasarkan qiyas terhadap ibadat-ibadat lain yang tidak mewajibkannya. (Rujuk Kifayah al-Akhyar fi Halli Ghayah al-Ikhtisar hlm. 110; Rujuk juga Al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’ 1/128 oleh Imam Khatib al-Syirbini, Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin hlm. 29 dan Mughni al-Muhtaj 1/340) Namun meskipun pandangan yang muktamad ialah ia bukan rukun, para ulama seperti Imam al-Khatib al-Syirbini, Imam Zainuddin al-Malibari menyatakan bahawa kita disunatkan untuk berniat keluar daripada solat bagi meraikan pandangan ulama yang mewajibkannya serta keluar daripada khilaf: وَلَكِنْ تُسَنُّ خُرُوجًا مِنْ الْخِلَافِ Maksudnya: Namun demikian, disunatkan untuk berniat keluar daripada solat untuk keluar daripada khilaf. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 1/385 dan Fath al-Mu’in hlm. 123) Hal ini bertepatan dengan salah satu qaedah fiqh: الخروج من الخلاف مستحب Maksudnya: Keluar daripada khilaf itu adalah digalakkan. Namun Syeikh Abu Bakar al-Dimyati mengingatkan bahawa: (يسن نية الخروج من الصلاة بالتسليمة الأولى) أي عند ابتدائها. فإن نوى قبلها بطلت صلاته Maksudnya: Disunatkan untuk berniat keluar dari solat ketika salam yang pertama, iaitu ketika permulaan salam. Jika dia berniat sebelum daripada itu, batallah solatnya. (Rujuk I’anah al-Tolibin fi Halli Alfaz Fath al-Mu’in 1/207. Rujuk juga Ghayah al-Bayan Syarh Zubad ibn Ruslan hlm. 98 oleh Imam Syamsuddin al-Ramli) Kesimpulan Tuntasnya, pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’e ialah niat keluar daripada solat ketika memberi salam yang pertama bukanlah salah satu rukun solat. Namun para ulama menyatakan hukumnya adalah sunat untuk berbuat demikian untuk keluar daripada khilaf. Namun hendaklah berniat keluar solat itu ketika memberi salam yang pertama,dan jika berniat sebelumnya, maka solatnya terbatal. Wallahu a’lam. Disediakan oleh, Unit Buhuth, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan |
300 | Soalan : Saya dengar dalam satu tazkirah, ada seorang ustaz menyebut sebuah hadis yang bermaksud Ramadan ini bulan Allah dan menjadi mukaffirat iaitu penghapus dosa. Adakah memang wujud hadis berkenaan ? Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih. Ringkasan jawapan : Hadis ini diriwayatkan Musnad al-Firdaus karya al-Dailamī (m. 509 H) tanpa sanad kemudian Ibn Hajar al-‘Asqalānī (m. 852 H) mengemukakan sanad bagi hadis tersebut dan dimuatkan dalam al-Gharāib al-Multaqiṭah min Musnad al-Firdaus. Hadis yang sama juga boleh ditemui di Tarikh Dimasyq karya Ibn ‘Asākir (m. 571 H). Namun begitu, hadis ini terlalu lemah kerana terdapat perawi yang bernama al-Ḥasan bin Yahyā al-Khushanī. Beliau seorang perawi yang terlalu lemah hafalannya. Tambahan lagi, periwayatannya sering ditinggalkan dan diabaikan oleh ulama hadis (matrūk). Huraian jawapan : Matan (teks) hadis yang dimaksudkan adalah seperti berikut: شعبان شهري ورمضان شهر اللَّه. وشعبان المُطَهِّر ورمضان المكفِّرُ Maksudnya : “Syaaban ialah bulanku dan Ramadan ialah bulan Allah. Syaaban ialah bulan yang menyucikan diri dan Ramadan ialah bulan terhapus dosa.” Hadis ini diriwayatkan Musnad al-Firdaus karya al-Dailamī (m. 509 H) tanpa sanad kemudian Ibn Hajar al-‘Asqalānī (m. 852 H) mengemukakan sanad bagi hadis tersebut dan dimuatkan dalam al-Gharāib al-Multaqiṭah min Musnad al-Firdaus.[1] Sanad hadis tersebut seperti berikut : أخبرنا أبو طاهر الحَسْناباذي أخبرنا أبو بكر الباطِرْقاني حدثنا عبد اللَّه بن أحمد بن داود حدثنا أحمد بن محمد بن إبراهيم مولى بني هاشم حدثنا جعفر بن محمد اليَزْدي حدثنا هشام بن خالد حدثنا الحسن بن يحيى الخُشَني عن الأوزاعي عن يحيى بن أبي كثير عن أبي سلمة عن عائشة رضي اللَّه تعالى عنها قالت: قال رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وسلم: شعبان شهري، ورمضان شهر اللَّه. وشعبان المُطَهِّر ورمضان المكفِّرُ. Maksudnya : “Abū Ṭāhir al-Hasnābāzī memberitahu kepada kami hadis ini, beliau berkata: Abū Bakr al-Bātirqānī memberitahu kepada kami hadis ini, beliau berkata : Abdullah bin Ahmad bin Dāud menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata : Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim Mawla Banī Hāshīm menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata: Ja’afar bin Muhammad al-Bazdī menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata : Hishām bin Khālid menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata : Al-Ḥasan bin Yahyā al-Khushanī menceritakan hadis ini kepada kami. Beliau meriwayatkan hadis ini daripada al-Auza’ī. Al-Auza’ī meriwayatkan pula daripada Yahyā bin Abī Kathīr. Yahyā meriwayatkan daripada Abū Salamah. Abu Salamah meriwayatkan daripada Aishah RA, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda: Syaaban ialah bulanku dan Ramadan ialah bulan Allah. Syaaban bulan menyucikan diri dan Ramadan ialah bulan terhapusnya dosa.” Hadis yang sama juga boleh ditemui di Tarikh Dimasyq karya Ibn ‘Asākir (m. 571 H)[2] dengan menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Ja’far Bin Muhammad al-Barza’ī daripada Hishām bin Khālid. Tambahan pula, hadis dengan lafaz ini hanya ditemui dalam dua sumber ini. Tiada sanad lain yang menyokong lafaz matan ini. Analisis sanad Jika dilihat kepada dua sumber tersebut, kita akan dapati bahawa sanad hadis ini tertumpu kepada Ja’far bin Muhammad al-Barza’ī. Beliau meriwayatkan hadis ini daripada Hishām bin Khālid. Beliau pula meriwayatkan daripada Al-Ḥasan bin Yahyā al-Khushanī daripada al-‘Auza’ī daripada Yahyā bin Abī Kathīr daripada Abu Salamah dan Abu Salamah meriwayatkan hadis ini daripada Aisyah. Namun begitu, hadis ini bermasalah berpunca daripada al-Ḥasan bin Yahyā al-Khushanī. Beliau ialah seorang perawi yang dikritik hebat oleh ulama hadis. Abū Ḥātim al-Rāzī (m. 277 H) mengatakan bahawa beliau ialah seorang perawi sadūq namun hafalan beliau sangat lemah.[3] Ibn Hibbān (m. 354 H) turut mengkritik beliau dengan menyebut bahawa beliau ialah perawi yang terlalu banyak melakukan kesilapan dalam periwayatan (Munkar al-Hadīth). Lebih daripada itu, al-Ḥasan bin Yahyā turut meriwayatkan hadis yang tiada asal dan hadis tersebut dinisbahkan kepada perawi yang thiqah bahkan meriwayatkan hadis-hadis yang tiada sokongan.[4] Imam al-Nasaie (m. 303 H) mengatakan bahawa al-Ḥasan bukan perawi yang thiqah. Imam al-Daraquṭnī (m. 385 H) pula menyatakan bahawa beliau ialah perawi yang ditinggalkan periwayatannya (matrūk).[5] Al-Daraquṭnī tidak bersendirian dalam perkara ini, kebanyakan ulama hadis juga menyebut bahawa riwayat al-Ḥasan bin Yahyā ditinggalkan dan tidak dipedulikan oleh ulama hadis. Perkara ini dinyatakan oleh al-Hāfiẓ al-Zahabī (m. 748 H).[6] Kesimpulannya, hadis ini terlalu lemah kerana terdapat perawi yang bernama al-Ḥasan bin Yahyā al-Khushanī. Beliau seorang perawi yang terlalu lemah hafalannya. Tambahan lagi, periwayatannya beliau sering ditinggalkan dan diabaikan oleh ulama hadis (matrūk). WallahuA'lam Disediakan oleh, Muhammad Shahrulnizam bin Muhadi Rujukan: [1] Abu al-Faḍl, Ahmad bin ‘Alī (2018), al-Gharāib al-Multaqiṭah min Musnad al-Firdaus al-Musammā bi Zahr al-Firdaus, Dubai: Jam’iyah Dar al-Bir, j.5 h.278. [2] Abū al-Qāsim, ‘Ali bin Al-Ḥasan (1995), Tarīkh Dimasyq,ed.‘Amr bin Gharamah al-‘Umrawī, Beirut: Dar al-Fikr, j.72 h.155. Beliau menyebut : جعفر بن محمد بن محمد- ويقال: جعفر بن محمد بن خالد- البرذعي روى عن هشام بن خالد بسنده عن عائشة قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم شهر رمضان شهر الله، وشهر شعبان شهري، وشعبان المطهّر، ورمضان المكفّر [3] Ibn Abī Ḥātim, Abdurrahman bin Muhammad (1952), al-Jarh wa al-Ta’dīl, Beirut: Dār al-Ihyā al-Turath al-‘Arabī, j.3 h.44. حدثنا عبد الرحمن قال سمعت أبي يقول: الحسن بن يحيى الخشنى: صدوق سيئ الحفظ [4] Ibn Hibbān, Muhammad bin Hibbān (2000), al-Majrūhīn min al-Muhaddithīn, ed. Hamdī Abd al-Majīd al-Silafī, Riyadh: Dar al-Ṣami’ī, j.1 h.285. Ibn Hibbān berkata: منكر الحديث جدًّا، يروي عن الثقات ما لا أصل له، وعن المتقنين ما لا يتابع عليه [5] Al-Mizzī, Yūsuf bin Abdurrahman (1980), Tahzīb al-Kamāl fī Asmā al-Rijāl, ed. Dr. Bashār ‘Awwad Ma’rūf, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.6 h.339. al-Mizzī menukilkan وقال الدارقطني : متروك وَقَال النَّسَائي: ليس بثقة [6] Syams al-Din al-Zahabī, Ahmad bin ‘Uthman (t.t), Al-Mughnī fī al-Ḍua’fā, ed. Dr. Nur al-Dīn al-‘Itr, Qatar: Idārah Ihyā al-Turāth, j.1 h.168. Al-Zahabī menyebut : واه تَركه الدَّارَقُطْنِيّ وَغَيره |
301 | Soalan Assalamualaikum Ustaz, kain ihram dan pakaian solat dibasuh serta diletakkan pelembut baju, bolehkah digunakan untuk berihram atau kena basuh semula. Sekiranya saya memakai kain ihram tapi belum niat ihram, jadi belum kena pantang larang ihram. Selepas niat ihram dan kemudian kain ihram saya kotor lalu ditukarkan kain ihram itu dengan kain ihram yg sudah dibasuh dengan pelembut kain (ada wagian). Adakah dibolehkan atau haram. Jawapan Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Perkara Yang Dilarang Ketika Ihram Setelah berniat untuk berihram, seseorang itu berada di dalam pantang larang ihram. Perkara ini telah ditetapkan oleh syarak dan sekiranya melanggarnya, maka akan dikenakan denda atau dam mengikut jenis larangan yang dilakukannya. Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf di dalam karangannya menyatakan: “Di antara larangan-larangan ihram adalah menutup kepala, memakai pakaian berjahit bagi lelaki, menutup muka dan memakai sarung tangan bagi perempuan, berwangi-wangian, bersetubuh, memakai minyak rambut dan janggut, memburu dan mencabut atau membinasakan tumbuhan di tanah Haram”. (Lihat: al-Takrirat al-Sadidah, hlm 502) Berwangi-wangian (التطيب) Berwangian merupakan perkara yang dikhususkan dengan nas syarak tentang larangan ketika Ihram. Mengikut pendapat Syafi’eyyah yang dimaksudkan dengan berwangi-wangian adalah bauan yang menyenangkan. Dan diharamkannya adalah bertujuan untuk berwangi-wangian semata-mata. Sama ada digunakan pada kain ihram, tempat tidur atau kasutnya. Sehingga sekira pada kasutnya itu terdapat wangian wajib menghilangkannya. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/161) Imam Ramli berpendapat: “Yang dimaksudkan dengan perkara yang dilarang berkenaan dengan wangi-wangian adalah penggunaannya bertujuan untuk wangian semata-mata”. (Lihat: Hasyiah Qalyubi wa U’mairah, 2/168) Namun, sekiranya bertujuan untuk menyucikan badan dengan menggunakan sabun tidak menjadi larangan ketika berihram. Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan: “Dan tidak menjadi larangan di sisi Syafieyyah membasuh badan dan kepala dengan menggunakan sabun tanpa mencabut rambut. Dan aula (lebih utama) meninggalkannya”. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa al-adillatuhu, 3/2297) Dar Ifta Misriyyah di dalam fatwanya menyatakan: “Selepas berihram diharuskan untuk bermandi, menukar pakaian ihram, menggunakan sabun bagi tujuan menyucikan walaupun terdapat bau menyenangkan. Ini kerana, sabun bukan dinamakan sebagai pewangi. Adapun penggunaan sabun selain daripada yang mempunyai bauan adalah lebih utama”. (Lihat: Dar Ifta’ Misriyyah, No 3308) Adapun, sebelum melakukan ihram ia merupakan perkara yang disunatkan. Ini merupakan pendapat jumhur fuqaha’, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RAnha: كُنْتُ أُطَيِّبُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لإِحْرَامِهِ قَبْلَ أَنْ يُحْرِمَ وَلِحِلِّهِ قَبْلَ أَنْ يَطُوفَ بِالْبَيْتِ Maksudnya: Aku telah memakaikan wangian kepada Rasullullah SAW untuk ihramnya sebelum Baginda berihram dan bertahallul. Sebelum Baginda tawaf di Baitullah. Riwayat Imam Muslim (1189) Hal berkenaan dengan berwangi-wangian pada pakaian ihram sebelum melakukan ihram, jumhur ulama’ melarangnya. Dan mengikut pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafie dibenarkan. Dan tidak memudharatkan dengan berkekalannya bau wangian itu pada pakaian setelah berihram. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaiyyah, 2/172) Kesimpulan Berdasarkan kepada persoalan dan pandangan fuqaha’ yang diberikan, menggunakan kain ihram yang berbau wangi (sebab menggunakan pelembut kain) selepas berniat ihram adalah tidak dibenarkan dan dikenakan dam (Takhyir dan Takdir). Ini kerana tujuan dan maksud penggunaan pelembut kain itu untuk mewangikan. Dan ini seperti yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji di dalam buku Fiqh Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah menyatakan: “Penggunaan tisu lembap yang terdapat wangian dan juga softland bertujuan berwangian tidak boleh digunakan semasa di dalam ihram”. (Lihat: Fiqh Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah, hlm. 214) Oleh itu, sebaiknya ia menghilangkan wangian pada kain ihram sebelum memakainya. Semoga kita diberi kefahaman yang baik untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT. |
302 | Mukaddimah Doaku: Ya Allah, ampunilah dosa kami, kurniakan kami dengan hidayah, taufiq-Mu dan satukan hati-hati kami. Sehari dua ini kita dikejutkan dengan satu peristiwa di Plaza Low Yat di mana terjadinya insiden. Hati kecil ini amat terguris dengan apa yang terjadi di bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Saya katakan إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ maksudnya: Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali. Dengan menginsafi apa yang telah terjadi sehingga terlalu banyak persepsi dan tokok tambah dan diviralkan sehingga isu sebenarnya tidak lagi jelas. Yang timbul amarah yang membara, dan lebih parah lagi jika wujudnya provokasi serta diheret kepada isu yang lebih luas seperti warna kulit, keagamaan dan lain-lain lagi. Justeru, Bayan Linnas Khas ini dinamakan dengan Umat Islam… Inilah Nasihatku. Semoga Bayan Linnas ini memberi banyak manfaat dan kefahaman kepada kita dalam menghadapi situasi yang tegang dan tidak terkawal. Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Kami dengan berat hati dan penuh kesedaran memohon kepada Ilahi dalam menyampaikan kenyataan ini atau Bayan Linnas ini agar diikhlaskan hati kami dalam mencari keredhaan-Nya jua. Dengan lafaz بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ kami nyatakan begini: Taaruf: Allah SWT sengaja menjadikan kita pelbagai bangsa dan warna kulit. Tujuannya: يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوباً وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya,kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudiam kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Ayat ini memberi faedah dan kefahaman kepada kita antaranya: Tujuan pelbagai bangsa dicipta manusia untuk لِتَعَارَفُوا supaya berkenalan dalam membina Jaringan kehidupan yang sejahtera dan sama-sama mengimarahkannya di muka bumi. Kemuliaan hakiki di kalangan kita adalah yang paling ‘bertaqwa’. Itulah penilaian sebenar di sisi Allah Isu Fitnah: Ia adalah perkara yang paling bahaya,. Diungkapkan dengan lebih bahaya dan dahsyat daripada pembunuhan seperti nas Ilahi. Ingatlah jatuh dan tumbangnya sebuah Negara apabila api fitnah merebak sehingga ia telah menjadi ‘asas rujukan’ dan yang sebenarnya kita sedang menghirup racun yang paling bisa yang akibatnya kebinasaan dan kehancuran. Sejarah adalah sebaik-baik dalil dan jawapan dalam isu ini. Bacalah sejarah keruntuhan mana-mana daulah atau negara terdahulu. Mudah viral: Perbuatan menyebarkan viral yang berleluasa dengan aksi-aksi ganas, kejam, zalim dan melampau boleh mengundang perkara yang amat buruk sehingga akan berlaku andaian, seterusnya tindakan diluar kawalan yang sudah pasti menatijahkan perbalahan akan membenihkan api dendam kesumat. Thiqah: Kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam menjalankan tugas dengan penuh integriti dan amanah dalam meleraikan kekusutan ini hendaklah diberi perhatian dengan sepenuhnya. Waspada: Ingatlah meruntuhkan sebuah ikatan kontrak sosial dan jalinan mahabbah amat mudah sekali sedangkan membinanya amat sukar hingga memakan masa puluhan bahkan ratusan tahun. Justeru, janganlah kita terperangkap dalam jerat musuh yang inginkan porak peranda terhadap Negara kita. Pengorbanan Generasi Silam: Menelusuri beberapa prinsip rukun negara yang menjadi asas pembentukan Malaysia yang tercinta ini jelas menunjukkan sebuah harapan yang tinggi daripada nenek moyang kita yang menghuni Negara ini. Sewajarnya dengan kita mengasihi, menyayangi dan menghormati mereka, maka hendaklah kita mempertahankan kedaulatan Malaysia dan amanahnya. Akhlak Yang Mulia: Tunjukkanlah akhlak Islam yang tinggi, terpuji dan luhur seperti misi yang dibawa oleh Rasulullah SAW untuk menyempurnakan makarimu al-akhlak. Bahkan dengannya akan zahir ketinggian pekerti dan adab Islam seseorang muslim. Ini sudah barang tentulah akan melahirkan suasana yang amat harmoni. Maafkanlah: Jadilah golongan pemaaf. Inilah ajaran Rasulullah SAW dan pesanan Ilahi di sebut dalam banyak nas. Tidak untung kita bina sifat amarah dan dendam. Begitu juga tidak rugi kita memberi kemaafan sekalipun jika kita berada di pihak yang benar, bahkan ia jauh meningkatkan sifat dan watak Islami kita dan kemuliaan kita. Sifat Kemanusiaan: Saat dunia yang mencabar masa kini, sifat insaniatul insan iaitu kemanusiaan manuasia amat perlu disemak kembali krisis insani perlu dimuhasabah kembali agar ia tumbuh subur dalam masyarakat yang merentasi agama, warna kulit dan kepelbagaian ras. Dengannnya akan terjawab kasih sayang dan saling menghormati serta adanya pengorbanan yang tinggi. Kerasnya Hati: Seorang ulama tersohor di dunia Islam, al-Marhum Said Hawwa pernah mengungkapkan yang cabaran terbesar bagi kita umat Islam untuk menyahkan sifat ‘qasawah al-Qulub’, iaitu kerasnya hati. Ini kerana dengan daki-daki maksiat dan sifat-sifat mazmumah telah menebal dan bertapak begitu kukuh di dalam hati. Bak kata Nabi SAW ‘mudghah’ jika baik maka baiklah seluruh jasad. Justeru, padamlah sifat ‘qasawah al-Qulub’ dengan kefahaman Islam, ilmu, amal, ikhlas dan sentiasa muhasabah diri untuk menjadi mukmin sejati dan muslim yang unggul. Doa: Marilah kita berdoa kepada Allah agar Allah pertautkan hati-hati kita dengan kesatuan dan jernihkan daripada sifat amarah, dendam kesumat dan segala sifat-sifat mazmumah. Seterusnya digantikan dengan sifat-sifat mahmudah dan terpuji. Buang yang keruh ambillah yang jernih dalam melayari bahtera kehidupan ini. Mengambil Iktibar: Lihatlah negara-negara Islam yang berkonflik pada masa kini sepert di Afrika dan Asia Barat, renungilah nasib mereka yang dahulunya kehidupan mereka amat damai, kaya dan tenang. Tetapi oleh kerana tindakan yang berkiblatkan kepada dendam kesumat dan amarah, sebahagian besar negara mereka tidak berkesudahan dalam krisis peperangan saudara, ekonomi yang buruk dan musnah serta kerugian yang tidak boleh ditaksirkan, berapa billion hangus dan terbuang begitu sahaja. Termasuklah menjadi pelarian dan terpaksa meminta ehsan daripada orang lain. Fikir-fikirkanlah dan ambillah iktibar agar fitnah seperti ini tidak melanda negara kita. Nikmat Aman: Keamanan sesebuah negara merupakan salah satu nikmat yang mudah dilupai oleh warganegaranya. Tetapi apabila hilang daripada kamus kehidupan, maka ketika itu segunung kesesalan akan bertapak dalam hati-hati kita yang terluka dan duka ini. Saya sendiri pernah mendengar luahan rakan-rakan daripada Iraq dan Syria yang menzahirkan kekecewaan yang amat mendalam. Ingatlah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Justeru, jalan yang terbaik ialah perliharalah keamanan dan pertahankanlah hingga ke akhir hayat kita. Piagam Madinah: Rujuklah piagam Madinah atau mithaq Madinah tatkala Nabi Muhammad SAW berhijrah ke kota Madinah. Ia merupakan sebuah pernyataaan undang-undang yang merentasi bangsa, kaum, kabilah, warna kulit dan agama yang penuh dengan keadilan yang boleh mengekalkan kelangsungan keharmoniaan dan keamanan. Erti Puasa: Perliharalah adab puasa. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW dalam hadis yang sahih: إِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلا يَرْفُثْ ، وَلا يَسْخَبْ ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ شَاتَمَهُ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ : إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ Maksudnya: Jika sekiranya salah seorang daripada kamu sedang berpuasa, maka jangan dia melakukan perbuatan rafath (tidak baik), bertempik dan jika seseorang memakinya atau mencelanya atau memeranginya maka hendaklah dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa. Riwayat al-Bukhari (1805) Berdasarkan hadis ini, antara faedah yang dapat di ambil:- Memelihara adab adab puasa Tidak membuat perkara yang membatalkan pahala puasa Jangan bergaduh dan bertengkar Bahkan sekalipun diajak bertengkar atau dicaci nista, maka katakanlah ‘Aku sedang berpuasa’ sebanyak dua kali. Kesimpulan, marilah kita sebagai pengikut setia Rasulullah SAW yang menjadikan qudwah dan uswah hasanah untuk kita katakan: Sesungguhnya aku berpuasa. Semoga berkat mengikut Sunnah Nabi Muhammad SAW memberi kepada kita cahaya kefahaman Islam yang sebenarnya. Sebuah Nasihat: Dinukilkan di sini sebuah kisah daripada guru kami, Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti katanya: “Di sebuah taman, terdapat pelbagai pohon kayu, ada yang besar dan ada yang kecil. Mereka hidup dalam keadaan yang bersuka ria. Tiba-tiba pada suatu hari, jatuh sebilah mata kapak menyebabkan semua pohon kayu menangis dan berada dalam ketakutan. Ini kerana supah pasti mereka semua akan ditebang. Akhirnya, mereka bertemu dengan pohon yang paling tua dan mengadu akan hal tersebut. Lantas pohon tua yang mempunyai banyak pengalaman itu berkata: ‘Jangan takut dan jangan menangis. Sesungguhnya mata kapak tidak boleh menebang kamu selama kamu tidak memberikan kepadanya dahan-dahan kamu untuk dijadikan hulu kapak.” Itulah mesej yang jelas betapa perlunya kesatuan ummah ditegakkan terutamanya kesatuan hati atau rabitah al-qulub. Salam Kemaafan: Dalam hari-hari terakhir Ramadhan yang penuh keberkatan ini terwujudnya ‘malam qadar’ nilainya lebih baik daripada seribu bulan dan juga hanya beberapa hari sahaja lagi, kita akan menyambut Idil Fitri, hari kemenangan kita dalam mengekang nafsu dan selesainya ‘mukhayyam tarbawi Ramadhan’ yang menatijahkan Maka marilah kita menghulurkan salam kemaafan dan kita namakan ‘salam perdana’ untuk kesatuan ummah dan perpaduan masyarakat Malaysia yang menatijahkan ‘Negara Malaysia Yang Aman Damai lagi Harmoni dan masyarakat yang berkasih sayang’. Semoga usaha yang murni dapat kita realisasikannya. Akhir kata: saya mengambil kesempatan ini dengan rendah diri memohon maaf kepada semua pihak atas tulisan yang mungkin mengguris perasaan dan jiwa kita. Tetapi sebagai menunaikan amanah Ilahi yang menyebut وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ yang membawa maksud: Dan mereka sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Inilah yang menyelamatkan kita daripada kerugian seperti nas Ilahi. Sekali lagi saya tegaskan kepada Umat Islam, inilah nasihatku. Maaf zahir batin, semoga Allah terima ibadat puasa kita dan marilah kita mensyukuri atas pelbagai kurniaan nikmat-Nya pada hari kebesaran ini. Amin. Akhukum fillah, Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 7.20 pagi, Lapangan Terbang Labuan. 14 Julai 2015 bersamaan 27 Ramadan 1436H |
304 | SOALAN Assalamualaikum, Ustaz. Saya ingin bertanya soalan faraid harta pusaka. Suami saya telah meninggal dunia. Suami saya telah menceraikan isteri pertama sebelum berkahwin dengan saya dan mereka mempunyai dua orang anak, manakala saya pula isteri kedua dan saya tidak mempunyai anak dengan suami. Jadi, berapa bahagian faraid saya ustaz? RINGKASAN JAWAPAN Isteri yang kematian suaminya akan mendapat bahagian faraid daripada harta pusaka selepas pengurusan jenazah, hutang-piutang serta wasiat suami telah dilaksanakan. Bahagian faraid isteri apabila suami yang meninggal dunia mempunyai anak, isteri akan mendapat satu perlapan (1/8) daripada harta. Kewujudan anak kepada suami walaupun anak tersebut daripada perkahwinan dengan isteri yang lain telah mengurangkan bahagian isteri daripada 1/4 ke 1/8. Manakala isteri yang telah diceraikan suami tidak mendapat harta pusaka suaminya. HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga, para sahabat, dan orang yang mengikuti jejak Langkah Baginda sehingga hari kiamat. Semoga kita semua sentiasa di bawah lindunganNya. Pembahagian harta si mati kepada waris-warisnya akan dilakukan selepas selesai pengurusan jenazahnya, melunaskan hutang-piutang serta melaksanakan wasiat si mati yang tidak melebihi satu pertiga daripada baki harta peninggalan. Menurut Imam al-Nawawi[1]: يبدأ من تركة الميت بمؤنة تجهيزه ثم تقضى ديونه ثم وصاياه من ثلث الباقي ثم يقسم الباقي بين الورثة. Maksudnya: “Harta peninggalan si mati digunakan bermula dengan pengurusan jenazah, kemudian melangsaikan hutang-piutang si mati, kemudian melaksanakan wasiat si mati yang tidak melebihi satu pertiga daripada baki harta si mati (selepas pengurusan jenazah dan membayar hutangnya). Setelah itu, dibahagikan baki daripada harta itu kepada pewaris.” Dalam proses pembahagian harta ini, wujud waris-waris yang boleh menghalang atau mengurangkan bahagian waris yang lain. Keadaan ini dipanggil halangan pewarisan (الحَجْبُ). Berdasarkan soalan di atas, anak-anak suami merupakan halangan yang mengurangkan bahagian isteri dalam faraid (الحَجْبُ النُّقْصَان). Dengan wujudnya anak-anak suami ini, mereka telah mengurangkan bahagian isteri daripada mendapat satu perempat kepada satu perlapan daripada harta. Ini berdasarkan firman Allah SWT: وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّكُمْ وَلَدٌ ۚ فَإِن كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُم ۚ مِّن بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ Maksudnya: Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Surah al-Nisa’ (12) Imam al-Qurtubi berkata ketika mentafsirkan ayat ini: وَالْوَلَدُ هُنَا بَنُو الصُّلْبِ وَبَنُو بَنِيهِمْ وَإِنْ سَفُلُوا، ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا وَاحِدًا فَمَا زَادَ بِإِجْمَاعٍ. وَتَرِثُ الْمَرْأَةُ مِنْ زَوْجِهَا الرُّبُعَ مَعَ فَقْدِ الْوَلَدِ، وَالثُّمُنَ مع وجوده. Maksudnya: “Dimaksudkan dengan al-walad ialah anak kandung serta anak kepada anak kandung (cucu) dan ke bawah, samada lelaki atau perempuan, seorang atau lebih daripada itu, dan ini ialah ijmak. Isteri akan mewarisi ¼ sekiranya suami tiada anak dan satu perlapan sekiranya ada[2].” Justeru, dengan kewujudan anak kandung, isteri tetap mendapat satu perlapan walaupun anak tersebut bukan daripada hasil perkahwinannya bersama suami. Hal ini kerana anak yang disebutkan ialah anak kepada si mati dan bukanlah anak kepada waris sebagaiamana yang dinyatakan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini: (الثّمن) وَهُوَ (فرض الزَّوْجَة) الْوَاحِدَة (و) كل (الزَّوْجَات) بالتسوية (مَعَ الْوَلَد) للزَّوْج مِنْهَا أَو من غَيرهَا Maksudnya: “Satu per lapan ialah bahagian seorang isteri atau beberapa isteri yang dikongsi bersama apabila suami mempunyai anak dengannya atau anak dengan isteri yang lain[3].” Oleh yang demikian, berdasarkan penerangan di atas, sekiranya suami mempunyai anak walaupun dengan isteri yang berbeza, bahagian faraid isteri adalah satu perlapan daripada harta. Bahagian satu perlapan itu akan dikongsi bersama jika suami mempunyai lebih dari seorang isteri. Kesimpulannya, jika suami mempunyai isteri kedua dan anak daripada isteri pertama yang telah diceraikan sebagaimana soalan yang diajukan, bahagian isteri kedua ialah satu perlapan daripada harta untuk dirinya seorang dan tidak perlu berkongsi dengan bekas isteri. Wallahu a’lam. Rujukan: [1] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. (2005). Minhaj al-Tolibin. Cet. 1. Beirut: Dar al-Fikr. Hlm. 180. [2] Al-Qurtubi, Muhammad bin Ahmad. (1964). Tafsir al-Qurtubi (Jilid 5). Cet. 2. Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah. Hlm. 75. [3] Al-Syirbini, Muhammad bin Ahmad. (t.t.). Al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’ (Jilid 2). Beirut: Dar al-Fikr. Hlm. 388. |
307 | Soalan: Assalamualaikum, saya memiliki seorang kawan yang kurang berkemampuan. Adakah saya boleh menunaikan umrah untuknya? Ringkasan Jawapan: Melakukan ibadat haji atau umrah bagi rakan yang berada dalam kemiskinan tidak dibenarkan. Ibadat haji atau umrah tidak boleh dikerjakan oleh orang lain melainkan pada beberapa keadaan: Seorang yang telah meninggal dunia dan memiliki kewajipan haji yang belum ditunaikan. Seorang yang lumpuh dan tidak mampu untuk bergerak. Seorang yang memiliki sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Adapun pada keadaan selain ini tidak dibenarkan orang lain untuk melakukan badal haji atau umrah berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i. Huraian Jawapan: Ibadat umrah wajib untuk dikerjakan sekali seumur hidup bagi orang yang berkemampuan mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafi’i[1]. Antara syarat yang mewajibkan seseorang untuk menunaikan haji ialah kemampuan. Kemampuan di sisi mazhab Syafi’i terbahagi kepada dua: Memiliki kemampuan untuk menunaikan haji dengan diri sendiri. Memiliki kemampuan untuk mengerjakan haji dengan bantuan orang lain[2]. Mengenai menggantikan haji atau umrah yang fardu bagi orang lain ulama mazhab Syafi’i tidak membenarkan melainkan bagi beberapa golongan: Seorang yang telah meninggal dunia dan memiliki kewajipan haji yang belum ditunaikan. Seorang yang lumpuh dan tidak mampu untuk bergerak. Seorang yang memiliki sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh[3]. Hal ini berdasarkan sebuah hadis: جَاءَتِ امْرَأَةٌ مِن خَثْعَمَ عَامَ حَجَّةِ الوَدَاعِ، قالَتْ: يا رَسولَ اللَّهِ إنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ علَى عِبَادِهِ في الحَجِّ أدْرَكَتْ أبِي شيخًا كَبِيرًا لا يَسْتَطِيعُ أنْ يَسْتَوِيَ علَى الرَّاحِلَةِ فَهلْ يَقْضِي عنْه أنْ أحُجَّ عنْه؟ قالَ: نَعَمْ. Maksudnya: “Seorang wanita dari kabilah Khas’am datang kepada Baginda pada tahun haji wada’ lalu berkata: Ya Rasulullah sesungguhnya ayahku telah diwajibkan untuk mengerjakan haji sedangkan dia dalam keadaan tua dan tidak mampu untuk duduk tegak di atas kenderaannya, bolehkah aku menunaikan haji untuknya? Nabi SAW menjawab: Ya (boleh!)” (Riwayat al-Bukhari) Adapun orang yang mampu untuk mengerjakannya sendiri maka tidak boleh dilakukan umrah badal untuknya. Dalam hak ini Imam al-Syirazi menjelaskan: (فاما) الصحيح الذى يقدر على الثبوت علي الراحلة فلا تجوز النيابة عنه في الحج لان الفرض عليه في بدنه فلا ينتقل الفرض إلى غيره الا في الموضع الذى وردت فيه الرخصة وهو إذا أيس وبقى فيما سواه على الاصل فلا تجوز النيابة عنه فيه Maksudnya: “Adapun bagi orang yang sihat dan mampu untuk duduk tetap di atas kenderaan maka tidak harus (haram) untuk dia menggantikan orang lain untuk menunaikan haji bagi pihaknya. Hal ini kerana ibadah haji diwajibkan ke atasnya maka tidak boleh kefarduan tersebut berpindah kepada orang lain melainkan pada keadaan yang diberikan rukhsah (keringanan) iaitu ketika dia benar-benar tidak mampu. Adapun keadaan selainnya maka kekal dengan hukum asal iaitu tidak boleh dia menggantikan tempatnya dengan orang lain.[4] Sekalipun perbincangan di atas menjurus kepada perbincangan mengenai ibadat haji namun ulama fikah ketika membincangkan mengenai perbahasan haji mereka juga memaksudkan dengan ibadat umrah dalam banyak keadaan[5]. Berdasarkan keterangan di atas dapat disimpulkan bahawa selagi mana seseorang itu mampu untuk melakukan ibadat haji atau umrah dengan sendirinya maka tidak boleh untuk orang lain menggantikan tempatnya [1] Imam al-Nawawi, al-Idoh fi Manasik al-Hajj, Beirut: Dar al-Basyair al-Islamiyyah (1994), jld.1, hlm. 379. الْعُمْرَةُ فَرْض عَلَى الْمُسْتَطِيعِ كَالْحَج هَذَا هُوَ الْمَذْهَبُ الصَّحِيحُ مِنْ قَوْلَيْ الشافِعِي رَحِمَهُ الله تَعَالَى وَهُوَ نَصُّهُ في كُتُبِهِ الْجَدِيدةِ وَلاَ تَجِبُ العُمرة إِلا مَرَّةَ وَاحِدةً كَالْحج [2] Imam al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, Beirut: Dar al-Fikr (2005), hlm. 82. والاستطاعة وهي نوعان أحدهما: استطاعة مباشرة ولها شروط… النَّوْعُ الثَّانِي: اسْتِطَاعَةُ تَحْصِيلِهِ بِغَيْرِهِ، [3] Imam al-Nawawi, Raudhah al-Talibin, jld. 3, hlm. 12. جُوزُ أَنْ يَحُجَّ عَنِ الشَّخْصِ غَيْرُهُ، إِذَا عَجَزَ عَنِ الْحَجِّ، بِمَوْتٍ، أَوْ كَسْرٍ، أَوْ زَمَانَةٍ، أَوْ مَرَضٍ لَا يُرْجَى زَوَالُهُ، أَوْ كَانَ كَبِيرًا لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يَثْبُتَ عَلَى الرَّاحِلَةِ أَصْلًا، أَوْ لَا يَثْبُتُ إِلَّا بِمَشَقَّةٍ شَدِيدَةٍ. [4] Imam al-Nawawi, Imam al-Subki & al-Muti’e, al-Majmu’ Syarh al-Muhazab, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), jld. 7, hlm. 112. [5] Ibn Hajar al-Haitami, Hasyiah Ibn Hajar al-Haitami ala al-Idoh, Beirut: Dar al-Hadis (t.t),hlm. 93 (لا يجب الْحَجُّ) والعمرة، وقد يشملها اسم الحج (في العُمْر إلاَّ مرة واحدة) |
309 | Soalan: Apakah terdapat panduan daripada hadith berkaitan jiran yang suka mencela dan mengeji keluarga saya atau adakah saya perlu berpindah atau bersabar dengan perbuatan tersebut? Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Agama Islam amat menitikberatkan perkara-perkara berkaitan dengan kejiranan. Hal ini banyak diingatkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui hadith-hadithnya yang menyeru agar berbuat baik kepada jiran tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Antara firman Allah SWT yang menuntut agar berlaku kepada jiran adalah: Firman Allah SWT: وَاعْبُدُوا اللَّـهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا al-Nisa’:36 Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.” Para ulama menyatakan di dalam ayat ini, Allah SWT mengikat ayat tuntutan untuk berlaku baik kepada jiran dengan ayat tuntutan agar menyembah Allah SWT tanpa melakukan syirik kepada-Nya. Ini menunjukkan tuntutan agar berlaku baik kepada jiran merupakan satu tuntutan yang besar sepertimana tuntutan agar menyembah Allah SWT. Untuk itu, Allah SWT menyediakan azab yang pedih buat orang yang suka menyakiti jirannya sepertimana yang akan jelaskan di bawah nanti. Di antara hadith-hadith yang menceritakan akan kepentingan berlaku baik kepada jiran adalah: Daripada Abi Syuraih RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” [Riwayat Muslim (77)] Daripada Abdillah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda: خَيْرُ الأَصْحَابِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِصَاحِبِهِ، وَخَيْرُ الجِيرَانِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِجَارِهِ Maksudnya: “Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah seseorang yang terbaik terhadap temannya. Manakala sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah seorang yang paling baik dengan jirannya. [Riwayat al-Tirmizi (1944)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib] Daripada Ibn Umar R.anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda: مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ Maksudnya: “Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.” [Riwayat al-Bukhari (6015)] Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata daripada al-Qadhi ‘Iyadh bahawa makna hadith ini adalah sesiapa yang beriltizam dengan syariat Islam maka wajib ke atasnya untuk memuliakan atau berlaku baik kepada jiran dan tetamunya. Semua ini menunjukkan akan kepentingan hak berjiran serta galakan memeliharanya. Ini kerana, Allah SWT telah berpesan atau mewasiatkan agar berlaku baik kepada mereka melalui firman-Nya di dalam al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. [Lihat: al-Minhaj ‘ala Syarh Sahih Muslim, 18/2] Demikian itu adalah beberapa buah hadith yang membicarakan berkaitan tuntutan agar berlaku baik kepada jiran kerana kedudukan jiran itu amat tinggi di dalam agama. Berdasarkan soalan di atas, kami ingin menukilkan sebuah kisah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW apabila seorang lelaki datang kepadanya dan mengadu akan perihal jirannya yang suka menyakitinya: Daripada Abu Hurairah RA berkata: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَشْكُو جَارَهُ، فَقَالَ: اذْهَبْ فَاصْبِرْ. فَأَتَاهُ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا، فَقَالَ: اذْهَبْ فَاطْرَحْ مَتَاعَكَ فِي الطَّرِيقِ. فَطَرَحَ مَتَاعَهُ فِي الطَّرِيقِ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَسْأَلُونَهُ فَيُخْبِرُهُمْ خَبَرَهُ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَلْعَنُونَهُ: فَعَلَ اللَّهُ بِهِ، وَفَعَلَ، وَفَعَلَ، فَجَاءَ إِلَيْهِ جَارُهُ فَقَالَ لَهُ: ارْجِعْ لَا تَرَى مِنِّي شَيْئًا تَكْرَهُهُ Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW mengadu perihal jirannya. Maka Nabi SAW bersabda: “Pergilah serta bersabarlah.” Setelah itu, lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah SAW sebanyak dua atau tiga kali. Lalu Nabi SAW bersabda: “Pergilah dan campakkanlah barang-barang di rumah kamu ke jalan.” Lelaki tersebut kemudiannya mencampakkan barang-barang rumahnya ke jalan hingga menyebabkan orang-orang bertanya kepadanya. Lalu lelaki tersebut menceritakan apa yang berlaku kepada dirinya yang menyebabkan manusia (yang mendengar cerita tersebut) melaknat jiran tersebut dengan mengatakan: “Allah akan membalas perbuatannya (mendoakan keburukan), Allah akan balas dan Allah akan balas.” Selepas itu, lelaki tersebut didatangi oleh jiran tersebut dan jiran itu berkata: “Pulanglah kamu, kam tidak akan melihat (mendapati) sesuatu yang kamu benci itu lagi.” [Riwayat Abu Daud (5153)][Sanadnya adalah baik menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh] Hadith ini menceritakan akan petunjuk Nabi SAW kepada lelaki ini apabila sentiasa disakiti oleh jirannya. Akan tetapi, berkemungkinan perbuatan atau cara tersebut biasa dilakukan oleh bangsa Arab pada zaman itu tetapi ia tidak lagi sesuai untuk dilakukan pada zaman ini. Tambahan pula, Imam Ibn Ruslan ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa di dalam hadith ini menunjukkan kelebihan bersabar dengan perihal jiran walaupun perkara tersebut berulang-ulang kali berlaku, di samping berusaha untuk mencegahnya mengikut kemampuan yang ada. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan keharusan berdoa kepada orang yang menyakiti orang lain secara kuat (terang-terangan) sebagai pengajaran kepada orang tersebut serta meninggalkan perbuatan tersebut. [Lihat: Syarah Abi Daud, 440/19] Kami berpandangan dalam isu ini, seseorang yang disakiti oleh jirannya sama ada dengan perbuatan atau ucapan perlulah bersabar terlebih dahulu. Ini berdasarkan kepada petunjuk atau hadyu nabawi di dalam hadith di atas. Sabar merupakan sifat yang sangat hebat dan ia merupakan sifat yang dikasihi oleh Allah SWT. Di samping itu juga, seseorang yang disakiti itu perlulah berusaha dan berikhtiar dengan sehabis-baik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi seperti menasihatinya dengan penuh hikmah, berbuat ihsan (baik) kepadanya walaupun dibalas dengan kejahatan, membantu mereka di dalam kesusahan, menggunakan saluran yang tepat dalam menegur dan lain-lain lagi. Mudah-mudahan dengan cara sebegini akan melembut hatinya dan tidak lagi akan menyakiti orang tersebut. Selain itu, doa juga merupakan salah satu elemen yang penting dan tidak patut diabaikan kerana hanya Allah SWT sahaja yang mampu membaca dan mengubah hati seseorang itu. Sekiranya, seseorang itu telah berusaha dan berikhtiar, berpindah dari tempat tersebut merupakan langkah yang terakhir bagi seseorang yang mampu melakukan sedemikian. Hukuman Bagi Orang Yang Menyakiti Jirannya Di sana terdapat hadith yang menceritakan akan akibat dan balasan yang akan diterima bagi orang yang suka menyakiti jirannya: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” [Riwayat Muslim (73)] Di dalam hadith yang lain pula, juga daripada Abu Hurairah RA berkata: قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ فُلَانَةَ يُذْكَرُ مِنْ كَثْرَةِ صَلَاتِهَا، وَصِيَامِهَا، وَصَدَقَتِهَا، غَيْرَ أَنَّهَا تُؤْذِي جِيرَانَهَا بِلِسَانِهَا، قَالَ: هِيَ فِي النَّارِ Maksudnya: Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.” [Riwayat Ahmad (9675)][Sanadnya adalah hasan berdasarkan penilaian daripada Syeikh Syu’aib al-Arna’outh] Berdasarkan kedua hadith ini, orang yang suka menyakiti jirannya sama ada dengan perbuatannya atau lisannya (ucapannya) maka orang seperti ini akan dicampakkan ke dalam api neraka di akhirat kelak walaupun dia merupakan seorang yang banyak melakukan ibadah. Penutup Kesimpulannya, kita dituntut untuk berlaku baik kepada jiran kerana tuntutan tersebut datang daripada al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. Selain itu juga, Allah SWT menyediakan hukuman yang berat kepada orang-orang suka menyakiti jirannya. Tambahan pula, Islam mengajar umatnya agar sentiasa bersabar dalam setiap perkara yang menimpa serta berusaha untuk menyelesaikannya dengan sebaik mungkin. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berlaku baik kepada jiran serta memasukkan kita ke dalam syurga di akhirat nanti. Amin. Wallahua’lam |
310 | Soalan: Apakah kisah Nabi SAW bersama dua sahabatnya iaitu Abu Bakar RA dan Umar RA keluar mencari makanan merupakan kisah yang sahih? Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Rasulullah SAW merupakan insan atau makhluk Allah yang paling mulia berbanding makhluk-makhluk Allah yang lain. Selain itu, Rasulullah SAW hidupnya adalah sederhana walaupun Baginda SAW seorang rasul dan juga pemimpin pada waktu itu. Hal ini dapat dilihat daripada sebuah hadith: Daripada Aisyah R.anha berkata: مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُنْذُ قَدِمَ الْمَدِينَةَ مِنْ طَعَامِ الْبُرِّ ثَلَاثَ لَيَالٍ تِبَاعًا حَتَّى قُبِضَ Maksudnya: “Sejak datang ke Madinah sehingga sampai saat Baginda SAW wafat, keluarga Nabi Muhammad SAW tidak pernah memakan roti dari tepung gandum sehingga kenyang selama tiga hari berturut-turut.” [Riwayat al-Bukhari (5416) dan Muslim (2970)] Hadith ini menunjukkan kepada kita akan kezuhudan Nabi SAW dalam menolak kebaikan dunia bagi mendapatkan kebaikan kehidupan yang kekal abadi (Akhirat). Imam Ibn Battal ada menyatakan bahawa kezuhudan Nabi SAW ini bukanlah dalil bagi menyatakan bahawa kelebihan orang yang miskin berbanding orang yang kaya. Akan tetapi, ini menunjukkan akan kelebihan sikap keyakinan (pada rezeki), berpada dan tidak berlebih dalam perkara yang berkaitan dengan kelazatan dunia. [Lihat: Fath al-Mu’in, 8/239] Berdasarkan soalan di atas, kisah yang disebutkan tersebut ada dinyatakan di dalam hadith yang sahih daripada Imam Muslim bahawa Nabi SAW dan dua orang sahabatnya iaitu Abu Bakar dan Uthman pernah keluar dari rumah disebabkan kelaparan: Daripada Abu Hurairah RA berkata: خَرَجَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ - أَوْ لَيْلَةٍ - فَإِذَا هُوَ بِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ، فَقَالَ: مَا أَخْرَجَكُمَا مِنْ بُيُوتِكُمَا هَذِهِ السَّاعَةَ؟ قَالَا: الْجُوعُ يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: وَأَنَا، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَأَخْرَجَنِي الَّذِي أَخْرَجَكُمَا، قُومُوا، فَقَامُوا مَعَهُ، فَأَتَى رَجُلًا مِنَ الْأَنْصَارِ فَإِذَا هُوَ لَيْسَ فِي بَيْتِهِ، فَلَمَّا رَأَتْهُ الْمَرْأَةُ، قَالَتْ: مَرْحَبًا وَأَهْلًا، فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيْنَ فُلَانٌ؟ قَالَتْ: ذَهَبَ يَسْتَعْذِبُ لَنَا مِنَ الْمَاءِ، إِذْ جَاءَ الْأَنْصَارِيُّ، فَنَظَرَ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَاحِبَيْهِ، ثُمَّ قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ مَا أَحَدٌ الْيَوْمَ أَكْرَمَ أَضْيَافًا مِنِّي، قَالَ: فَانْطَلَقَ، فَجَاءَهُمْ بِعِذْقٍ فِيهِ بُسْرٌ وَتَمْرٌ وَرُطَبٌ، ... قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِي بَكْرٍ، وَعُمَرَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَتُسْأَلُنَّ عَنْ هَذَا النَّعِيمِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمُ الْجُوعُ، ثُمَّ لَمْ تَرْجِعُوا حَتَّى أَصَابَكُمْ هَذَا النَّعِيمُ Maksudnya: “Satu malam Rasulullah SAW keluar dari rumah lalu bertemu dengan Abu Bakar dan Umar. Lalu beliau bertanya: “Mengapa kamu semua keluar dari rumah malam sebigini?.” Mereka menjawab: Kami lapar wahai Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku juga keluar disebabkan alasan yang sama seperti kamu. Marilah!” Mereka mengikuti Nabi SAW ke rumah salah seorang sahabat Ansar. Akan tetapi, beliau tiada di rumah pada waktu itu. Apabila isterinya melihat Nabi SAW, dia mengucapkan: Selamat datang. Rasulullah SAW bertanya kepada isterinya: Di manakah fulan (suaminya)? Isterinya menjawab: Sedang keluar mengambil air. Tiba-tiba orang Ansar (suami wanita tersebut) itu muncul sambil berkata: Alhamdulillah, tidak ada pada hari ini yang lebih membahagiakan aku melainkan disebabkan kedatangan tetamu yang mulia. Beliau terus beredar untuk mengambil setandan kurma, di antaranya ada yang sudah mula masak, telah masak dan muda … (Setelah menikmati hidangan) Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar dan Umar: “Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu akan ditanya tentang hal ini (tentang nikmat pada malam ini) di hari Kiamat kelak, apa yang membuatkan kamu keluar dari rumah adalah disebabkan rasa lapar. Kemudian kamu tidak pulang ke rumah sehinggalah kamu diberikan dengan nikmat ini daripada Allah." [Riwayat Muslim (2038)] Penutup Kesimpulannya, kisah tersebut adalah sahih kerana ia ada diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahihnya. Tambahan pula, hadith ini menunjukkan kezuhudan Nabi SAW dan juga para sahabat pada kelazatan dunia. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Amin. Wallahua’lam |
311 | Salah Faham Terdapat sebahagian orang yang dilihat “beragama” sering menyandarkan tindakan dan keputusan yang mereka buat kepada Allah SWT. Adakalanya mereka mengatakan bahawa keputusan itu adalah pilihan Allah dan bukan pilihan mereka. Mereka hanya diibaratkan seperti pelakon sedangkan Allah adalah director sebenarnya. Adakah tanggapan sebegini tepat menurut agama? Pencerahan Tanggapan seumpama ini sering timbul disebabkan oleh ketidakfahaman dalam memahami maksud sebenar qada' dan qadar. Pada prinsipnya, setiap muslim wajib memahami apa erti kita beriman dengan qada' dan qadar. Lihat perbahasan lanjut dalam Irsyad al-Fatwa ke-2: Maksud Qada’ dan Qadar. Erti Beriman dengan Qada’ dan Qadar Menurut para ulama aqidah, beriman dengan qada' dan qadar atau taqdir adalah beriktikad bahawa Allah SWT Maha Mengetahui dengan terperinci berkenaan segala kejadian-Nya sejak azali dan apa yang berkaitan dengannya pada masa akan datang. Seperti Allah SWT Maha Mengetahui bahawa seseorang itu akan mengambil sebab-sebab dan ikhtiar tertentu, lalu dia akan dinilai oleh Allah atas apa yang diusahakannya tersebut. Beriman dengan qada' dan qadar juga bermaksud membenarkan bahawa segala sesuatu terjadi dan berlaku dengan kehendak (iradah) Allah SWT dan bertepatan dengan ilmu Allah SWT yang azali atau bersifat qadim. (Lihat al-Aqidah al-Islamiyyah wa Mazahibuha, 417) Ia sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Yasiin ayat 12: إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُّبِينٍ Maksudnya, "Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab (ibu suratan) yang jelas nyata". Berdasarkan keterangan ini, dapat difahami bahawa keimanan terhadap qada' dan qadar tidak mempunyai unsur-unsur al-jabr iaitu seseorang dipaksa dalam melakukan sesuatu atau hilangnya kuasa memilih atau berikhtiar. Ini kerana ilmu Allah SWT hanya bersifat menyingkap apa yang akan berlaku dan bukan memaksa supaya sesuatu itu berlaku. Ia boleh diumpamankan seperti ilmu seorang guru yang amat mengenali setiap anak muridnya, siapa antara mereka yang akan berjaya dan siapa yang akan gagal berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya. Namun, ilmu si guru terhadap muridnya itu tidaklah menyebabkan mereka berjaya atau gagal, kerana berjaya atau gagalnya mereka adalah disebabkan usaha mereka sendiri. Apatah lagi ilmu bagi Allah SWT yang sememangnya Maha Mengetahui termasuk perkara yang akan datang. Kesilapan Memahami Qada’ dan Qadar Imam al-Nawawi menukilkan daripada Imam al-Khattabi bagaimana ramai dalam kalangan orang yang menyangka bahawa qada' dan qadar itu adalah paksaan dan tekanan Allah SWT ke atas hamba-Nya terhadap segala apa yang telah ditakdirkan sedangkan ia tidak seperti yang disangka oleh mereka. Ini kerana maksud (taqdir) itu ialah perkhabaran Allah SWT berkenaan ilmu-Nya yang mendahului tentang segala yang dilakukan oleh hamba-Nya dan ianya terbit dari taqdir-Nya sama ada yang baik atau yang buruk. Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 1/155. Sayyiduna Abdullah bin Umar R.Anh pernah ditanya tentang orang yang melakukan perbuatan buruk, mereka menjawab ianya dalam ilmu Allah, lalu beliau menjadi marah sambil mengatakan, "Demikian itu dalam ilmu Allah tetapi bukan ilmu Allah yang menyebabkan mereka melakukan perbuatan buruk itu". Lihat Risalah fi al-Tawhid li al-Ta'i, 124. Maka Allah SWT mengetahui berdasarkan ilmu-Nya yang azali bahawa hamba-Nya akan memilih jalan-jalan yang pelbagai lalu Dia mempermudahkan pilihan mereka. Sebagai contoh, apabila seseorang ingin mengangkat segelas air untuk disuakan ke mulutnya, perbuatan mengangkat gelas itu datang dari pilihan atau usahanya sendiri (al-kasb), manakala kuasa untuk mengangkat datang daripada sifat qudrat Allah SWT. Ini bermakna kuasa untuk memilih tetap berada pada tangan seseorang hamba sama ada mahu memilih perbuatan baik atau jahat, taat atau maksiat, dosa atau pahala dan syurga atau neraka. Rujuk perbahasan ini dalam Muqaddimah Manahij al-Adillah, 108; Usul al-Din, 133-134; Tawali’ al-Anwar, 200. Berasaskan prinsip ini, pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah tidak membenarkan kita menyandarkan sesuatu yang buruk kepada Allah SWT sebagai adab kita kepada-Nya. Ini kerana, setiap perkara yang buruk dan tidak sempurna itu secara langsungnya datang daripada kelemahan perbuatan atau tindakan manusia itu sendiri sekalipun pada hakikatnya ia tetap terjadi dengan iradah dan qudrah Allah SWT. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 79. مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّـهِ ۖ وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ Maksudnya: “Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.” Sikap Para Sahabat Sebagai Model Sikap sedemikian juga ditunjukkan oleh para sahabat R.Anhum setiap kali mereka mengeluarkan sesuatu pendapat atau mengambil sesuatu tindakan dan keputusan. Mereka tidak akan sewenang-wenangnya mengatakan semua keputusan dan tindakan itu secara multaknya datang daripada Allah SWT. Malah mereka amat berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu pendapat atau tindakan itu kepada Allah SWT. Ia sebagaimana yang dinukilkan dalam beberapa riwayat berikut: Kisah Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq R.Anh عَنِ الشَّعْبِيِّ، قَالَ: سُئِلَ أَبُو بَكْرٍ عَنِ الْكَلَالَةِ؟ فَقَالَ: " إِنِّي سَأَقُولُ فِيهَا بِرَأْي فَإِنْ يَكُنْ صَوَابًا فَمِنَ اللَّهِ، وَإِنْ يَكُنْ خَطَأً فَمِنِّي وَمَنَ الشَّيْطَانِ: أُرَاهُ مَا خَلَا الْوَلَدِ وَالْوَالِدِ. Maksudnya: “Daripada Sya’bi, beliau berkata: Abu Bakar ditanya tentang al-Kalalah, lalu beliau menjawab: Sesungguhnya aku akan berijtihad mengenainya, justeru sekiranya ia benar maka daripada Allah, dan sekiranya ia salah maka ia daripadaku dan daripada syaitan. (Jawapannya) aku berpendapat ia (al-Kalalah) adalah orang yang tidak memiliki anak dan bapa…”. Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Saghir (2291) Kisah Sayyiduna Umar bin al-Khattab R.Anh عَنْ مَسْرُوقٍ , أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَتَبَ بِقَضِيَّةٍ إِلَى عَامِلٍ لَهُ , فَكَتَبَ الْكَاتِبُ: هَذَا مَا أَرَى الله عُمَرَ , فَقَالَ: امْحُهُ وَاكْتُبْ: " هَذَا مَا رَأَى عُمَرُ , فَإِنْ يَكُنْ صَوَابًا فَمِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ , وَإِنْ يَكُنْ خَطَأً فَمِنْ عُمَرَ Maksudnya: “Daripada Masruq, bahawa Umar bin al-Khattab R.Anh, telah menulis mengenai penyelesaian satu kes kepada seorang pekerja baginya, lalu penulisnya menulis: Ini adalah apa yang Allah telah perlihatkan kepada Umar. Lalu Umar berkata: Padamkan ia dan tulislah: Ini adalah pandangan Umar, sekiranya ia benar maka daripada Allah, sekiranya ialah salah maka daripada Umar.” Lihat Syarh Musykil al-Athar, 9/214. Kisah Sayyiduna Abdullah bin Mas’ud R.Anh عَنْ عَلْقَمَةَ أَنَّ قَوْمًا أَتَوْا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ، فَقَالُوا: جِئْنَاكَ لِنَسْأَلَكَ عَنْ رَجُلٍ تَزَوَّجَ مِنَّا، وَلَمْ يَفْرِضْ صَدَاقًا، وَلَمْ يَجْمَعْهُمَا اللَّهُ حَتَّى مَاتَ، فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: مَا سُئِلْتُ عَنْ شَيْءٍ مُنْذُ فَارَقْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَشَدَّ عَلَيَّ مِنْ هَذِهِ، فَأْتُوا غَيْرِي، فَاخْتَلَفُوا إِلَيْهِ شَهْرًا، ثُمَّ قَالُوا لَهُ فِي آخِرِ ذَلِكَ: مَنْ نَسْأَلُ إِنْ لَمْ نَسْأَلْكَ وَأَنْتَ أُخَيَّةُ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي هَذِهِ الْبَلْدَةِ، وَلَا نَجْدُ غَيْرَكَ، فَقَالَ بن مسعود: سأقول فيها بجهد رأي إِنْ كَانَ صَوَابًا فَمِنَ اللَّهِ، وَإِنْ كَانَ خَطَأً فَمِنِّي، وَاللَّهُ وَرَسُولُهُ مِنْهُ بَرِيءٌ، أَرَى أَنْ يُفْرَضَ لَهَا كَصَدَاقِ نِسَائِهَا وَلَا وَكْسَ وَلَا شَطَطَ، وَلَهَا الْمِيرَاثُ، وَعَلَيْهَا الْعِدَّةُ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا... Maksudnya: “Daripada ‘Alqamah, bahawa sekumpulan orang telah mendatangi Abdullah bin Mas’ud lalu mereka berkata: Kami mendatangi kamu untuk bertanya tentang seorang lelaki yang berkahwin dengan golongan kami, tetapi tidak membayar mahar dan Allah takdirkan kedua-duanya tidak pernah bersama (bersetubuh) sehingga lelaki itu meninggal dunia. Lalu Abdullah (Ibn Mas’ud) berkata: Aku tidak pernah ditanya mengenai suatu soalan pun yang lebih sukar semenjak kewafatan Rasulullah SAW berbanding soalan ini, maka kamu carilah orang lain selainku. (Setelah itu) mereka berulang kali menemui beliau sehingga sebulan lamanya, kemudian mereka berkata kepadanya pada akhirnya: Siapa lagi yang kami mahu bertanya jika kami tidak bertanya kepada kamu sedangkan kamu merupakan saki baki para sahabat Rasulullah SAW di negeri ini dan kami tidak ketemu (sahabat) selainmu. Lalu Ibn Mas’ud menjawab: Aku akan berikan jawapan mengenainya berdasarkan upaya ijtihadku. Sekiranya ia benar, maka ia daripada Allah. Sekiranya ia salah, maka ia daripadaku. Sedangkan Allah dan Rasul-Nya berlepas diri daripadanya (yakni kesalahan tersebut). Aku berpendapat bahawa dibayar ke atasnya (isteri tersebut) sebagaimana mahar wanita daripada kaumnya (seperti adik beradik dan kaum kerabatnya)… tanpa dikurangkan, tanpa dilebihkan, baginya juga harta pusaka (suaminya) dan ke atasnya iddah selama empat bulan sepuluh hari…” Riwayat Ibn Hibban (4101). Berdasarkan beberapa contoh yang dikemukakan di atas, dapat difahami bagaimana sebaik-baik generasi seperti para sahabat amat berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu pandangan, tindakan atau keputusan kepada Allah SWT. Sehinggakan Sayyiduna Umar al-Khattab yang terkenal dengan muwafaqat (ketepatan pendapat) beliau dengan wahyu yang turun selepasnya, tetap tidak semberono menyandarkan ijtihad beliau secara mutlak kepada Allah SWT. Sedangkan beliau diberikan taraf muhaddathun (mereka yang dikurniakan ilham menepati kebenaran) sebagaimana sabda Rasulullah SAW: قَدْ كَانَ يَكُونُ فِي الْأُمَّةِ مُحَدِّثُونَ، فَإِنْ يَكُنْ فِي أُمَّتِي أَحَدٌ فَعُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ Maksudnya: “Sesungguhnya pada setiap umat itu muhaddathun, jika ia ada pada seseorang dalam kalangan umatku, maka ia adalah Umar ibn al-Khattab.” Riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8065). Demikianlah sikap para sahabat R.Anhm, mereka tetap tidak bermudah-mudahan untuk menyandarkan segala perbuatan, tindakan mahupun keputusan yang mereka buat kepada Allah SWT secara mutlak. Sekalipun ketinggian iman dan kesucian hati mereka dalam beribadat dan memperjuangkan agama itu telah dipersaksikan oleh Allah dan Rasul-Nya, mereka tidak pernah mengambil kesempatan menyandarkan apa yang mereka lakukan kepada Allah SWT. Malah mereka bimbang jika apa yang mereka lakukan atau putuskan itu tidak menepati dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Hal ini sebaliknya berlaku kepada sebahagian ahli ibadat dan golongan zuhud yang tertipu dengan diri sendiri, sehingga mendakwa semua yang mereka lakukan datangnya daripada Allah SWT. Lihat Ighathah al-Lahfan min Masayid al-Syaitan, 1/212-213. Justeru para pendakwah dan agamawan yang ada pada hari ini perlu lebih berhati-hati. Sementelah lagi mereka merupakan golongan yang menjadi contoh dan sandaran masyarakat dalam soal agama. Jangan kerana terpedaya dengan populariti, pengaruh dan pengikut yang ramai sehingga menjadi ego untuk mengakui kelemahan diri sendiri. Bahkan menjadikan diri mereka seolah-olah suci daripada dosa dan kesilapan. Lalu menyandarkan segala perbuatan, tindakan dan keputusan yang dibuat kepada Allah SWT secara mutlak, bagi menutupi kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Kesimpulan Tuntasnya kami simpulkan perbahasan di atas dengan beberapa penegasan berikut: Beriman terhadap qada' dan qadar atau taqdir Allah SWT tidak menafikan kewajipan kita berusaha, berikhtiar dan memilih yang terbaik dalam kehidupan ini. Ia bukan bermakna paksaan seperti dalam pemikiran Jabariyyah, sehingga menggambarkan seseorang itu bagaikan pelakon yang melakonkan watak yang telah ditentukan Allah SWT tanpa sebarang kebebasan dan pilihan. Lihat perbahasan lebih lanjut mengenai Jabariyyah dalam al-Afkar#48: Aliran Jabariyyah; Tidak dinafikan bahawa tiada yang apa yang berlaku sama ada baik atau buruk kecuali dengan iradah dan qudrah Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Nisa ayat 78. Namun demikian, itu tidak menafikan bahawa baik dan buruk itu adalah atas usaha dan pilihan manusia sendiri. Maka dengan usaha dan pilihan itu manusia akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 286: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan dari apa yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan dari apa yang diusahakannya.”; Sikap gemar menyandarkan pendapat, tindakan atau keputusan yang dibuat secara mutlak kepada Allah SWT dibimbangi akan terjebak ke dalam dosa berdusta atas nama Allah SWT. Inilah yang cuba dielakkan oleh para sahabat R.Anhm apabila hanya menyandarkan hal-hal yang baik kepada Allah, sebaliknya menyandarkan hal-hal yang buruk, silap dan salah kepada diri mereka sendiri. Selain sebagai beradab dengan Allah SWT dan Rasul-Nya. Akhirnya, kami menasihati agar kita semua senantiasa dibimbing ke arah memahami aqidah Islam yang sahih. Moga-moga segala salah faham akan terungkai dan pencerahan ini dapat membantu memberikan kefahaman yang benar. Wallahu a’lam. |
312 | Latar belakang Setiap kali bulan Ramadan tiba, kerap berlaku peristiwa pencerobohan Zionis-Israel terhadap Masjid al-Aqsa al-Mubarak dan serangan ke atas semenanjung Gaza. Zionis-Israel menggunakan sentimen Yahudi atas nama bangsa dan agama bagi merealisasikan projek normalisasi Israel di mata dunia. Hakikatnya, pencerobohan Zionis-Israel terhadap Masjid al-Aqsa al-Mubarak ini telah melanggar undang-undang dunia pada 1948 yang sudah membahagikan sempadan kawasan Masjid al-Aqsa al-Mubarak kepada umat Islam, Yahudi dan Kristian. Usaha pencerobohan yang kesekian kalinya ini digerakkan oleh sekumpulan Ultra Ortodox Yahudi melalui upacara passover atau dikenali dengan Yaum Fush dan kempen mengangkat bendera negara Israel. Sifat-sifat Yahudi dalam al-Quran Pencerobohan Zionis-Israel secara konsisten adalah kesan daripada sifat-sifat yang tersemat sekian lama dalam sanubari Yahudi. Kisah Yahudi banyak dipaparkan dalam al-Quran. Berikut adalah antara ayat al-Quran yang memperlihatkan sifat-sifat tersebut: i. Sifat tamak yang tinggi terhadap dunia وَلَتَجِدَنَّهُمۡ أَحۡرَصَ ٱلنَّاسِ عَلَىٰ حَيَوٰةٖ وَمِنَ ٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۚ يَوَدُّ أَحَدُهُمۡ لَوۡ يُعَمَّرُ أَلۡفَ سَنَةٖ وَمَا هُوَ بِمُزَحۡزِحِهِۦ مِنَ ٱلۡعَذَابِ أَن يُعَمَّرَۗ وَٱللَّهُ بَصِيرُۢ بِمَا يَعۡمَلُونَ Maksudnya: “Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.” Surah al-Baqarah (96) Firman Allah SWT di dalam ayat yang lain; وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦ يَٰقَوۡمِ لِمَ تُؤۡذُونَنِي وَقَد تَّعۡلَمُونَ أَنِّي رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُمۡۖ فَلَمَّا زَاغُوٓاْ أَزَاغَ ٱللَّهُ قُلُوبَهُمۡۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ Maksudnya: “Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu?" Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik - derhaka.” Surah al-Saff (5) Ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa Yahudi mempunyai sifat tamak yang tinggi terhadap dunia.[1] Perkara ini dapat dilihat ketika Yahudi mengkhianati Nabi Musa AS dengan menyembah patung anak sapi dalam tempoh 40 hari setelah Nabi Musa AS membimbing Yahudi untuk selamatkan diri daripada perhambaan Firaun. Sifat yang melampau ini juga menonjol sepertimana imperialisme Zionis-Israel di Tebing Barat dan Jurusalem ketika ini. Selain itu, sifat tamak Yahudi ini menunjukkan sikap tidak berterima kasih dan lupa daratan terhadap umat Islam suatu ketika dahulu. Yahudi pernah dipencilkan oleh majoriti penganut beragama di pelbagai penjuru dunia dan kemudian selama beratus-ratus tahun mendapat perlindungan dari umat Islam di Andalusia dan Turki Uthmani.[2] ii. Sifat penakut terhadap kebenaran يَٰقَوۡمِ ٱدۡخُلُواْ ٱلۡأَرۡضَ ٱلۡمُقَدَّسَةَ ٱلَّتِي كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمۡ وَلَا تَرۡتَدُّواْ عَلَىٰٓ أَدۡبَارِكُمۡ فَتَنقَلِبُواْ خَٰسِرِينَ قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّ فِيهَا قَوۡمٗا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَا حَتَّىٰ يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِن يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِنَّا دَٰخِلُونَ Maksudnya: “(Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat). Mereka menjawab: "Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)." Surah al-Maidah (21-22) Firman Allah SWT di dalam ayat yang lain; قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَآ أَبَدٗا مَّا دَامُواْ فِيهَا فَٱذۡهَبۡ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَٰتِلَآ إِنَّا هَٰهُنَا قَٰعِدُونَ Maksudnya: “Mereka (menolak dengan) berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu." Surah al-Maidah (24) Ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa Yahudi menolak kebenaran akan janji Allah SWT yang memastikan kemenangan dengan berperang bersama Nabi Musa AS.[3] Yahudi juga mempunyai sifat takut dengan kelompok yang lebih kuat daripada mereka. Bahkan sifat penakut ini membuatkan Yahudi meminta Nabi Musa AS dan Tuhannya berperang sendiri.[4] Perkara ini membuktikan bahawa Yahudi bersifat penakut, pesimis, tamak kepada dunia serta memilih untuk hidup hina dengan kebatilan daripada mati mulia dalam kebenaran. iii. Sifat rasis yang tinggi قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ هَادُوٓاْ إِن زَعَمۡتُمۡ أَنَّكُمۡ أَوۡلِيَآءُ لِلَّهِ مِن دُونِ ٱلنَّاسِ فَتَمَنَّوُاْ ٱلۡمَوۡتَ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai orang-orang yang beragama Yahudi, kalau kamu anggap bahawa kamulah sahaja orang-orang yang dikasihi Allah tidak termasuk umat-umat manusia yang lain, maka bercita-citalah hendakkan mati (dengan meminta kepada Allah supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar!" Surah al-Jumaah (6) Ayat di atas menunjukkan yahudi mempunyai sifat rasis yang tinggi kerana menganggap bahawa mereka merupakan bangsa pilihan yang dikasihi tuhan.[5] iv. Sifat suka bermusuh لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقۡرَبَهُم مَّوَدَّةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّا نَصَٰرَىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنۡهُمۡ قِسِّيسِينَ وَرُهۡبَانٗا وَأَنَّهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ Maksudnya: “Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.” Surah al-Maidah (82) Ayat di atas menunjukkan bahawa Yahudi mempunyai sifat yang paling keras permusuhannya terhadap umat Islam.[6] Sifat ini mengakibatkan berlaku fenomena pembunuhan yang bukan asing dalam sejarah Yahudi. Bahkan nabi-nabi mereka, seperti Nabi Zakaria AS dan Nabi Yahya AS juga turut dibunuh. Selain itu, Yahudi menganggap bahawa mereka membunuh Nabi Isa AS dengan bangganya.[7] Sedangkan menurut al-Quran bahawa Nabi Isa AS diselamatkan oleh Allah SWT daripada kejadian pembunuhan tersebut. v. Sifat suka menceroboh negera orang lain وَقَضَيۡنَآ إِلَىٰ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ فِي ٱلۡكِتَٰبِ لَتُفۡسِدُنَّ فِي ٱلۡأَرۡضِ مَرَّتَيۡنِ وَلَتَعۡلُنَّ عُلُوّٗا كَبِيرٗا Maksudnya: “Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.” Surah al-Israa (4) Ayat di atas menunjukkan bahawa kerosakkan yang dibuat oleh Yahudi bukanlah sekadar dua kali, sebaliknya mereka melakukan kerosakkan banyak kali di atas muka bumi ini.[8] Fenomena Zionis-Israel ketika ini menggambarkan penindasan Yahudi terhadap negara-negara umat Islam. Maksud fil ardhi dalam ayat di atas adalah merujuk kepada bumi Syam yang meliputi Syiria, Palestin, Lubnan, Jordan dan sekitarnya.[9] Penutup Sehingga hari ini, serangan Zionis-Israel terhadap terhadap umat Islam berlanjutan dan menimbulkan kecaman antarabangsa. Bahkan tidak mustahil siri serangan seperti ini berulang pada bulan ramadan yang akan datang. Sifat-sifat yang tersemat dalam kalangan Yahudi mengakibatkan Zionis-Israel adalah musuh utama Umat Islam. Kebiadaban Zionis-Israel akan berterusan mengancam umat Islam terutama di Palestin dan di sekitarnya. Semoga cita-cita Zionis-Israel untuk membentuk negara agung Israel menerusi proksi-proksi mereka terkubur. [1] Ibn al-Kathir, Ismail. Tafsir al-Quran al-A‘zim. Kaherah: Dar al-Hadis, 1999, 1: 334. [2] Karen Armstrong. A History of Jerusalem: One City. Three Faiths. London: HarperCollins Publishers, 1996, 233, 246. [3] Al-Qurtubi. Al-Jami' li Ahkam al-Qur'an. Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 6:128. [4] Ibn Kathir, Abu al-Fida' Isma'il bin Umar bin Kathir al-Qurashi al-Dimashqi. Tafsir al-Qur'an al-Azim. Al-Riyad: Dar Tayyibah, 1999, 3:69. [5] Al-Tabari, Abi Ja‘far Muhammad bin Jarir. Tafsir al-Tabari Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an. Mekah: Dar at-Tarbiyyah wa at-Turath, 2001, 23: 379. [6] Al-Aşfahāni, al-Rāgib Abu al-Qasim al-Husain bin Muhammad bin Mufad-dal. Tafsīr ar-Rāġib al-Aşfahāni. Jamiah Umm al-Qura: Kuliyyah Dakwah wa Usul al-Addin, 2001, 5: 420. [7] Muhammad bin Umar al-Zamakhsyari. al-Kasyaf ‘an Haqāiq al-Tanzīl wa ‘Uyūni al-Aqāwīl fi Wujūh alTa’wīl. Beirut: Dar al-Ma'rifah, 590. [8] Al-Sya’rawi, Muhammad Mutawali. Tafsir al-Sya‘rawi. Al-Qahirah: Akhbar al-Yaum, 1997, 13: 8348. [9] Abu Muhammad al-Husain bin Mas’ud al-Baghawi. Ma’alim al-Tanzil Fi Tasir al-Quran. Kaherah: Dar al-Tayyibah li al-Nashr wa al-Tawzi’, 1997, 5:79. |
313 | Soalan: Suatu hari ketika sedang solat, seluar saya terkoyak sedikit hingga menampakkan bahagian paha. Adakah boleh saya meneruskan solat dengan sekadar menutupnya dengan tangan hingga selesai solat? Ringkasan Jawapan: Dalam keadaan aurat terdedah ketika solat, atau jika tidak mempunyai pakaian lain yang menutup aurat dengan sempurna, seseorang itu dibolehkan untuk menggunakan tangannya untuk menutup sebahagian daripada auratnya ketika solat, bahkan menjadi wajib jika dia tidak mendapati sesuatu untuk menutup auratnya melainkan dengan tangannya. Dia juga hendaklah mengekalkan kedudukan tangannya pada bahagian aurat yang ditutupi sehingga selesai solat. Huraian Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat. Menutup aurat merupakan salah satu syarat sah solat. Kata Syeikh Sa‘id Ba‘isyin: (الشرط الثامن: ستر العورة) عن العيون من إنس وجن وملك، فلا تصح مع عدم سترها مع القدرة عليها ولو خالياً أو في ظلمة Maksudnya: Syarat sah solat yang kelapan: Menutup aurat daripada pandangan mata manusia, jin dan malaikat. Solat tidak sah jika tidak menutup aurat, sedangkan dia mampu berbuat demikian, meskipun ketika sedang bersendirian atau dalam keadaan gelap-gelita.[1] Dalam keadaan aurat terdedah ketika solat, atau jika tidak mempunyai pakaian lain yang menutup aurat dengan sempurna, seseorang itu dibolehkan untuk menggunakan tangannya untuk menutup sebahagian daripada auratnya ketika solat. Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami: (وَيَجُوزُ سَتْرُ بَعضِ العَورَةِ بيَدِهِ) مِن غَيرِ مسٍّ ناقِضٍ، لحُصُولِ المَقْصودِ بِهِ Maksudnya: Diharuskan untuk menutup sebahagian aurat dengan tangannya, tanpa melibatkan sentuhan yang membatalkan wuduk; hal ini kerana menggunakan tangan telah mencapai maksud menutup aurat...[2] Syeikh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi menjelaskan lagi bahawa yang dimaksudkan dengan sentuhan yang tidak membatalkan wuduk itu ialah bahagian aurat yang ditutup itu mestilah bukan dua anggota kemaluan, atau ia sebahagian daripada anggota kemaluan tetapi pada bahagian yang tidak membatalkan wuduk jika disentuh.[3] Bahkan menurut beliau lagi, wajib baginya berbuat demikian jika dia tidak mendapati sesuatu untuk menutup auratnya melainkan dengan tangannya.[4] Menurut Syeikh Sa‘id Ba‘isyin, dalam keadaan dia wajib menutup auratnya dengan tangan kerana tiada benda lain yang boleh digunakan, dia hendaklah mengekalkan kedudukan tangannya pada aurat yang ditutup meskipun ketika sujud, dan ini merupakan pandangan al-Khatib al-Syarbini. Hal ini kerana kewajipan menutup aurat merupakan perkara yang disepakati antara syaikhan (Imam al-Rafi‘e dan Imam al-Nawawi), sedangkan meletakkan tapak tangan ketika sujud diperselisihi hukumnya antara mereka berdua. Bagi Syamsuddin al-Ramli pula, dia menetapkan bahawa wajib meletakkan tangan ke lantai ketika sujud, kerana menutup seluruh aurat itu hanya wajib bagi yang mampu, manakala bagi Ibn Hajar al-Haitami pula seseorang itu boleh memilih antara dua, kerana dalam hal ini berlakunya pertentangan antara dua perkara yang wajib.[5] Wallahu a‘lam. [1] Rujuk Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta‘lim oleh Sa‘id Ba‘isyin (2019) Mu’assasah al-Risalah, Cetakan Pertama, hlm. 280 [2] Rujuk al-Manhaj al-Qawim oleh Ibn Hajar al-Haitami (2015) Jeddah: Dar al-Minhaj, Cetakan Ketiga, hlm. 216 [3] Rujuk Hasyiyah al-Tarmasi oleh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi (2011) Jeddah: Dar al-Minhaj, Cetakan Pertama, 3/229 بأن يكون ذالك البعض من غير السوأة، أو منها بلا مس ناقض [4] Rujuk Hasyiyah al-Tarmasi, 3/228 بل عليه إن كان في ساتر عورته خرق لم يجد ما يستره غير يده [5] Rujuk Busyra al-Karim, hlm. 283 وعلى الوجوب بيده فيبقيها -عند الخطيب- في السجود؛ لأن ستر العورة متفق عليه بين الشيخين، ووضع الكفين في السجود مختلف فيه، وعند م ر: يجب وضعها في السجود؛ لأن الستر إنما يجب على القادر، وهو عاجز حينئذٍ. وعند حج: يتخير؛ لتعارض الواجبين |